Thursday, June 3, 2010

Tergamak curi barang kemas ibu

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/06/02

TEMERLOH: Seorang gadis tergamak mencuri pelbagai jenis barang kemas ibunya sebelum menggadaikannya semata-mata untuk membeli sebuah motosikal sebagai hadiah buat teman lelakinya.

Gadis berusia 17 tahun terbabit dikatakan mencuri barang kemas itu yang dianggarkan bernilai RM13,000 ketika ibunya nyenyak tidur di rumahnya di Taman Bukit Bendera, Mentakab, dekat sini, kira-kira 12.30 tengah malam, Khamis lalu. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed, berkata keesokannya, gadis terbabit menyerahkan semua barang kemas itu kepada rakannya dan memintanya menggadaikan semua barangan berkenaan di sebuah kedai pajak gadai.

Menurutnya, sebaik memperoleh hasil gadaian barang kemas, gadis itu membeli sebuah motosikal untuk dihadiahkan kepada teman lelakinya yang berusia 16 tahun bagi membuktikan kesetiaan cintanya.

Ahmad Fadzillah berkata, kehilangan semua barang kemas itu yang disimpan dalam laci di bilik sembahyang mula disedari ibu gadis terbabit yang berusia 40 tahun selepas membuat pemeriksaan. Menurutnya, mangsa kemudian mendesak anaknya menceritakan kejadian sebenar sebelum gadis itu mengakui mencuri semua barang kemas berkenaan.

“Mangsa yang tidak dapat menahan kesedihan apabila anak yang ditatang dengan penuh kasih sayang sanggup berbuat demikian membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.


“Susulan laporan mangsa, polis menahan gadis itu di rumahnya, malam kelmarin bersama seorang lagi rakannya yang terbabit dalam kejadian kerana membantu menggadaikan barang kemas mangsa. “Polis juga menahan teman lelaki gadis terbabit yang berusia 16 tahun tengah hari semalam. Kami juga merampas semula motosikal yang dibeli hasil gadaian barang kemas mangsa,” katanya.

Menurutnya, tiga suspek terbabit kini ditahan reman seminggu di IPD Temerloh bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tergamakcuribarangkemasibu/Article/index_html

6 beranak tahan lapar

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
2010/06/03

KAJANG: Seorang wanita menceritakan dengan nada sebak berhubung keperitan dihadapinya dengan lima anak yang kadang-kadang terpaksa berpuasa berikutan kesempitan wang selepas bekas suaminya gagal memberi sebarang nafkah.

Rosmawati Karia, 47, (plaintif) berkata demikian ketika memberi keterangan terhadap bekas suaminya Ariffadzilah Ramli, 41, (defendan) di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, dalam permohonan tuntutan nafkah anak (anggaran RM2,100) selain tahunan (RM5,000), perayaan (RM1,500), nafkah edah (RM2,000) selain mutaah sebanyak RM50,000.


Plaintif diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan manakala Ariffadzilah yang kini mengahwini penyanyi Rifa atau Sharifah Azizah Syed Zin (sebelum ini kumpulan Wildkatz sebelum menjadi penyanyi solo) diwakili Ahmad Tarmizi Shariff.


Menurut Rosmawati, selepas bercerai pada 25 Februari 2005, defendan gagal membayar nafkah anak sehingga kini sehingga dia terpaksa membuat permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat potongan gaji kerana bekas suaminya itu sebelum ini bertugas sebagai anggota polis.


“Bagaimanapun potongan itu sudah terhenti kerana bekas suami tidak lagi bekerja sebagai polis. Saya ada menerima surat daripada Jabatan Logistik Bukit Aman mengatakan tiada lagi pemotongan dibuat.


“Selepas itu saya terpaksa mendapatkan bantuan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara anak-anak. Saya diceraikan tanpa sebab dan tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan,”
katanya.


Terdahulu, dalam prosiding semalam, Fakhrul mengemukakan kepada mahkamah laporan polis berhubung keganasan rumah tangga yang dibuat Rosmawati serta beberapa keratan serta akhbar berhubung majlis perkahwinan defendan yang dibuat secara besar-besaran di sebuah hotel.


