Sunday, January 18, 2009

Saman boleh dibatalkan - Suret

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my



PEGAWAI JPJ membantu penumpang menggunakan tali pinggang belakang dalam
operasi di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini. Gambar hiasan.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Saman terhadap mana-mana pemandu kenderaan persendirian yang dikenakan pihak berkuasa kerana kesalahan penumpang tidak memakai tali pinggang belakang dalam kenderaan yang tidak dilengkapi kemudahan itu boleh dibatalkan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh pembatalan saman itu boleh dibuat kerana kereta berkenaan masih belum dipasang dengan tali pinggang.

"Jika ada kenderaan yang belum dipasang tali pinggang belakang tetapi mereka telah disaman, itu bukan dasar kami kerana dasar kami ialah untuk saman mereka yang ada peralatan itu tetapi tidak memakainya.

"Kami janji akan batalkan saman itu. Ini a janji saya,"
katanya selepas menyempurnakan program penggalakan pemakaian topi keledar di kawasan luar bandar dan bandar di Plaza Tol Sungai Besi (arah selatan) semalam.

Suret memberitahu, pihaknya mendapat maklumat terdapat pemandu yang disaman pihak berkuasa kerana kesalahan tersebut sedangkan kereta mereka tiada peralatan tali pinggang belakang.

"Kita ada terima beberapa kes seperti ini di Johor dan Pulau Pinang.

"Jika ada pihak dianiaya atau tindakan salah diambil oleh segelintir pegawai yang tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan JKJR, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mereka (pemilik kenderaan) boleh merayu,"
katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...