Tuesday, November 1, 2011

PPSMI TIDAK JAMIN MALAYSIA MAJU

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 1ST, 2011

Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali (gambar) berkata dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjamin Malaysia menjadi negara maju.“Dasar Kerajaan Umno ini , bila ada menteri datang, ada saja dasar baru dan ini akan merosakkan masa depan anak bangsa kita. Ini kerana kita dari awal lagi menegaskan bahawa dasar ini sebenarnya tidak akan menjamin Malaysia menjadi sebuah negara maju,”

“Negara maju seperti Jepun, Korea dan Jerman (contohnya) tidak mengajar subjek dalam Inggeris, malah mempertahankan bahasa ibunda mereka,” kata Azmin ketika ditemui di parlimen semalam.

Mengulas tentang Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Malaysia (Page) yang tidak bersetuju dengan pemansuhan dasar tersebut, beliau berkata kerajaan perlu berbincang dengan badan itu.

“Saya kira kementerian mesti bertanggungjawab untuk bertemu dengan semua pihak. Ini kerana sebarang perancangan dasar mestilah dibuat secara terperinci, tidak tergesa-gesa dan bukan kerana kepentingan politik tetapi kepentingan anak bangsa,

“Kita mesti hormati pandangan mereka namun jika perancangan ini dibuat dari awal, supaya ada pertimbangan bagaimana dasar-dasar baru hendak dilaksanakan. Saya kira mereka boleh menerimanya,” kata Azmin.

Menurut ahli Parlimen Gombak terdapat satu kajian dari Unesco bahawa untuk menjadi sebuah negara maju dalam teknologi dan sains, mata pelajaran seperti Matematik dan Sains perlu diajar dalam bahasa ibunda.

Azmin turut membidas pimpinan Umno kerana perlaksanaan terburu-buru PPSMI yang hanya untuk mewujudkan kontrak bagi kroni mereka, sebelum dasar itu ditarik balik.

Menurutnya lagi, dasar itu juga dibuat tanpa perancangan yang teliti seperti guru yang tidak cekap dan terlatih.

“Perlaksanaan dasar dalam negara sentiasa dibuat tergesa-gesa tanpa perbincangan menyeluruh terutamanya dengan pihak yang mempunyai kepakaran,”kata beliau.

http://www.kl-today.com/2011/11/ppsmi-tidak-jamin-malaysia-maju/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...