Tuesday, February 1, 2011

Struktur berkarat antara punca siling runtuh

Jan 31, 11 7:01pm

Satu pasukan penyiasat yang dianggotai pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) ditubuhkan bagi melakukan siasatan terhadap kejadian siling di lobi utama Hospital Serdang runtuh secara tiba-tiba Sabtu lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata siasatan yang dibuat akan melihat sama ada runtuhan yang berlaku itu disebabkan oleh masalah struktur atau reka bentuk.

Beliau telah meminta JKR untuk mempercepatkan siasatan tersebut dalam tempoh seminggu, katanya kepada pemberita semasa melawat tempat kejadian di hospital tersebut hari ini.

"Saya tidak boleh membuat apa-apa spekulasi sekarang ini, sama ada ia berpunca daripada masalah struktur, reka bentuk atau dari aspek penjagaan.

"Siasatan awal memerlukan siasatan forensik. Ia tidak boleh sekadar pemeriksaan struktur, ia perlu lebih daripada itu. Siasatan awal adalah berdasarkan laporan struktur semata-mata. Kita dapati ia tidak mencukupi," katanya.

Siling berukuran 10 meter runtuh di bahagian lobi utama hospital tersebut pada tengah malam Sabtu lalu dan hampir mengenai ahli dua keluarga yang sedang duduk di lokasi tersebut.

Hasil siasatan awal mendapati selain struktur siling yang berkarat yang dikatakan turut menjadi punca kepada runtuhan tersebut, terdapat juga kesan retak pada bahagian itu.

Liow berkata pemasangan siling itu masih dalam jaminan iaitu jaminan reka bentuk.

Katanya insiden berkenaan tidak akan menjejaskan orang ramai untuk mendapat perkhidmatan di hospital berkenaan kerana semua perkhidmatan akan berjalan seperti biasa.

Beliau berkata pihak hospital telah mengambil langkah untuk memastikan keselamatan pekerja dan orang ramai termasuk mengepung laluan ke lobi utama dan membuka laluan alternatif untuk masuk ke hospital.

Liow juga berkata tiga Klinik Desa di Tenang, Labis telah dinaiki air manakala lima lagi di Segamat terputus hubungan berikutan dilanda banjir.

Namun Hospital Segamat tidak terjejas berikutan banjir yang sedang melanda Johor, katanya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/155019

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...