Monday, May 4, 2009

GRO tua enggan taubat

Dua kali Halimah, 43, mengandung anak luar nikah dan keluar masuk rumah perlindungan tetapi dia masih kembali ke lembah noda.


HALIMAH mendakwa terdesak walaupun tahu kerja sebagai GRO berdosa.


HALIMAH Mohamad, 43, pernah menganggap dirinya sebagai wanita paling malang. Tidak lama dahulu, dek kerana perempuan lain, suaminya meninggalkan dia bersama empat orang anak yang masih kecil sehelai sepinggang.

Dia yang jatuh tersungkur ketika itu hanya memikirkan satu jalan mudah untuk mencari duit iaitu berhijrah ke Kuala Lumpur.

Berbekalkan foto anak-anaknya, ibu ini meninggalkan empat permata hatinya di bawah jagaan ibunya di Kedah dengan harapan dia mampu menitipkan kesenangan buat keluarganya apabila sampai di bandar raya.

“Saya datang ke Kuala Lumpur sekitar lewat 1990-an. Itulah kali pertama saya sampai di sini. Saya bekerja sebagai promoter di sebuah pusat beli-belah dengan gaji RM550 sebulan.

“Dua bulan kerja promoter, saya mula keluar malam dan masuk kelab dangdut dan karaoke, cari kerja kosong. Seminggu meninjau, saya tinggalkan kerja promoter dan mula kerja sebagai GRO setelah memikirkan kerja itu lebih mudah dan gajinya juga lumayan.

“Sebagai GRO, saya bekerja dari pukul 3 petang dan habis sekitar 2 pagi. Agak mewah juga hidup ketika itu, pakai kereta besar, tinggal pun di kondominium,” katanya.

Halimah yang kini mengandung lima bulan hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya masih lagi menjadi pelayan di kelab-kelab makan di sekitar Kuala Lumpur. Baginya, hamil bukan satu halangan besar yang boleh menyekatnya daripada terus bekerja.

“Saya hanya menemankan pelanggan menyanyi dan berhibur, saya bukan jenis GRO yang ‘mengangkang’ dan ikut pelanggan balik ke hotel, jadi tiada masalah walaupun perut ini memboyot.

“Ini adalah kali kedua saya mengandungkan anak luar nikah. Walaupun anak yang bakal lahir ini adalah anak haram, saya tak sampai hati nak gugurkan.

“Anak luar nikah saya yang pertama umurnya baru mencecah setahun. Selepas dua minggu lahir, saya serah pada keluarga angkat. Mungkin yang ini pun saya akan beri pada orang kerana saya tak mampu nak jaga mereka,” katanya.




Jelas Halimah, kedua-dua anak luar nikah yang dikandungnya adalah hasil hubungan sulit bersama dua teman lelakinya.

“Saya akui, walaupun pada usia 40-an, keinginan seks saya masih tinggi. Boleh dikatakan, seks adalah hidangan wajib saya hampir setiap hari.

“Sebab itu apabila didapati hamil, saya tidak hairan dan mahu terus ‘membelanya’,” kata Halimah.

Azam berhenti selepas bersalin

Ditanya mengapa dia tidak serik mengulang kesilapan yang sama, dengan tenang Halimah menjawab: “Siapa pun tidak mahu nasibnya jadi begini. Kalau boleh, saya pun tak mahu kotorkan diri saya tapi saya terdesak.

“Namun, saya sedar, dalam usia sebegini, saya sepatutnya sudah tinggalkan kelab malam dan dekatkan diri dengan Tuhan, tapi beri saya sedikit masa, lagipun tidak selamanya GRO itu akan sentiasa ‘laku’ bukan?” katanya.

Walaupun kedua-dua teman lelakinya tidak bertanggungjawab, dia sedikit pun tidak sedih kerana baginya kehidupannya sudah hancur apabila suaminya menjatuhkan talak padanya dahulu. “Selepas melahirkan anak dua tahun lepas, saya memang simpan niat nak bertaubat.

