Saturday, September 10, 2011

SAMM tampal laporan di pejabat Utusan

Posted by admin on September 9th, 2011

NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini menampal salinan laporan polis berhubung dakwaan pembelian cincin RM24 juta oleh isteri perdana menteri Rosmah Mansor di pintu pejabat Utusan Malaysia di ibu negara.Presiden SAMM Badrul Hisham Shaharin berkata, Penyelaras SAMM Negeri Sembilan Saufi Mi’ad berbuat demikian setelah Utusan dikatakan mencabar Badrul membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sedangkan, tambah Badrul atau lebih dikenali sebagai Cikgu Bad, laporan berkaitan telah dibuat sebelum ini.

“Mustahil Utusan tak mengetahui laporan SPRM telah dibuat tetapi sengaja menggunakan taktik propaganda memperbodoh rakyat untuk menjaga kepentingan regim (Datuk Seri) Najib Razak,” katanya.

Menulis dalam blognya, Badrul berkata, selepas mengambil tindakan itu, Saufi sempat berkata kepada pemberita:

“Tak guna bercakap dengan media pekak alat propaganda regim ini, kami tampal dan biar mereka baca sendiri.

“Terpulang kepada Utusan nak kata kami serang dan rosak pejabat mereka atau nak lapor polis kerana tindakan kami, dah ini saja cara nak layan akhbar penipu yang membodoh minda rakyat.”

Badrul sebelum ini ada menyelar kenyataan bekas anggota KEADILAN, Anuar Shaari yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 30 Ogos lalu.

Dalam laporan itu, Anuar mencabar Badrul yang juga Ketua Cabang KEADILAN Rembau supaya melaporkan isu pembelian cincin itu kepada SPRM.

Menyifatkan tindakan itu sebagai usaha memperbodohkan rakyat, Chegu Bard berkata beliau sudah pun membuat laporan kepada SPRM pada 13 Julai lalu yang turut dihadiri wartawan Utusan.

“Mustahil Utusan tidak tahu laporan SPRM sudahpun dibuat pada 13 Jul 2011 kerana wartawan Utusan juga hadir dalam sidang media depan SPRM P.Pinang,” kata Badrul atau mesra dipanggil Chegu Bard.

Justeru itu, katanya, media kawalan Umno iaitu Utusan Malaysia dan TV3 menggunakan taktik Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Hitler yang terkenal dengan prinsip “The Big Lie” – yang menyatakan bahawa sesuatu fitnah, jika diulang berkali-kali akan dipercayai rakyat.



http://www.kl-today.com/2011/09/salinan-laporan-ditampal-di-pejabat-utusan/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...