Wednesday, January 26, 2011

Rayuan pembebasan Ramli Yusuff - 24 Mac

Jan 25, 11 5:36pm

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 24 Mac depan untuk mendengar rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembebasan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff, yang didakwa gagal mengisytihar pemilikan saham dan kepentingannya dalam dua hartanah bernilai RM1,032,840.

ramli yusuff asset declare case 120310 05Timbalan Pendaftar Rusita Md Lazim menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dan memerintahkan peguam Badrul Munir, yang mewakili Ramli, serta Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Sophian Zakaria menyerahkan hujah bertulis masing-masing sebelum tarikh berkenaan.

Rayuan itu akan didengar oleh Hakim Datuk Ghazali Cha.

Pada 12 Mac lalu, Mahkamah Sesyen memutuskan bahawa pendakwaan telah gagal mewujudkan kes 'prima facie' terhadap Ramli, 58, berhubung tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Dia didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan 20,000 saham Telekom Malaysia Berhad dan 154,000 saham Permaju Industries Berhad, serta kepentingan dalam hartanah berupa dua buah pejabat.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan di pejabat Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya pada 17 September 2007.

ramli yusuff commercial crime director police pc 301007 talkPada 28 Julai 2009, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu membebaskan Ramli daripada pertuduhan menyalah guna kedudukannya sebagai penjawat awam apabila menggunakan pesawat Cessna Caravan polis pada 15 Jun 2007.

Dia didakwa mengeluarkan arahan serta menggunakan pesawat itu untuk membawanya dan dua orang awam meninjau dua lot tanah di Ulu Tungku, Lahad Datu, Sabah, yang mana syarikat hartanah miliknya, Kinsajaya Sdn Bhd mempunyai kepentingan.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah menolak rayuan SPRM pada 18 Mac lalu.

Ramli juga dibebaskan daripada pertuduhan memegang jawatan dalam sebuah syarikat pertanian ketika masih seorang penjawat awam.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/154436

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...