“Tetapi selepas habis pantang, saya mula berfikir, macam mana nak sara diri dan hantar duit ke kampung kalau tidak bekerja? Disebabkan kesempitan, saya terjebak semula ke gelanggang yang sama,” katanya.

Apabila didapati mengandung untuk kali kedua tanpa suami, kesedaran mula timbul dalam dirinya untuk insaf dan kembali ke pangkal jalan dan tekadnya kini, selepas bersalin, dia akan berhenti menjadi kupu-kupu malam.

“Kesedaran itu timbul apabila saya bertemu semula dengan pengelola di Rumah Sinar Salam baru-baru ini. Sebelum ini, saya tinggal di sana semasa menunggu kelahiran anak luar nikah yang pertama dan menjalani pantang.

“Kak Arfidah selalu menasihatkan saya tentang kehidupan yang lebih positif. Dulu ada juga azam nak berubah, tapi hangat-hangat saja.

“Namun apabila mengandung kali ini, timbul rasa yang sangat berdosa dan betapa hinanya saya di sisi Tuhan. Itu yang menjadikan saya nekad untuk tinggalkan terus kerja ni selepas bersalin nanti.

“Adakalanya saya sangsi apakah taubat saya ini akan diterima sedangkan sudah terlalu banyak dosa yang saya lakukan. Katakan apa saja, cuma membunuh saja yang saya tak buat. Saya berharap, masih ada sejalur sinar buat saya,” rintihnya.

Tiga daripada lima kes berulang

MENURUT Pengelola Rumah Sinar Salam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, Arfidah Ab. Latiff, 55, memang ada kes-kes berulang di kebanyakan rumah perlindungan khasnya bagi kes mengandung luar nikah.

“Boleh dikatakan setiap yang datang kepada kita belum tentu akan ‘bersih’ sepenuhnya. Jika ada lima wanita yang diberi perlindungan, tiga atau empat daripadanya akan datang semula dengan masalah baru.

“Kita tidak boleh menolak kerana bimbang mereka akan jadi lebih teruk.

“Sekurang-kurangnya di sini mereka ada tempat perlindungan dan mengisi masa lapang dengan pelbagai aktiviti yang mendekatkan mereka kepada Allah seterusnya menanamkan sikap positif dalam diri mereka,” katanya.

Rumah kebajikan Rumah Sinar Salam terletak di Chow Kit, Kuala Lumpur.


ARFIDAH mengaku wanita yang mencari perlindungan di Rumah Sinar Salam belum tentu akan 'bersih' sepenuhnya.


Tambah Arfidah, masalah kes berulang bukan sesuatu yang baru, sebab itu seluruh sistem masyarakat bertanggungjawab untuk membantu mereka kembali ke landasan yang sepatutnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Khalijah Yahaya pula berkata, kes berulang banyak melibatkan pelacur.

“Malah ada kes wanita berusia 40-an yang sudah lima kali mengandung anak luar nikah keluar masuk ke rumah perlindungan kami,” katanya.

Jelas Khalijah, punca utamanya adalah sikap suka bersuka ria dan mahu mendapat kemewahan dengan cara yang mudah. Mereka selalunya terlibat dalam kegiatan yang sama walaupun telah menjalani proses pemulihan sebelumnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Kisah ajaib influenza A

Seorang budak terselamat di sebalik seluruh penduduk kampungnya di Mexico maut akibat selesema babi hanya kerana satu perkara – suka mencuci tangan yang kotor.


WABAK influenza A mencemaskan rakyat Mexico.


SETIAP kali muncul apa sahaja musibah dahsyat, kita turut diselitkan dengan beberapa kejadian luar biasa yang dianggap terpencil tetapi unik. Tidak ketinggalan wabak influenza A yang sebelum ini dirujuk sebagai selesema babi atau swine flu.

