Wednesday, August 26, 2009

Saya tidak akan merayu - Kartika


SHUKARNOR dan Kartika menatap akhbar Kosmo! yang memaparkan kisah penangguhan hukuman sebat ke atas Kartika di rumah mereka di Sungai Siput, Perak semalam.


SUNGAI SIPUT - Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor tidak akan berganjak dengan pendiriannya untuk menerima hukuman enam sebatan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 18 Julai lalu.

Wanita berusia 32 tahun itu berkata, dia menghargai kenyataan beberapa pihak termasuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta beliau menimbangkan untuk merayu hukuman sebatan itu.

"Bagi saya, usaha untuk 'merayu' sebenarnya sudah berakhir iaitu selepas Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus memukul tukul di mahkamah dan menjatuhkan hukuman terhadap saya.

"Sejak saat itulah saya sudah nekad dan bersedia menerima hukuman (enam sebatan) itu," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Jawang di sini petang semalam.

Sebelum itu, di Kuala Lumpur semalam, Najib berkata, Kartika boleh membuat rayuan terhadap hukuman sebat yang dikenakan ke atasnya dan tidak sepatutnya reda semata-mata untuk dihukum.

Menurut Kartika, ada sesuatu yang tidak kena jika dia memohon kepada mahkamah supaya hukuman sebatan itu tidak dilaksanakan sedangkan sebelum ini dia mempunyai masa dan hak untuk berbuat demikian.

"Sebelum ini sudah lima kali saya naik turun mahkamah dengan tujuan dapat mengelakkan hukuman sebat tetapi tiada siapa yang ambil kisah. Dalam tempoh merayu saya tidak berbuat begitu, inikan pula selepas waran penahanan telah dikeluarkan semalam (kelmarin)," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0826&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Misteri tangguh hukuman - Campur tangan Peguam Negara halang Kartika disebat


WARTAWAN menemu bual bekas model yang bakal dihukum sebat kerana meminum arak, Kartika di rumah keluarganya di Sungai Siput semalam.


KUANTAN - Di sebalik penangguhan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang sepatutnya ditempatkan di Penjara Kajang kelmarin, banyak tanda tanya timbul dan pihak yang terbabit saling menuding jari menyalahkan pihak lain.

Tidak dapat dipastikan siapa yang benar dalam hal ini, tetapi yang pasti kontroversi itu mendapat liputan meluas termasuk oleh media asing.

Keputusan menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika dikatakan bukan kerana mahu menghormati Ramadan tetapi dipengaruhi keengganan pihak Penjara Wanita Kajang untuk melaksanakan hukuman tersebut.

Demikian dakwaan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Rahim Jaafar mengenai kegagalan pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika, 32, seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Beliau mendakwa, pengurusan Penjara Kajang tidak membenarkan penjara tersebut dijadikan tempat melaksanakan hukuman itu mungkin disebabkan mereka menerima tekanan daripada pihak tertentu.

"Penangguhan tersebut tidak ada kaitan dengan faktor menghormati bulan Ramadan kerana Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan sebelum ini memang memutuskan hukuman sebat dilaksanakan dalam bulan puasa untuk tujuan menginsafkan pesalah.

"Kita percaya pengurusan penjara itu mungkin memohon mendapatkan arahan daripada Pejabat Peguam Negara supaya hukuman sebat ke atas Kartika ditangguhkan. Mungkin ada campur tangan daripada pihak tertentu sehingga menyebabkan Pejabat Peguam Negara juga campur tangan," katanya ketika dihubungi semalam tetapi beliau enggan mendedahkan pihak yang dimaksudkannya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0826&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Kartika dibebaskan, bapa dakwa perubahan persenda Islam

24 Aug 2009 1:40PM

SUNGAI SIPUT: Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, yang sepatutnya dibawa ke Penjara Wanita Kajang bagi menjalani hukuman sebat kerana meminum arak, dibebaskan.

Seorang pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berkata, perintah tahanan terhadap wanita itu tidak boleh dilaksanakan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada hukuman itu dibatalkan atau ditangguhkan.

Kartika Sari yang kelihatan terkejut dengan keputusan itu, bagaimanapun enggan keluar dari van JAIP dan mendesak supaya beliau dibawa untuk menjalani hukuman.

Bapanya, Shukarnor Mutalib, berkata sebarang perubahan hukuman hanya akan mempersendakan Islam.

Kartika dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah minum arak di pusat hiburan di Cherating, dua tahun lalu.

Sebelum itu, tiga pegawai JAIP datang menjemput Kartika di rumah ibu bapanya di sini dengan sebuah van.

Kartika ditemani kakaknya, Kartina Sari Dewi, 34.

http://www.klpos.com/news/2009/08/24/3.html

Hukuman sebat: Najib minta Kartika rayu

Harakahdaily
Tue | Aug 25, 09 | 2:06:26 pm MYT

PUTRAJAYA, 25 Ogos: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini meminta Kartika Sari Dewi Shukarno yang dihukum sebat kerana minum arak supaya merayu hukuman itu.

