SHAH ALAM, 30 Dis: Anggota masyarakat terutamanya ibu bapa  wajar mengarahkan minat anak-anak mereka memilih ICT sebagai kerjaya dan sumber  kewangan lumayan.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  berkata dunia hari ini sudah berubah dan anggota masyarakat juga termasuk ibu  bapa harus mengikuti peredaran zaman.
Abdul Khalid berkata demikian  ketika berucap dalam Majlis Penutup Pertandingan Animax dan Merekabentuk Pusat  Siber Sihat sempena Festival Sains Teknologi dan Inovasi Selangor 2010 (FesSTIS  2010).Pertandingan ini adalah anjuran Jawatankuasa Tetap  Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Selangor yang  dipengerusikan Hajah Rodziah Ismail.
Seramai 66 peserta dari pada 22  kumpulan telah menyertai pertandingan dua kategori di atas pada tahun ini yang  telah mencipta karya berkualiti tinggi dan sengit.
“Jika dahulu ibu bapa  sering menggalakkan anak-anak untuk berjaya sebagai doktor, peguam, akauntan dan  jurutera, kini pemikiran sedemikian harus berkembang.
“Peluang-peluang  baru untuk anak-anak kita begitu banyak dan kita harus memberikan kebebasan dan  galakan sepenuhnya kepada mereka untuk merebut peluang-peluang  tersebut.
“Menyedari hakikat itu jugalah Kerajaan Negeri Selangor di  bawah Pakatan Rakyat bergerak pantas untuk memacu pembangunan ICT di negeri  ini,” tegas Abdul Khalid menerusi teks dibacakan oleh Rodziah, di sini petang  semalam.
Dalam pada itu, menteri besar berkata, paling utama memastikan  negeri ini terus berada pada landasan kemajuan tepat dan rakyat mendapat peluang  seluas-luasnya untuk mengecap kejayaan.
Bagi anak-anak muda dan  pelajar-pelajar sekolah, khususnya yang berbakat dalam lukisan animasi dan juga  berminat dalam bidang ICT, mereka harus membuka minda dan menimbang  peluang-peluang kerjaya dan keusahawanan dalam industri ini,  tambahnya.
Sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian juga, pintanya,  wajar menyediakan maklumat lengkap untuk membolehkan pelajar mengetahui secara  lebih mendalam tentang kerjaya dalam bidang ini.
Begitu juga, Abdul  Khalid menyeru ibu bapa membuka minda dan menggalakkan anak-anak yang berbakat  dan berkecenderungan dalam seni lukisan dan animasi untuk memburu  kecemerlangan.
“Rakyat negeri ini seharusnya berasa beruntung kerana  berada di bawah naungan Kerajaan Negeri yang telah menunjukkan sikap proaktif  dalam mencari dan meneroka bidang baru.
“Kerajaan negeri juga bersedia  untuk merebut peluang-peluang dalam industri kreatif multimedia yang mampu  menjanjikan pelbagai ganjaran dan pulangan lumayan,”  ujarnya.
Pertandingan Pusat Siber Sihat adalah acara julung kali  dianjurkan pada tahun 2010 sebagai satu usaha untuk membantu menyelesaikan  masalah perlesenan pusat siber yang dibekukan sejak 2007.
Program ini  mendapat kerjasama Persatuan Pemilik Pusat Siber Selangor, Penguatkuasa Pihak  Berkuasa Tempatan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam bagi mendapatkan  maklumbalas akhirnya menjadikan acara ini sebagai salah satu program FesSTIS  2010.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30090:galak-anak-anak-ceburi-bidang-ict&catid=1:utama&Itemid=50
 
 
No comments:
Post a Comment