Wabak yang diberi kod H1N1 itu juga mendedahkan sikap berwaspada segelintir masyarakat yang jarang dipedulikan tetapi berjaya menyelamatkan nyawa individu terbabit. Ironinya mereka yang berada di sekeliling insan itu maut dalam keadaan tragis.

Antaranya, kisah seorang budak lelaki di sebuah perkampungan di Mexico yang menjadi tumpuan pihak berkuasa sebagai kawasan bermula wabak maut itu. Kampung tersebut menempatkan ladang ternakan babi utama negara berkenaan.


MEMAKAI topeng hidung di semua pintu masuk negara boleh mengurangkan risiko dijangkiti virus selesema.








Perkara itu sempat diceritakan beberapa krew pesawat MH 095 Penerbangan Malaysia (MAS) dari Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada tengah hari Jumaat lalu.

Kumpulan 18 pramugari dan pramugara MAS itu memberitahu Kosmo! Ahad, sebelum bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX), media massa di AS bersaing mencari laporan menarik mengenai wabak itu.

Kebetulan California antara beberapa negeri di AS yang menjadi tumpuan kerana mencatatkan kes tertinggi influenza A dan kebetulan berjiran dengan wilayah Baja di Mexico yang teruk terjejas akibat penularan wabak tersebut.

Namun satu kisah yang dipaparkan stesen CNN sebaik saja wabak itu mula menjadi berita utama 25 April lalu cukup meruntun perasaan penonton. Pengajaran daripada kisah itu menyebabkan penduduk AS mula mengambil berat soal kebersihan.

Seorang pramugara yang memohon namanya tidak disiarkan malah berkata, kisah bagaimana budak itu terselamat di sebalik semua penduduk terkorban menyebabkan syarikat penerbangan mula melaksanakan prosedur pencegahan awal.

“Seorang demi seorang penduduk jatuh sakit secara misteri sebelum maut. Aspek kebersihan khasnya penjagaan diri memang tidak diutamakan masyarakat Mexico dan AS sendiri,” katanya yang kebetulan menonton siaran televisyen tersebut.

Hakikatnya wartawan CNN yang menjadi wakil media pertama dibenarkan memasuki kampung itu juga terkejut apabila mendapati kanak-kanak kecil tersebut mampu hidup kerana sikap positifnya dalam menjaga kebersihan terutama tangan.

“Dia suka basuh tangan jika mendapati tangannya kotor selepas bermain atau diselaputi habuk apatah lagi setelah menyentuh babi. Budak itu cepat-cepat mencuci kedua-dua tangannya waima kerana menutup hidung selepas bersin atau batuk,” katanya.

Akhirnya, budak ‘ajaib’ itu masih hidup dan disahkan langsung bebas dijangkiti wabak tersebut semasa ditemui pasukan kecemasan Mexico. Mereka hairan dan menganggap kisah disiplin budak itu sesuatu yang wajar dijadikan pengajaran.

Saringan ketat di KLIA

Bagaimanapun, langkah pencegahan diambil pihak berkuasa Malaysia sebaik penularan wabak selesema itu di KLIA turut mendapat pujian penumpang warga asing. Mereka bukan sahaja terkejut malah kagum dengan tahap siap siaga negara ini.

Jason Smith, 38, yang berkhidmat dengan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan antara lebih 300 penumpang MAS dari Los Angeles mendapati kerajaan Malaysia cukup peka dengan situasi penularan wabak H1N1 itu.

“Saya terkejut kerana di Los Angeles kami cuma melalui pengimbas haba badan tetapi di KLIA, kami disaring ketat. Mujurlah petugas di sini cekap bekerja dan proses pemeriksaan tidak mengambil masa yang terlalu lama,” jelasnya.

Pengalaman semasa benua Asia dilanda wabak selesema burung dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sedikit masa lalu nyata menjadikan kerajaan Malaysia lebih bersedia.


KECEKAPAN kakitangan kesihatan membuat saringan di KLIA melegakan penumpang.


