Sunday, January 9, 2011

Masih tunggu Perkeso

Oleh MOHAMAD YATIM LATIP
am@hmetro.com.my

MELAKA: Seorang bekas juruteknik yang dulu aktif dalam pelbagai aktiviti, termasuk bersukan, kini tidak mampu berbuat demikian apabila terlantar di rumah keluarganya di Lorong Permatang, Klebang Besar, di sini, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 31 Ogos tahun lalu.

Berikutan itu, Muhammad Ilham Mohd Yusof, 27, hanya mampu menghirup udara segar serta menikmati pemandangan di halaman luar rumah dengan kerusi roda.


Menceritakan kejadian malang yang menimpanya, Muhammad Ilham berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika dia menunggang motosikal ke tempat kerja di Loji Penapisan Minyak Petronas Tangga Batu pada hari sambutan kemerdekaan lalu.

Menurutnya, sebaik tiba di kawasan Paya Luboh, Tangga Batu, motosikal ditungganginya gagal mengelak sebuah kereta yang didakwa memasuki laluannya, sekali gus menyebabkannya merempuh kenderaan terbabit.


Katanya, akibat rempuhan itu dia melambung sebelum terjatuh ke atas jalan raya, menyebabkan tulang belakangnya patah.


“Saya dimasukkan ke wad Hospital Melaka lebih dua bulan, di mana tulang belakang turut dimasukkan besi. Kecederaan itu mengakibatkan bahagian anggota tubuh dari pangkal pusat hingga ke bawah tidak berasa apa-apa tindak balas.

“Malah, lebih mengecewakan apabila doktor juga memberitahu peluang saya untuk pulih tidak dapat dipastikan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Muhammad Ilham berkata, sejak keluar hospital, dia menggunakan sebuah katil dua tingkat yang diubah suai ahli keluarganya tetapi terpaksa tidur beralaskan tilam biasa saja yang tidak selesa.

Selain itu, katanya, abang iparnya memasang palang kayu pada bahagian atas katil berkenaan dengan meletakkan tempat pemegang yang dibuat sendiri bagi membolehkan dia berpaut ketika bangun.


“Berikutan itu, saya berharap ada pihak dapat membantu menyalurkan bantuan berupa sebuah katil dan tilam khas untuk keselesaan saya kerana selama ini juga hanya mampu membuang air kecil menerusi saluran tiub selain menggunakan lampin pakai buang setiap hari,” katanya.


Dalam pada itu, katanya, pihak syarikatnya memberi sumbangan sejurus selepas terbabit dalam kemalangan berkenaan di samping menguruskan tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) tetapi sehingga kini belum ada apa- apa perkembangan lagi.


Sementara itu, Sidang Kampung Klebang Besar, Hamzah Ibrahim berkata, pihaknya juga berharap pihak berkenaan membantu Muhammad Ilham demi meringankan kesulitan dihadapinya.


Katanya, meskipun Muhammad llham mempunyai sembilan adik-beradik, kebanyakannya berkahwin dan ada tanggungjawab masing-masing manakala bapanya meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira empat tahun lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MasihtungguPerkeso/Article/artikelMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...