| | Sime Darby Bhd akan memulakan samannya bersabit lebihan kos dan kemungkinan  salah pengurusan dalam bahagian tenaga dan utilitinya sebelum akhir tahun, kata  Pengerusinya, Tun Musa Hitam. 
 Katanya, audit forensik ke atas unit itu  sudah mengenal pasti individu yang disyaki mempunyai kes prima facie dalam kes  berkenaan, katanya pada mesyuarat tahunan syarikat itu di Kuala Lumpur hari ini.
 [Baca berita penuh] Laporan audit berkenaan telah dipertimbangkan oleh lembaga  pengarah Sime Darby pada 20 September dan salinannya telah diberikan kepada  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti.  Kedua-dua badan itu juga telah memulakan siasatan mereka. 
 "Oleh itu,  sehingga kes ini difailkan dan saman diserahkan, peguam juga menasihatkan kami  supaya merahsiakan segala maklumat," katanya dalam satu kenyataan.
 
 Musa  berkata lembaga pengarah Sime Darby sudah merancang strategi untuk meletakkan  syarikat itu pada kedudukan yang kukuh dan memastikan supaya walaupun kawalan,  sistem dan proses diketatkan, namun peluang untuk berkembang, tidak wajar  dilepaskan.
 
 Juruaudit forensik bebas, KPMG dan Deloitte Enterprise Risk  Services Sdn Bhd dan perunding undang-undang dilantik untuk mengkaji situasi  dalam empat projek yang diketuai bahagian tenaga dan utiliti.
 
 Projek  terbabit ialah Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar (MOQ), sebuah projek  membabitkan pembinaan kapal serta Projek Empangan Hidroelektrik  Bakun.
 
 Setakat ini, kerugian yang dialami oleh bahagian itu dianggarkan  RM1.3 bilion.
 
 Semasa mengumumkan kerugian pada Mei lalu itu, Sime Darby  turut mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Datuk Seri Zubir  Murshid, supaya bercuti sebelum beliau kemudiannya digantikan.
 
 Beliau  digantikan oleh bekas pengarah Felda Holdings Datuk Mohd Bakke Salleh dalam  usaha menstabilkan syarikat berkenaan.
 
 
 http://malaysiakini.com/news/148353
 | 
 | 
No comments:
Post a Comment