Monday, May 4, 2009

Tiada kes baru H1N1 di Asia


KAKITANGAN kesihatan menyembur bahan kimia di stesen kereta api bawah tanah di bandar raya Mexico, kelmarin.

Penyebaran virus maut dipercayai mungkin semakin perlahan

HONG KONG: Asia melaporkan tiada kes baru Influenza A (H1N1) disahkan semalam, menunjukkan penyebaran virus mungkin semakin perlahan, namun 350 orang masih dikuarantin di hotel pinggir Hong Kong sebagai langkah berjaga-jaga. 

Pihak berkuasa di Mexico, lubuk utama penyakit itu, membayangkan kelmarin bahawa epidemik itu semakin berkurangan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengambil keputusan untuk tidak menaikkan amarannya, walaupun pihak berkuasa memberi amaran penduduk supaya tidak membiarkan keyakinan mereka punah.

Virus itu mengorbankan 19 orang di Mexico dan seorang di Amerika Syarikat serta menyebabkan beratus yang lain jatuh sakit. 

Hong Kong dan Korea Selatan masing-masing mengesahkan satu kes virus itu sebelumnya pada hujung minggu, pertama di benua ini, mencetuskan amaran di rantau yang sebelum ini diburukkan dengan sindrom pernafasan yang teruk (SARS) dan wabak selesema burung. Kedua-dua kes dijangkiti mereka yang baru-baru ini berkunjung ke Mexico. 

Hong Kong – yang dikritik kerana lewat mengenakan langkah kuarantin ketika wabak SARS, berikutan masa virus tersebar, menutup Hotel Metropark, di mana seorang pelancong Mexico yang sakit menghalang 350 tetamu dan kakitangan di dalamnya. Lelaki berusia 25 tahun itu tiba di tanah jajahan terbabit tengah hari Khamis lalu selepas berhenti di Shanghai. Dia berada dalam keadaan stabil.

Semalam, kira-kira enam pegawai polis memakai topeng berkawal di depan hotel dan pekerja membersihkan bahagian belakang bangunan. Thomas Tsang, pengawal Pusat Perlindungan Kesihatan Hong Kong berkata semua 350 orang di hotel itu dalam keadaan sihat. 

Seorang tetamu, James Parer dari Brisbane, Australia memberitahu The Associated Press dalam temuramah telefon tiada tanda kekacauan di hotel itu semalam, walaupun beberapa pelancong Barat mengadu mengenai sarapan – roti bun ala China diisi daging babi barbeku. Beliau berkata tetamu disediakan hidangan babi bersama nasi untuk makan malam kelmarin. 

"Semua orang tinggal di dalam bilik mereka," kata Parer, 38, yang melawat Hong Kong untuk menghadiri pameran perdagangan, menambah bahawa tetamu tiada tempat untuk berkumpul di dalam hotel kerana restorannya sudah ditukar menjadi medan ujian perubatan. 

Pihak berkuasa jajahan serta di tanah besar China dan Taiwan segera mengesan penumpang yang tiba dengan penerbangan sama seperti pelancong yang sakit serta pemandu teksi yang membawanya di Hong Kong.

Beijing mengkuarantin semua 128 penumpang dalam penerbangan yang tinggal di tanah besar, menurut media tempatan China. Bagaimanapun, tiada kes baru disahkan. China juga memberi maklum balas dengan menghentikan semua penerbangan terus dari Mexico. 

Sebuah pesawat sewa khas Southern Airlines China berlepas malam semalam untuk membawa pulang 120 warga China dari Mexico, kata penyiar tempatan CCTV. 

Pihak berkuasa di negara Amerika Latin itu tersinggung dengan sesetengah langkah tegas itu. Menteri Luar Mexico Patricia Espinosa mengadu bahawa China mengasingkan warga Mexico tanpa sebab sebagai tambahan menggesa rakyat Mexico supaya tidak berkunjung ke China. 

"Ia adalah langkah mendiskriminasi," katanya. 

Pakar berkata masih terlalu awal untuk mengenal pasti berapa luas wabak itu sudah tersebar. 

Pakar penyakit berjangkit Hong Kong, John Simon berkata lelaki yang jatuh sakit selepas tiba di Hong Kong mungkin tidak berbahaya di atas pesawat kerana dia masih belum sakit, namun memberi amaran bahawa orang lain yang mungkin dijangkitinya masih boleh melakukan pengeraman virus. 