"Saya rasa pihak yang berkenaan sepatutnya membuat rayuan kepada pihak berkuasa negeri dan tidak terlalu cepat sangat redha dihukum," kata Najib dalam satu sidang media di sini.

"Sebenarnya ada ruang untuk dirayu dan pihak berkuasa negeri sentiasa bertimbang rasa dalam hal ini," tambah beliau.

Kenyataan Najib hari ini yang mahu model sambilan itu merayu keputusan Mahkamah Syariah Pahang merotannya dengan enam sebatan menandakan kebimbangan kerajaan persekutuan terhadap kes itu yang telah menarik perhatian antarabangsa.

"Saya percaya pihak berkuasa yang berkenaan sensitif akan perkara ini dan sedar akan segala implikasi berhubung dengan kes ini," jelas Najib.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan persekutuan tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran agama Islam yang merupakan bidang kuasa kerajaan negeri.

Kartika seorang model sambilan di Singapura dihukum denda RM5,000 dan dikenakan enam sebatan kerana minum arak di sebuah hotel di Kuantan.

Beliau sepatutnya menjalani hukuman itu sebaik sahaja ditahan di Penjara Kajang bermula semalan.

Bagaimanapun hukuman itu ditangguhkan dengan alasan hukuman rotan hanya boleh dilaksanakan selepas bulan Ramadhan. _

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=22244&Itemid=1

Tangguh hukum Kartika hingga ada tukang sebat syariah

Ogos 25, 09 8:19pm
Hukuman sebat terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno kerana kesalahan minum arak akan ditangguhkan sehingga Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai kepakaran untuk melaksanakan hukuman itu mengikut undang-undang syariah.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Jabatan Penjara tidak mempunyai tukang sebat yang berkemahiran untuk melaksanakan hukuman mengikut cara dan kaedah syariah.


"Saya kena akui kita tak ada pengalaman dalam kes ini. Dari segi tanggungjawab saya difahamkan bahawa di bawah akta negara, kita (KDN) dipertanggungjawabkan tapi tak mungkin akan saya benarkan kita laksanakan hukuman itu sekiranya tidak mempunyai kemahiran, kepakaran dan tidak ikut hukum dan cara yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kepimpinan Petunjuk Bidang Keberhasilan Utama Negara di KDN.

Beliau diminta mengulas mengenai penangguhan hukuman sebat terhadap Kartika yang dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Kuantan pada 18 Julai lepas kerana meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang.

Semalam pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan NGO Pahang Datuk Mohd Safri Abdul Aziz dilaporkan berkata bahawa penangguhan hukuman sebat itu diputuskan oleh Ketua Hakim Syarie negeri Datuk Abdul Rahman Yunus bagi menghormati bulan Ramadan.

Hishammuddin berkata Jabatan Penjara tidak memiliki tukang sebat syariah kerana selama ini tiada keperluan untuk jawatan berkenaan diwujudkan.

"Selagi KDN tidak bersedia, selagi itu hukuman ini tidak dibuat. Bagi saya kalau kita tak ada orang yang buat, macam mana kita nak laksanakan hukuman secara adil.

"Islam menuntut, kalau nak laksanakan mesti ikut hukum dan secara adil. Berapa lama masa yang diambil, jika kita boleh adakan (tukang sebat) dalam masa sehari, esok saya bersedia (untuk melaksanakannya),"
katanya.

Pelaksanakaan hukuman itu, kata Hishammuddin, akan tetap dilaksanakan sebagaimana yang ditetapkan oleh mahkamah namun ia perlu mengikut kaedah dan syariat yang dibenarkan.

"Selama ini tidak ada keperluan, jadi tidak ada hukuman sebegini rupa dan kita tidak dipertanggungjawabkan. Tapi sekarang dah ada, jadi kita kena bersedia.

Ketika ditanya mengenai keperluan untuk mewujudkan Penjara Syariah bagi menangani kes dan hukuman syariah, Hishammuddin berkata perkara itu bukan satu keperluan pada masa ini. BERNAMA

http://www1.malaysiakini.com/news/111398

Sebat: Najib harap Kartika merayu

Ogos 25, 09 2:30pm
Datuk Seri Najib Razak berkata Kartika Sari Dewi Shukarno - yang akan dihukum sebat enam rotan selepas Ramadhan atas kesalahan mengambil alkohol - boleh membuat rayuan dan tidak sepatutnya reda semata-mata untuk dihukum.

Perdana menteri dilaporkan menjelaskan pendirian kerajaan pusat ialah ia tidak boleh mempertikaikan soal agama dan, tambahnya, soal agama terletak di bawah pihak berkuasa Mahkamah Syariah
.

Bagaimanapun, Kartika Sari mempunyai ruang untuk merayu,Bernama memetiknya sebagai berkata.

Kartika Sari, 32, seorang model dilaporkan enggan merayu di atas hukumannya itu dan bersedia untuk menerima hukuman itu.

