Thursday, June 11, 2009

Bilal menangis ketika azan

Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my

NARATHIWAT (SELATAN THAILAND): Suasana pilu menyelubungi perkarangan Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan di sini apabila orang ramai yang hadir melihat gambar mangsa mati dibunuh ketika menunaikan solat Isyak dikejutkan dengan azan Zuhur dialunkan seorang penduduk tempatan.

Bagaimanapun, solat Zuhur berjemaah terpaksa dilakukan di bawah khemah bersebelahan masjid berikutan keadaan rumah ibadat itu belum dibersihkan sepenuhnya akibat kesan darah dan tembakan.

Difahamkan, tindakan menggantung gambar dan nama mangsa dibunuh serta cedera tidak disenangi pihak keselamatan Thailand kerana beranggapan ia mengundang kemarahan penduduk termasuk dari negara ini yang turut bersedih dengan kejadian berkenaan.

Berikutan insiden itu, tempat kejadian seperti taman larangan apabila dikawal ketat pihak keselamatan terbabit yang membuat kawalan dan pemeriksaan pengunjung yang datang.

Anak seorang mangsa terkorban, Saari Yusof, 31, berkata penduduk mendakwa kampung itu sudah ditanda sebagai kawasan ‘merah’ oleh pihak keselamatan kerana sering berlaku kekacauan.

“Kira-kira empat tahun lalu, dua adik saya pernah ditahan tiga bulan oleh pihak keselamatan sebelum dibawa ke Surathani untuk disoal siasat tanpa alasan munasabah.

“Arwah ayah saya nyaris ditahan, tetapi kerana tiada sebab yang logik, dia gagal ditahan sebelum terbunuh dalam kejadian ini pula,”
katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, Abdul Rahman Daud yang sempat melawat kawasan kejadian melahirkan rasa kesal terhadap insiden terbabit.

“Kami mahu supaya kerajaan mencari pihak yang bertanggungjawab menimbulkan suasana tidak tenteram ini dan pada masa sama tidak wujud syak wasangka dalam kalangan penduduk Islam dan bukan Islam.

“Setakat ini, setiap kali berlaku pembunuhan atau pengeboman, tiada pihak yang pernah ditahan, tetapi akan berlaku tuding menuding antara beberapa pihak sehingga mencetuskan perasaan tidak percaya sesama penduduk,”
katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, sememangnya menjadi harapan seluruh penduduk supaya pihak terbabit dapat ditangkap segera sekali gus memulihkan keamanan secepat mungkin.

Dalam kejadian dua hari lalu, 12 jemaah Masjid Al-Furqan dibunuh ketika menunaikan solat Isyak termasuk imamnya, Wan Abdullah Wan Latif, 62.

Sembilan lagi jemaah meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Narathiwat sementara 11 mangsa yang parah masih dirawat di hospital sama.

Kejadian itu insiden tembakan paling buruk dalam masjid di wilayah selatan yang bergolak.

Pada 28 April, 2004, 108 penduduk yang terperangkap dalam kejadian tunjuk perasaan di pekan Takbai terbunuh ketika bertempur dengan pasukan keselamatan serta kejadian di Masjid Kruese yang mengorbankan 32 orang.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090611074500/Article

Jean dilarang pakai

LUCKNOW - Kolej-kolej di negeri Uttar Pradesh, India menyatakan bahawa pelajar wanita akan dilarang memakai seluar jean dan pakaian Barat lain bagi menghentikan gangguan seksual daripada lelaki.

"Wanita yang memilih untuk memakai seluar jean akan dibuang dari kolej," kata pengetua kolej perempuan Dayanand, Meeta Jamal, di bandar Kanpur.

"Inilah satu-satunya cara untuk menghalang kejadian jenayah terhadap wanita daripada berlaku," ujarnya lagi.

