Monday, May 4, 2009

Tiada kes baru H1N1 di Asia


KAKITANGAN kesihatan menyembur bahan kimia di stesen kereta api bawah tanah di bandar raya Mexico, kelmarin.

Penyebaran virus maut dipercayai mungkin semakin perlahan

HONG KONG: Asia melaporkan tiada kes baru Influenza A (H1N1) disahkan semalam, menunjukkan penyebaran virus mungkin semakin perlahan, namun 350 orang masih dikuarantin di hotel pinggir Hong Kong sebagai langkah berjaga-jaga. 

Pihak berkuasa di Mexico, lubuk utama penyakit itu, membayangkan kelmarin bahawa epidemik itu semakin berkurangan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengambil keputusan untuk tidak menaikkan amarannya, walaupun pihak berkuasa memberi amaran penduduk supaya tidak membiarkan keyakinan mereka punah.

Virus itu mengorbankan 19 orang di Mexico dan seorang di Amerika Syarikat serta menyebabkan beratus yang lain jatuh sakit. 

Hong Kong dan Korea Selatan masing-masing mengesahkan satu kes virus itu sebelumnya pada hujung minggu, pertama di benua ini, mencetuskan amaran di rantau yang sebelum ini diburukkan dengan sindrom pernafasan yang teruk (SARS) dan wabak selesema burung. Kedua-dua kes dijangkiti mereka yang baru-baru ini berkunjung ke Mexico. 

Hong Kong – yang dikritik kerana lewat mengenakan langkah kuarantin ketika wabak SARS, berikutan masa virus tersebar, menutup Hotel Metropark, di mana seorang pelancong Mexico yang sakit menghalang 350 tetamu dan kakitangan di dalamnya. Lelaki berusia 25 tahun itu tiba di tanah jajahan terbabit tengah hari Khamis lalu selepas berhenti di Shanghai. Dia berada dalam keadaan stabil.

Semalam, kira-kira enam pegawai polis memakai topeng berkawal di depan hotel dan pekerja membersihkan bahagian belakang bangunan. Thomas Tsang, pengawal Pusat Perlindungan Kesihatan Hong Kong berkata semua 350 orang di hotel itu dalam keadaan sihat. 

Seorang tetamu, James Parer dari Brisbane, Australia memberitahu The Associated Press dalam temuramah telefon tiada tanda kekacauan di hotel itu semalam, walaupun beberapa pelancong Barat mengadu mengenai sarapan – roti bun ala China diisi daging babi barbeku. Beliau berkata tetamu disediakan hidangan babi bersama nasi untuk makan malam kelmarin. 

"Semua orang tinggal di dalam bilik mereka," kata Parer, 38, yang melawat Hong Kong untuk menghadiri pameran perdagangan, menambah bahawa tetamu tiada tempat untuk berkumpul di dalam hotel kerana restorannya sudah ditukar menjadi medan ujian perubatan. 

Pihak berkuasa jajahan serta di tanah besar China dan Taiwan segera mengesan penumpang yang tiba dengan penerbangan sama seperti pelancong yang sakit serta pemandu teksi yang membawanya di Hong Kong.

Beijing mengkuarantin semua 128 penumpang dalam penerbangan yang tinggal di tanah besar, menurut media tempatan China. Bagaimanapun, tiada kes baru disahkan. China juga memberi maklum balas dengan menghentikan semua penerbangan terus dari Mexico. 

Sebuah pesawat sewa khas Southern Airlines China berlepas malam semalam untuk membawa pulang 120 warga China dari Mexico, kata penyiar tempatan CCTV. 

Pihak berkuasa di negara Amerika Latin itu tersinggung dengan sesetengah langkah tegas itu. Menteri Luar Mexico Patricia Espinosa mengadu bahawa China mengasingkan warga Mexico tanpa sebab sebagai tambahan menggesa rakyat Mexico supaya tidak berkunjung ke China. 

"Ia adalah langkah mendiskriminasi," katanya. 

Pakar berkata masih terlalu awal untuk mengenal pasti berapa luas wabak itu sudah tersebar. 

Pakar penyakit berjangkit Hong Kong, John Simon berkata lelaki yang jatuh sakit selepas tiba di Hong Kong mungkin tidak berbahaya di atas pesawat kerana dia masih belum sakit, namun memberi amaran bahawa orang lain yang mungkin dijangkitinya masih boleh melakukan pengeraman virus. 

"Masih terlalu awal untuk diberitahu," kata Simon. "Tidak mustahil lelaki ini mungkin menjangkiti dua atau lebih orang." – AP

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Dunia/20090503225549/Article/indexworld_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...