Mengenai cadangan pembinaan jambatan antara Indonesia dan Semenanjung Malaysia seperti yang dibangkitkan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Najib berkata ia merupakan inisiatif swasta setakat ini.

Kerajaan pusat akan mengkaji perkara itu sekiranya terdapat cadangan tetapi setakat ini belum ada cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan pusat, katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/111343

Shahrizat jawab media: Sebat tidak zalim


Salhan K Ahmad
Ogos 25, 09
6:22pm

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti hari ini menangkis laporan media antarabangsa bahawa Malaysia mengamalkan undang-undang yang zalim terhadap wanita susulan hukuman rotan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata hukuman sebat dan denda maksimum yang dikenakan ke atas model sambilan itu atas kesalahan minum arak tidak merendahkan kredibiliti Mahkamah Syariah.


“Saya kesal apabila kes ini mendapat perhatian pihak media antarabanga yang menggambarkan seolah-olah syariah di negara ini menzalimi semua wanita.

"Isu ini mendapat perhatian banyak pihak. Ini juga mencemarkan nama baik negara kita yang amalkan undang-undang adil dan saksama,”
katanya.

"Pentadbiran undang-undang Islam di negara ini tidaklah senegatif yang disangka. Saya lihat sistem perundangan syariah kita masih belum jatuh kredibilitinya... Ini membawa gambaran negatif krepada sistem syariah.

"Saya percaya sistem syariah, walau perlu dipertingkatkan, masih boleh dibanggakan,"
katanya lagi dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa kerajaan sedang memulihkan imej yang terjejas akibat isu berkaitan.

"Ini bukan damage control, kita nak pastikan semangat Islam ditegakkan dalam kes-kes seperti ini," katanya.

Beliau bagaimanapun menyifatkan keputusan mahkamah ke atas Kartika sebagai "sesuatu yang keterlaluan."

"Kes ini dapat perhatian ramai dan banyak pihak temasuk saya sendiri melihat hukuman maksimum yang dijatuhkan adalah satu hukuman yang boleh dikatakan keterlaluan," katanya lagi.

"Kita semua sedia maklum, tiada siapa pertikai bahawa undang-undang syariah Pahang menyatakan dengan jelas minum alkohol di tempat ramai adalah satu kesalahan, ini kita tidak pertikai," jelasnya lagi.

"Tapi walaupun ini (menjatuhkan hukuman) hak hakim, yang saya amat terkilan dalam menegakkan syariat Islam, kita mesti bijaksana, mesti adil dan saksama dan dengan belas kasihan.

“Saya khuatir undang-undang sebegini dikuatkuasa kerana beliau seorang wanita... Kalau nak mengajar pesalah, tidak boleh aibkan, apalagi kalau dia wanita,"
katanya lagi.

Beliau juga menyambut baik tindakan Ketua Hakim Syariah Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus, yang mahu menyemak semula keputusan terhadap Kartika sebagai satu langkah positif apabila wanita berkenaan enggan merayu hukuman ke atasnya.

"Hak (untuk merayu) itu berada di tangan Kartika. Dia patut gunakannya," katanya, yang beranggapan ibu beranak dua itu mngkin bertindak demikian kerana trauma dengan keputusan tersebut.

Beliau yang turut mengakui tidak pernah menemui Kartika berhubung isu berkenaan juga berharap wanita berkenaan akan mengubah pendirian dan menggunakan ruang undang-undang yang ada bagi mendapatkan keadilan bagi kesnya.

"Saya tidak mahu kes ini dilihat sebagai kes duluan (untuk kes seterusnya)," tambahnya.

"Hakim mahkamah syariah telah beri sebatan maksimum tapi Kartika tidak membuat apa-apa usaha untu rayuan, oleh itu beliau diminta oleh pelbagai pihak untuk buat semakan terhadap keputusan tersebut.

Tambahnya, hukuman tidak hanya untuk mendera tetapi juga berperanan memulihkan pesalah.

Beliau sebelum itu mengumumkan bahawa Dasar Wanita Negara yang digubal pada 1989 akan dipinda tahun ini dan akan dilancarkan pada sambutan Hari Wanita Kebangsaan.

http://www1.malaysiakini.com/news/111384

Tuesday, August 25, 2009

Sindir PM, majalah humor dirampas




Sindir PM, majalah humor dirampas
Salhan K Ahmad
Ogos 25, 09
11:05am

Sekumpulan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu pejabat majalah humor terbaru Gedung Kartun hari ini susulan penerbitan edisi sulungnya yang menyindir perdana menteri.

Lapan pegawai itu berada sejam di pejabat majalah dwibulanan itu di Brickfields sejak 10.30 pagi - dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Sebanyak 408 naskhah majalah terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd dirampas bagi kesalahan bawah Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atau penerbitan tanpa permit.

Ketua pengarangnya Zunar berkata rampasan itu bermotif politik kerana pihaknya telah mendapat kelulusan secara lisan daripada KDN untuk menerbitkan Gedung Kartun.