Seorang lagi penumpang, Yusuf Ayub, 30, yang pulang ke Malaysia turut memuji tindakan pantas barisan hadapan KLIA itu bagi memastikan setiap penumpang dari AS berasa selesa dan yakin mereka tidak membawa wabak maut tersebut.

“Di Los Angeles, suasana agak normal seolah-olah tiada apa-apa berlaku namun di KLIA, proses saringan kesihatan menyebabkan para penumpang menyedari bahawa seluruh dunia ‘bertarung’ untuk keluar daripada wabak selesema itu,” katanya.

Beliau yang balik selepas dua minggu bercuti di AS juga bangga apabila mendapati setiap krew MAS diberi latihan bagaimana menangani wabak itu di dalam pesawat. Malah bekalan topeng hidung adalah lebih daripada mencukupi.

Pemuda jalin hubungan dengan nenek



MCNULTY



NOORUL


LONDON - Seorang peserta program realiti televisyen, The Apprentice, Noorul Choudhury menjalinkan hubungan dengan dua wanita bergelar nenek setelah mendakwa dirinya sebagai pakar bedah dalam sebuah laman web temu janji dewasa, lapor sebuah akhbar semalam.

Noorul dilapor menjalin hubungan intim dengan Lynn McNulty berumur 58 tahun yang sudah berkahwin selama 24 tahun serta mempunyai seorang anak lelaki dan seorang cucu.

Pemuda itu yang pernah menjadi guru sains turut menjalin hubungan dengan seorang lagi nenek, Lyn Bamforth, setelah mendakwa dirinya Dr. Nic yang merupakan seorang pakar bedah tulang.

Menurut McNulty, dia bertemu dengan Noorul yang berumur 33 tahun setelah melayari Internet.

Dalam Internet itu, Noorul menggambarkan dirinya sebagai lelaki muda yang memberahikan.

Bamforth yang berumur 50 tahun berkata, pemuda itu berbohong mengenai identiti, kerjaya dan menggunakan dirinya untuk tujuan seks sebelum memutuskan hubungan.

"Dia dihantui keinginan bersama dengan wanita tua," kata Bamforth. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Babi dijangkiti A H1N1

VANCOUVER - Beberapa ekor babi dijangkiti virus influenza A H1N1 daripada seorang warga Kanada yang menghidap virus itu setelah pulang bercuti di Mexico, kata beberap pegawai kelmarin.

Beberapa anggota keluarganya turut dijangkiti virus tersebut.

Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada berkata, kejadian itu tidak mengancam bekalan makanan.

Ternakan babi di wilayah Alberta itu mendapat virus selesema daripada lelaki tersebut.

"Seorang tukang kayu warga Kanada melawat Mexico. Dia mempunyai gejala selesema ketika pulang tetapi dia terus bekerja di sebuah ladang di Alberta.

"Keluarga dan sekawan babi itu kini sakit," kata Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan.

Ini adalah kes pertama Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada melaporkan virus daripada manusia yang menjangkiti babi di Kanada.

Agensi itu menyatakan semua babi sakit itu kini dikuarantin. - Reuters

Rumsfeld dikaitkan dengan ubat Tamiflu


UBAT Tamiflu digunakan untuk merawat penyakit influenza A H1N1.



RUMSFELD


WASHINGTON - Syarikat pengeluar ubat virus selesema Tamiflu kini dilanda kontroversi selepas bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Donald Rumsfeld dikaitkan mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Sebuah akhbar semalam melaporkan Rumsfeld yang merupakan bekas pengerusi syarikat itu enggan mengulas mengenai pegangan sahamnya dalam syarikat Gilead Sciences.

Syarikat itu menghasilkan ubat tersebut yang kini dicari oleh semua pihak di dunia untuk membendung wabak influenza A H1N1.

"Beliau (Rumsfeld) tidak membincangkan isu kewangan peribadi secara terbuka," kata seorang jurucakap Rumsfeld.

Bagaimanapun, jika Rumsfeld masih mempunyai saham dalam syarikat itu, beliau mungkin menerima faedah akibat permintaan tinggi ubat tersebut.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britian (NHS) membeli Tamiflu yang cukup untuk merawat dua pertiga daripada penduduk Britain.

