Monday, January 24, 2011

Nadzmi diberikan mandat


NADZMI (kiri) diberi mandat oleh ahli majlis BAM untuk membuat keputusan terhadap isu peletakan jawatan Misbun.


KEMELUT peletakan jawatan jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek belum ada tanda-tanda penyelesaian.

Mesyuarat ahli-ahli majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam yang pada awalnya dikatakan bagi membincangkan isu tersebut juga masih gagal menemui jalan damai.

Sebaliknya, ahli-ahli majlis badan induk sukan badminton negara itu telah sebulat suara memberikan mandat kepada Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh untuk membuat keputusan.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Nadzmi dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Menurut Nazdmi, ahli-ahli majlis BAM telah memutuskan untuk membiarkan beliau membuat keputusan mengenai isu yang timbul berkaitan peletakan jawatan Misbun.

"Ahli-ahli majlis telah menyerahkannya kepada saya dan kini terpulang kepada saya untuk membuat keputusan.

"Begitupun, ahli-ahli majlis BAM yang lain telah mendapat gambaran sebenar berhubung isu ini dan mereka juga telah mendapat penjelasan yang secukupnya," jelas Nadzmi.

Menurut Nadzmi lagi, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Misbun selepas berakhirnya Kejohanan Terbuka Malaysia 2011 sebelum boleh membuat sebarang keputusan.

Kejohanan Terbuka Malaysia 2011 telah pun melabuhkan tirainya semalam.

Sebelum ini, Misbun mengejutkan arena sukan badminton tanah air apabila membuat keputusan untuk meletak jawatan selaku jurulatih pada 31 Disember tahun lalu.

Perbezaan pendapat dalam struktur kejurulatihan BAM yang baru dikatakan menjadi punca utama mengapa Misbun membuat keputusan sedemikian.

Begitupun, hasil perbincangan antara ahli majlis BAM minggu lalu, badan induk tersebut telah sebulat suara meminta Misbun mempertimbangkan semula keputusannya itu.

Difahamkan, Misbun ada meletakkan beberapa syarat kepada BAM seandainya mahukan beliau menarik balik keputusannya.

Sekiranya hasil pertemuan Nadzmi dengan Misbun yang dijangka berlangsung tidak lama lagi menampakkan tanda-tanda positif, ini bermakna Misbun akan kembali menggalas tugas selaku jurulatih semula.

Namun, persoalannya kini adakah BAM sanggup menunaikan segala syarat-syarat yang diletakkan Misbun itu termasuklah menukar struktur kejurulatihan yang baru itu.

Nadzmi yang diminta mengulas mengenai hal tersebut berkata: "Saya tidak fikir kami perlu mengubah struktur kejurulatihan tersebut hanya disebabkan Misbun seorang sahaja yang tidak bersetuju.

"Perkara ini dibuat berdasarkan suara majoriti dan ia perlu dihormati

"Lagipun...struktur kejurulatihan yang baru ini dibuat berdasarkan kegagalan skuad badminton negara pada Kejohanan Piala Thomas/Uber tahun lalu," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...