Monday, July 6, 2009

Trauma mangsa jenayah asid

Kes jenayah asid semakin meningkat hari ini. Mengapakah ia sering menjadi pilihan suspek yang cemburu dan iri hati? Adakah masih ada harapan untuk mangsa kembali hidup normal?




KHODEZA Begun masih lagi trauma mengingati peristiwa lapan tahun lalu, apabila beliau dan anak perempuannya disimbah asid oleh seorang penyerang yang tidak dikenali ketika sedang tidur di rumahnya.

"Cecair asid tersebut menghakis permukaan kulit muka saya agak teruk dan kepala anak saya.

"Malangnya, saya tidak dapat sebarang pembelaan daripada polis atau mahkamah bagi mengenalpasti pesalah terbabit," kata wanita berumur 30 tahun yang menutupi wajahnya dengan sehelai selendang merah akibat kecacatan kesan simbahan asid yang mencacatkan wajahnya.

Khodeza mendedahkan peristiwa hitam dalam hidupnya itu pada satu persidangan ulang tahun yang ke-10 Pertubuhan Mangsa Asid (ASF) di Dhaka, Bangladesh baru-baru ini.

ASF, polis dan mangsa-mangsa serangan asid mengatakan, kebanyakan kejadian simbahan asid yang berlaku di Bangladesh adalah disebabkan keengganan mangsa melakukan hubungan seks.


PEMILIK kilang memproses ayam di Pasir Mas, Rizal Rajab antara mangsa terbaru jenayah asid di negara ini.


Ini kerana, kebanyakan mangsa tergolong di kalangan wanita muda. Selain itu, permintaan mas kahwin yang tinggi daripada keluarga atau perebutan tanah juga adalah salah satu sebab kejadian seumpama itu berlaku.

Kejadian yang meninggalkan ketakutan dan psikologi trauma pada mangsa tidak dapat dielakkan.

Pengelola persidangan itu memberitahu, ramai mangsa seperti Khodeza dinafikan keadilannya. Ada sesetengahnya, hanya memencilkan diri dan juga dipulaukan keluarga akibat kesan parut yang melekat di wajah mangsa.

"Saya bernasib baik kerana suami tidak meninggalkan kami anak beranak walaupun keadaan kami seperti ini.

"Berbeza dengan nasib kebanyakan mangsa asid yang ditinggalkan kerana wajah mereka yang hodoh dan cacat," kata wanita yang berasal dari daerah selatan Satkhira, Bangladesh itu.


NOR TASNEM sugul menemani suaminya, Ismail Isa yang melecur sebahagian badan akibat simbahan asid di wad Hospital Pulau Pinang.


Justeru apakah perkara pertama yang boleh dilakukan apabila seseorang terkena simbahan asid?

Profesor Taufiq Yap Yun Hin dari Fakulti Sains Jabatan Kimia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, menjelaskan tindakan segera dengan mencurahkan air yang banyak pada kawasan yang terkena asid amat penting.

Ini kerana, asid adalah sejenis sebatian kimia yang terkenal dengan sifat masam dan menghakis.

Jelasnya, asid dalam bentuk pepejal tidak begitu kuat berbanding asid dalam bentuk cecair yang sangat cepat menghakis.

"Terdapat asid lemah dan asid kuat. Ia juga disebut sebagai asid organik dan asid mineral.


PAKAR bedah plastik Medical College Hospital di Bangladesh, Samantalal Sen (kanan) memeriksa muka pesakitnya Mumtaz Begum yang menjadi mangsa jenayah asid.


"Asid organik banyak terdapat dalam industri pemakanan, manakala asid mineral ialah asid yang kuat dan terdiri daripada asid sulfurik yang sangat mudah menghakis," katanya kepada Kosmo!ketika ditemui baru-baru ini.

Mencederakan mangsa

Lelaki berketurunan Cina itu memberitahu, satu petunjuk mudah yang dapat menentukan keasidan sesuatu sebatian ialah dengan menggunakan meter pH.