Rumsfeld yang berkhidmat ketika era pentadbiran bekas Presiden George W. Bush sebelum ini dituduh berhadapan konflik kepentingan peribadi berikutan hubungannya dengan Gilead Sciences yang menjual hak pelesenaan kepada syarikat perubatan Switzerland, Hoffman-La Roche pada 1996.

Menurut perjanjian, Gilead yang diketuai Rumsfeld pada 1997 hingga 2001 masih menerima antara 14 hingga 22 peratus pendapatan daripada jualan pukal ubat-ubatan.

Saham Rumsfeld dalam Gilead meningkat dari jangkaan £3 juta (RM16 juta) kepada anggaran £17 juta (RM92 juta) akibat selesema burung.

Rumsfeld mendapatkan nasihat daripada peguamnya selepas berita mengenai pemilikan sahamnya dalam syarikat itu tersebar. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

50 warga Mexico dikurung


DUA pengawal keselamatan mengawal sebuah hotel yang didiami oleh warga Mexico di Beijing semalam.



DUTA Mexico ke China, Jorge Guajardo membantu mengangkat kotak plastik mengandungi makanan untuk dihantar kepada beberapa rakyatnya yang dikuarantin.


BEIJING - Pihak berkuasa China mengurung lebih 50 warga Mexico di beberapa buah hotel sebagai langkah kuarantin kerana bimbang penularan wabak influenza A H1N1, kata seorang pegawai kedutaan Mexico di sini semalam.

Menurut seorang pegawai kedutaan, Duta Mexico di China, Jorge Guajardo terpaksa pergi ke Hotel Guo Men di Beijing bagi menemui lebih 10 warga Mexico yang ditahan tetapi beliau tidak dibenarkan berjumpa mereka.

Warga Mexico yang diasingkan itu kebanyakannya ahli perniagaan dan pelancong.

Menurut seorang pegawai kedutaan, mereka ditempatkan di beberapa lokasi berbeza di China termasuk di Hong Kong.

Seramai 35 warga Mexico berada di Shanghai, enam di Guangzhou dan enam lagi di Hong Kong.

"Semua warga Mexico yang ditahan itu tidak mempunyai gejala influenza A H1N1 kecuali seorang lelaki yang ditahan di Hong Kong," kata pegawai itu.

"Langkah yang diamalkan oleh China itu adalah satu perbuatan diskriminasi. Kementerian Luar mengesyorkan rakyat Mexico membatalkan lawatan mereka ke China sehingga langkah itu dibetulkan," kata Menteri Luar Mexico, Patricia Espinosa.

Espinosa kelmarin mengkritik Beijing kerana mendakwa rakyatnya diasingkan walaupun mereka tidak menunjukkan gejala selesema.

Perbalahan itu mengancam hubungan dua hala namun Beijing menyatakan tindakannya berasas dan sah di sisi undang-undang.

Lebih 100 kematian suspek virus H1N1 berlaku di Mexico manakala 19 adalah kes positif.

Mexico mengurangkan bilangan yang meninggal dunia akibat virus tersebut itu berbanding 176 kematian yang dilaporkan sebelum ini.

Kementerian Luar China tidak memberi ulasan berhubung kritikan Espinosa.

Bagaimanapun, seorang jurucakap kerajaan tempatan di Shanghai, Chen Qiwei berkata, tindakan China itu sejajar dengan peruntukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jumlah populasi China yang melebihi angka 1.2 juta itu menyukarkan pengawalan penularan virus berikutan keadaan infrastruktur kesihatan yang tidak baik.

Sementara itu di Kaherah, pihak berkuasa Mesir berkata, pasukan polis terpaksa melepaskan tembakan ke udara dan gas pemedih mata ke arah pemilik babi yang menghalang pekerja kerajaan daripada menghapuskan haiwan tersebut.