Kebanyakan kolej-kolej di Uttar Pradesh memutuskan untuk melarang pakaian jean, seluar pendek, blaus ketat dan skirt mini sebagai cara untuk menangani gangguan seksual yang dihadapi pelajar perempuan

Namun, ramai pelajar yang berumur 17 hingga 20 tahun berkata, peraturan baru itu akan menghukum wanita yang tidak bersalah berbanding lelaki yang memberi layanan tidak baik terhadap mereka.

"Melarang penggunaan kebanyakan pakaian tidak akan menyelesaikan isu gangguan seksual," kata siswazah Universiti Lucknow, Uzma. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_12.htm

Lebih 100 jarum dalam tubuh


GAMBAR X-ray menunjukkan lebih 100 jarum berada dalam tubuh Lijian.



EZHOU - Doktor-doktor di sebuah hospital di sini terkejut selepas menemui lebih 100 batang jarum di dalam tubuh seorang pesakit lelaki, lapor sebuah akhbar semalam.

Pada mulanya pesakit itu, Liu Lijian, 46, mengadu sakit yang amat sangat dan menemui doktor.

Doktor-doktor kemudian terkejut kerana selepas melakukan pemeriksaan mereka menemui jarum di kebanyakan tempat di tubuh Lijian.

Ujian X-ray menunjukkan 38 daripada lebih 100 batang jarum itu berada di bahagian bawah kulit lelaki berkenaan.

Beberapa pembedahan akan dilakukan bagi membawa keluar jarum itu.

"Lijian menyatakan ketika kecil, dia bermain dengan jarum tetapi tidak mengingati sama ada ia dimasukkan ke dalam tubuhnya.

"Ia merupakan kejadian yang menakjubkan kerana jarum itu tidak menyebabkan jangkitan penyakit setelah sekian lama berada di dalam tubuhnya," kata seorang jurucakap hospital.

- Agensi

Melecur bila sentuh barangan


MOLLY memakai sarung tangan kapas.




KAKI Molly melecur
kerana menyentuh barangan buatan manusia.


HERNE BAY, Britain - Tubuh seorang kanak-kanak perempuan yang berumur 10 tahun, Molly Harrad akan melecur jika dia menyentuh apa jua barangan buatan manusia, lapor sebuah akhbar semalam.

Alah itu menyebabkan doktor kebinggungan dan kini berusaha untuk mencari penawar terbaik untuknya.

Kanak-kanak itu terpaksa memakai sarung tangan kapas pada setiap masa.

Jika dia berjalan di atas permaidani, kakinya akan turut melecur.

Masalah yang dihadapi oleh Molly itu disedari oleh ibu bapanya beberapa hari selepas dia dilahirkan.

Ibu Molly, Louise Robson dan bapanya iaitu Derek Harrad berkata, setiap kali dia memberi minuman susu formula, anak mereka itu akan menjerit.

Gejala awal alahannya ialah perutnya akan membengkak dan kulitnya menjadi amat kering, ruam serta melecur.

"Ketika perutnya semakin pulih, kulitnya akan melecur. Itulah yang menjadi kitaran hidupnya yang tidak pernah berakhir," kata ibunya.

Molly kemudian didapati alah pada susu dan selepas mengunjungi ahli herba dia didapati turut alah telur, soya, jagung, bahan protein yang melekit dan beberapa buah-buahan yang kemudian disahkan oleh doktor.

Dia terpaksa memakai kasut khas dan keluarganya bercadang untuk berpindah ke Australia bagi memudahkan kehidupan Molly kerana cuacanya yang lebih baik.

"Kami terpaksa menukar barangan buatan manusia," katanya yang memberitahu rumahnya tidak mempunyai permaidani dan menggantikannya dengan lantai kayu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Penyiasat cari bukti serangan hotel


DUA askar Pakistan mengawal operasi membersihkan Hotel Pearl Continental
di Peshawar semalam.


PESHAWAR - Penyiasat-penyiasat melakukan pemeriksaan di Hotel Pearl Continental di sini bagi mencari bukti selepas satu letupan pengebom berani mati menyebabkan 11 orang maut.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap kejadian itu yang berlaku malam kelmarin sebagai satu serangan pengganas yang amat kejam.