"Masih terlalu awal untuk diberitahu," kata Simon. "Tidak mustahil lelaki ini mungkin menjangkiti dua atau lebih orang." – AP

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Dunia/20090503225549/Article/indexworld_html

Flu babi membuat krisis Amerika semakin parah

Isnin Mei 4, 2009

KRISIS ekonomi belum berakhir, bahkan bisa dibilang baru saja mulai, AS sudah harus menghadapi krisis yang lainnya: flu babi. Ketakutan bermunculan di sana-sini di seantero negeri. Sementara travel warning untuk berpergian ke AS pun dikeluarkan berbagai negara-negara, suatu kondisi yang tentu saja dalam sekejap melemahkan pendapatan AS dalam sektor devisa dan turisme.

The Wall Street Journal melaporkan bahwa dalam beberapa pekan terakhir ini wajah ekonomi AS mulai sedikit membaik, namun pandemik flu global kembali meredupkannya, terutama dalam bidang ekonomi mandiri dalam perdagangan dan turisme.

Yang paling terasa adalah New York. New York Times merilis berita bahwa bisnis di kota ini mengalami penurunan. Italia, polandia, Venzuela, dan Hong Kong telah resmi mengeluarkan larangan berpergian ke AS. Diperkirakan AS akan kehilangan sekitar 30% pemasukannya karena hal ini.

WHO, dalam hal ini telah pula mengeluarkan peringatan, bahwa semua hal berhubungan dengan penerbangan berpotensi besar menyebarkan flu dan virus babi. Dalam sektor penerbangan pun, Kemarin saja, mengalami penurunan sebesar 4%. "penerbangan mempunyai risiko penyebaran virus paling tinggi." demikian WHO.

New York Times yakin bahwa epidemik flu babi ini akan semakin membuat AS buruk. Mereka menulis, "Krisis finansial telah bergema di seantero AS. Sekarang negara ini menghadapi krisis lain, terpuruk dalam krisis flu babi. Memang belum begitu jelas, tapi kedua hal ini sangat menakutkan.

Situasi medis sekarang ini mirip dengan peristiwa SARS pada tahun 2003 lampau, di mana virus datang dari China. Korban SARS mencapai 900 orang di seluruh dunia, tapi efek dari wabah itu begitu mengerikan untuk setor ekonomi. WHO memperkirakan bahwa ketika itu ekonomi China drop sampai 60%."

Dan mungkin, itu pula lah yang sekarang terjadi pada AS dengan flu babinya ini.

MUHAMMAD HALEEM

http://mstar.com.my/variasi/pendapat/cerita.asp?file=/2009/5/4/mstar_pendapat/20090504105359&sec=mstar_pendapat

Hak wanita dalam Islam

Isnin Mei 4, 2009

WANITA dalam Islam sangat dihargai dan dihormati, sangat berbeza dari anggapan yang tidak benar dan menyimpang yang tersebar luas di antara para non muslim di seluruh dunia, khususnya di negara-negara Barat, amnya.

Tidak dapat kita nafikan, wanita adalah makhluk Allah SWT yang sangat istimewa kerana terdapat surah yang khusus untuk wanita di dalam al-Quran, iaitu surah yang ke 4 daripada 114 surah al-Quran yang di sebut surah An-Nisaa'.

Sebelum datangnya Islam, wanita secara umum tidak dianggap kewujudannya dalam banyak masyarakat di seluruh dunia.

Sebenarnya, ia memerlukan waktu berabad-abad lamanya bagi wanita untuk memperoleh hak-hak yang setara dengan lelaki, setidaknya secara teori, jika bukan dalam praktik. Tapi perjuangan untuk mendapatkan kesetaraan gender yang sepenuhnya belum lagi berakhir. Dalam perjuangan ini, banyak pihak yang menunjuk Islam sebagai salah satu penghalang terbesar bagi pemenuhan hak-hak perempuan. Tapi, jika kita mencarinya dalam Qur’an, tampaknya bukan itu masalahnya. Masalahnya terletak pada adat istiadat konservatif tradisional yang ada dalam masyarakat yang tidak menerapkan visi Qur’an tentang tingginya martabat kaum wanita.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Hai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan istrinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak.

"Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim (kekeluargaan). Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (Surah an-Nisaa', ayat 1)

http://mstar.com.my/variasi/agama/cerita.asp?file=/2009/5/4/mstar_agama/20090504105607&sec=mstar_agama

Jiwa 'kehambaan' Melayu menghalang pembaharuan

Isnin Mei 4, 2009

DALAM semangat sesetengah pihak untuk menegakkan ‘kedaulatan melayu’ maka berbagai-bagai slogan kemelayuan dikeluarkan.

Ada yang kata kita berbangga menjadi melayu sebab kitalah kaum asal di Nusantara ini. Ada yang kata kita berbangga menjadi melayu kerana sejarah kesultanan dan kepahlawanan melayu.

Apatah lagi ketika dunia hanya tinggal beberapa belas raja, sembilan daripadanya dimiliki oleh orang melayu. Ada yang kata orang melayu itu istimewa disebabkan adat dan budaya.

Berbagai-bagai lagi yang disebutkan dalam menuntut kemuliaan dan ketinggian kaum. Namun bagi saya, kemuliaan orang melayu yang sebenar dan kekal adalah kerana mereka menganut Islam.

Mereka tidak kekal mulia dengan adat atau kesultanan atau budaya atau apa saja, mereka akan kekal mulia kerana akidah Islam dan jika mereka berpegang kuat dengan Islam. Hari ini budaya dan bahasa melayu sudah banyak yang dilupa, sejarah kesultanan atau kepahlawanan Melayu pun banyak perkara yang wajar dinilai semula. Adapun Islam, ia agama Allah yang sejagat, bukan hanya khusus di alam melayu atau hanya untuk orang melayu.

Keberkatan dan kemuliaan akan dikurniakan kepada sesiapa yang berpegang dengannya sekalipun tanpa sejarah bangsa dan raja. Firman Allah: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan sesuatu menimpa mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (mereka itu) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

Untuk mereka kegembiraan dalam kehidupan dunia dan akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada kalimat-kalimat Allah (janji-janjiNya), yang demikian itulah kejayaan yang besar. Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) didukacitakan oleh kata-kata mereka (yang menentang); kerana sesungguhnya segala kemuliaan bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha mengetahui. (Surah Yunus: 62-65).

Jikalah kepahlawanan melayu hendak dijadikan teladan, saya fikir banyak perkara yang perlu ditapis. Hang Tuah yang kononnya hidup pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka tentu tidak relevan lagi di zaman kita untuk dianggap wira dan teladan.

Wataknya itu mungkin sesuai untuk masyarakat yang berpegang kepada feudalisme yang taat patuh kepada golongan bangsawan secara membuta tuli. Hal yang sama berlaku juga dalam sejarah bangsa-bangsa feudalistik yang lain.

Cerita tindakan Hang Tuah membawa lari Tun Teja dari Pahang untuk memenuhi ‘selera’ Sultan Melaka ketika itu, bukanlah tindakan yang terpuji. Ia salah dari segi nilai kesopanan, apatah lagi jika dinilai di sudut ajaran Islam.

Namun, masyarakat melayu ketika itu barangkali dapat menerimanya disebabkan kehendak ‘sultan’ atau ‘raja’ dalam masyarakat melayu itu mengatasi segala-galanya. Bahkan sultan atau raja bagi mereka mengatasi undang-undang dan peraturan.

Dalam sejarah, bahasa dan adat yang digunakan oleh orang melayu di hadapan sultan atau raja menggambarkan sikap berlebih-lebihan dalam memuja raja serta menghina atau ‘menghambakan’ rakyat.

Ia sudah pasti tidak serasi dengan ruh ajaran Islam yang membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia atau makhluk, kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah.

Dalam sejarah atau ‘lagenda’ kesultanan melayu juga, bukan sedikit tindakan sultan atau raja melayu yang amat menyanggahi keadilan, tidak masuk akal, sekaligus bercanggah dengan Islam.

Orang melayu dalam banyak keadaan mendiamkan diri dan berkata: “Kita rakyat, baginda raja”. Falsafah raja adalah ‘jelmaan tuhan’ yang dianuti oleh sesetengah agama, walaupun tidak disebut dalam masyarakat melayu, namun ia menjelma dalam penghayatan.

Sehingga perkataan ‘daulat raja’ difahami sesetengah masyarakat bahawa tuhan menurunkan bencana kepada sesiapa yang tidak menghormati raja. Bahkan adat-istiadat istana itu sendiri seperti cara ‘mengadap atau menyembah duli’ bukan berasal dari ajaran Islam.