Seramai 12 orang cedera dalam kejadian di Manshiyet Nasr iaitu sebuah kawasan setinggan.

Mesir mengarahkan semua 300,000 babi di negara itu dimusnahkan walaupun belum ada kes influenza dikesan di negara itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Suami tangkap isteri jual diri RM50

KUALA TERENGGANU - Kegiatan seorang isteri melacurkan dirinya terbongkar apabila dicekup suaminya di dalam sebuah bilik hotel di Pulau Kambing dekat sini kelmarin.

Berang dengan 'kegiatan gelap' isterinya, lelaki berusia 35 tahun telah menyerang isterinya yang berusia 20-an dan seorang peniaga ikan berusia 42 tahun yang melanggan isterinya ketika itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, peniaga ikan itu mendakwa hubungannya dengan wanita itu telah terjalin awal tahun ini selepas dia dihubungi wanita itu yang menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM50.

"Peniaga ikan itu memberitahu, kali pertama hubungan terjalin apabila dia membawa wanita itu ke sebuah resort di Merang, Setiu.

"Selepas itu mereka tidak berjumpa lagi sehinggalah wanita itu menghubunginya semula Khamis lalu sebelum mereka menempah sebuah bilik di Pulau Kambing pada hari Jumaat," kata beliau.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Warga NZ negatif H1N1 - Malaysia masih bebas wabak berbahaya


TIGA penumpang pesawat memakai penutup hidung selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang semalam.


KUALA LUMPUR - Ujian sampel tekak yang diambil daripada warga New Zealand yang mengadu kurang sihat di Hospital Pulau Pinang (HPP) kelmarin disahkan negatif influenza A (H1N1), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menerima sampel itu dari Hospital Pulau Pinang pada 10.30 malam kelmarin dan telah menjalankan kajian terhadap sampel itu sehingga pukul 5.30 pagi semalam.

"IMR telah menjalankan tugas dengan rapi dan sampel telah diproses dengan cepat supaya rakyat boleh segera tahu hasilnya,'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke IMR semalam.

Warga New Zealand berumur 45 tahun itu dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang pada 25 April lepas. Pada 1 Mei dia dilaporkan demam dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Pulau Pinang sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang sebagai langkah berjaga-jaga berikutan wujud kes influenza di New Zealand.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Tiada sambutan kemerdekaan tahun ini




KUALA LUMPUR - Jika anda berniat untuk merasai kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 pada tengah malam 31 Ogos nanti, mungkin hasrat itu terpaksa dilupakan seketika atau sekurang-kurangnya sehingga 2011.

Ia kerana acara yang dirai penuh meriah itu pada setiap 31 Ogos itu buat julung kalinya tidak disenaraikan di dalam kalendar rasmi perayaan Bulan Kemerdekaan pada Ogos sehingga September ini.

Sebaliknya, menurut laman web Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, beberapa acara bercorak keagamaan bakal disusun bagi mengisi program sambutan kemerdekaan negara yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadan.

Apa yang menarik, jadual beberapa acara sempena perayaan kemerdekaan negara kali ini juga dianjak lebih awal oleh Cawangan Acara dan Protokol, Bahagian Pengurusan Acara di kementerian tersebut sebagai menghormati bulan Ramadan.

Antaranya ialah Sayembara Puisi Merdeka di Ipoh pada 13 Jun, Pertandingan Kuiz Kemerdekaan 2009 di Melaka pada 9 Julai dan Pertandingan Akhir Debat Kemerdekaan Ala Parlimen di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai pada 18 Ogos.

Bulan Kemerdekaan yang pada kebiasaannya bermula dari 17 Ogos hingga 16 September turut tiada dalam kalendar acara anjuran kementerian itu kali ini.