Ditemui Malaysiakini di pejabatnya sewaktu serbuan itu, beliau mencetak majalah tersebut tanpa mendapat surat kelulusan untuk mengelakkan karenah birokrasi.

"Kita belum dapat surat rasmi tapi sebenarnya sudah ada kelulusan daripada menteri. Pada 14 Ogos, KDN janji untuk hantar surat dalam masa dua atau tiga hari.

"Sudah menjadi amalan biasa bagi penerbit, bila kita sudah habis mencetak kita akan dapat surat rasmi," katanya ketika ditemui di pejabat penerbit itu hari ini.

“Masalahnya tidak ada surat. Sepatutnya mereka keluarkanlah surat, selesailah masalah,” katanya lagi.

Selain Najib, isterinya Rosmah Mansor dan beberapa pemimpin Umno, majalah setebal 68 halaman itu turut memuatkan "nostalgia 98", sejarah peristiwa penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri dan kemudian insiden mata lebam sewaktu dalam tahanan polis (foto kanan).

Edisi untuk awal September, dicetak 10,000 naskhah, berada di pasaran mulai semalam dan dijual dengan harga RM4.

Selain kartun, Gedung Kartun turut memuatkan artikel berbentuk satira politik oleh ramai penulis kreatif yang aktif di atas pentas seni alternatif antaranya Hishamuddin Rais, Pyanhabib dan Rahmat Haron.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, yang kini lantang menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), turut menyumbang rencana.

Selain tiga penulis rencana, ia disokong 12 kartunis sambilan, antaranya Cabai yang sebelum ini terkenal dengan siri "Tiga Dara Pingitan".

Majalah pimpinan kartunis politik terkemuka tanah air Zunar, atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar Haque, menyentuh pelbagai isu semasa, antaranya kes kematian Teoh Beng Hock, kenaikan kadar tol lebuh raya, dasar PPSMI dan akta kontroversi ISA (foto kiri).

Dihubungi selepas serbuan itu, pemangku pengarah penguatkuasa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN cawangan Selangor menjelaskan penerbit masih tidak berhak menerbitkan majalah sekalipun telah mendapat nombor rujukan permit penerbitan (PP).

"Ini bukan sebab formaliti. Kalau tidak ada surat, janganlah dia terbitkan dulu.

"Bila dah dapat nombor dan ada kelulusan rasmi, barulah boleh cetak,"
kata Zainal Abidin Osman, yang turut mengesahkan operasi berkenaan yang turut melibatkan pegawai-pegawainya.

"(Surat rasmi) ini macam kita ambil ujian memandulah. Kalau kita dah lulus semua dan diberitahu sudah lulus, kita masih tidak boleh memandu selagi belum dapat lesen," katanya kepada Malaysiakini.

http://www1.malaysiakini.com/news/111321

Pegawai masjid S'gor boleh tangkap pesalah serta-merta


Jimadie Shah Othman
Ogos 25, 09
1:55pm

Penguatkuasaan enakmen syariah di Selangor melalui dasar baru membenarkan pegawai masjid untuk menahan orang Islam yang minum arak dan tidak berpuasa "boleh dimulakan pada bila-bila masa" selepas menerima kad kuasa jabatan agama.

Seorang imam yang diberikan kuasa itu berkata, taklimat berkaitan prosedur dan kaedah penahanan pelaku kedua-dua kesalahan tersebut diadakan semalam.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, imam 2 Masjid Jalan Kebun, Klang, Mohd Hafiz Mohd Hussain berkata, dalam taklimat sehari di Masjid Negeri di Shah Alam, kesemua imam dimaklumkan mengenai pendekatan baru itu.

"Kita juga diberitahu, kad kuasa telah siap dan boleh diambil pada bila-bila masa sahaja di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," katanya.

Exco hal-ehwal Islam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali semalam mengumumkan nazir, imam, bilal dan siak di lebih 370 masjid di negeri berkenaan diberikan surat kuasa untuk membantu menguatkuasa Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Surat kuasa itu dilaporkan telah diberikan dua minggu lepas.

Kesalahan yang diberi penekanan untuk dibanteras pada bulan Ramadhan ini antaranya makan, minum dan menghisap rokok di khalayak ramai - kesalahan bawah Seksyen 19 enakmen tersebut.

Dr Hasan dipetik berkata pegawai masjid yang mempunyai surat kuasa itu bagaimanapun tidak boleh menangkap pesalah tetapi hanya mengambil butiran diri dan jenis kesalahan serta barang kes untuk diserah kepada pegawai penguatkuasa agama untuk tindakan lanjut.

Pegawai masjid juga boleh menangkap orang Islam yang meminum arak tetapi perlu menyerahkan mereka kepada polis atau pegawai penguatkuasa agama.

http://www1.malaysiakini.com/news/111339

Sebat: Najib harap Kartika merayu

Ogos 25, 09 2:30pm
Datuk Seri Najib Razak berkata Kartika Sari Dewi Shukarno - yang akan dihukum sebat enam rotan selepas Ramadhan atas kesalahan mengambil alkohol - boleh membuat rayuan dan tidak sepatutnya reda semata-mata untuk dihukum.

