Friday, November 21, 2008

Jalani hidup selama 118 hari tanpa jantung


SIMMONS (kiri) menangis ketika menceritakan kisah hidupnya tanpa jantung di Pusat Perubatan Miami/Jackson, Amerika Syarikat kelmarin. - REUTERS

--------------------------------------------------------------------------------

MIAMI – Seorang remaja berumur 14 tahun, D’Zhana Simmons di Amerika Syarikat (AS) berjaya hidup hampir empat bulan tanpa jantung, kata beberapa doktor kelmarin.

Bagaimanapun, Simmons hidup dengan bantuan satu mesin pengepam darah tiruan khas sehingga dia mampu menjalani pembedahan pemindahan jantung.

Sebelum ini terdapat kes yang sama di Jerman di mana seorang pesakit dewasa hidup selama sembilan bulan tanpa jantung.

Bagaimanapun, pasukan doktor di Miami percaya Simmons merupakan budak pertama hidup tanpa jantung untuk tempoh yang lama.

Simmons yang berasal dari South Carolina berkata, pengalaman hidup tanpa jantung sangat menakutkan.

“Anda tidak tahu bilakah mesin ini akan rosak,” katanya dalam satu sidang media di Universiti Miami.

Simmons mengalami satu penyakit jantung di mana jantungnya menjadi lemah dan membesar serta tidak mampu mengepam darah dengan lancar.

Dia menjalani pembedahan pemindahan jantung pada 2 Julai lalu tetapi organ baru itu gagal berfungsi dan terpaksa dikeluarkan.

Dua pam jantung yang direka oleh sebuah syarikat di California digunakan bagi membantu mengepam darah Simmons sehingga dia sihat dan bersedia untuk menjalani pembedahan jantung kedua pada 29 Oktober lalu.

“Gadis itu hidup selama 118 hari tanpa jantung dan pengedaran darahnya dibantu oleh dua pam berkenaan,” kata seorang doktor, Marco Ricci. – Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...