Friday, September 9, 2011

Kerajaan setuju guna dakwat kekal?

Posted by admin on September 8th, 2011

Kabinet telah bersetuju untuk menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum akan datang, demikian menurut laporan sebuah akhbar bahasa Cina.Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai keputusan seumpama itu.Memetik sumber, laporan akhbar Sin Chew Daily hari ini menyebut, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam, lapor Malaysiakini.

Laporan itu berkata kabinet berpandangan dakwat kekal lebih sesuai, berbanding sistem biometrik yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan telah diguna dengan jayanya oleh beberapa negara untuk menghindari pengundian berganda.

Ketika dihubungi hari ini, Nazri berkata: “Saya juga tak tahu.”

Beliau menjelaskan bahawa keputusan kabinet adalah untuk menyerahkan kepada Jawatankuasa Khas Pilihan Raya memutuskan semua isu yang berkaitan dengan reformasi pilihan raya.

Sebelum ini, Nazri memberitahu Malaysiakini bahawa semua cadangan berhubung reformasi pilihan raya perlu dibincang dan diputuskan oleh jawatankuasa khas berkenaan.

Jawatankuasa khas itu yang akan dibentuk dalam sidang parlimen akan datang – mulai 3 Oktober ini – dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bulan lalu ekoran tekanan pembangkang dan pertubuhan sivil untuk reformasi sistem pilihan raya.

Pembangkang masih belum memutuskan sama ada akan menyertai jawatankuasa khas itu, dan mendakwa Najib gagal menunjukkan komitmennya untuk reformasi pilihan raya.

Menjelang pilihan raya umum 2008, SPR pernah membuat pengumuman akan menggunakan dakwat kekal bagi mengelakkan pengundian berganda namun ia dibatalkan kemudiannya.

Difahamkan, arahan pembatalan itu dibuat oleh kerajaan BN pimpinan Umno walaupun pengumumannya dibuat oleh Pengerusi SPR ketika itu.

Baru-baru ini, Bersih 2.0 mengumumkan antara tuntutan badan itu adalah penggunaan dakwat kekal di samping tujuh lagi tuntutan.

Pengerusi SPR pula mengumumkan, penggunaan dakwat kekal lebih realistik untuk mengelakkan pengundian berganda berbanding dengan sistem biometrik yang dicadangkan kerajaan.

Ekoran pengumuman itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bersetuju jika SPR ingin menggunakannya dalam pilihan raya ini tetapi mengingatkan ini hanya satu dari lapan tuntutan Bersih yang turut disokong PAS.


http://www.kl-today.com/2011/09/kerajaan-setuju-guna-dakwat-kekal/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...