Walaupun Islam masuk ke dalam istana dan masyarakat melayu, tetapi berhubung dengan adat keistanaan, banyak yang belum berjya diislamisasikan.

Tidak dinafikan golongan agama, ada yang berjaya mempengaruhi dan menasihati sesetengah raja melayu. Terdapat juga sultan-sultan melayu yang berpegang dengan Islam dan disanjungi kebaikan dan keadilan mereka.

Namun, dalam banyak keadaan jiwa feudalistik melayu menghalang atau melambatkan proses mengislamisasikan pemikiran melayu berhubung dengan raja.

Anasir itu ada yang berlarutan sehinggalah ke zaman moden ini. Tokoh-tokoh politik berbangsa melayu samada pro-islam atau apa saja, bagaimana ‘sakan’ pun mereka mengkritik kerajaan; dari segi belanjawan, pembaziran, tindak-tanduk, pembahagian projek, kepatuhan kepada undang-undang dan agama dan berbagai hal yang lain, apakah mereka sanggup bertanya hal yang sama jika dikaitkan dengan ‘istana’.

Jawapan sudah pasti tidak atau amat sedikit, walaupun memang banyak bisikan dalam senyap. Sehingga saya berjumpa sesetengah orang yang mengharamkan ‘yoga’ atas alasan kerana ada unsur agama lain antaranya merapatkan kedua belah tangan seperti ‘menyembah berhala’.

Saya bertanya: “tidakkah perbuatan yang sama dilakukan dalam istiadat melayu mengadap raja?”. Dia menjawab: “oh itu lain, saya tidak mahu masuk campur”.

Tulisan ini bukan menghina sejarah istana atau raja. Apa yang hendak saya tegaskan adalah kemuliaan kita apabila kita berpegang dengan Islam. Tiada masalah dengan istana atau kesultanan melayu. Saya hanya menyebut latar masyarakat kita.

Institusi ini boleh dikekalkan seperti mana United Kingdom masih mengenalkan Queen mereka. Namun, proses pembaharuan minda berkaitan istana masih diperlukan. Apatah lagi istana dianggap memayungi Islam.

Banyak institusi-institusi Islam di bawah istana. Tiada penguasa yang tidak boleh dinilai dan ditegur untuk kebaikan diri mereka dan rakyat jelata. Sepertimana kerajaan ditegur dan dikritik, demikian juga raja dan sultan. Jika ia hal peribadi, ditegur secara tertutup dan peribadi.

Jika ia hak atau isu awam, orang awam dan rakyat berhak menuntutnya. Saya menyebut hal demi kebaikan institusi kesultanan itu sendiri, agar berkesinambungannya secara mulia dan dihormati rakyat. Dalam rekod melayu moden, orang melayu telah banyak mempertahankan institusi kesultanan mereka, walaupun tidak banyak keadaan yang menunjukkan sebaliknya.

Adapun saya, tidaklah bersetuju dengan kata-kata Hang Jebat: “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Saya tidak bersetuju dengan perkataan ‘sembah’ yang disebut oleh Hang Jebat, sebab saya tidak menyembah raja.

Saya kata: “raja adil raja ditaati, raja zalim raja dibantahi atau dinasihati”. Tiada beza antara rakyat dan raja atau menteri atau bangsawan mana sekalipun di hadapan keadilan dan hak. Islam tidak pernah mengajar jiwa feudalistik yang meletakkan bagi bangsawan hukuman yang berbeza dengan rakyat.

Rasulullah s.a.w menyebut: “Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saya seorang muslim, saya juga seorang melayu. Saya tidak nafikan orang melayu dan kesultanan kita ada keistimewaan yang tersendiri. Namun, saya percaya jika kita berbicara soal sejarah bangsa, setiap bangsa ada sejarah mereka. Jika soal budaya dan adat, setiap bangsa memilikinya. Jika soal bahasa dan sastera, setiap bangsa ada latar mereka.

Namun jika kita berbicara rahmat Allah yang menunjukkan Islam kepada orang melayu, ia adalah sesuatu yang istimewa. Ia membolehkan melayu itu bergabung dengan sejarah hidayah dan alam yang merentasi segala rupa bangsa dan budaya.

Ia menjadikan kita bersaudara dengan berbagai bangsa di dunia atas kalimah Allah dan menjadikan kita merasai sejarah kegemilangan Islam sebahagian dari sejarah kita bersama. Cuma yang tinggal, sejauh manakah kita berjaya melayari bahtera keagungan Islam pada zaman yang mencabar ini?