Perdana menteri dilaporkan menjelaskan pendirian kerajaan pusat ialah ia tidak boleh mempertikaikan soal agama dan, tambahnya, soal agama terletak di bawah pihak berkuasa Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, Kartika Sari mempunyai ruang untuk merayu,Bernama memetiknya sebagai berkata.

Kartika Sari, 32, seorang model dilaporkan enggan merayu di atas hukumannya itu dan bersedia untuk menerima hukuman itu.

Mengenai cadangan pembinaan jambatan antara Indonesia dan Semenanjung Malaysia seperti yang dibangkitkan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Najib berkata ia merupakan inisiatif swasta setakat ini.

Kerajaan pusat akan mengkaji perkara itu sekiranya terdapat cadangan tetapi setakat ini belum ada cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan pusat, katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/111343

Sebat: Islam junjung tinggi keadilan



Sebat: Islam junjung tinggi keadilan
Dr Mahathir Mohamad
Ogos 25, 09
12:59pm

Tahun ini kita akan sambut Hari Merdeka dengan menyebat seorang wanita Melayu kerana minum bir.

Cerita hukum sebat telah disebar luas di seluruh dunia. Saya tak tahu apakah ini akan memberi imej baik atau tidak baik kepada agama Islam. Sebagai orang Islam kita tidak harus ambil berat pandangan orang lain terhadap Islam dalam melakukan suruhan agama.


Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Apakah hukuman ini terdapat dalam undang-undang syariah di Malaysia.

Bagi undang-undang biasa jenayah ditentukan bersama dengan hukuman kepada pesalah yang didapati bersalah.

Jika kerajaan tidak memperkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?

Apakah ada larangan dalam Islam untuk memperkanunkan undang-undang syariah?

Saya tanya soalan ini kerana terdapat perbezaan pendapat terhadap hukuman yang telah dijatuhkan keatas wanita ini.

Janganlah kata saya tak Islam dan akan masuk neraka. Saya cuma tanya.

Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan: "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil".

Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?

Keadilan dan timbang rasa jelas menjadi ajaran yang utama dalam Islam. Mereka yang tidak adil dan tidak bertimbang rasa tidak mengikuti semangat keislaman.

Mereka yang ahli dalam ilmu fiqah memanglah berhak menulis kitab berkenaan undang-undang Islam. Tetapi sebagai manusia biasa kemungkinan membuat tafsiran yang salah memang ada.

Islam mendesak supaya kita rujuk kepada Al-Quran apabila kekeliruan berlaku atau menemui jalan buntu.

Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum bir (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai?

Tak perlu kita ambil berat pandangan orang tetapi umat manusia perlu tahu bahawa agama Islam menjunjung tinggi keadilan.

Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.


Artikel pendek ini diterbitkan semula, sepenuhnya, daripada blog peribadi beliau Che Det.

http://www1.malaysiakini.com/news/111332

Imej agama apa yang kita mahu?



Imej agama apa yang kita mahu?
Norhayati Kaprawi
Ogos 25, 09
12:50pm

Sebagai seorang Islam, saya tertanya-tanya wajah Islam bagaimanakah yang Malaysia mahukan? Negara Islam, Islam madani, Islam hadhari atau Islam 'hududi'?

Apapun jenamanya, tentu yang kita mahukan adalah Islam yang adil, rahmah, berihsan, penyayang, mesra kepada orang perempuan, prihatin terhadap orang yang kurang bernasib baik dan Islam yang sentiasa bersangka baik pada manusia.


Akan tetapi, cara mahkamah syariah di Malaysia menangani kes Kartika Sari Dewi Shukarno (foto)tidak mencerminkan Islam yang kita impikan itu.

Tambah malang lagi apabila ada orang Islam dan pemimpin-pemimpin yang mengaku memperjuangkan Islam bersorak gembira dengan hukuman keras yang dijatuhkan terhadap model sambilan itu.

Selama ini, ulama dan pemimpin Islam begitu petah dan rancak sekali bila berbicara tentang keadilan dalam Islam.

Namun, apabila timbul masalah sebenar dalam masyarakat, nampaknya ramai yang kelam-kabut dan teraba-raba mencari sinar keadilan itu.

Kelihatan sukar sekali mereka menterjemahkan konsep adil itu dalam menangani realiti kehidupan masyarakat.

Sesungguhnya, ini adalah kesalahan pertama Kartika dan beliau telah pun mengaku bersalah. Maka, mengapa dia dikenakan hukuman maksimum?

Adakah lebih berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islamlah ia?

Bandingkan kesalahan Kartika yang tidak memudaratkan sesiapa pun dengan kesalahan mat-mat rempit dan peragut-peragut yang menjejaskan keselamatan orang ramai dan telah menyebabkan kematian.

Dan juga dosa Kartika dengan dosa bapa-bapa tidak bertanggungjawab yang tidak membayar nafkah sara hidup anak-anaknya.