"Jika buka penutup botol yang mengandungi asid dan ia berasap, itu menandakan nilai pHnya terlalu tinggi. Kebanyakan asid jenis tersebut digunakan oleh suspek untuk mencederakan mangsa sehingga kecederaan kronik.

"Ini kerana, cecair tersebut boleh menghakis bukan sahaja permukaan epidermis (lapisan paling luar kulit yang terletak pada lapisan atas dermis).

"Malah, ia juga boleh ke peringkat dermis (lapisan kedua kulit yang mempunyai ketebalan kira-kira 0.25 milimeter ke 2.55 milimeter daripada kulit), jika tiada tindakan segera diambil," tegasnya.


SEORANG wanita Pakistan, Fakhra yang mengalami kecederaan teruk di wajah selepas disimbah asid oleh suaminya.


Persoalannya, bagaimana penyimbah asid memperoleh cecair tersebut dengan begitu mudah?

"Sebenarnya bahan tersebut mudah diperoleh daripada industri kimia. Kegunaan utama adalah dalam penghasilan baja (ammonium sulfat).

"Bahan itu juga digunakan dalam pembuatan kimia seperti asid hidroklorik, asid nitrik dan pelbagai lagi.

"Bukan itu sahaja, cecair asid juga digunakan di dalam industri petroleum untuk membersihkan bahan asing," kata penyelaras Pusat Kecemerlangan Sains dan Teknologi Katalisis, Fakulti Sains UPM tersebut.

Trauma emosi

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemanusiaan dan Pembangunan Fakulti Psikologi, UPM, Prof. Dr. Haslinda Abdullah memberitahu, mangsa simbahan asid bakal mengalami trauma mahupun kecelaruan emosi berpanjangan (posttraumatic stress disorder (PTSD).

"Kebiasaannya ia berlaku selepas seseorang itu berdepan dengan tragedi dalam kehidupan mereka.

"Ia berkemungkinan trauma yang sangat menakutkan, mengancam nyawa atau membahayakan individu terbabit," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Jelasnya, kebanyakan mangsa akan merasai kembali trauma. Individu tersebut dapat merasakan seolah-olah trauma tersebut berlaku kembali terhadap dirinya.


WANITA di Bangladesh, Pakistan dan India antara yang paling banyak menjadi mangsa jenayah asid.


Ini termasuk mengalami mimpi ngeri, atau imbasan tentang trauma yang sentiasa menyelubunginya.

"Apa yang penting, masyarakat sekeliling terutamanya keluarga dan rakan-rakan sentiasa memberikan sokongan.

"Bantu mereka menghadapi trauma tersebut dengan baik. Jangan pula masyarakat mencemuh atau meminggirkan mereka kerana ia boleh mendatangkan kesan yang lebih teruk," katanya.

Sementara itu, pakar bedah kosmetik salah sebuah klinik swasta, Dr. Nini Sutina Nordin pula memberitahu, jika kecacatan tersebut tidak dibaiki, ia akan menyukarkan pesakit dan menyebabkan mereka berasa tertekan dengan persepsi masyarakat.

"Terdapat dua jenis pembedahan iaitu pembedahan kosmetik dan pembedahan rekonstruktif.

"Pembedahan kosmetik bertujuan memperbaiki bentuk struktur wajah yang normal bagi meningkatkan tahap keyakinan dan harga diri.

"Pembedahan rekonstruktif pula bertujuan untuk memperbaiki bentuk wajah dan fungsi tubuh yang cedera akibat kemalangan atau kecederaan, penyakit dan kecacatan kelahiran," katanya.


PROFESOR Taufiq menunjukkan jenis-jenis asid sewaktu ditemu bual di UPM baru-baru ini.


Tegasnya, ia akan memberikan mangsa peluang untuk menjalani hidup yang normal tanpa dipandang rendah oleh orang ramai.

Ia juga akan memberikan mereka peluang untuk bergaul dan diterima oleh komuniti.

