Wednesday, December 22, 2010

'Pakar forensik' perdaya pelabur

AMPANG: Mendakwa dirinya seorang doktor pakar, seorang wanita memperdayakan beberapa individu supaya melabur dalam projek membekal peralatan hospital menyebabkan mangsa kerugian puluhan ribu ringgit.

Terbaru, seorang mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, mendakwa dia ditipu suspek untuk melabur lebih RM10,000.


Susulan itu, polis Bukit Aman menyebarkan gambar dan identiti suspek, Natra Zehan Md Shah, 38, melalui laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, selepas dikesan sudah menipu tiga mangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin yang dihubungi berkata, suspek dipercayai melakukan penipuan dengan menyamar ‘Dr Pakar Forensik’ sejak 2009 dan setakat ini tiga mangsa sudah membuat laporan.


Menurutnya, suspek menggunakan taktik menyamar doktor pakar sebuah hospital di ibu negara dan meyakinkan mangsanya untuk melabur dalam projek membekalkan peralatan hospital yang akan memberikan pulangan lumayan.


“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa yang terbabit penipuan ini lebih ramai, namun hanya tiga yang tampil membuat laporan.

“Mengikut rekod, dua laporan terhadap suspek dibuat mangsa di Kajang pada tahun lalu dan laporan terbaru di Ampang beberapa bulan lalu. Ia membabitkan wang yang besar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Amiruddin berkata, suspek kini menghilangkan diri serta gagal dikesan di alamat terakhirnya di nombor 52, Jalan Dua, Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Sarjan R Veraiyah di talian 019-3822625 atau Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Ampang Jaya, 03-42952222.


Mereka juga boleh menyalurkan maklumat melalui SMS Polis Selangor ke 32728 atau hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di talian 03-20529999 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pakarforensikperdayapelabur/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...