Wednesday, June 10, 2009

Ubah suai slip deposit cek

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini pemilik dan pengguna buku cek dinasihati berwaspada berikutan muncul sindiket ‘getah pemadam ajaib’ yang mampu menukar nama untuk melesapkan wang mangsa, kini satu lagi taktik terbaru dikesan iaitu dengan menggunakan slip deposit cek.

Ini kerana, suspek didakwa ‘membantu’ mendepositkan semua cek yang dicuri sebelum mengambil slip depositnya untuk diubah suai.

Cek terbabit dicuri suspek selepas diposkan pembeli yang membuat pesanan dari mana-mana syarikat kebiasaannya membabitkan pembelian barangan elektronik.

Dalam kes terbaru, seorang pengarah urusan syarikat pembekal peralatan kamera, C H Low, 42 mendakwa hampir kerugian RM400,000 apabila berurusan dengan seorang ‘pelanggan’ baru yang membuat pesanan membeli sejumlah kad memori dari syarikatnya.

Menurut Low, seperti kebiasaan, pelanggan tetapnya akan membuat pesanan menerusi talian dan syarikatnya akan menghantar pesanan terbabit sebelum bayaran berbentuk cek akan dipos kepadanya.

“Namun, dalam kejadian dua minggu lalu, suspek dipercayai mencuri cek yang dalam perjalanan untuk dihantar ke syarikat saya dan menggunakan teknologi canggih mengimbas slip deposit bank terbabit sebelum mengubahsuainya.

“Suspek kemudian datang ke syarikat dan menuntut barangan yang ‘dibeli’ bernilai RM3,000 dengan slip deposit yang ditukar nama dan bank, namun mengekalkan nombor cek itu.


“Berjaya dengan penipuan pertama, tidak lama selepas itu, suspek datang sekali lagi ke syarikat saya di Petaling Jaya dan menuntut pembeliannya dengan menunjukkan slip deposit cek RM42,000,” kata Low sewaktu ditemui di Biro Pengaduan Awam di sini, semalam.

Menurut Low, bagi kedua-dua pembayaran itu, pekerja syarikatnya hanya mengesahkan pembayaran yang dilakukan suspek dengan menghubungi pihak bank dan menjadikan nombor cek sebagai rujukan.

“Apabila dirujuk menggunakan nombor terbabit, pihak bank memaklumkan yang bayaran itu dibuat dan pembayaran terbabit sebenarnya merujuk kepada nombor cek pelanggan tetap,” katanya yang mendapati kehilangan stok barangan jualan yang tidak seimbang dengan pembayaran yang diterima.

Low kemudian mula mencurigai pelanggan barunya itu kerana kerap memesan barangan sama dalam tempoh singkat.

“Tidak lama selepas itu, suspek sekali lagi membuat pesanan kad memori dan kali ini dengan jumlah yang lebih banyak membabitkan pembayaran RM350,000.

“Kerana curiga dengan suspek yang kerap menghubungi syarikat bertanyakan pesanan serta menawarkan harga lebih tinggi ke atas barangan terbabit, saya bersama pekerja memasang perangkap dan menunggunya datang ke pejabat untuk mengambil barang yang dipesan,”
katanya.

Sebaik suspek yang berpakaian seperti seorang usahawan serta memandu kereta mewah itu tiba di pejabatnya, Low menahan dan menemui ratusan cek yang dicuri dalam beg yang dibawanya.

“Suspek mengaku mengubah suai slip deposit cek terbabit dan dia diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan penahanan terbabit.

“Suspek yang berusia 30-an itu masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau sebatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090610055412/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...