Monday, December 1, 2008

Terkejut terbeli kereta potong

Oleh AZIZI MAJID
berita@kosmo.com.my



VERNON (kiri) bersama Michael Chong pada sidang akhbar di Wisma MCA, Jalan Ampang semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Malang menimpa seorang juruteknik, Vernon Ernest Tan, 27, apabila dia bukan sahaja terbeli sebuah kereta potong dan tidak boleh dipakai, malah turut disaman pihak bank kerana gagal melunaskan pinjaman kereta tersebut.

Menurut Vernon, dia telah membeli kereta tersebut iaitu Honda Civic terpakai bernilai RM41,000 daripada seorang jurujual di Johor Bahru pada November 2005.

Namun ujarnya, kira-kira sebulan kemudian, ketika dia menghantar keretanya itu untuk dicat baru, pihak kedai memberitahu bahawa kereta tersebut terdapat kesan potong di bahagian tengahnya.

"Saya pelik kerana sebelum kereta itu diserahkan kepada saya, jurujual terbabit ada memberikan kepada saya surat kelulusan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Kuala Lumpur.

"Saya yang tidak puas hati kemudiannya terus membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru pada 6 Disember 2005," katanya ketika ditemui di Wisma MCA di Jalan Ampang semalam.

Tambah Vernon yang berasal dari Johor Bahru, dia yang tidak berpuas hati kemudiannya menghantar kereta itu ke Puspakom di Johor Bahru sehari selepas membuat laporan polis berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan ujian pemeriksaan di Puspakom mengesahkan kereta tersebut gagal ujian pemeriksaan dan tidak boleh digunakan di jalan raya kerana casisnya disambung.

"Saya kemudian berjumpa semula dengan jurujual terbabit tetapi dia enggan bertanggungjawab," katanya.

Mangsa tambah tertekan apabila pihak bank menyamannya kerana tidak menjelaskan pinjaman bank selain jurujual tersebut sudah menghilangkan diri.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, dia akan membawa kes tersebut kepada menteri yang berkenaan.

"Jika surat Puspakom kali pertama itu adalah tulen dan dikeluarkan pihak terbabit, saya mahu tahu bagaimana pemeriksaan kali pertama boleh lulus," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...