Pasangan itu bernikah pada 29 November 1992 dan dikurniakan lima cahaya mata berusia 19 hingga 11 tahun.


Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Nik Hasrul Nizam Mustapha bersambung 29 Julai ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/6beranaktahanlapar/Article

Buruh dijel paksa anak buat seks oral

2010/06/03

SHAH ALAM: Akibat memaksa anak kandung berusia lima tahun melakukan seks oral tiga tahun lalu, seorang buruh dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Tertuduh berusia 28 tahun yang tempang akibat kecederaan bermain bola sepanjang dalam tahanan kelihatan tenang selepas Hakim Hasbi Hasan membacakan keputusan itu. Bapa kedua anak mengaku salah atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii sekitar Disember 2008.


Bagi perbuatan itu, dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Noora Nisa Ngadirin, memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu dilakukan oleh darah daging sendiri yang sepatutnya melindungi mangsa. “Dalam kes ini, tertuduh sudah berkahwin dan sudah memiliki dua anak termasuk mangsa. Justeru, dia bukanlah tidak pernah merasai kemanisan berumah tangga.


“Sebagai bapa kandung, tertuduh sepatutnya mendidik dan memupuk kasih sayang sepenuhnya kepada mangsa terutama dalam kes ini di mana kejadian berlaku ketika mangsa hanya berusia lima tahun empat bulan,” katanya. Tertuduh katanya, wajar menjaga dan memelihara maruah mangsa dan bukanlah sebaliknya dengan melakukan perbuatan amat keji dan terkutuk.


“Bayangkan kesan trauma dan gangguan yang akan menghantui mangsa sepanjang hidupnya. Disebabkan kerakusan nafsu tertuduh, ia menyebabkan catatan satu titik hitam dalam hidup mangsa selama-lamanya.


“Anak kecil ini akan sentiasa dibuai oleh peristiwa pahit ini dan kita tidak tahu sama ada mangsa akan membesar seperti kanak-kanak normal lain,”
katanya.


Mengikut fakta kes, tertuduh menyuruh mangsa yang sedang bermain di luar rumah masuk ke bilik tidurnya sebelum kanak-kanak itu diarah mengunci pintu bilik dan mengarahnya melakukan seks oral.


Berdasarkan kenyataan kanak-kanak itu, bapanya mengulangi perbuatan itu beberapa kali sehari tanpa mengira waktu siang atau malam.


Perbuatan itu menyebabkan mulut dan kerongkong mangsa sakit.


Hanya apabila diadukan kepada nenek, datuknya kemudian membawa mangsa untuk membuat laporan polis di Balai Polis, Seksyen 11, dekat sini, pada 22 Disember 2008.

Mafia cilik

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my
2010/06/03

IPOH: Demi ‘menyara’ dua mafia cilik di sekolahnya, seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di sini, terpaksa bekerja sampingan mencuci pinggan di sebuah restoran semata-mata mahu mencari wang tambahan sebanyak RM10 untuk diberikan kepada rakan sekolahnya itu setiap hari sejak Mac lalu.

Sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi, mangsa bukan saja dibelasah dua pembuli iaitu pelajar tingkatan dua itu, malah pernah dikepung 10 pelajar lain sebelum pesta terajang dilakukan menyebabkan mangsa longlai serta tidak bermaya.


Selain mengutip wang daripada mangsa, dua pelajar berkenaan turut meminta mangsa memasukkan tambah nilai pada nombor telefon bimbit mereka.


Malah, dua pelajar itu pernah merancang untuk menculik ‘olok-olok’ dengan meminta mangsa menipu ibu bapanya bertujuan mendapatkan wang tebusan, bagaimanapun rancangan itu dibatalkan kerana mangsa enggan memberi kerjasama. Dalam insiden buli terbaru yang dihadapi pelajar berkenaan kira-kira jam 1 tengahari pada 27 Mei lalu, mangsa ditendang sebanyak tiga kali di perut dan dipukul di leher sebanyak dua kali oleh dua pelajar itu berhampiran kantin sekolah kerana gagal memberi wang RM10 yang diminta mereka.