Zaman sudah berubah. Minda dan cara fikir generasi baru juga sudah berbeza. Sejarah juga akan berubah. Sesiapa yang enggan berubah, mungkin dia diubah.

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2009/5/4/mstar_kolum_minda_mufti/20090504114315&sec=mstar_kolum_minda_mufti

Ulat bulu punca gatal

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

GATAL...spesies ulat bulu yang menjadi punca gatal dan ruam.
GATAL...spesies ulat bulu yang menjadi punca gatal dan ruam.

SUBANG JAYA: Misteri penyakit gatal dan ruam yang dihidapi 128 penduduk di Jalan 8/1A Bukit Serdang di sini sejak awal April lalu dikesan berpunca daripada sejenis spesies ulat bulu bersarang di pokok dan belukar berdekatan kawasan penempatan berkenaan.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, berkata perkara itu terjawab hasil mesyuarat dengan Jabatan Kesihatan, Jabatan Kimia, Jabatan Alam Sekitar, Alam Flora Sdn Bhd dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Khamis lalu.

“Pada mulanya, kami mengesyaki masalah kulit penduduk disebabkan pencemaran air atau udara sebaliknya siasatan mendapati ribuan ulat bulu di kawasan belukar berhampiran penempatan penduduk menjadi punca.

“Apabila angin bertiup kencang, bulu di badan ulat terbabit tertanggal dan dibawa ke penempatan penduduk menyebabkan kulit mereka menjadi gatal dan ruam,” katanya dalam sidang media di Pusat Komuniti Rakyat Serdang di sini, kelmarin.

Menurutnya, kebanyakan yang menjadi mangsa penyakit kulit itu terdiri suri rumah dan kanak-kanak kerana golongan lelaki keluar bekerja. 

Beliau berkata, bagaimanapun jumlah mereka yang menghidapi penyakit itu berkurangan selepas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melakukan kerja menyembur asap bermula 23 April lalu.

“Jumlah ulat itu kian berkurangan, namun kita minta pemilik tanah terbiar di situ menebang pokok menjadi habitat serangga berkenaan sebagai langkah pencegahan pembiakan,” katanya.

Teo turut meminta penduduk pernah dijangkiti membuat pemeriksaan susulan di Jalan SK 4/3 pada 7 Mei ini untuk memastikan mereka bebas penyakit kulit.

“Jabatan Kesihatan Daerah sekali lagi akan membuat pemeriksaan susulan terhadap penduduk di situ, jadi saya berharap mereka dapat hadir memberikan kerjasama,” katanya.

Tiga lagi negara sahkan kes

PUTRAJAYA: Penularan wabak Influenza A (H1N1) di seluruh dunia kini semakin meningkat dengan tiga negara iaitu Costa Rica, Perancis dan Republik Korea mengesahkan kes di negara masing-masing menjadikan jumlah keseluruhan 16 negara yang terbabit dengan wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata dengan penemuan kes terbaru itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan penambahan 291 kes menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 658 kes dengan 17 kematian.

Menurutnya, Mexico melaporkan 397 kes yang disahkan melalui ujian makmal, dengan 16 kematian berbanding 156 kes pada hari sebelumnya dan pertambahan kes itu adalah hasil ujian yang dijalankan ke atas spesimen terkumpul daripada pesakit.

Beliau berkata, Amerika Syarikat (AS) pula melaporkan 160 kes positif ujian makmal Influenza A (H1N1) termasuk satu kematian.

Penerima e-mel tamak, ingin untung segera

KUALA LUMPUR: Sikap tamak mendapatkan keuntungan segera faktor utama penerima e-mel terperangkap dengan tawaran perniagaan di Internet seterusnya kemungkinan terdedah dengan sindiket jenayah antarabangsa termasuk sindiket dadah.

Menurut aktivis dan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, sindiket dadah antarabangsa kerap menggunakan e-mel memerangkap mangsa dengan meminta nombor akaun bank sebagai kaedah ‘membersihkan’ wang mereka.

Beliau yang tidak terkejut dengan laporan Harian Metro Jumaat lalu mengenai wanita warga emas berusia 60-an menjadi mangsa sindiket penipuan wang antarabangsa apabila akaun bank miliknya diguna sebagai ‘transit’ berkata, tawaran wang upah hanya duduk di rumah menyebabkan mangsa gelap mata.

