TOKYO – Seorang lelaki tua, Hiromitsu Shinkawa hanyut di laut sejak tsunami melanda Fukushima di timur laut Jepun akibat gempa bumi kuat yang berlaku pada Jumaat lalu.
Dia hanya diselamatkan semalam selepas sebuah bot tentera laut Jepun dapat mengesan lelaki yang berumur 60 tahun itu yang sedang melambai-lambai menggunakan kain berwarna merah.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Jepun, Yoshiyuki Kotake berkata, ketika itu, Shinkawa hanya 15 kilometer dari persisiran pantai, Minamisoma.
Kotake berkata, Shinkawa memberitahu kepada anggota penyelamat, tsunami menghanyutkan dia dan isterinya yang pulang ke rumah untuk mengambil barang-barang keperluan selepas gempa bumi Jumaat lalu.
Menurutnya, isterinya hanyut dibawa arus.
Sebelum ini, dia melambai-lambaikan tangannya ke arah beberapa buah helikopter dan kapal bagi mendapatkan perhatian supaya dia diselamatkan.
“Beberapa buah helikopter dan kapal telah melalui dekat dengannya tetapi kelibatnya tidak dapat dikesan, kata seorang lagi jurucakap Kementerian Pertahanan.
Tentera Jepun telah menggunakan sebuah bot yang kecil bagi membantu menyelamatkan Shinkawa yang dihanyutkan di laut.
Agensi berita Kyodo melaporkan, pihak tentera menyifatkan Shinkawa bernasib baik kerana cuaca yang baik dan tenang membantu dia terapung di laut.
“Saya menyangka hari ini (semalam) akan menjadi hari terakhir dalam hidup saya,” kata Shinkawa. – Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0314&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
No comments:
Post a Comment