Selepas dibelasah dengan teruk, mangsa pulang ke rumah sebelum memaklumkan hal berkenaan kepada ibu bapanya selain mengadu mengalami kesakitan di bahagian perut dan leher.


Bapa mangsa, Goo Seong Vew, 45, berkata, sebaik mengetahui kejadian itu, dia terus membawa anaknya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis berhubung insiden buli yang menimpa anaknya.


Katanya, dia kesal dengan apa yang berlaku terhadap anaknya dan tidak menyangka wujud aktiviti buli yang membimbangkan di sekolah berkenaan.


“Bagi mendapatkan penjelasan mengenai hal itu, saya menemui pengetua sekolah berkenaan sebanyak tiga kali bagi memaklumkan berhubung kejadian yang menimpa anak saya.


“Saya meminta pihak sekolah menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap dua pelajar yang membuli anak saya itu. Bagaimanapun, sehingga sekarang, pihak sekolah seolah-olah ‘tutup mulut’ dengan apa yang berlaku dan tidak mengambil apa-apa tindakan,”
katanya ketika ditemui semalam.


Selepas insiden 27 Mei lalu, Goo berkata, anaknya takut untuk ke sekolah kerana bimbang dipukul dua pelajar berkenaan sebelum dia dan isterinya, Fong Kah Leong, 32, membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan terperinci dibuat. Katanya, anaknya memaklumkan mula mengenali kumpulan pelajar berkenaan tahun lalu selepas bertemu dengan mereka di sebuah padang permainan berdekatan rumahnya, malah tidak menyangka turut belajar di sekolah sama.


“Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa yang berlaku kepadanya sejak mula memasuki sekolah awal tahun ini. Namun, sejak Mac lalu, saya melihat dia mula mengalami perubahan sikap yang ketara dan banyak murung serta jarang bercakap dengan saya dan isteri.

“Selain itu, kami juga bimbang kerana semua wang upah yang diperoleh ketika bekerja mencuci pinggan tidak disimpan dan kami juga tidak menyoalnya ke mana dia membelanjakan duit itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan berkenaan dan akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana seksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mafiacilik/Article

4 pelajar lahir anak luar nikah

2010/06/03

KUALA TERENGGANU: Mengejutkan apabila empat pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di daerah ini melahirkan anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki masing-masing sejak pertengahan tahun lalu.

Difahamkan pelajar perempuan berkenaan yang terjebak dengan gejala sosial belajar di tingkatan tiga dan enam melahirkan anak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak April tahun lalu.

Dalam kes terbaru, seorang pelajar tingkatan tiga pula melahirkan seorang bayi lelaki di HSNZ, Ahad lalu. Harian Metro difahamkan 16 lagi pelajar perempuan sekolah itu kini disahkan mengandung anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki termasuk rakan sekelas mereka.


Lantaran kes memalukan itu, ramai pihak termasuk ibu bapa pelajar terbabit dikatakan cuba menyembunyikan kelahiran berkenaan tetapi ia bocor apabila seorang pelajar mendedahkannya kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, baru-baru ini.


Berikutan itu, PIBG mengadakan mesyuarat tergempar malam kelmarin bagi membincang masalah itu tetapi pengetua sekolah berkenaan tidak hadir dalam mesyuarat itu.


Seorang ahli jawatankuasa PIBG sekolah terbabit yang enggan namanya disiarkan berkata pihak sekolah hanya mengetahui perkara itu selepas seorang pelajar melahirkan anaknya, baru-baru ini.


