Friday, June 26, 2009

Gara-gara cemburu

Oleh Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Disebabkan cemburu buta, seorang lelaki yang tinggal berasingan dengan isterinya akibat berselisihan faham dipercayai mengupah sekumpulan samseng untuk membelasah anak angkat wanita berkenaan, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, sekumpulan samseng datang ke rumah mangsa berusia 42 tahun itu di Jalan Kubang Badak di sini.

Ketika itu, mangsa, seorang pengurus pusat asuhan kanak-kanak, bersama anak angkatnya berusia 26 tahun serta dua lagi anak kandung.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan berkata, kumpulan lelaki itu dipercayai diupah suami wanita terbabit yang tinggal di Taman Permin, Chendering, di sini, selepas mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan anak angkat berkenaan yang juga pekerjanya.

Menurutnya, kumpulan samseng itu menceroboh rumah terbabit sebelum membelasah mangsa tanpa belas kasihan.

Katanya, tindakan ganas mereka menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan patah beberapa batang gigi.

Beliau berkata, lebih kejam lagi, mangsa turut disumbat ke dalam but kereta mereka dan membawanya ke satu lokasi rahsia.

“Apabila tiba di lokasi berkenaan, kumpulan samseng berkenaan mengeluarkan pisau lalu menghiris jari mangsa. Akibat tidak tahan diperlakukan demikian, mangsa cuba berunding, termasuk menawarkan ganjaran lumayan jika membebaskannya.

Menyedari habuan bakal diterima berganda berbanding ditawarkan suami mangsa, samseng berkenaan bersetuju melepaskannya dan menetapkan lokasi pertemuan untuk mengutip bayaran sebelum membebaskan mangsa kira-kira jam 4 pagi,”
katanya.

Tindakan bijak mangsa memaklumkan kejadian itu kepada polis membolehkan sepasukan anggota memasang perangkap untuk memberkas seorang daripada penyerangnya berusia 38 tahun yang datang untuk mengambil wang habuan di Jalan Bukit Kecil, di sini, kira-kira jam 11.40 pagi kelmarin.

Katanya, berikutan kejadian itu, mangsa membuat aduan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 1.20 tengah hari kelmarin, manakala mangsa pula menerima rawatan pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Beliau berkata, suami mangsa yang bimbang rahsianya mengupah samseng berkenaan terbongkar sudah menghilangkan diri.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran sekiranya mengetahui lokasi lelaki terbabit bersembunyi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 148, 324 dan 325 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memiliki senjata maut dalam rusuhan, dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya dan sengaja menyebabkan kecederaan parah.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090626071434/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...