Wednesday, August 26, 2009

Hukuman sebat: Najib minta Kartika rayu

Harakahdaily
Tue | Aug 25, 09 | 2:06:26 pm MYT

PUTRAJAYA, 25 Ogos: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini meminta Kartika Sari Dewi Shukarno yang dihukum sebat kerana minum arak supaya merayu hukuman itu.

"Saya rasa pihak yang berkenaan sepatutnya membuat rayuan kepada pihak berkuasa negeri dan tidak terlalu cepat sangat redha dihukum," kata Najib dalam satu sidang media di sini.

"Sebenarnya ada ruang untuk dirayu dan pihak berkuasa negeri sentiasa bertimbang rasa dalam hal ini," tambah beliau.

Kenyataan Najib hari ini yang mahu model sambilan itu merayu keputusan Mahkamah Syariah Pahang merotannya dengan enam sebatan menandakan kebimbangan kerajaan persekutuan terhadap kes itu yang telah menarik perhatian antarabangsa.

"Saya percaya pihak berkuasa yang berkenaan sensitif akan perkara ini dan sedar akan segala implikasi berhubung dengan kes ini," jelas Najib.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan persekutuan tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran agama Islam yang merupakan bidang kuasa kerajaan negeri.

Kartika seorang model sambilan di Singapura dihukum denda RM5,000 dan dikenakan enam sebatan kerana minum arak di sebuah hotel di Kuantan.

Beliau sepatutnya menjalani hukuman itu sebaik sahaja ditahan di Penjara Kajang bermula semalan.

Bagaimanapun hukuman itu ditangguhkan dengan alasan hukuman rotan hanya boleh dilaksanakan selepas bulan Ramadhan. _

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=22244&Itemid=1

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...