Katanya, dalam usaha menyembunyikan kejadian memalukan itu, seorang daripada pelajar terbabit sanggup membuat permohonan bertukar ke sebuah sekolah menengah di Setiu selepas mengetahui dia mengandung enam bulan. Bagaimanapun, katanya usaha pelajar itu berpindah sekolah tidak berhasil kerana bapa saudaranya yang tinggal di daerah berkenaan enggan menerimanya tinggal bersama kerana mengetahui dia mengandung anak luar nikah. “Pelajar berkenaan tiada pilihan dan melahirkan seorang anak lelaki pada 26 April lalu. Tidak tahan menanggung malu, pelajar berkenaan kini bertukar ke sebuah sekolah lain di daerah ini dan akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) September ini,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan meminta pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) membuat siasatan lanjut. “Setakat ini kita sudah dimaklumkan bahawa empat pelajar sekolah itu sudah melahirkan anak,” katanya sambil menambah pihaknya kesal dan terkejut dengan perkembangan berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/4pelajarlahiranakluarnikah/Article

Jual diri jika mahu makan

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/06/03

KUALA LUMPUR: Sekumpulan lapan gadis remaja bawah umur dipaksa melacur oleh satu sindiket pelacuran jika mahu mendapatkan makanan.

KETAKUTAN...lapan gadis warga Filipina yang diselamatkan pesara tentera berkenaan.
KETAKUTAN...lapan gadis warga Filipina yang diselamatkan pesara tentera berkenaan.
TAHAN...ibu ayam terbabit (kiri) ditahan dalam serbuan.
TAHAN...ibu ayam terbabit (kiri) ditahan dalam serbuan.
Difahamkan, kumpulan gadis warga Filipina terbabit perlu melayan pelanggan sebaik mungkin dan tip daripada layanan yang diberi akan diserahkan kepada ibu ayam sebelum digunakan untuk membeli makanan.


Namun jika gagal mendapatkan tip daripada pelanggan, mereka dihukum ibu ayam terbabit dengan dibiarkan kelaparan sedangkan wang bayaran perkhidmatan pelacuran RM350 diambil sindiket.


Berdasarkan maklumat, semua lapan gadis berusia 14 hingga 27 tahun terbabit diperdaya seorang ibu ayam yang mengajak mereka datang ke Sandakan, Sabah kononnya untuk bekerja sebagai pelayan restoran dengan gaji lumayan RM2,500 sebulan.


Tertarik tawaran itu, semua mangsa yang berasal dari selatan Filipina diseludup ke negara ini menggunakan bot laju sebelum disembunyikan di sebuah rumah di Sandakan, Sabah.


Mangsa bagaimanapun dipaksa melacur dengan modus operandi dihantar sindiket menaiki kenderaan kepada pelanggan yang membuat tempahan sama ada mengikut jam atau sekali perkhidmatan dengan kadar RM150 hingga RM350.


Difahamkan semua wang bayaran khidmat pelacuran itu diambil keseluruhannya oleh sindiket manakala mangsa diarah mencari wang tip sendiri.


Bagaimanapun, selepas lebih dua bulan dipaksa melacur dengan tidak diberi makan, mangsa nekad melarikan diri dari rumah itu sebelum meminta bantuan seorang pesara tentera yang ditemui di hadapan sebuah kedai.


Lelaki berusia 40-an itu segera membantu dengan membawa semua mangsa menaiki dua teksi menuju Telupit, Sabah bagi mengelak dijejaki sindiket terbabit.


Pesara tentera berkenaan menempatkan semua mangsa di sebuah hotel murah beramai-ramai sebelum menghubungi pihak berkuasa.


Difahamkan, ketika ditemui semua gadis terbabit dalam keadaan trauma dan ketakutan melampau berikutan pengalaman ngeri pernah dialami selepas dijual sebagai hamba seks.

Semua mangsa sengaja ditakutkan ibu ayam terbabit mereka akan ditahan pihak berkuasa jika melarikan diri berikutan tidak mempunyai pasport dan dokumen perjalanan sah ke Malaysia.


Berdasarkan soal siasat polis, mangsa mendakwa pernah tidak diberi makan tiga hari oleh ibu ayam selepas gagal memperoleh tips daripada pelanggan.


Namun mangsa dianggap bijak kerana sempat melarikan gambar ‘ibu ayam’ terbabit yang turut mengandungi maklumat nama serta alamat pada belakang gambar itu sebelum bukti itu diserahkan kepada polis.


Bersandar maklumat penting itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Mawar, Sandakan, sebelum memberkas ibu ayam terbabit yang tinggal di rumah berkenaan bersama seorang ahli sindiket lelaki berusia 41 tahun Hasil siasatan lanjut mendapati ibu ayam berusia 25 tahun itu wanita warga Filipina, namun mempunyai dokumen perjalanan masuk sah ke negara ini dan dipercayai pernah memperdaya ramai gadis.

