Friday, January 14, 2011

Insiden di luar jangkaan

KUALA LUMPUR: “Insiden itu di luar jangkaan kerana letupan berlaku ketika penggambaran babak kecil saja,” kata pengarah filem BaraJiwa, Osman Ali berhubung insiden seorang pelakon cedera selepas disambar api ketika penggambaran malam kelmarin.

Osman berkata, ketika penggambaran itu, Mohd Raffi Husin, 24, sepatutnya berlakon menghidupkan api, berpusing dan melompat sebelum letupan berlaku.


“Bagaimanapun, tanpa dijangka letupan itu lebih kuat daripada perancangan asal dan berlaku sebelum Raffi sempat melompat. Saya tidak tahu berlaku kemalangan dan menyangka Raffi masih berlakon kerana memantau dari monitor di tempat lain sehingga dia menjerit meminta tolong,” katanya dalam sidang media dan bacaan doa selamat, malam tadi.

Dia berkata, babak berkenaan hanya membabitkan sebuah gerai diletupkan dan latihan tiga kali dibuat sebelum kejadian selain dilakukan pengarah seni profesional serta dipantau Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).


“Tiada siapa yang boleh disalahkan dalam hal ini dan kami sendiri tidak tahu bagaimana kesilapan boleh berlaku, sama ada membabitkan jangka masa letupan terlalu awal atau Raffi tersilap jangkaan melarikan diri, tetapi saya bersyukur kerana tidak berlaku kecederaan lebih serius,” katanya. Menjelas lanjut mengenai babak itu, Osman berkata, dalam babak itu sekumpulan remaja yang pernah terbabit gejala sosial berkumpulan di sebuah gerai yang menjadi tempat pemulihan sebelum ia dimusnahkan watak jahat.


“Babak itu mudah dan ringkas, pelakon hanya berlari dan berlaku letupan di belakang mereka, namun sebaliknya berlaku sebelum sempat mereka menyelamatkan diri.

“Saya juga ingin menjelaskan, Raffi hanya terkena bahang api bukan disambar api terus ke badan dan pihak JPAM memberi bantuan segera kepada pelakon yang cedera sebelum dihantar ke hospital,” katanya.


Penerbit filem itu, Julian Jayaseela berkata, pihaknya akan menanggung semua kos rawatan pelakon yang tercedera selain menyusun jadual penggambaran terutama membabitkan Raffi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Insidendiluarjangkaan/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...