Tuesday, October 26, 2010

Bawa 370 pakar BI

Oleh Ahmad Saufi Mansor dan Amir Mamat

MELAKA: Kementerian Pelajaran akan mengambil seramai 370 tenaga pakar dalam Bahasa Inggeris (BI) dari luar negara bagi melakukan pemantauan terhadap pengajaran dan penguasaan bahasa berkenaan di peringkat sekolah rendah pada tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini berikutan pengenalan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan kepada murid Tahun Satu kelak.


Menurutnya, pengenalan dasar terbaru berkenaan dibuat selepas mendapati Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan sebelum ini didapati gagal mencapai matlamat yang disasarkan kepada pelajar.


“Daripada kajian kita buat, ia (PPSMI) tidak kesampaian matlamatnya, bukan tidak mahu, tetapi tiada kemampuan sedangkan Sains dan Matematik adalah mata pelajaran penting.

“Sebab itu saya mengambil tekad berani dan membuat keputusan untuk memperkenalkan dasar MBMMBI. Bukan kita menolak PPSMI kerana ia sedikit sebanyak membantu, tetapi dilihat dalam jangka masa panjang mungkin tidak mampu mencapai sasaran.


“Inilah yang kita hendak jelaskan... memang perancangan banyak, (bagaimanapun) maklumat terperinci akan diberikan tidak lama lagi supaya rakyat tahu bahawa mereka (juga) dapat membantu menjayakan dasar MBMMBI, sekali gus melaksanakannya secara terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berdialog dengan kira-kira 2,000 guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) membabitkan tiga negeri iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun, di sini, semalam.


MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan PPSMI yang akan dimansuhkan pada 2012 selepas mendapati dasar itu gagal mencapai matlamat untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.


Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak bimbang untuk memartabatkan Bahasa Melayu kerana sebahagian besar guru yang sedang berkhidmat sudah terlatih dalam bahasa kebangsaan itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bawa370pakarBI/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...