KUALA LUMPUR, 6  Okt: Penyanyi irama dangdut, Iwan, menyeru rakan-rakan artisnya supaya  segera berubah bagi mendapatkan keampunan Allah.  
Menurut beliau,  artis-artis yang ingin berubah tidak sepatutnya melengah-lengahkan keinginan itu  supaya dengan itu mereka akan menjadi lebih dekat kepada Allah SWT. 
Katanya, perubahan para artis ke arah yang lebih baik merupakan satu  perkara yang penting bagi membolehkan mereka bersama-sama umat Islam lain  melakukan perubahan ke arah yang lebih baik pula terhadap  masyarakat.
"Marilah kita bersama-sama kembali kepada Allah, kembali  kepada fitrah, inilah yang lebih baik. Kalau nak menyanyi tu menyanyilah  lagu-lagu yang boleh memberikan manfaat kepada kita dan kepada peminat-peminat  kita," katanya ketika ditemui Harakahdaily di sini, malam tadi. 
Menurut  beliau, perubahannya berpunca dari banyak sebab dan beliau bersyukur kepada  Allah kerana telah memberikan kesempatan kepadanya untuk berfikir supaya  berubah.
"Tapi yang pentingnya bagi saya, saya bersyukur dalam keadaan  saya sekarang yang lebih tenang dan lebih suka untuk lebih mendekatkan diri  kepada Allah SWT," katanya.
Iwan yang mula kelihatan berubah sejak 5  tahun lalu berkeupayaan memperlihatkan perubahan yang ketara pada diri dan  kehidupannya sejak 2 tahun lalu dan beliau bersyukur kepada Allah kerana  diberikan sokongan padu oleh para peminatnya.
Beliau yang kini lebih  suka menyanyikan lagu-lagu yang berkonsepkan nasyid turut menghasilkan sebuah  album seperti itu yang diberi judul Segalanya Allah. 
"Alhamdulillah,  saya lebih senang menyanyikan lagu-lagu seperti ini. Saya tak segan-segan untuk  menyanyikan lagu-lagu ini," jelas beliau ketika ditemui sempena kunjungannya ke  Markas PAS Taman Melewar, di sini, malam tadi bagi mengadakan persembahan pada  program Rapat Rakyat anjuran PAS Kawasan Batu.   
Kepada  peminat-pemintanya, beliau tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih kerana  memberian sokongan yang padu terhadap album tersebut.
'Doakan saya untuk  saya selalu beristiqamah dengan lagu-lagu macam ini untuk anda semua. Harapan  saya dengan lagu-lagu macam ini juga dapat mendorong masyarakat untuk  mendekatkan diri kepada Allah. 
"Tujuan saya supaya apabila lagu-lagu  ini sampai ke telinga orang, khususnya peminat-peminat saya yang masih tenggelam  dalam arus dunia seperti saya dulu, kita sama-sama melakukan perubahan yang  lebih baik ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT," ujarnya.
Album  Segalanya Allah mengandungi 10 buah lagu. Kesemua lagu dan liriknya dicipta oleh  Iwan sendiri. Album tersebut telah berada di pasaran sejak 2 bulan lalu. 
Menerusi kemunculan album terbarunya itu, beliau yang sebelum ini hanya  dikenali dengan Iwan turut melakukan perubahan terhadap namanya dengan menamakan  dirinya sebagai Iwan Syahman.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5832-iwan-seru-rakan-artis-berubah-
 
 
No comments:
Post a Comment