Monday, May 4, 2009

Tanggung hutang kerana ikan keli


Dari kiri, Nazri, Megat Al-Jamal, Nurhisyam dan Megat Al-Azzuhri menunjukkan laporan polis dan keratan akhbar di pejabat Sekretariat Pembelaan Umno di Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Janji kosong seorang pengerusi sebuah syarikat penternakan ikan keli menyebabkan hasrat empat lelaki untuk bergelar usahawan berkubur.

Pengerusi syarikat itu didakwa bukan sahaja memberi janji manis kepada empat mangsa itu bagi membekalkan segala keperluan selepas menerima bayaran sebanyak RM163,000 malah memberikan pelbagai alasan setiap kali ditanya berhubung perkara itu.

Sejak empat bulan lalu, pengerusi syarikat itu kerap memberitahu, dia akan menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh dua minggu.

Bagaimanapun, sehingga sekarang bukan saja pengerusi syarikat itu belum menunaikan janjinya malah mereka tidak terdaya lagi untuk menanggung beban hutang membuat pinjaman.

Seorang mangsa, Nazri Samsudin, 37, berkata, berdasarkan pelan asal, syarikat itu memberitahu segala peralatan dan benih ikan hanya mengambil masa beberapa minggu sahaja untuk diserahkan kepadanya.

Bagaimanapun, ceritanya, sehingga kini beliau belum menerima apa-apa peralatan bagi menternak ikan malah sudah bosan dengan janji pengerusi syarikat itu.

Menurutnya, beliau terpikat dengan kebolehan syarikat tersebut selepas terbaca mengenainya di dalam sebuah akhbar tahun lalu.

Lebih meyakinkannya apabila syarikat itu juga telah menganjurkan banyak kursus penternakan yang turut disokong oleh sebuah bank tempatan.

Selain itu, dakwa Nazri, syarikat yang beroperasi di Lembah Klang itu juga telah menandatangani perjanjian bersama dengan sebuah agensi kerajaan dalam bidang penternakan ikan.

"Saya kini amat tertekan kerana perlu membayar hutang bank kira-kira RM600 sebulan," katanya ketika ditemui di Sekretariat Pembelaan Putera UMNO di Jalan Kampung Attap di sini baru-baru ini.

Beliau yang berasal dari Pantai Remis, Perak sebelum ini bekerja sebagai pembaik pulih kapal di Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan berhenti semata-mata mahu menjadi usahawan selepas membuat pinjaman daripada Mara sebanyak RM47,000.

Seorang lagi mangsa, Nurhisyam Noordin, 32, juga dari Pantai Remis berkata, sebaik membaca mengenai syarikat tersebut dalam akhbar, beliau telah menyertai kursus yang dijalankan oleh syarikat itu di Lembah Klang pada April tahun lalu.

Menurutnya, selepas itu beliau membuat pinjaman sebanyak RM47,000 untuk mendapatkan bekalan peralatan dan benih ikan keli dari syarikat tersebut.

"Sebaik menyerahkan wang kepada pengerusi syarikat itu pada November tahun lalu, saya dijanjikan akan menerima segala peralatan menternak ikan dalam tempoh 30 hari di tempat saya di Pantai Remis.

"Tetapi sehingga sekarang saya belum menerima apa-apa dan apabila cuba dihubungi pengerusi syarikat itu memberi pelbagai alasan serta gagal dikesan walaupun saya telah pergi ke pejabatnya," katanya.

Tambahnya, keadaan kini bertambah buruk apabila pengerusi syarikat itu juga enggan menjawab panggilannya telefon.

Seorang lagi mangsa, Megat Al-Azzuhri Megat Jamal Al-Arif, 32, berkata, beliau dan adiknya, Megat Al-Azzumar Fatzill, 30, kerugian RM69,000 apabila wang tersebut dilarikan oleh pemilik syarikat tersebut.

"Kami terpaksa menanggung hutang dengan sebuah agensi kerajaan kerana perbuatan syarikat itu.

"Kami hanya mahu menjalankan perniagaan dan merayu mereka memberikan segala peralatan dan benih ikan supaya kemelut ini berakhir," katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...