Wednesday, November 10, 2010

Peragut patah kaki

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Seorang peragut bermotosikal jatuh terpelanting sejauh 10 meter dan patah kaki kanan sejurus motosikal ditunggang tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang sebuah teksi ketika cuba melarikan diri, malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, suspek berusia awal 20-an kelam kabut cuba meloloskan diri bersama beg tangan seorang pelancong wanita tersungkur ke jalan selepas dihalang sebuah teksi yang kebetulan berada di hadapannya.


Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 malam ketika mangsa seorang wanita warga Thailand bersama empat rakan lain sedang bersiar-siar berhampiran Jalan Perak, di sini.

Menurutnya, ketika itu muncul sebuah motosikal dinaiki dua lelaki yang secara tiba-tiba terus merentap beg tangan mangsa.


“Kedua-dua suspek kemudian cuba memecut melarikan diri namun terlanggar belakang sebuah teksi mengakibatkan kedua-dua mereka tercampak dan jatuh ke jalan raya.


“Seorang daripada suspek sempat bangun sebelum melarikan diri dengan meninggalkan rakannya yang kesakitan. Pada masa sama, suspek dikepung orang ramai yang kebetulan melihat kejadian itu,” katanya.

Berikutan kejadian itu, anggota kereta peronda polis pelancong segera ke lokasi kejadian sebelum menahan suspek yang juga warga tempatan itu. Suspek yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan.


“Berdasarkan siasatan, suspek mengalami pendarahan telinga selain patah kaki kanan.

“Polis yang menjalankan pemeriksaan pada suspek turut menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk melakukan ragut dan samun,” katanya.


Difahamkan, mangsa gembira dan berterima kasih dengan tindakan pantas polis menahan suspek serta mendapatkan semula beg tangannya yang dilarikan suspek.


Susulan kejadian itu, polis akan menjalankan siasatan terhadap suspek yang dipercayai turut terbabit dalam beberapa kes ragut terutama membabitkan pelancong asing.


Sebelum ini, dalam kejadian Jumaat lalu, seorang suri rumah warga Iraq turut kerugian wang tunai berjumlah RM12,000 selepas diragut peragut bermotosikal ketika mangsa sedang berjalan berhampiran sebuah persimpangan Jalan PRamlee di sini.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, penjenayah menarik beg tangan disandang mangsa sebelum melarikan diri dengan motosikal.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peragutpatahkaki/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...