Setakat ini tidak ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan kejadian itu.

Sekurang-kurangnya tiga penyerang berani mati meletupkan diri di luar hotel itu yang menjadi pilihan utama warga asing dan penduduk elit Pakistan untuk menginap.

Kamera keselamatan menunjukkan penyerang menaiki dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta sedan putih dan sebuah trak yang kecil.

Kenderaan itu merempuh satu pos kawalan di luar hotel.

Seorang pengawal rebah dipercayai ditembak oleh penyerang berkenaan.

Kenderaan itu kemudian bergerak ke pekarangan hotel.

Beberapa saat selepas itu, satu cahaya dan letusan debu berlaku.

Menurut seorang pegawai polis, Shafqatullah Malik, trak itu membawa lebih separuh tan bahan letupan. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.

Wanita mati ditembak di Yala

YALA - Seorang wanita Thailand mati ditembak di sini semalam dalam satu kejadian yang dipercayai sebagai satu perbuatan balas dendam oleh militan, dua hari selepas 11 orang mati ditembak di sebuah masjid di Narathiwat.

Polis menyatakan empat suspek gerila pemisah yang menunggang motosikal menyerang wanita beragama Buddha ketika dia sedang makan tengah hari bersama dua rakan lelaki di Yala.

Militan-militan itu meninggalkan sekeping nota yang bertulisan tangan di tempat kejadian.

Nota itu menyatakan: "Anda sudah membunuh orang tidak bersalah dan saya perlu melakukan pembunuhan bagi tujuan balas dendam."

Dua rakan wanita itu dihantar ke sebuah hospital selepas cedera akibat terkena tembakan.

Pada malam Isnin lalu, sekumpulan lelaki bertopeng menyerbu sebuah masjid di Narathiwat dan membunuh 11 orang selain mencederakan 12 lagi.

Ketua Tentera Thai, Anupong Paojinda menuduh gerila pemisah melakukan serangan itu tetapi dinafikan oleh penduduk tempatan yang mendakwa pasukan keselamatan menjadi dalang kejadian. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Kenangan terakhir Shukery Hashim


ARWAH Shukery Hashim ketika menerima sumbangan FINAS baru-baru ini.


TERKEDU Marilyn apabila mendapat khabar pelakon berwibawa, Shukery Hashim telah sampai seru. Arwah telah menghembuskan nafas terakhirnya, semalam.

Ini kerana macam baru semalam Marilyn mendengar cerita teman sepejabat yang pulang dari melawat arwah ketika dia terlantar di hospital baru-baru ini.

Sememangnya Marilyn terharu, apabila kawan Marilyn bercerita tentang Shukery yang Marilyn tak sangka, rupa-rupanya lucu orangnya.

Dalam keadaannya yang kronik akibat kanser pankreas yang dihidapinya dah masuk tahap kritikal dan kena jalani rawatan kimoterapi ketika itu, sempat lagi dia membuat jenaka sampai semua rombongan media, artis dan FINAS yang datang melawatnya ketawa terbahak-bahak, sampai lupa mereka pergi melawat orang sakit.

Timbul rasa insaf dalam diri Marilyn dan Marilyn rasa itulah kelebihan artis berwibawa seperti arwah. Kerja mereka buat orang terhibur walhal menanggung perit yang bukan kepalang.

Mungkin Shukery buat lawak untuk gembirakan hati ataupun bosan sebab dah lama tak keluar bekerja, justeru bila ada rakan-rakan datang melawat, dia rasa seronok.

Semoga bantuan FINAS sebanyak RM10,000 terhadap arwah dapat digunakan sebaiknya.

Dalam pada itu, Marilyn turut berdoa agar dua orang lagi artis veteran yang turut dirundung malang dari segi kesihatan dan juga diberikan bantuan oleh FINAS sebanyak RM10,000 seorang iaitu Yusof Chong dan Kamal Pendek beransur pulih.