Selepas hukuman dijatuhkan, Kartika terus membayar denda RM5,000 yang dikenakan tanpa banyak soal.

Justeru, adakah adil, berhikmah dan berihsan apaabila mahkamah kemudiannya menambah lagi hukuman penjara tujuh hari di penjara Kajang?


Adakah orang-orang yang selama ini mengaku memperjuangkan agama Allah dan menegakkan negara Islam mahukan Islam yang sadis, keras dan tidak berihsan?

Lupakah mereka tentang Umar yang berihsan sekali dan tidak menghukum seseorang yang mencuri akibat kemiskinan.


Lupakah mereka tentang pesanan Allah: "Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu, dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Maaidah: 39)

Malah, banyak lagi ayat Al-Qur'an yang memberikan peringatan yang sama seperti An-Nahl: 119, Al An'aam: 54, dan An Nahl: 125.

Patutkah Jabatan Agama Negeri Pahang yang telah memasukkan Kartika ke dalam van untuk dibawa ke penjara Kajang, menukar fikiran dengan tiba-tiba dan memulangkannya semula ke rumahnya?

Kemudian, ahli majlis mesyuarat kerajaan Pahang Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa Kartika akan disebat selepas bulan Ramadan pula.

Apakah layak Kartika dilayan seperti haiwan sarkas yang dimasukkan ke dalam sangkar, dilepaskan dan ditangkap semula sesuka hati?

Umat Islam harus jujur bertanya pada sanubari diri di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh rahmah ini – adil dan setimpalkah hukuman serta layanan tidak berperikemanusiaan ini ke atas Kartika?


Norhayati Kaprawi, aktivis wanita Muslim, pernah bertugas pengurus program Sisters in Islam (SIS) selama empat tahun. Penulis juga aktif bersama Inisiatif Pencalonan Wanita (WCI).

http://www1.malaysiakini.com/news/111330

Arak: Tidak jadi sebat model



Arak: Tidak jadi sebat model
Ogos 24, 09 3:34pm
Hukuman sebat terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno kerana meminum arak, yang sepatutnya dijalankan minggu ini, ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadhan, demikian dinyatakan di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah dan NGO Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz yang mengesahkan perkara itu berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memutus untuk menangguhkan sementara hukuman sebat itu atas nasihat Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus.

"Hukuman (sebat) bagaimanapun kekal, dia akan menjalani hukuman selepas bulan Ramadhan," katanya di Kuantan hari ini.

Pagi tadi tiga pegawai penguatkuasa JAIP dipercayai telah pergi ke rumah Kartika di Sungai Siput, Perak, untuk membawanya ke Penjara Wanita Kajang bagi menjalani hukuman sebat itu.

Namun, mereka kembali semula 30 minit kemudian selepas dikatakan menerima arahan untuk melepaskan sementara ibu kepada dua anak itu.

Pada 20 Julai lepas, Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak sebuah hotel pada 11.40 malam 11 Julai 2008.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Pada 18 Ogos lepas, Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika ditahan berkuatkuasa hari ini bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan itu.

Kartika merupakan wanita pertama yang akan disebat akibat kesalahan meminum arak di negara ini.

Di Perak, Kartika membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Kuala Kangsar pada 12.30 tengah hari untuk mengelak daripada dituduh melarikan diri daripada hukuman kerana tidak dibawa ke Penjara Kajang.

Bapanya Shukarno Abdul Muttalib, berkata tiga pegawai JAIP menjemput Kartika dari rumahnya di Sungai Siput pagi tadi tetapi menghantarnya semula setengah jam kemudian dengan alasan hukuman sebat tidak dapat dijalankan pada masa ini.

Shukarno berkata beliau tidak faham tentang apa yang berlaku dan
menasihatkan Kartika membuat laporan kerana bimbang kemungkinan polis akan menuduh anaknya melarikan diri daripada hukuman.BERNAMA
http://www1.malaysiakini.com/news/111278

Majalah baru Zunar usik PM


Jimadie Shah Othman
Ogos 24, 09
11:18am

Kartunis politik terkenal Zulkiflee Anwar Haque akhirnya kembali bergelumang bersama dunia kreatif melalui majalahGedung Kartun setelah meninggalkan organ PKR Suara Keadilanbeberapa bulan lalu.

Berslogankan "majalah jenaka alternatif", terbitan sulung dwibulanan itu memaparkan gelagat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara (foto kiri).

Edisi awal September kini sudah berada di pasaran.

Selain kartun, Gedung Kartun turut memuatkan artikel berbentuk satira politik oleh ramai penulis kreatif yang aktif di atas pentas seni alternatif antaranya Hishamuddin Rais, Pyanhabib dan Rahmat Haron.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, yang kini lantang menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) turut menyumbang rencana dalam Gedung Kartun.

Selain tiga penulis rencana, ia disokong 12 kartunis sambilan, antaranya Cabai yang sebelum ini terkenal dengan siri "Tiga Dara Pingitan" (foto kanan).