“Dalam era teknologi maklumat kini, e-mel disalahgunakan secara meluas termasuk sindiket jenayah global. Mangsa dipancing dengan kerja mudah seperti membantu memindahkan wang ke akaun tertentu dan diberi upah.

“Apa membimbangkan ialah dalam keseronokan dan rasa tamak untuk mendapat upah kerja mudah itu, mangsa tidak menyedari kemungkinan bersubahat dalam kegiatan jenayah berat,” katanya.

Budak didera tinju ibu tiri

KUALA LUMPUR: Akibat tidak tahan didera ibu tirinya, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun sanggup bertinju dan melepaskan tumbukan ke arah wanita terbabit yang terlebih dulu menendang perutnya sekuat hati.

Dalam kejadian itu, murid tahun lima berkenaan ‘naik angin’ kerana ibu tirinya yang berusia 36 tahun kerap memarahi dan menderanya hanya kerana perkara kecil.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, ibu tiri kanak-kanak berkenaan mengambil semua alat permainan milik mangsa di dalam beg plastik sebelum disimpan dalam stor di rumah mereka di Damansara Utama.

Menurutnya, mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan ibu tirinya itu mengeluarkan semula beg plastik berisi permainan berkenaan.

“Tindakannya itu menyebabkan wanita yang bekerja sebagai kakitangan pentadbiran itu berang sebelum menghayunkan beg plastik itu ke arah muka kanak-kanak berkenaan sekuat hati.

“Tidak cukup dengan itu, wanita berkenaan menendang perut mangsa sebanyak tiga kali berturut-turut,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang kesakitan dan tidak berpuas hati dengan tindakan ibu tirinya itu membalas semula pukulan berkenaan sebelum mengenai tangan ibu tirinya itu.

“Tindakan beraninya itu menyebabkan ibu tirinya memukul semula mangsa.

“Pada masa sama, ibu tiri kanak-kanak itu mengadu kepada suaminya berhubung tindakan mangsa memukulnya sebelum dia dipaksa meminta maaf kepada ibu tirinya itu,”
katanya. 

Kejadian berkenaan bagaimanapun tidak berakhir di situ apabila mangsa dan adik perempuannya tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah oleh ibu tiri keesokan harinya.

“Malah, mangsa yang baru pulang dari sekolah disuruh menunggu di luar pintu rumah sehingga bapa mereka pulang dari kerja.

“Tindakannya itu, menyebabkan kanak-kanak berkenaan yang sebelum ini dipukul mengalami sakit kepala dan perut,”
katanya.

Akibat tidak tahan dengan penderaan fizikal dan mental dialami, kanak-kanak berusia 10 tahun itu mengambil keputusan untuk membuat laporan di Balai Polis Damansara.

Ibu curang seterika anak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang ibu sanggup menjadikan anak perempuannya yang berusia 12 tahun sebagai tempat melepaskan geram terhadap suami, termasuk menekap seterika panas ke anggota tubuhnya hingga melecur.

Mangsa yang menuntut di sekolah agama di Klang turut dibelasah dengan menggunakan batang penyapu bertalu-talu di kaki hingga lebam.

Sumber polis menyatakan tindakan kejam si ibu berusia 28 tahun itu disebabkan dia mengesyaki mangsa membocorkan rahsia hubungan sulitnya dengan lelaki lain kepada suaminya.

Katanya, kejadian terbabit dibongkar seorang ustazah sekolah terbabit yang sangsi terhadap kesan kecederaan teruk dialami mangsa.

Ustazah berusia 32 tahun itu mendapati kedua-dua tangan mangsa melecur kira-kira jam 3 petang Khamis lalu.

“Mangsa turut menunjukkan kesan melecur di belakang leher, lebam di paha dipercayai dipukul dengan objek keras.

“Selepas dipujuk berulang kali, mangsa yang ketakutan akhirnya membuat pendedahan memeranjatkan dengan mendakwa didera ibu kandungnya sendiri,”
katanya.

Mangsa menyatakan ibunya menggunakan seterika panas untuk melecurkan kedua-dua belah tangannya selain leher.

Dia yang menjerit kesakitan akibat ditekap seterika panas tidak dipedulikan ibunya.

Selain itu, sumber itu berkata, mangsa dibelasah dan dipukul dengan batang pencuci lantai menyebabkan kakinya lebam.