Marilyn: Berdoa supaya semua sihat sejahtera.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm

Sunyi tanpa canda Shukery





SHUKERY bersama Noorkumalasari dalam satu babak filem Rahsia.



ANTARA rakan artis yang turut menziarahi Allahyarham Shukery. Dari kiri, Rosyam Nor, Kuswadinata dan Datuk Aziz Satar.



PENGHORMATAN terakhir daripada keluarga arwah Shukery, dari kiri, Nurshikin, Faridah dan Mohd. Aidil.


SEPANJANG hayatnya bergelar seorang anak seni, segala macam dugaan yang dialami, namun berkat kesabaran, Mohamad Shukery Hashim, muncul antara nama pelakon yang disegani masa kini.

Beratus sudah drama yang menggunakan khidmatnya. Pelbagai watak juga sudah dibawa tetapi Shukery sering menjadi buruan penerbit untuk membawakan watak orang kaya, golongan korporat, Datuk serta watak komedi.

Namun, segala itu hanya tinggal memori. Sedang drama lakonannya sedang hangat ditayangkan di kaca televisyen menerusi drama Cinta Gila, Shukery telah pergi untuk selamanya-lamanya.

Allahyarham meninggal dunia selepas hampir empat bulan menderita penyakit barah pankreas yang telah merebak ke seluruh tubuhnya termasuk bahagian tulang belakang dan otak.

Semenjak mengetahui penyakit barah sudah berada di tahap keempat pada Mac lalu, arwah hanya berulang-alik dari rumah ke hospital, sehingga berat badannya semakin menyusut akibat selera makan yang semakin berkurangan.

Deritanya meraih perhatian ramai pihak termasuk media dan rakan artis yang berkesempatan melawatnya di hospital. Meskipun dalam kesakitan, masih tergambar senyuman pada wajahnya saat melayani tetamu yang hadir.

Menurut anak keduanya Nurizety, yang ditemui di kediamannya semalam berkata, arwah ayahnya itu merupakan seorang yang cukup suka bergurau sehinggalah dia terlantar sakit di hospital.

"Arwah ayah tidak pernah kering idea untuk membuat kami sekeluarga tertawa, bila dia sakit pun sampat lagi buat lawak. Itu yang saya terasa sangat kehilangannya. Lepas ni rumah kami sunyi tanpa gurau-senda ayah.

"Isnin lepas masa jumpa arwah di hospital, ayah cakap lepas sihat ayah nak pergi Mekah, nak bawa anak cucu berjalan pergi makan angin dan bercerita tentang tempat makan yang arwah ingin pergi.

"Malah, arwah juga menyampaikan hasrat untuk bergambar bersama keluarga dan kami laksanakan hasratnya itu, tetapi tidak menyangka itu kenangan kami yang terakhir," katanya dalam linangan air mata.

Isteri Allahyarham, Faridah Mad Desa, 51, pula menceritakan semenjak arwah suaminya disahkan menghidap penyakit barah pankreas, arwah sentiasa berfikiran positif meskipun doktor memberitahu arwah hanya mampu untuk hidup dalam masa setahun.

Namun, Allah lebih menyayangi arwah, dan arwah pergi sambil ditemani semua anak-anaknya termasuk isteri di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada pukul 1.45 tengah hari semalam.

"Masa dimasukkan ke PPUKM pada pagi Jumaat lalu, apabila arwah mengadu perutnya sakit dan keras dan tidak tahan sakit yang ditanggung.

"Selepas makan ubat, arwah okey dan kata macam sihat pula. Masa itu saya berborak dengannya macam biasa, sampai arwah kata kalau dia pergi dulu dia tunggu saya di syurga," tutur Faridah dalam kesedihan.

Katanya lagi, sebelum arwah sakit kuat, arwah banyak menghabiskan masanya untuk berjumpa rakan-rakan lama, serta minta dihalalkan segala hutangnya.

Selain kaum keluarga, ramai juga sahabat handai termasuk rakan artis yang menziarahi jenazahnya, termasuk aktor Rosyam Nor yang turut terasa kehilangan seorang rakan dan bapa.