Edisi sulung ini menyentuh pelbagai isu semasa, antaranya kes kematian Teoh Beng Hock, kenaikan kadar tol lebuh raya, dasar PPSMI dan akta kontroversi ISA.

"Kita juga akan muatkan kartun istimewa karya Dr Farish A Noor," kata Zulkiflee atau lebih popular dikenali Zunar, tanpa mendedahkan karya pengamat politik itu.

Dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, kartunis terkemuka itu berazam menerokai pasaran genre berkenaan dengan tema "kartun alternatif" kerana, menurutnya, ia mempunyai pasaran yang besar.

"Ini yang pasaran mahukan. Kita lihat di Internet dan blog, banyak kartun berbentuk humor sebegitu.

"Ia bentuk yang orang suka, cuma tidak ada orang buat," katanya, yang bertindak sebagai ketua pengarang, yang terkenal dengan "kartun hidung besar" bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya perbezaan menguruskan sebuah akhbar politik dan majalah kartun, Zunar berkata: "Tukar medium sahaja".

Menurutnya, idea menerbitkan majalah kartun dengan konsep sebegitu telah lama dirancang tetapi baru menjadi kenyataan kerana kesuntukan masa.

Dengan cetakan pertama sebanyak 10,000 naskhah, majalah tersebut akan berada di pasaran dua kali sebulan – pada 10 dan 20 hari bulan.

Majalah 68 halaman, terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd itu dijual di seluruh Malaysia dengan harga RM4 (Sabah dan Sarawak RM5).

Zunar, yang turut menyumbang karyanya kepada Malaysiakini, meninggalkan Suara Keadilan pada Mei lalu setelah empat tahun bertugas - dipercayai mangsa politik dalaman elit PKR.

http://www1.malaysiakini.com/news/111251

Monday, August 24, 2009

Panduan elak klinik swasta keliru rawat H1N1



Ogos 24, 09 5:15pm
Kementerian Kesihatan akan mengadakan perjumpaan dan taklimat kepada semua hospital dan klinik swasta untuk memberikan garis panduan yang lebih jelas kepada mereka dalam mengendalikan rawatan dan kes influenza A (H1N1).

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata garis panduan itu bagi menangani kekeliruan yang yang seringkali wujud di kalangan pengamal perubatan swasta dalam menangani kes-kes sedemikian.

Katanya perjumpaan tersebut dijangka diadakan dalam minggu ini dan ia dijangka mampu membantu mereka menangani kes H1N1 dengan lebih cepat dan cekap.

"Selain memberikan rawatan dengan cepat dan cekap, kita juga berharap agar klinik dan hospital swasta ini mempunyai bekalan antivirus yang mencukupi untuk diberikan kepada pesakit yang menunjukkan simptom-simptom H1N1," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi taklimat H1N1 kepada media di Putrajaya hari ini.

Beliau turut meminta agar media tidak bergantung kepada statistik kes untuk membuat laporan berhubung situasi terkini H1N1 kerana ia tidak menggambarkan keadaan sebenar.

"Bilangan kes yang dilaporkan setiap hari tidak menggambarkan keadaan sebenar dan boleh mencetuskan kekeliruan di kalangan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Liow berkata seorang wanita berusia 38 tahun menjadi korban terbaru virus H1N1 sekaligus menjadikan jumlah kematian akibat virus itu di negara ini meningkat kepada 69 orang.

Katanya mangsa sebelum itu telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 13 Ogos selepas menghidapi demam dan batuk selama dua hari.

Katanya, daripada ujian segera yang dijalankan, mangsa turut didapati positif influenza A dan diberikan rawatan simptomatik tanpa melibatkan rawatan antivirus Tamiflu.


"Lima hari selepas menerima rawatan untuk influenza A, pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta pada 20 Ogos selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan cyanosis.

"Mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan diberikan rawatan tamiflu, namun disahkan meninggal dunia pada 19 Ogos akibat pneumonia dan keputusan swab tekak pada 20 Ogos mengesahkan mangsa positif H1N1,"
katanya.

Liow juga berkata 1,455 pesakit penyakit seperti influenza (ILI) sedang dirawat di 85 buah hospital, termasuk empat hospital swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, hanya 285 pesakit disahkan menghidap H1N1, dengan 39 daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk dua kemasukan baru.

"Daripada 39 kes itu, 33 kes melibatkan pesakit yang berisiko iaitu penyakit kronik, obesiti, diabetes, kanak-kanak/bayi, penyakit pernafasan kronik, selepas hamil dan Sindrom Down,"
katanya.BERNAMA

http://www1.malaysiakini.com/news/111290

SAH: Guru SMK USJ12 korban A(H1N1)


PUTRAJAYA: Seorang guru wanita berusia 38 tahun daripada SMK USJ12 yang meninggal dunia pada 19 Ogos lalu menjadi korban terbaru virus H1N1 sekaligus menjadikan jumlah kematian akibat virus itu di negara ini meningkat kepada 69 orang, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya, mangsa sebelum itu telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 13 Ogos selepas demam dan batuk selama dua hari.