Difahamkan ustazah berkenaan yang bersimpati terhadap nasib mangsa segera membawanya ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Klang.

Hasil siasatan mendapati, mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu didera ibunya Selasa lalu di rumah mereka.

Mangsa memberitahu dimarahi ibunya sekitar jam 7 malam sebelum diserang dengan seterika panas.

“Siasatan juga mendapati wanita itu sering bertindak kejam terhadap mangsa selepas menuduh dia memberitahu bapa berkaitan hubungannya dengan lelaki lain.

“Perbuatan mangsa itu menyebabkan suspek kerap bergaduh dengan suaminya yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat minyak,”
katanya.

Menurut sumber itu, susulan laporan berhubung kejadian itu, polis memberkas wanita berusia 28 tahun itu di rumahnya serta merampas seterika dan batang penyapu yang kerap digunakan untuk memukul mangsa.

Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas jenayah penderaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090504052232/Article/index_html

Elak kehilangan anak

Meningitis merupakan satu penyakit yang serius dan boleh menyebabkan kematian. Malangnya masih ramai ibu bapa di Malaysia mengabaikannya.




PADA Oktober tahun 2008, bapa muda yang hanya ingin dikenali Low melepaskan dengan gembira dua anak kesayangan Low Lui Lui, 2 dan Low Chai Chai, 18 bulan, terbang bersama isteri beliau untuk melawat keluarga mereka di England.

Bapa berusia 30 tahun dari Kepong, Kuala Lumpur itu tidak menyangka itulah lambaian dan ciuman terakhir anak bongsunya dalam satu percutian yang sangat tragis dan memberi kesan mendalam dalam hidupnya.

Bermula dengan batuk dan hidung berair, Chai Chai kembali sihat selepas diberikan ubat oleh doktor. Pada hari terakhir di England, Chai Chai masih cergas dan aktif. Bahkan, isterinya menidurkan Chai Chai tanpa sebarang tanda-tanda penyakit.


AWAS jika anak anda mengalami simptom seperti demam, enggan minum, mengalami sakit kepala, menangis berterusan dalam nada yang nyaring, muntah, ruam dan lebam-lebam.


Namun, sekitar pukul 1 pagi pada 6 November tahun yang sama, tiba-tiba isteri beliau mendapati anak lelaki mereka berada dalam keadaan pucat dan sangat lemah. Chai Chai dikejarkan ke Hospital Bath di England, namun doktor tidak dapat menyelamatkannya. Chai Chai disahkan meninggal dunia pada pukul 2.19 pagi.

"Menyambut isteri dan Lui Lui di lapangan terbang tanpa Chai Chai di sisi cukup menyedihkan. Namun, apa yang menyebabkan saya lebih sedih dan kesal ialah apabila Chai Chai meninggal dunia hanya kerana saya berkira sangat dengan wang RM300," luah Low ketika ditemui Kosmo!.

Namun, penyesalan Low tidak berguna biarpun kali ini dia sanggup mengeluarkan belanja sehingga RM30,000.

"Doktor pernah menyarankan supaya anak saya, Chai Chai mengambil suntikan vaksin pneumokokus yang berharga RM300. Tetapi, kerana ia agak mahal dan tidak wajib, saya tidak mengambil suntikan itu untuk Chai Chai," cerita Low.

Hasil ujian darah dan cecair serebrospina (CSF) yang dilakukan, doktor mengesahkan bayi comel itu meninggal dunia disebabkan meningitis pneumokokus dan septisemia.


LUMBAR punktur merupakan salah satu cara untuk mendiagnosis cecair selaput otak.





Enggan peristiwa itu berulang, Low membuat keputusan untuk mengambil suntikan vaksin pneumokokus untuk anak perempuan sulungnya.

Menurut Pakar Perunding Kardiologi dan Pediatrik, Pusat Perubatan KPJ Selangor, Datuk Dr. Zulkifli Ismail, jika kanak-kanak menghidap meningitis lambat menerima rawatan kebarangkalian untuk pulih sepenuhnya adalah tipis.

"Berkemungkinan besar ketika itu organ-organ mereka terutama otak telah pun mengalami kerosakan yang teruk.

"Meningitis lebih berbahaya sekiranya ia menyerang kanak-kanak atau bayi. Ini kerana, kanak-kanak atau bayi yang diserang meningitis tidak mempunyai antibodi yang tinggi untuk melawan penyakit tersebut.