"Arwah banyak kali berlakon dengan saya dan saya selalu jadi anaknya dalam drama. Mungkin sebab itu hubungan kami rapat. Saya ada melawatnya semasa arwah pulang ke rumah dan kami berbual tentang banyak perkara.

"Antara katanya yang menyentuh perasaan saya, masa sakitlah baru kita tahu nikmat yang Allah berikan kepada kita. Selama ini makan dan tidur senang tetapi apabila sakit semua perkara itu menjadi sukar. Dan apabila berjaya dilakukan dengan mudah ia bagaikan nikmat," ujar Rosyam yang mengenali arwah sejak dia berumur 18 tahun.

Tambah Rosyam, arwah turut memberitahunya dia berbangga dengan hasil duit lakonan dia berjaya membina rumah dan membesarkan anak-anaknya seramai lima orang.

"Arwah bukan sekadar rakan, dia juga penasihat ekonomi saya. Arwah selalu pesan setiap apa yang dilakukan adalah untuk keluarga, malah, masa saya mula-mula buka syarikat dialah orang pertama yang melawat dan mendoakan agar syarikat saya maju," tutur pelakon dan penerbit ini lagi.

Pengarah drama terkenal, Rashid Sibir yang bergegas ke rumah arwah daripada penggambaran drama Kasih Tercipta memberitahu, dia mengenali arwah secara rapat apabila mengarah drama Mat Despatch pada tahun 1997.

"Apa yang saya kenali, arwah seorang yang merendah diri, tidak ambil pusing tentang orang lain dan tidak pernah merungut kalau penggambaran mula lambat walaupun dia datang awal.

"Kali terakhir saya bekerja dengan arwah untuk drama Keliwon episodHantu Kopek. Bagi saya pemergiannya terlalu cepat kerana ketika melawatnya di hospital, arwah nampak sihat. Sekarang, kita telah hilang seorang lagi pelakon yang berbakat," katanya.

Selain terkenal sebagai pelakon drama, wajahnya juga pernah diabdikan dalam filem Rahsia (1987), Ujang (1989), Syahadat (1992),Seri Dewi Malam (2001), Janji Diana (2003) dan terbaru, Shh... Dia Datang.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu dan lima orang anak, Nurshikin, 28, Nurizety, 27, Mohd. Firdza, 24, Mohd. Aidil, 21, dan Mohd. Amirul, 14, selamat dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Keramat semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

USM cipta bahan rawat akar gigi


KAKITANGAN USM, Syafawati Zaim menunjukkan produk daripada nanoseal plus di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM,
Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta satu lagi sejarah perubatan moden negara sebagai universiti pertama berjaya menghasilkan bahan nanoseal plus bagi membantu rawatan kanal akar gigi.

Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian USM Kampus Kubang Kerian, Prof. Ab. Rashid Ismail berkata, nanoseal plus adalah bahan perekat pertama menggunakan zarah nano dengan teknologi masa kini yang mempunyai bentuk menyamai struktur gigi.

"Ia juga dapat mempertingkatkan bioserasi dan daya lekat antara bahan perekat dengan gigi yang mana kekuatan daya lekat amat penting dalam memastikan kejayaan rawatan kanal akar yang dilakukan," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan kejayaan universiti itu di sini semalam.

Beliau berkata, kombinasi teknologi nano dengan bahan menyerupai struktur gigi memberi beberapa kelebihan dan zarah nano yang reaktif dapat merencatkan pertumbuhan bakteria, kesannya ia akan mempercepatkan proses pembaikan gigi yang dijangkiti.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Mahu mati kerana cinta


REMAJA yang mahu bunuh diri ditahan oleh polis di Lorong Haji Da, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu semalam.





KUALA TERENGGANU - Tidak sanggup memenuhi permintaan kekasihnya untuk memutuskan hubungan cinta mereka, seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun mahu membunuh diri.

Dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah malam di surau yang terletak di Lorong Haji Da, Jalan Sultan Mahmud dekat sini semalam, remaja lelaki itu mengeluarkan pisau dan diacukan ke leher sendiri.