Ia sebaliknya diganti dengan Majlis Semarak Ramadan dan Gema Aidilfitri.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Tanggung hutang kerana ikan keli


Dari kiri, Nazri, Megat Al-Jamal, Nurhisyam dan Megat Al-Azzuhri menunjukkan laporan polis dan keratan akhbar di pejabat Sekretariat Pembelaan Umno di Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Janji kosong seorang pengerusi sebuah syarikat penternakan ikan keli menyebabkan hasrat empat lelaki untuk bergelar usahawan berkubur.

Pengerusi syarikat itu didakwa bukan sahaja memberi janji manis kepada empat mangsa itu bagi membekalkan segala keperluan selepas menerima bayaran sebanyak RM163,000 malah memberikan pelbagai alasan setiap kali ditanya berhubung perkara itu.

Sejak empat bulan lalu, pengerusi syarikat itu kerap memberitahu, dia akan menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh dua minggu.

Bagaimanapun, sehingga sekarang bukan saja pengerusi syarikat itu belum menunaikan janjinya malah mereka tidak terdaya lagi untuk menanggung beban hutang membuat pinjaman.

Seorang mangsa, Nazri Samsudin, 37, berkata, berdasarkan pelan asal, syarikat itu memberitahu segala peralatan dan benih ikan hanya mengambil masa beberapa minggu sahaja untuk diserahkan kepadanya.

Bagaimanapun, ceritanya, sehingga kini beliau belum menerima apa-apa peralatan bagi menternak ikan malah sudah bosan dengan janji pengerusi syarikat itu.

Menurutnya, beliau terpikat dengan kebolehan syarikat tersebut selepas terbaca mengenainya di dalam sebuah akhbar tahun lalu.

Lebih meyakinkannya apabila syarikat itu juga telah menganjurkan banyak kursus penternakan yang turut disokong oleh sebuah bank tempatan.

Selain itu, dakwa Nazri, syarikat yang beroperasi di Lembah Klang itu juga telah menandatangani perjanjian bersama dengan sebuah agensi kerajaan dalam bidang penternakan ikan.

"Saya kini amat tertekan kerana perlu membayar hutang bank kira-kira RM600 sebulan," katanya ketika ditemui di Sekretariat Pembelaan Putera UMNO di Jalan Kampung Attap di sini baru-baru ini.

Beliau yang berasal dari Pantai Remis, Perak sebelum ini bekerja sebagai pembaik pulih kapal di Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan berhenti semata-mata mahu menjadi usahawan selepas membuat pinjaman daripada Mara sebanyak RM47,000.

Seorang lagi mangsa, Nurhisyam Noordin, 32, juga dari Pantai Remis berkata, sebaik membaca mengenai syarikat tersebut dalam akhbar, beliau telah menyertai kursus yang dijalankan oleh syarikat itu di Lembah Klang pada April tahun lalu.

Menurutnya, selepas itu beliau membuat pinjaman sebanyak RM47,000 untuk mendapatkan bekalan peralatan dan benih ikan keli dari syarikat tersebut.

"Sebaik menyerahkan wang kepada pengerusi syarikat itu pada November tahun lalu, saya dijanjikan akan menerima segala peralatan menternak ikan dalam tempoh 30 hari di tempat saya di Pantai Remis.

"Tetapi sehingga sekarang saya belum menerima apa-apa dan apabila cuba dihubungi pengerusi syarikat itu memberi pelbagai alasan serta gagal dikesan walaupun saya telah pergi ke pejabatnya," katanya.

Tambahnya, keadaan kini bertambah buruk apabila pengerusi syarikat itu juga enggan menjawab panggilannya telefon.

Seorang lagi mangsa, Megat Al-Azzuhri Megat Jamal Al-Arif, 32, berkata, beliau dan adiknya, Megat Al-Azzumar Fatzill, 30, kerugian RM69,000 apabila wang tersebut dilarikan oleh pemilik syarikat tersebut.

"Kami terpaksa menanggung hutang dengan sebuah agensi kerajaan kerana perbuatan syarikat itu.

"Kami hanya mahu menjalankan perniagaan dan merayu mereka memberikan segala peralatan dan benih ikan supaya kemelut ini berakhir," katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...