Zulkifli berkata, jika ibu bapa dapat mengenal pasti simptom anak-anak mereka yang diserang meningitis dan segera mendapatkan rawatan di hospital kanak-kanak tersebut boleh pulih seperti sediakala.

Namun dengan simptom seperti demam, enggan minum, mengalami sakit kepala, menangis berterusan dalam nada yang nyaring, muntah, ruam dan lebam-lebam, biasanya bukan mudah untuk ibu bapa mengesan penyakit itu.

Ujarnya, jika kanak-kanak berumur kurang dua tahun, agak sukar untuk menentukan sama ada mereka terkena meningitis atau penyakit lain.

Sebaliknya, bagi kanak-kanak berusia lebih dua tahun, penyakit itu boleh dikesan melalui tengkuknya yang tegang dan mereka mengadu kesakitan ketika tunduk.

Bagaimanapun, apa yang menyedihkan sehingga kini kesedaran di kalangan ibu bapa tentang kepentingan vaksinasi masih rendah.

Hasil penyelidikan Wyeth (Malaysia) Sdn. Bhd., sebuah syarikat farmaseutikal, pemakanan dan penjagaan kesihatan, mendapati, hanya sekitar enam peratus ibu bapa yang memberitahu anak-anak perlu menerima suntikan vaksin pneumokokus. Kebanyakannya hanya menyebut tentang polio, campak dan beguk.

"Apabila anak dibawa ke klinik atau hospital, doktor menyarankan agar anak tersebut diberikan suntikan vaksin pneumokokus. Kebanyakan ibu bapa akan melengahkan saranan doktor kerana berpendapat suntikan tersebut mahal dan tidak wajib.

"Malangnya, apabila keadaan anak di peringkat yang teruk, baru mereka membawa anak ke hospital untuk rawatan. Namun, pada masa itu mungkin mereka boleh diselamatkan atau organ-organ dalaman tubuh mereka telah rosak," katanya mengenai bahaya penyakit itu.

Meningitis merupakan radang pada bahagian meninges iaitu selaput otak dan saraf tunjang. Penyakit boleh terjadi atas dua sebab iaitu jangkitan virus atau bakteria.


KANAK-KANAK menghidap meningitis yang lambat menerima rawatan berdepan dengan risiko kematian.


Meningitis daripada virus lazimnya kurang teruk dan boleh pulih tanpa rawatan spesifik.

Namun, meningitis kerana serangan bakteria biasanya agak serius dan mungkin membawa kepada kerosakan otak, hilang pendengaran, kurang upaya dalam pembelajaran dan yang paling menakutkan membawa maut.

Tambah Zulkifli, kebiasaannya terdapat tiga jenis bakteria yang menyebabkan penyakit meningitis iaitu Streptokokus pneumonia, Hemophilus influenza dan Neiseria meningitis.


LOW mahu ibu bapa lain mengambil iktibar daripada pengalaman yang dilaluinya. Dia kehilangan anaknya kerana meningitis.


Penyebab lain penyakit meningitis ialah enterovirus, kumpulan coxsackie A dan B, virus polio, beguk, campak, herpes simplex, varisela , streptokokus pnemonia dan pneumokokus.

Bakteria meningitis yang paling berbahaya adalah disebabkan oleh neiseria meningitis atau meningokokus. Kedua-dua bakteria itu tersebar melalui udara atau sentuhan langsung dengan pembawa atau penghidapnya.

Dari saluran pernafasan ia memasuki saluran darah dan menyebabkan septisemia (keracunan darah) yang teruk dan terus ke otak lalu menyebabkan meningitis.

Zulkifli memberitahu, kebanyakan bayi yang menghidap meningitis dijangkiti daripada ibu bapa, adik-beradik atau saudara-mara semasa berada di rumah. 
ILUSTRASI menunjukkan otak yang normal (A) dan otak yang dijangkiti bakteria meningitis.


Selain itu, jangkitan di luar contohnya sewaktu membeli-belah di pasar raya tetap boleh menjadi cara penyebaran.

"Mereka juga mungkin hanya selesema atau batuk sedikit tetapi ia boleh menjangkiti kanak-kanak lain melalui kuman yang merebak dari saluran pernafasan ke selaput otak," katanya.

Oleh kerana bukan mudah untuk menyekat pendedahan anak-anak terhadap ciuman atau sentuhan ahli keluarga atau orang luar, luahan hati Low mengenai vaksinasi wajar menjadi iktibar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...