Namun, Nini memberitahu pembedahan rekonstruktif yang dilakukan juga memerlukan doktor melihat tahap keseriusan kesan simbahan asid tersebut.

"Ia kemungkinan memerlukan bukan sekali dua pembedahan sahaja malah, pesakit juga harus menerima hakikat bahawa mereka mungkin tidak boleh pulih sepenuhnya," katanya.

Di Malaysia kebanyakan kes jenayah melibatkan simbahan asid berpunca daripada perasaan tidak puas hati, cemburu dan hasad dengki.

Antara kes yang paling klasik dan mendapat liputan luas media adalah kes seorang wanita, Siti Khalifah Sulong, 57, yang menyimbah asid ke muka suaminya Tuan Azman Tuan Ludin, 35, yang sedang tidur selepas suaminya menyatakan hasrat mahu berkahwin lagi.

Kes itu sangat sensasi mungkin disebabkan jarak umur pasangan terbabit selain tahap kecederaan teruk yang dialami Tuan Azman dan keputusan bakal isteri kedua Tuan Azman yang kemudian menukarfikiran menolak perkahwinan itu.

Siti Khalifah yang mengaku bersalah mencederakan Tuan Azman dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada tahun 2006.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Rahsia laluan Internet di Britain


BEBERAPA jurutera memeriksa kabel Internet di Pantai Cornish, Britain.


CORNISH - Pengguna-pengguna komputer di Britain dapat melayari Internet kerana kabel canggih yang ditanam sedalam 1.82 meter di pantai Cornish, lapor sebuah akhbar semalam.

Jika kabel itu rosak, pengguna tersebut tidak dapat melayari Internet. Kabel itu menghubungkan laluan Internet dari Britain ke New York yang merentasi Lautan Atlantik dengan panjangnya sejauh 6,115 kilometer.

Kebanyakan orang menganggap Internet dihubungkan kepada pengguna menerusi satelit.

Berdasarkan fakta, 90 peratus laluan Internet dihubungkan menerusi rangkaian kabel.

Sebuah kenderaan kawalan jauh yang dilengkapi dengan peralatan radar, kamera dan lampu akan digunakan untuk membaiki kebal itu di dasar laut.

Kabel yang bernilai £250 juta (RM1.43 bilion) itu menyebabkan Pantai Cornish yang terletak di kawasan terpencil di Britain menjadi hab telekomunkasi terpenting di dunia.

Kabel yang ditanam itu menyusur kawasan berbukit dan melalui lubang di bawah lantai sebuah bilik kawalan yang terletak beberapa kilometer dari Pantai Cornish. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Grace didakwa kekasih Jacko





LOS ANGELES - Jurugambar peribadi Michael Jackson iaitu Ian Barkley mendedahkan bahawa wanita kelahiran Uganda, Grace Rwaramba (gambar) merupakan kekasih rahsia penyanyi itu, lapor sebuah akhbar semalam.

Barkley yang pernah bekerja bersama Michael yang mesra dengan panggilan Jacko selama tiga tahun berkata, hubungan penyanyi tersebut dengan Grace sudah diketahui oleh staf Raja Pop itu.

Menurutnya, Jacko jatuh cinta pada Grace ketika wanita itu menjadi pengasuh anak-anaknya.

Anak-anak Jacko memanggil Grace dengan panggilan ibu.

Menurut Barkley, Grace seolah-olah menjadi ibu sejati kepada tiga anak Jacko iaitu Prince Michael, 12, Paris Katherine, 11, dan Prince Michael II yang berumur enam tahun.

"Grace menyintai Michael dan menyayanginya," kata jurugambar itu.

"Anak-anak penyanyi itu memanggilnya dengan panggilan ibu," jelasnya.

Pada minggu lalu, bekas ketua keselamatan Jacko, Matt Fiddes mendedahkan Raja Pop itu mempunyai kekasih rahsia tetapi enggan memberitahu namanya.

Fiddes memberitahu sejak 1990-an, keluarga Jacko mengetahui bahawa terdapat seseorang yang istimewa dalam hidup Jacko.

