Saturday, January 15, 2011

Tiada arahan masjid perlahan suara azan

KUALA LUMPUR: Jemaah Masjid Al-Ikhlasiah, Pantai Dalam, boleh mempraktikkan amal ibadat termasuk melaungkan azan seperti biasa kerana tiada larangan pihak berkuasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurutnya, jabatan agama Islam tidak pernah mengeluarkan arahan memperlahankan suara azan.


“Kita kena ingat orang Islam selama ini pun tidak pernah mempertikaikan aspek keagamaan orang bukan Islam. “Saya bimbang ini mainan politik pihak tertentu yang mempunyai motif untuk mengeruhkan perhubungan antara kaum dan agama,” katanya, ketika dihubungi, di sini, semalam.

Masjid Al-Ikhlasiah di kawasan komersil Bangsar Selatan itu mula digunakan sebagai pusat ibadat dan kegiatan masyarakat Islam sejak 30 tahun lalu.

Kekeliruan timbul apabila seorang bukan Islam dikatakan cuba mencampuri urusan ibadat jemaah masjid berkenaan dengan meminta mereka memperlahankan suara azan, baru-baru ini. Dia yang juga peguam difahamkan mendiami di Pantai Hill Park, kira-kira satu kilometer dari Masjid Al-Ikhlasiah selepas berpindah ke kawasan majoriti penduduk Islam itu sejak setahun lalu.

Berikutan itu, jemaah masjid termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan piket bagi melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap tindakan itu di pekarangan masjid berkenaan, semalam. Jamil Khir meminta supaya jangan ada pihak mengambil kesempatan terhadap isu itu.

“Saya ingatkan sekali lagi tiada larangan kepada jemaah masjid. Jangan ada pihak menangguk di air yang keruh dalam isu ini. Cuma, jika ada bantahan seperti didakwa, kami akan menyiasat segera,” katanya.

Sementara itu, lebih 100 jemaah Masjid Al-Ikhlasiah mengadakan demonstrasi aman sambil membawa sepanduk bagi membantah tindakan peguam berkenaan.


Mereka juga membakar patung bagi menyatakan bantahan mereka.


Demonstrasi diketuai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Lembah Pantai , Zakaria Awang itu diadakan selepas solat Jumaat.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tiadaarahanmasjidperlahansuaraazan/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...