Tindakan remaja itu dipercayai bagi memaksa kekasihnya yang juga seorang pelajar supaya menarik balik kata-katanya yang mahu memutuskan hubungan mereka.

Kejadian yang berlaku di tepi jalan dan dalam keadaan gelap itu bukan saja menakutkan kekasihnya malah beberapa penduduk kampung yang kebetulan berada di situ.

Remaja itu terlalu agresif dan tidak mengendahkan nasihat orang kampung yang memintanya bertenang dan menyerahkan pisau yang dibawanya.

Ketegangan yang berlangsung hampir sejam itu menarik perhatian kira-kira 50 penduduk kampung keluar menyaksikan 'adegan itu'.

Selepas hilang punca untuk memujuk remaja itu, penduduk kampung terpaksa menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, pihaknya menghantar 10 anggota sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 12.30 tengah malam.

"Semasa tiba di kampung itu, remaja terbabit masih memegang pisau sepanjang 27 sentimeter.

"Anggota kami memujuk remaja itu supaya bertenang tetapi dia mula bertambah agresif termasuk mahu menyerang anggota polis," kata beliau semasa dihubungi semalam.

Menurut beliau, selepas 45 minit memujuk, remaja itu akhirnya akur melepaskan pisau dan menyerah diri kepada polis.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Tinggal kampung takut diserang


PENDUDUK membersihkan darah di dalam Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan semalam selepas 11 orang terbunuh ditembak ketika sedang solat Isyak.



KERATAN Kosmo! semalam.


NARATHIWAT - Kejadian serangan di Masjid Al-Furqan di selatan Narathiwat dekat sini, yang mengorbankan 11 orang malam Isnin lalu, telah mengundang rasa takut dan trauma di kalangan penduduk kampung sehingga ada yang nekad untuk berpindah.

Tindakan itu adalah ekoran kebanyakan penduduk yang rata-ratanya beragama Islam di situ merasa nyawa mereka semakin terancam sehingga ada yang nekad berhijrah ke kawasan berhampiran sempadan Malaysia.

Seorang penduduk Kampung Air Tempayan, Narathiwat, Farizwan Muhammad, 30, berkata, sejak peristiwa di Tak Bai lima tahun lalu, penduduk beragama Islam merasakan nyawa mereka seperti telur di hujung tanduk.

Katanya, hampir ratusan keluarga sudah berpindah dan memilih Malaysia sebagai penempatan untuk membina kehidupan baru.

"Tiap-tiap hari penduduk rasa takut hingga rasa itu sudah sebati tetapi saya tidak mampu untuk berpindah seperti yang lain. Saya sanggup lagi duduk di sini dan berharap sesuatu yang baik akan berlaku," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Menurutnya, sebelum ini pun sudah ramai penduduk Kampung Air Tempayan yang 'angkat punggung' berhijrah ke tempat yang lebih selamat sejak siri keganasan yang membabitkan orang Islam sejak empat tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Shukery Hashim meninggal dunia




AMPANG - "Saya tunggu awak di syurga."

Demikian antara kata-kata akhir pelakon Mohamad Shukery Hashim (gambar), 55, kepada isterinya Faridah Mad Desa, 51, sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit barah pankreas di Pusat Perubatan Universiti KebangsaanMalaysia (PPUKM), pada pukul 1.45 petang semalam.

Faridah yang sentiasa berada di sisi Mohamad Shukery sejak dimasukkan ke PPUKM pada Jumaat lepas memberitahu, dia tidak menyangka arwah suaminya itu akan meninggal dunia dalam masa yang singkat.

"Terlalu cepat rasanya kerana dia nampak sihat. Arwah cakap, dia bertuah kerana dapat isteri macam saya dan kalau dia pergi dulu, dia akan tunggu saya di syurga.

"Arwah juga selalu berdoa meminta pada Allah, semoga dipermudahkan pemergiannya dan arwah pergi dengan tenang macam tidur," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...