Menurut Liow, daripada ujian segera yang dijalankan, mangsa turut didapati positif Influenza A dan diberikan rawatan simptomatik tanpa melibatkan rawatan antiviral Tamiflu.

"Lima hari selepas menerima rawatan untuk Influenza A, pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta pada 20 Ogos selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan 'cyanosis'.

"Mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan diberikan rawatan tamiflu, namun disahkan meninggal dunia pada 19 Ogos akibat pneumonia dan keputusan swab tekak pada 20 Ogos mengesahkan mangsa positif H1N1," katanya.

Liow juga berkata, 1,455 pesakit penyakit seperti influenza (ILI) sedang dirawat di 85 buah hospital, termasuk empat hospital swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, hanya 285 pesakit disahkan menghidap H1N1, dengan 39 daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk dua kemasukan baru.

"Daripada 39 kes itu, 33 kes melibatkan pesakit yang berisiko iaitu penyakit kronik, obesiti, diabetes, kanak-kanak/bayi, penyakit respiratori kronik, postnatal dan Sindrom Down," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan akan mengadakan perjumpaan dan taklimat kepada semua hospital dan klinik swasta untuk memberikan garis panduan yang lebih jelas kepada mereka dalam mengendalikan rawatan dan kes Influenza A (H1N1).

Liow berkata, garis panduan itu bagi menangani kekeliruan yang seringkali wujud di kalangan pengamal perubatan swasta dalam menangani kes-kes sedemikian.

Katanya lagi, perjumpaan tersebut dijangka diadakan dalam minggu ini dan ia diharap dapat membantu mereka menangani kes H1N1 dengan lebih cepat dan cekap.

"Selain memberikan rawatan dengan cepat dan cekap, kita juga berharap agar klinik dan hospital swasta ini mempunyai bekalan antiviral yang mencukupi untuk diberikan kepada pesakit yang menunjukkan simptomsimptom H1N1," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi taklimat H1N1 kepada media di sini hari ini.

Beliau turut meminta agar media tidak bergantung kepada statistik kes untuk membuat laporan berhubung situasi terkini H1N1 kerana ia tidak menggambarkan keadaan sebenar. "Bilangan kes yang dilaporkan setiap hari tidak menggambarkan keadaan sebenar dan boleh mencetuskan kekeliruan di kalangan masyarakat," katanya. BERNAMA

*cyanosis - blueness or lividness of the skin, as from imperfectly oxygenated blood.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/24/mstar_berita/20090824160220&sec=mstar_berita

Hukuman penjara 10 tahun ke atas dua bekas pengurus besar Tabung Haji dikekalkan

Hukuman penjara 10 tahun ke atas dua bekas pengurus besar Tabung Haji dikekalkan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tingi hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun ke atas dua bekas pengurus besar Tabung Haji yang didakwa melakukan pecah amanah dan tipu melibatkan wang berjumlah RM200 juta. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2009/8/24/mstar_mahkamah/20090824143702&sec=mstar_mahkamah

Sunday, August 23, 2009

Mayat harum selepas 26 tahun ditanam


KUBUR Kiai Abduulah di Tangerang, Jakarta.


JENAZAH seorang ulama di Indonesia, Kiai Abdullah H. Mukmin yang meninggal dunia pada 22 Oktober 1983 berbau wangi manakala kain kapannya masih elok ketika kuburnya digali untuk dipindahkan ke tempat lain di Tangerang, Jakarta, baru-baru ini.

Menurut sebuah akhbar semalam, mayat Kiai Abdullah tidak reput dan masih berada dalam keadaan baik sama seperti ketika ditanam 26 tahun lalu.

Kayu penutup jenazah itu didapati tidak reput termasuk kain kapan.

Anak sulung Kiai Abdullah, Mukhtar Ali yang mengangkat jenazah bapanya dari liang lahat mengaku berasa terkejut.

“Keadaan jenazah sama seperti semasa ditanam pada 22 Oktober 1983.

“Cuma tubuhnya kelihatan kurus manakala rambutnya putih,” kata Mukhtar.


GAMBAR fail menunjukkan Kiai Abdullah (kiri) ketika sedang belajar di Mekah.


Mukhtar dan keluarganya turut terkejut kerana jenazah bapa mereka berbau wangi.

Menurutnya, bau itu tidak sama dengan wangian yang dijual di kedai-kedai minyak wangi.

Beberapa orang yang berada di kubur itu melaungkan takbir semasa menyaksikan kejadian tersebut.

Kubur Kiai Abdullah terpaksa dipindahkan bagi memberi laluan kerja-kerja pelebaran jalan.

Ketika masih hidup, Kiai Abdullah banyak menghabiskan masanya dengan belajar dan mengajar agama.

Kubur baru ulama itu kini di depan pekarangan rumah seorang lagi anaknya, Achmad Fathi, yang terletak 15 meter dari lokasi pusara lamanya. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0823&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...