Seorang lagi pengawal keselamatan penyanyi tersebut menyatakan bahawa kenyataan Fiddes itu merujuk kepada Grace.

Tiga tahun lalu terdapat khabar angin yang menyatakan kedua-dua mereka telah berkahwin dengan Jacko tetapi spekulasi itu dinafikan oleh Grace.

Grace diperkenalkan kepada Jacko oleh bekas jurucakap penyanyi itu, Dr. Tohme R Tohme pada 1991. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Jacko dikebumi tanpa otak


PEMINAT-PEMINAT Jacko kelmarin berdiri di Forest Lawn Memorial Park. Los Angeles iaitu tempat penyanyi itu akan dikebumikan pada Selasa ini.


LOS ANGELES - Jenazah penyanyi terkenal, Michael Jackson akan dikebumikan pada Selasa ini tanpa otaknya, lapor sebuah akhbar semalam.

Keluarga Michael terpaksa mengebumikan penyanyi itu tanpa otaknya kerana ia cuma boleh dikembalikan dalam tempoh tiga minggu lagi selepas ujian dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

Jurucakap pihak berkuasa di Los Angeles, Craig Harvey mengesahkan ujian neuropatologi akan dilakukan bagi mencari petunjuk yang menyebabkan kematiannya.

Namun, ujian itu tidak dapat dilakukan dengan segera.

Ujian itu perlu dilakukan dua minggu selepas kematian Michael pada 25 Jun lalu.

Michael yang mesra dengan panggilan Jacko meninggal dunia di rumah sewanya di Beverly Hills selepas degupan jantungnya berhenti.

Sumber-sumber di pejabat koroner menyatakan otaknya sudah dikeluarkan sebelum mayatnya dihantar kepada keluarganya.

Seorang anggota forensik akan menguji otak Jacko bagi mengetahui tahap penggunaan ubat-ubatan.

Ujian itu boleh menunjukkan sebarang penggunaan alkohol dan penyakit yang dihidapi oleh Jacko.

Menurut bekas koroner dan salah seorang tokoh forensik patologi iaitu Dr. Cyril Wecht, otak tidak boleh diperiksa ketika bedah siasat dilakukan.

"Anda tidak boleh membuat ujian jika otak itu berada dalam tubuh. Justeru, ia perlu dikeluarkan," katanya.

Pada kebiasaannya, otak itu akan diletakkan di dalam sebuah bekas plastik yang dicampurkan dengan bahan pengawet iaitu cecair formaldehid sebelum diletakkan di dalam peti sejuk. - Agensi

Pelajar desak UiTM tambah asrama


ANTARA rumah sewa pelajar UiTM di Seksyen 8 Shah Alam akibat ketiadaan kemudahan asrama sejak sekian lama.


SHAH ALAM – Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendesak pihak pengurusan universiti mencari alternatif supaya mereka yang tinggal menyewa di luar kampus dapat menetap di asrama.

Selain terpaksa berebut untuk menaiki pengangkutan awam ke fakulti, kebanyakan pelajar mendakwa dibebani perbelanjaan yang tinggi ekoran terpaksa membayar sewa rumah dan pelbagai bil termasuk kos penyelenggaraan.

Seorang pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Norliyana Nawi, 22, berkata, dia menyewa rumah di Seksyen 8 sejak dua semester lalu bersama empat pelajar lain kerana sewanya RM500 sebulan.

“Memang jauh, tetapi kami tiada pilihan kerana itu yang kami mampu kerana rumah berdekatan kampus terlalu mahal.

“Kami keluar awal untuk naik dua bas setiap pagi iaitu dari Seksyen 8 ke Seksyen 2 untuk ke fakulti tetapi kerap tertinggal bas apabila bas dari Seksyen 2 ke UiTM selalu penuh.

