KUANTAN, 15 April: Kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri  Adnan Yaakub untuk menutup semua kilang di Gebeng jika Lynas Corporation yang  memproses ‘rare earth’ tidak dibenarkan beroperasi disifatkan  sebagai ugutan.
Pengerusi Majlis Bertindak Rakyat Negeri Pahang, Syed  Ali Badaruddin Syed Othman, menganggap kenyataab bersifat ugutan tersebut dibuat  setelah Kerajaan Negeri Pahang terdesak dengan bantahan rakyat dan tidak dapat  menyelesaikan masalah tersebut.
Syed Ali memberi reaksi demikian kepada  Harakahdaily, bagi mengulas kenyataan Adnan semalam ketika Persidangan  Dewan Undangan Negeri Pahang ke 12, yang berkata kilang-kilang lain juga perlu  ditutup sekali kerana mereka turut mengeluarkan bahan radioaktif.
“Jika  kerajaan mengambil tindakan menghentikan projek Lynas, maka kilang-kilang lain  juga perlu ditutup sekali karana mereka turut mengeluarkan bahan  radioaktif.
“Kita lihat nanti reaksi keluarga serta 20,000 pekerja  Gebeng sekiranya kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan menutup seluruh  kawasan perindustrian tersebut,” kata Adnan semasa mencelah perbahasan berkaitan  kilang Lynas.
Lynas Corporation Ltd (Lynas) merupakan syarikat milik  penuh Australia yang memproses ‘rare earth’ bagi tujuan industri. Bahan tersebut  dipunggah dari Australia manakala sisa pemprosesan iaitu bahan buangan thorium  yang dikatakan mengandungi bahan radioaktif yang berbahaya kepada manusia dan  alam itu, dilupuskan di Kuantan.
Mengikut kelulusan yang diberikan oleh  Kerajaan Negeri Pahang, syarikat berkenaan mula beroperasi September  ini.
Syed Ali berkata, walaupun kilang Lynas merupakan pelaburan kepada  negeri ini tetapi sangat berisiko yang akan ditanggung rakyat dan mempunyai  kesan dalam jangka panjang yang tidak terfikir pada masa akan  datang.
“Jadi pelaburan ini secara tidak langsung boleh ‘menghalau’  pelabur yang lain kerana kesan jangka panjangnya iatu dari segi fizikal atau  mekanikal, apabila berlaku bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan  sebagainya tidak menjamin keselamatan pelupusan radioaktif.
“Kalau kita  tengok, di Jepun semuanya pakar-pakar hebat tetapi bila berlaku Tsunami semunya  hancur. Ini pula negeri ini yang tidak ada kepakaran seperti negara-negara maju,  satu masa kalau berlaku bencana siapa akan bertanggungjawab,”  soalnya.
Syed Ali berkata, kenapa kerajaan negeri perlu memilih  pelaburan berisiko sedangkan negeri ini pilihannya banyak kerana kaya dengan  hasil hutan tropika, pelbagai sumber galian, hasil tanah dan produk pelancongan  yang kaya.
“Jadi pada saya MB hanya mengugut apabila berkata seluruh  kilang di kawasan Gebeng patut ditutup jika kilang Lynas tidak dibenarkan  beroperasi kerana bantahan rakyat,” katanya.
http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2818:adnan-ugut-tutup-semua-kilang-jika-tidak-benar-lynas-beroperasi&catid=81:negeri-pahang
 
 
No comments:
Post a Comment