Suspek wanita terbabit ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jualdirijikamahumakan/Article

Tuesday, June 1, 2010

Sindiket ragut Jom Heboh tumpas


SEBAHAGIAN daripada 25 peragut dibawa ke lokap bagi membantu siasatan kes ragut di Karnival Jom Heboh di Kangar semalam.


KANGAR – Kegiatan jahat sekumpulan 25 peragut bersaudara yang menyasarkan pengunjung Karnival Jom Heboh sebagai mangsa sejak awal tahun ini berkubur apabila kesemua mereka ditahan dalam serbuan di tujuh buah hotel murah di Kuala Perlis di sini kelmarin.

Tangkapan awal pagi itu dapat memberkas seramai 12 lelaki dan 13 wanita berusia antara 18 dan 46 tahun ketika kesemua mereka sedang beristirehat di dalam hotel tersebut sebaik selesai melakukan jenayah ragut.

Difahamkan, kesemua mereka yang berasal dari Sabah itu mempunyai pertalian persaudaraan.

Modus operandi kumpulan itu mudah iaitu akan menginap di hotel-hotel murah di kawasan berdekatan dengan tapak karnival dan bergerak dalam kumpulan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0601&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Menantu pukul ibu mentua dihukum penjara 6 tahun

MELAKA - Seorang pelayan hotel dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas dia mengaku bersalah memukul ibu mentuanya empat tahun lalu.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Mohd. Fadzil Mohd. Ziki, 32, (gambar) selepas meneliti semua fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abdul Rahman Sidik.

Ketika hukuman dijatuhkan tertuduh hanya senyap di kandang pesalah. Peguamnya, Markhan Sigh meminta supaya mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0601&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Kaki lekap muka

Oleh Hadzlan Hassan
hadzlan@hmetro.com.my
2010/06/01

KUALA TERENGGANU: Dia menggunakan teknik perubatan pelik dengan meraba, menekap muka pada kemaluan selain mensyaratkan pesakit tidak memakai seluar dalam ketika bertemu sebelum meminta mangsa mencium pipi selepas rawatan selesai.

Walaupun pelik, mangsa yang percaya dengan teknik rawatan itu itu tidak membantah kerana percaya ia amalan perubatannya namun kegiatan itu akhirnya terbongkar selepas seorang gadis juga pelajar sebuah sekolah menengah di Gong Badak, dekat sini, merasakan dirinya terpedaya dengan perbuatan jijik ‘bomoh miang’ berkenaan.


Gadis berusia 17 tahun itu sebelum ini mengadu masalah mengenai teman lelakinya yang mengalami gangguan pada sarafnya kepada penceramah motivasi yang bertandang ke sekolahnya.


Kesempatan itu digunakan lelaki digelar ‘ustaz’ berusia 38 tahun itu untuk menghubunginya dan menawarkan diri bertandang ke rumah mangsa, 21 Mei lalu.


Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Superintendan K Manoharan berkata, lelaki berkenaan turut meminta mangsa tidak memberitahu kedatangannya kepada sesiapa kerana mendakwa rumahnya didiami jin dan perlu dihalau segera.


“Akibatnya, mangsa diminta menyediakan dua botol air dan tidak memakai seluar dalam sementara menunggu mangsa tiba di rumah mangsa di Gong Badak kira-kira jam 4.30 petang ketika ahli keluarga lain tiada di rumah,” katanya.


Harian Metro difahamkan, sebaik lelaki berkenaan tiba, mangsa terus membuka pintu sebelum suspek meletakkan tangan di dada lalu memeluk, memegang punggung dan meramas buah dada serta mengusap kemaluan gadis berkenaan.


Tidak cukup dengan itu, suspek menekap mukanya pada kemaluan mangsa sebelum meminta dua botol air disediakan untuk dijampi.


Manoharan berkata, mangsa memberikannya dan lelaki berkenaan membaca sesuatu sebelum dia keluar dari rumah sebaik saja meminta gadis terbabit mencium pipinya.