“Kadangkala kami terpaksa menaiki teksi dengan kadar tambang RM6 apabila kelas tambahan berlarutan sehingga melebihi pukul 10 malam,” katanya di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

‘Mat pancut’ kena cekup depan pintu


SEORANG lelaki dibawa polis selepas ditahan penduduk di sebuah pangsapuri di Jalan Air Jernih, Kuala Terengganu kelmarin.


KUALA TERENGGANU – Sejak tiga bulan lalu penduduk di sebuah pangsapuri di Jalan Air Jernih di sini dilanda kehairanan ekoran penemuan ‘cecair pelik’ di depan pintu rumah mereka.

Hampir 15 penduduk pernah menjadi mangsa apabila cecair yang menimbulkan bau kurang menyenangkan dan tidak diketahui asal-usulnya itu mengotori rumah mereka.

Akhirnya misteri itu terjawab kelmarin selepas penduduk memberkas seorang pemuda berusia 22 tahun yang mempunyai hobi pelik iaitu suka melakukan onani di depan pintu rumah orang.

Seorang penduduk, Chong Chee Kong, 32, berkata, mereka menahan pemuda berasal dari Kampung Banggol Air Lilih, Manir itu pada pukul 9 malam kelmarin selepas hampir dua bulan melakukan intipan.

Katanya, sebelum ditahan, pemuda itu dilihat mengekori dua wanita yang tinggal di tingkat tiga dan apabila mereka masuk ke dalam rumah, dia berdiri di depan pintu lalu melepaskan nafsunya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Manohara berhutang hampir RM1j


SAAT-SAAT bahagia di hari perkahwinan Tengku Muhammad Fakhry bersama isterinya, Manohara Odelia Pinot pada 28 Ogos 2008.


KOTA BHARU – Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Ismail Petra memfailkan saman tuntutan hutang berjumlah RM972,750 ke atas isterinya, Manohara Odelia Pinot di Mahkamah Syariah di sini semalam.

Dalam tuntutan hutang itu, plaintif mendakwa sebelum perkahwinan mereka, defendan telah meminjam wangnya untuk kegunaannya dan ibu beliau, Daisy Fajarina berjumlah RM338,500. Daripada jumlah itu, RM174,000 digunakan bagi membeli jam tangan jenama Audemars Piguet dan RM165,500 lagi untuk kegunaan peribadi Manohara atau ibunya.


KAKAK Manohara, Dewi (kiri) dan ibunya, Daisy Fajarina.


Defendan juga didakwa telah meminjamkan wang sebanyak RM634,250 sepanjang tempoh perkahwinan bagi kegunaan peribadi dan untuk dikirim kepada keluarganya sebanyak enam kali yang keseluruhannya berjumlah RM972,750.

Tengku Temenggong Kelantan juga memfailkan saman tuntutan kembali taat supaya Manohara pulang ke pangkuannya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Awas peminjam ah long

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja peminjam Mara yang gagal membayar pinjaman mereka dipaparkan dalam akhbar malah butiran individu mahu pun wajah-wajah peminjam ah long juga boleh dimuatkan dalam media massa.

Pendekatan itu diambil khusus kepada peminjam ah long yang tidak melunaskan pinjaman mereka hingga membuatkan keluarganya menanggung kesusahan.

Ini adalah antara pendekatan yang akan diambil oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memerangi kegiatan ah long dengan mengambil pendekatan melibatkan sama kedua-dua pihak iaitu ah long dan peminjamnya.

Penasihat dan pegawai khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Michael Chong berkata, kebanyakan mangsa yang menderita akibat diganggu ah long adalah ahli keluarga termasuk isteri peminjam yang menghilangkan diri akibat gagal melunaskan hutang mereka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Friday, July 3, 2009

Jamal - Fatimatuzahra sah bercerai talak satu


Jumaat Julai 3, 2009

SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini, mengesahkan lafaz cerai talak satu yang dibuat oleh penyanyi Jamal Abdillah, 47, terhadap isterinya, Fatimatuzahra Samad, 25, pada 15 Mei 2007, pukul 10 pagi.

Keputusan tersebut dibuat oleh hakim syarie, Drs Atras Mohamed Zain.

