Friday, July 24, 2009

Peniaga sambilan mengaku samun pelajar warga Indonesia

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyamun seorang pelajar warga Indonesia sebanyak RM7,000, minggu lalu.

Mohd Fairuz Sa’adom, 24, bagaimanapun mengaku bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Mohamad Sakeri Mamat.

Tertuduh yang juga peniaga sambilan didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, menyamun Irvan Fauzi Syahputra, 18, dengan bersenjatakan pisau di sebuah rumah di Lot 146, Jalan Keramat, Sentul, jam 4.30 petang, 16 Julai 2009.


Berdasarkan kertas pertuduhan, antara barang yang disamun dari Irvan yang tinggal di rumah abangnya ketika itu ialah sebuah komputer riba, telefon bimbit, sebuah dekoder jalur lebar, tiga kamera dan beberapa pakaian yang nilai semuanya kira-kira RM7,000.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan hari ini untuk sebutan semula kes.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...