Sunday, November 7, 2010

Banjir di Kedah, Perlis semakin pulih

Nov 6, 10 11:18am

Mangsa banjir di Kedah berkurangan kepada 33,350 orang berbanding 39,785 petang semalam, berikutan semakin ramai mangsa di daerah Kubang Pasu yang dibenarkan pulang tetapi daerah Kota Setar menunjukkan peningkatan ketara mangsa banjir.

Selain itu, daerah Pokok Sena turut mencatatkan penurunan manakala daerah Padang Terap kekal dan Pendang meningkat sedikit, lapor Bernama.

Sehingga 8 pagi ini, bilangan mangsa banjir di daerah Kubang Pasu adalah 12,341 orang daripada 3,324 keluarga berbanding 21,111 orang petang semalam.

Daerah Kota Setar mencatatkan bilangan mangsa seramai 18,926 orang daripada 4,866 keluarga berbanding 16,376 semalam.

Di Padang Terap, jumlah mangsa adalah seramai 354 orang daripada 92 keluarga, Pokok Sena 1,480 mangsa daripada 250 keluarga dan Pendang 249 orang daripada 62 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga kini, 97 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 38 adalah di Kubang Pasu, sembilan di Padang Terap, 42 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Sementara itu, keadaan banjir di Perlis juga semakin pulih dan angka mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan kini berkurangan kepada 9,595 orang berbanding lebih 12,000 semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata kesemua kira-kira 20 pusat pemindahan banjir di Padang Besar telah ditutup.

Bagaimanapun, 34 pusat pemindahan di kawasan Kangar dan empat di Arau masih beroperasi, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama di sekitar bandar ini juga mendapati kegiatan perniagaan yang lumpuh selama empat hari akibat banjir kini kembali pulih.

http://malaysiakini.com/news/147430

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...