Fatimah sebelum ini telah memfailkan permohonan pengesahan cerai setelah mendakwa dia diceraikan oleh Jamal pada tarikh tersebut, pada jam 8 malam ketika sedang memandu.

Lafaz tersebut berbunyi "Aku ceraikan kau dengan talak satu".

Menerusi prosiding kes ini yang berlangsung dua bulan lalu, Jamal mengaku melafazkan cerai pada pukul 10 pagi, bukan 8 malam.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/7/3/mstar_hiburan/20090703100748&sec=mstar_hiburan

Keluarga pertimbang kebumikan Jackson ikut cara Islam

Jumaat Julai 3, 2009

Abang Michael, Jermaine dan isteri, Halima Rashid. - foto THE STAR oleh LOW LAY PHOON

KELUARGA Michael Jackson berkemungkinan akan mengadakan upacara pengebumian Raja Pop itu mengikut istiadat agama Islam.

"Keluarganya sedang dalam pertimbangan untuk mengebumikan Michael mengikut istiadat Islam kerana mereka percaya, Michael ingin disemadikan dengan mengikut agama barunya itu.

"Abang Michael, Jermaine, mengajar keluarganya tentang upacara itu kerana dia merasakan amat penting untuk mengebumikan Michael mengikut cara Islam," kata satu sumber.

Bintang handalan Michael Jackson berlatih menyanyi dalam satu raptai di The Staples Center, Los Angeles pada 23 Jun 2009. -foto AP

Dalam pada itu, setakat ini belum ada lagi pengesahan rasmi daripada keluarga Jackson tentang lokasi pengebumian itu.

Jackson dilaporkan telah memeluk Islam pada tahun 2008, setelah bertahun-tahun meluahkan hasratnya untuk berbuat demikian. Dia kemudiannya menukar namanya kepada Mikaeel.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/7/3/mstar_hiburan/20090702171514&sec=mstar_hiburan

Internet turut rasa impak kematian mengejut Michael Jackson

Jumaat Julai 3, 2009

SIAPAKAH insan yang paling terkenal di dunia? Soalan ini nampak mudah tetapi terdapat ribuan jawapan. Sesetengah mungkin menjawab, The Pope sementara yang lain menelah Presiden Amerika Syarikat, Obama.

Kesemua nama-nama yang dicanangkan ini hanyalah suatu spekulasi dan boleh dipertikaikan.

Mungkinkah Raja Pop, Michael Jackson manusia paling popular di dunia? Ramalan tersebut tidak boleh diketepikan begitu sahaja jika kita melihat "rekod-rekod" luar biasa Jackson.

Sekadar menyebut beberapa rekodnya secara rambang. Jualan album Jackson di seluruh dunia mencecah angka 700-750 juta. Kerjaya Raja Pop ini terus gemilang walaupun setelah 50 tahun berlalu.

Foto-foto dan lilin-lilin diletakkan di sebuah tugu peringatan penyanyi legenda, Michael Jackson di Munich, Jerman. - foto AFP

Dua kes tuduhan pedophilia membabitkan Jackson mendapat liputan meluas. Begitu juga pelbagai sumbangan amal yang dilakukannya. Jadi tidak salah kalau kita merumuskan, Michael Jacksonlah manusia paling popular di dunia.

Namun kehebatan popularitinya menyebabkan masalah besar kepada beberapa laman popular di Internet. Ketika khabar angin bertiup kencang mengenai kematiannya pada hari Khamis lalu, banyak laman web popular 'terganggu' seketika kerana begitu pesat dilayari peminat-peminatnya.

Waktu laman web mendedahkan berita kematian Michael Jackson, semua orang dari merata dunia cuba mengakses laman-laman berita untuk membaca sendiri berita tersebut.

Ini menyebabkan trafik internet menjadi sesak, sekali gus pelayaran Internet hampir lumpuh.

Kematian Michael Jackson mengundang pelbagai reaksi. Ada yang ingin mengetahui kerjaya muziknya dan ada pula ingin melihat dakwaan salah lakunya.

