KUALA LUMPUR, 9  Dis: Golongan muda perlu diberi faham tentang isu semasa terutama  situasi politik kerana mereka sahaja yang boleh merubah bentuk kuasa politik  negara, tegas Sasterawan Negara, Datuk (Dr) A. Samad Said.
Menurutnya,  harapan tidak banyak boleh diletakkan kepada kalangan dewasa kerana mereka sudah  bersikap dan selesa dengan keadaan itu seperti menjadi pengundi Umno atau  bukan.
Sebaliknya, jelas beliau lagi, golongan muda merupakan faktor  perubah kuasa negara kerana selain ramai, mereka masih belum mempunyai pegangan  politik taksub seperti kalangan dewasa.
Pak Samad berkata demikian ketika  menjadi panelis forum bertajuk Persoalan Masa Depan Umat Di tanganmu anjuran  Teras Pengupayaan Melayu (Teras) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dekat sini  kelmarin.
Turut menyertai forum sempena himpunan tahunan ke 13 Teras itu  adalah Editor Majalah Sabili, Indonesia, Herry Nurdi dan Juara Akademi Nasyid  2009, Azhar Atan dengan Saudara Saidi sebagai moderator.
“Hanya melalui  undi di dalam pilihan raya sahaja boleh diubah kuasa dalam negara ini dan  golongan muda adalah perubah yang mesti diberi faham.
“Antaranya mereka  perlu disedarkan, kenapa dalam lebih lima dekad negara merdeka dengan enam  perdana menteri, enam timbalan perdana menteri dan kebanyakan menteri adalah  Melayu, kenapa keadaan kita masih lagi perlu 'menjerit',” tegas  Samad.
Tanpa merubah kuasa, tambahnya, tidak ada apa-apa perubahan yang  boleh dilakukan dan dalam masa sama, tidak timbul masalah tidak mengenang budi  pemerintah yang ada atau tidak mahu kepada kemajuan.Tambahnya, apa  lagi yang boleh diharapkan kepada mereka yang sudah menghilangkan ekuiti Melayu  daripada RM50 bilion kini hanya tinggal sekitar RM2 bilion  sahaja?
Sebelum itu, Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid telah  menyampaikan ucaptama bertajuk Saatnya Generasi Pewaris Bangsa Bersiap Memimpin  Kebangkitan Ummah yang telah menggaris agenda bertindak yang perlu  disegerakan.
Cikgu Azmi menyatakan negara kini sedang dipacu ke arah  pembangunan berasaskan kreteria pertumbuhan ekonomi bukan kepada kualiti  keinsanan di mana kemajuan sasaran diukur dengan tahap pendapatan bukan  pengkayaan fikiran dan budaya.
“Pencapaian yang dikejar adalah projek  berskala mega buka berhemat dan sederhana dalam membangunkan keperluan asas  rakyat, tranformasi yang diwar-warkan adalah untuk menyertai persaingan global  bukan untuk mengukuhkan tradisi bukan keupayaan diri sendiri sesuai dengan sosio  budaya.
“Prasarana kesihatan dibangunkan lebih terdorong untuk menjadikan  negara hub pelancongan perubatan bukan untuk mendahulukan kesihatan asasi  rakyat.
“Kini riuh rendah dengan projek super mewah dari gedung 100  tingkat kepada hub hiburan malam. Padahal sudah dijeritkan berkali-kali, ada  rakyat tidak cukup makan, ada tidak mampu sekolahkan anak, keluarga tinggal di  bawah jambatan dan ada kampung bakal dilenyapkan atas nama pembangunan,”  tegasnya.
Justeru, beliau mengemukakan pembinaan khairo ummah seperti  dasar pegangan hidup kukuh berpaksi soal pengabdian kepada Allah, asas nilai  rohani dan keutuhan akhlak, kemajuan dalam meningkatkan taraf hidup mesti  memelihara agama, akal, nyawa, harta dan akhlak serta pembangunan dalam apa  bentuk mesti berkonsepkan insan sebagai penjaga amanah alam dengan segala  sumbernya.
Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk  Mahfuz Omar, Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin, wakil Abim dan ramai  tetamu serta perwakilan dari seluruh negara termasuk luar negeri turut  hadir.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29768:mahu-ubah-kuasa-fahamkan-anak-muda-samad-said&catid=1:utama&Itemid=50
 
 
No comments:
Post a Comment