“Mangsa tidak melawan ketika itu kerana percaya ia syarat perubatan, namun beberapa hari selepas itu dia menceritakan teknik rawatan itu kepada seorang fasilitator dan dimaklumkan perbuatan itu satu penyelewengan dalam perubatan Islam.


“Tidak cukup dengan itu, mangsa turut dimaklumkan lelaki terbabit sudah ditamatkan perkhidmatan kerana masalah disiplin menyebabkan dia berasa tertipu lalu membuat laporan di Balai Polis Gong Badak kira-kira jam 12 tengah malam Sabtu lalu,”
katanya.

Ekoran laporan berkenaan, sepasukan anggota polis menjalankan gerakan memburu dan mangsa serta beberapa kakitangan agensi terbabit memasang jerat meminta bomoh terbabit kembali ke rumahnya untuk berubat kali kedua.


Difahamkan, suspek yang bertandang ke rumah mangsa kira-kira jam 2 pagi kononnya untuk meneruskan ‘rawatan’ ditahan di rumah mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.


Manoharan berkata, lelaki berkenaan kini direman sehingga 3 Jun ini.

Wak Dajal buat onar

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/06/01

AMPANG: Wak Dajal!. Gelaran itu layak buat seorang dukun yang bernafsu songsang apabila cuba mencabul seorang remaja lelaki dengan menggunakan kaedah rawatan pelik yang didakwanya boleh menyembuhkan penyakit bapa remaja terbabit, malam kelmarin.

Kejadian menjijikkan itu berlaku ketika remaja berusia 19 tahun berkenaan berkunjung ke rumah dukun terbabit untuk mengambil ubat buat bapanya.


Sejurus tiba di rumah dukun itu di Kampung Pandan Dalam di sini, remaja berkenaan dipelawa masuk.


Menurut sumber polis, remaja berkenaan dimaklumkan penyakit bapanya boleh diubati melalui tubuhnya.


“Dukun terbabit memberitahu penyakit bapanya itu boleh diubati melalui badan remaja berkenaan dengan alasan mereka anak-beranak.


“Dia mendakwa rawatan itu boleh dilakukan pada badan mangsa tanpa perlu melihat keadaan bapanya sebelum meminta mangsa menanggalkan baju,”
katanya.


Beliau berkata, sejurus membuka baju, dukun itu meneliti tubuh mangsa.


“Dukun terbabit berpura-pura mengukur badan mangsa dan mendakwa kononnya ia satu dari syarat rawatan untuk mengubati penyakit bapa remaja itu.


“Sambil membaca jampi serapah, dukun terbabit mula melakukan rawatan dan remaja berkenaan hanya membiarkan badannya diukur lelaki terbabit,”
katanya.


Katanya, rawatan yang mulanya dianggap normal mula bertukar menjijikkan apabila dukun terbabit tiba-tiba berhenti mengukur badannya sebaik tiba pada alat sulit mangsa.


“Dia megang dan meletakkan alat sulit mangsa ke telinganya,” katanya.

Menurut sumber itu, dukun terbabit mula bertindak biadab dan melakukan perbuatan menjijikkan.


“Namun, belum sempat dia melakukan perbuatan keji itu, mangsa tiba-tiba seperti tersedar dari lamunan dan terus menolak dukun terbabit.


“Takut dengan perbuatan keji itu, mangsa memakai bajunya sebelum melarikan diri keluar dari rumah dukun terbabit dan membuat laporan polis,”
katanya.


Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata susulan laporan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun, awal pagi semalam untuk membantu siasatan. “Suspek ditahan kira-kira jam 2.30 pagi dan siasatan awal mendapati selain mengubati orang, dukun yang terkenal dengan panggilan Wak di kalangan penduduk itu juga dikatakan pandai dalam bidang urutan tradisional.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/WakDajalbuatonar/Article

Jaja kisah suami malas

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/06/01

KUALA LUMPUR: Setiap kali bertemu bakal ‘mangsa’, wanita berusia 38 tahun ini akan menjaja kisah sedihnya yang terpaksa bekerja keras mencari duit untuk menyara dua anak kerana mendakwa suaminya malas bekerja.