Seorang peminat Michael Jackson meletakkan kad ucapan pada memorial yang didirikan di luar rumah mendiang Raja Pop di seksyen Encino, Los Angeles. - foto AP

Apa pun, kita memilih untuk mengingati Michael Jackson kerana impak muziknya yang begitu berkesan kepada semua pihak di mana saja di benua ini.

Kekaguman terhadap bakat luar biasanya sukar ditandingi. Beliau juga telah meninggalkan kesan yang luar biasa dan impak besar kepada Internet setelah kematiannya.

Rasa ingin tahu dalam hati peminat Michael membuak-buak hinggakan membuat Internet tidak dapat dilayari seketika kerana kesesakan trafik. Pendek kata, apa saja info tentang Michael menjadi topik utama yang dilayari di Internet.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/7/3/mstar_hiburan/20090702134725&sec=mstar_hiburan

Dua lagi korban selesema babi di Thailand

BANGKOK: Pegawai kesihatan Thailand mengumumkan kematian dua lagi mangsa selesema babi, semalam.

Hingga kini, lima penghidap virus H1N1 itu dilapor meninggal dunia di Thailand.

Timbalan Setiusaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Thailand, Paichit Warachit berkata, mangsa terbaru adalah lelaki Bangkok berusia 47 tahun dan wanita berusia 43 tahun dari Chonburi, di timur negara itu.

“Kedua-dua mangsa bagaimanapun menghidap pelbagai penyakit lain, mangsa lelaki mengalami jangkitan buah pinggang manakala yang kedua menghidap kencing manis sebelum mereka dijangkiti virus itu,” katanya.

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 70,893 kes wabak selesema dilapor di seluruh dunia dengan 311 kematian. - AP

Michael dipercayai dikebumi di Neverland

LOS ANGELES: Jenazah Michael Jackson akan dibawa ke Neverland dengan diiringi oleh 30 kereta hari ini.

Laporan CNN dan TMZ.com menyatakan, keluarga ikon pop itu akan memberi peluang kepada orang ramai memberi penghormatan terakhir esok, yang dijangka akan menarik ratusan ribu peminatnya ke ladang seluas 1,050 hektar milik Michael itu.

Langkah itu membayangkan keluarganya mempunyai rancangan untuk mengebumikannya di situ.

Bagaimanapun, pegawai wilayah Santa Barbara berkata, mereka tidak menerima permohonan rasmi untuk mengadakan majlis penghormatan itu.

Namun, jabatan berkenaan bersedia membuat persediaan untuk menerima sejumlah besar pengunjung jika permohonan dibuat.

Sebahagian besar peminat berkata, Michael perlu dikebumikan di situ dan mahu ia diubah menjadi taman peringatan sama seperti Graceland, tempat Elvis Presley disemadikan.

Sementara itu, lebih banyak kisah baru mengenai ketagihan penyanyi itu terhadap ubat terbongkar semalam.

Dengan memetik sumber yang tidak dikenal pasti, laman web hiburan, TMZ.com mendakwa ubat Propofol ditemui di rumah sewa Mi- chael berikutan kematiannya akibat serangan sakit jantung pada usia 50 tahun Khamis lalu.

“Tidak ada alasan yang boleh difikirkan bagaimana ubat itu boleh dibenarkan digunakan di rumah,” kata sumber itu kepada laman web berkenaan.

“Ubat itu amat berbahaya dan dan hanya boleh diguna oleh pegawai perubatan.”

Terdahulu, bekas jururawat Michael memberitahu CNN, penyanyi itu merayu supaya diberikan Diprivan, jenama untuk Propofol, beberapa bulan sebelum kematiannya.

Cherilyn Lee yang mempunyai pengalaman 20 tahun dalam bidang kesihatan berkata, dia menolak permintaan Michael.

Dia juga mendedahkan, seorang pekerja Michael meminta ubat itu empat hari sebelum kematiannya. -AP

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Global/20090702080231/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...