Beliau berkata kerajaan negeri memberi tempoh kira-kira tiga minggu kepada jabatan itu untuk menjalankan audit secara menyeluruh sebelum laporannya diumumkan kepada orang ramai.
"Buat masa ini kita telah beri jabatan audit tempoh dua ke tiga minggu dan sebab itu saya tunggu laporan itu.
"Bila ia siap kita akan benarkan laporan itu dibaca oleh orang ramai supaya kita dapat maklumat dan penjelasan tentang dakwaan tersebut.
"Selepas itu barulah tindakan yang sesuai diambil jika perlu," katanya dalam  sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Shah Alam  semalam.
Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan  Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus semalam yang mempersoalkan  mengenai pelantikan tiga syarikat oleh PKNS yang didakwa tidak mengikut  peraturan.
Menteri Besar sebelum ini dalam kenyataan media berkata  kerajaan negeri memutuskan untuk membekukan sementara semua aktiviti yang  membabitkan Jabatan Perhubungan Awam, PKNS sehingga laporan penuh audit  selesai.
Ini berikutan dakwaan beberapa pihak bahawa wujudnya salah guna  kuasa dan penyelewengan di bawah pentadbiran Pengurus Besar PKNS Othman  Omar.
Lima persatuan dan kesatuan dalaman PKNS juga dilaporkan turut  mendesak Abdul Khalid supaya menamatkan kontrak Othman yang didakwa  bertanggungjawab mengheret perbadanan itu ke dalam kancah  kontroversi.
Sementara itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan  menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku MIzan Zanal Abidin  pada Ahad ini dalam usaha pihaknya mendapatkan perhatian baginda berhubung isu  air.
"Kerajaan negeri telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan  kerajaan pusat dan syarikat konsesi termasuk menawarkan harga berpatutan untuk  proses pengambil alihan tetapi tidak mendapat kerjasama yang baik daripada  kedua-dua pihak ini.
"Kerajaan Selangor berharap isu air ini mendapat  perhatian Yang diPertuan Agong selaku Ketua Negara kerana kami berpendapat air  merupakan keperluan asas.
"(Ia) tidak sepatutnya diniagakan untuk memperkayakan beberapa individu serta  rakyat berhak untuk mendapat air pada harga yang berpatutan dan perkhidmatan  yang lebih cekap," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid  sekali lagi mengingatkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) supaya  tidak menyalahgunakan kos 20 meter padu air yang disubsidi oleh kerajaan  Selangor kepada rakyat menerusi Tabung Budi.
Beliau berkata Syabas  sepatutnya lebih menumpukan kepada memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat  seperti menyediakan air bersih dengan harga berpatutan yang boleh diminum  melalui air paip secara terus.
"Kalau itu dilakukan Syabas sudah cukup,  tidak payah buat kebajikan dengan ambil duit kerajaan negeri. Syabas bukan  syarikat politik tetapi adalah syarikat  perkhidmatan," katanya.
Tabung Budi dilancarkan Syabas pada 24 Ogos lepas  melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu  air bernilai RM11.40, yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor  setiap bulan, diserahkan kepada Syabas.
Wang kutipan itu kelak akan  disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak menerima 20 meter padu  air percuma bagi mendapatkan semula sambungan air bersih ekoran kegagalan mereka  membayar bil.
http://malaysiakini.com/news/149764
 
 
No comments:
Post a Comment