Friday, December 10, 2010

Muflis hilang MyKad

KANGAR: Gara-gara kehilangan MyKad tujuh tahun lalu, seorang kakitangan sebuah syarikat pengeluar minuman tempatan, di sini, bukan saja diisytiharkan muflis, malah turut menanggung beban hutang hampir RM200,000.

Mangsa, Syed Idris Syed Agil Alhabshi, 53, berkata, identitinya digunakan secara haram oleh individu tidak dikenali untuk membeli sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero pada 2007 yang kemudian dilelong pihak bank berikutan gagal menjelaskan ansuran bulanan.


Selain hutang ansuran tertunggak kenderaan itu, dia yang berasal dari Arau, dekat sini, turut menanggung hutang bil telefon dengan sebuah syarikat telekomunikasi mencecah RM2,000 selepas identitinya digunakan untuk mendaftar talian berkenaan.

Menurutnya, dia hanya menyedari beban ditanggungnya itu selepas menerima surat tuntutan pinjaman daripada peguam dilantik pihak bank pada 28 September 2007, menyatakan Mitsubishi Pajero miliknya sudah dilelong.


“Selepas lelongan itu, saya perlu menjelaskan baki ansuran pinjaman mencecah RM187,000,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Katanya, institusi kewangan terbabit turut memaklumkan namanya sudah disenarai hitam berikutan tunggakan pinjaman untuk membeli kenderaan berkenaan.

Selain itu, menurutnya, dia turut menerima surat tuntutan hutang bagi bil telefon bernilai RM1,831 yang tidak pernah digunakannya berikutan individu tidak bertanggungjawab menggunakan MyKad miliknya untuk mendaftar talian berkenaan.


“Terkejut dengan perkara itu, saya terus membuat laporan polis selepas mengesyaki ia mempunyai kaitan dengan kehilangan MyKad saya pada 2003.

“Kini, akibat beban hutang berkenaan saya diisytihar muflis atas pinjaman yang tidak pernah dibuat sekali gus berdepan kesulitan membuat pinjaman lain termasuk menjadi penjamin bagi membeli kereta baru anak saya,” katanya.


Katanya, dia sudah menghubungi bank terbabit termasuk wakil syarikat telekomunikasi berkenaan memaklumkan perkara itu, namun hingga kini dilihat seolah-olah tiada jalan penyelesaian.


“Saya sendiri bingung kerana kedua-dua pihak itu mengakui kesilapan dan berjanji menyelesaikannya. Bagaimanapun, hingga sekarang, saya masih lagi disenarai hitam akibat hutang pinjaman berkenaan,” katanya.


Menurutnya, dia berharap pegawai bank terbabit lebih prihatin untuk menyelesaikan masalahnya dan semua maklumat termasuk surat pembatalan tuntutan serta laporan polis berhubung kehilangan MyKad sudah diserahkan sejak beberapa tahun lalu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...