Kisah sedih hidup ditambah kepetahan bercakap mengenai peluang pelaburan dan tawaran memperoleh projek besar menyebabkan ramai ahli perniagaan terpedaya sejak empat tahun lalu.


Taktik itu memberi kesenangan kepada wanita terbabit apabila mampu hidup mewah dengan memiliki beberapa kenderaan dan rumah selain melunaskan pelbagai hutang yang mencecah ratusan ribu ringgit.


Setakat ini, 15 ahli perniagaan di Kuala Lumpur dan Selangor menjadi mangsa tawaran projek ‘hantu’ dan pelaburan skim cepat kaya wanita itu yang kononnya mampu memberi pulangan berlipat ganda.


Wanita terbabit juga memperoleh lebih RM500,000 daripada kegiatannya dan menjadikan sebahagian wang itu sebagai modal perniagaan diusahakannya sejak setahun lalu.


Bagaimanapun, perbuatannya terbongkar apabila dia ditahan Selasa lalu oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras diketuai Inspektor Mohd Mahatir Abdullah di rumahnya di Alam Damai, Cheras di sini, selepas kegiatannya dilaporkan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany, berkata siasatan awal mendapati, wanita itu hanya bermodalkan ‘ayat power’ untuk meyakinkan mangsa melabur dalam projek diusahakannya seperti membekalkan komputer riba kononnya mahu berkongsi keuntungan.


“Kebanyakan mangsa mempunyai perniagaan sendiri dan mereka akan diyakinkan suspek untuk mengeluarkan modal mencecah ratusan ribu ringgit.


“Mangsa terpedaya apabila suspek memberikan cek kononnya pulangan awal yang dilaburkan, namun sebaik cek itu ditunaikan, mereka mendapati ia cek tendang kerana akaunnya sudah ditutup,”
katanya ketika ditemui, semalam.


Izany berkata, kebanyakan mangsa terpedaya selepas suspek menjual kisah malang kononnya mempunyai hutang keliling pinggang kerana bersuamikan lelaki pemalas serta terpaksa menanggung dua anak yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) dan seorang lagi yang masih bersekolah.


“Selepas menjaja cerita sedih itu, mangsa mendakwa boleh mendapatkan peluang dan kelulusan segera tender serta kontrak kerajaan seperti membekalkan komputer di sekolah serta penajaan beberapa kursus syarikat korporat bernilai puluhan ribu ringgit.

“Ada yang ditawarkan sehingga lima projek bagi satu masa menyebabkan mangsa teruja apatah lagi dijanjikan pulangan pelaburan tinggi hingga sanggup menyerahkan ribuan ringgit sebagai modal mendapatkan projek ‘hantu’ terbabit,” katanya.


Namun, menurut Izany selepas berbulan-bulan menunggu, suspek gagal dihubungi menyebabkan mangsa berputih mata kerana wang pelaburan mereka hilang.


“Wanita terbabit kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Polis meminta mereka yang menjadi mangsa penipuan wanita ini supaya membuat laporan supaya tindakan tegas akan dikenakan terhadapnya kerana menipu orang ramai,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jajakisahsuamimalas/Article

Monday, May 31, 2010

Hukum ‘bapa ghaib’

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
2010/05/31

KUALA LUMPUR: ‘Bapa ghaib’ kepada bayi yang dibuang sama ada meninggal dunia atau tidak akan didakwa di mahkamah mengikut undang-undang dan akta negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ‘bapa ghaib’ yang menghamilkan gadis tidak akan terlepas dengan tindakan mahkamah.


Beliau memberi amaran kepada ‘bapa ghaib’ tidak bertanggungjawab menghamilkan gadis tetapi melarikan diri dengan meletakkan semua masalah ke atas wanita.


“Kami akan bekerjasama dengan Peguam Negara dan pihak berkuasa untuk mengheret lelaki berkenaan supaya dikenakan tindakan wajar bukan hanya memberi hukuman kepada ibu bayi yang dibuang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak-anak Yatim, orphanCare, Kuala Lumpur, di sini, yang dirasmikan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom. Hadir sama, Presiden orphanCare, Datuk Adnan Mohd Tahir.


