Monday, November 15, 2010

PKR S'gor pecahkan 'igauan' peratusan rendah?

Abdul Rahim Sabri
Nov 14, 10
4:17pm

Peratusan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijangka meningkat ekoran kehadiran ramai pengundi memilih pucuk pimpinan parti terutama di beberapa cabang di Selangor.

Sebanyak lapan cabang di negeri itu melangsungkan pemilihan anggota majlis pimpinan pusat (MPP), termasuk Petaling Jaya Selatan yang melangsungkannya serentak dengan pemilihan di peringkat cabang.

Selain Petaling Jaya Selatan, tujuh lagi cabang di Selangor adalah Kuala Langat, Kota Raja, Klang, Kapar, Shah Alam, Subang dan Petaling Jaya Utara.

Menurut Ketua pengawas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) di cabang Subang Abdul Aziz Jakim menjangkakan ahli yang keluar mengundi bakal mencecah sekurang-kurangnya 1,000.

Sebanyak 5,532 ahli layak mengundi di cabang berkenaan yang dilangsungkan di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Kota Damansara.

Ditemui Malaysiakini di pusat pengundian berkenaan pagi tadi, Abdul Aziz berkata kira-kira 120 orang telah mengundi setakat jam 12 tengahari.

Pemilihan cabang, pusat berbeza

Kelihatan kira-kira 100 lagi masih beratur di luar pusat pengundian untuk memilih calon pilihan mereka.

"Proses pemilihan masih lagi suam-suam kuku lagi. Pengundian berjalan lancar, tanpa sebarang masalah," katanya sambil menambah pengundi semakin bertambah menjelang tengahari sehingga tamat masa pengundian.

Bagaimanapun,Malaysiakinidifahamkan pengundian bermula lewat 40 minit kerana sedikit "masalah teknikal".

Sebelum itu, calon ketua cabang, Muhammad Najmi Samsudin berkata suasana pengundian untuk MPP berbeza dengan suasana pemilihan di peringkat cabang yang berlangsung September lalu.

Ketika ditemui Malaysiakini, berliau berkata, sepatutnya setakat jam sebelas pagi, jika hendak dibandingkan dengan pemilihan cabang lalu, anggota sudah ramai pada waktu tersebut.

Menurutnya, faktor penarikan diri Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding jawatan timbalan presiden antara faktor mempengaruhi jumlah kehadiran anggota untuk keluar mengundi.

Tak putus-putus hadir

"Ramai juga penyokong beliau di sini," katanya sambil menambah bahawa beliau optimis anggota akan semakin bertambah sehingga pusat pengundian ditutup.

Ditanya kecenderungan anggota memilih calon timbalan presiden, Muhammad Najmi berkata: "Dekat sini, kebanyakkannya (cenderung) menyokong Azmin".

Sementara itu, tinjauan Malaysiakinidi Petaling Jaya Selatan mendapati mesyuarat cabang itu berlangsung dengan lancar meskipun anggota PKR tidak putus-putus hadir sejak pusat pengundian dibuka jam 10 pagi tadi.

Ketua pengawas Mokhtar Hamzah berkata setakat jam 2.15 petang tadi, kira-kira 500 daripada 4,551 keluar mengundi di Pusat Rakan Muda dan Komleks Arena di Petaling Jaya.

"Salah satu faktor anggota keluar mengundi adalah kerana hari ini adalah pemilihan bagi pucuk pimpinan cabang serentak dengan majlis pimpinan pusat," katanya.

Menurutnya lagi, beliau tidak menolak kemungkinan cuti hujung minggu menyebabkan ahli keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Sehubungan itu, jika trend itu berterusan, beliau menjangkakan jumlah pengundi akan hadir sehingga mencecah 800 orang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...