Shahrizat berkata, punca utama terjadinya kes pembuangan bayi dan bayi luar nikah kerana sikap ibu bapa serta masyarakat sibuk dengan urusan seharian tanpa menghiraukan anak mereka.


Kes ini menunjukkan peningkatan, iaitu bagi tempoh lima tahun dari 2006 hingga 2009 sebanyak 407 kes pembuangan bayi dilaporkan pihak berkuasa.


Manakala dari Januari hingga April lalu, sebanyak 24 kes berlaku kerana masih tiada kesedaran kalangan masyarakat mengenai bahaya kes berkenaan.


Katanya, kes itu semakin serius kerana komuniti masih tidak menghiraukan remaja apabila masing-masing sibuk dengan urusan harian.


Menurutnya, untuk mengelakkan ia daripada berterusan, pelbagai pihak tampil termasuk kerajaan dan swasta yang mengadakan program komuniti “Kami kini mempunyai lebih 100 badan termasuk institusi sinar kasih, 55 klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang boleh menyelesaikan masalah dihadapi.


“Institusi ini boleh membantu remaja bermasalah daripada melakukan tindakan salah termasuk membuang bayi tidak berdosa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, orphanCare memberi peluang ibu bapa tidak mahukan bayi mereka meletak di rumah itu untuk memberi masa depan lebih baik.


“Kami bukan menggalakkan anak luar nikah tetapi hanya untuk membantu bayi tidak bersalah supaya mempunyai masa depan lebih cerah bersama keluarga angkat.


“Kami mahu komuniti mengambil berat masalah dihadapi remaja supaya kes berkenaan tidak akan berlaku pada masa akan datang,” katanya yang turut menyumbangkan RM100,000 bagi keperluan bayi yang berada di sana. Manakala, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom menyumbangkan RM10,000.

Dua lagi sekolah catat kes ILI

2010/05/31

KUALA LUMPUR: Dua lagi sekolah masing-masing di Kerian, Perak disahkan kluster terbaru Penyakit Serupa Inluenza (ILI) dengan satu kes dilaporkan positif Influenza A (H1N1) menjadikan jumlah terkumpul kes berkenaan 14,804 .

Bagaimanapun, tiada mangsa terbaru meninggal dunia sepanjang tempoh 24 jam lalu dan jumlahnya kekal sama dengan seorang ibu mengandung berusia 41 tahun yang menetap di Pulau Pinang menjadi korban ke-87 Rabu lalu.


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata terdapat 74 kluster ILI yang masih aktif di seluruh negara dan pemantauan ke atas kes berkenaan mendapati 589 kes wujud dan 49 kes atau 8.3 peratus disahkan positif H1N1. “Dalam pada itu, jumlah pesakit yang masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) hospital sebanyak enam kes dengan lima daripadanya tergolong dalam kelompok individu yang mempunyai faktor risiko.


“Seperti di kebanyakan negara, jangkitan ini masih aktif dan orang awam perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah kawalan serta pencegahan sempurna,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.


Dr Mohd Ismail berkata, orang ramai dialu-alukan melayari laman web www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my untuk mendapatkan maklumat terkini.


Kementerian juga boleh dihubungi menerusi talian hotline 03-88810200/0300.


Sementara itu, situasi global masih dihimpit penularan jangkitan virus terbabit terutama di Asia Tenggara, Afrika Barat dan Afrika Timur serta negara-negara beriklim sederhana di Hemisfera Utara seperti di Eropah Timur dan Selatan, Asia Selatan dan Timur. Laporan menyebut sehingga 21 Mac lalu, jumlah kematian di seluruh dunia adalah melebihi 16,931 kes, iaitu meningkat sebanyak 118 kes atau 0.7 peratus berbanding minggu sebelumnya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DualagisekolahcatatkesILI/Article

Belajar dan berserah

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/05/31

SHAH ALAM: “Petua saya mudah. Belajar dan terus belajar. Yang lainnya berserah kepada Tuhan,” kata Dg Noraiana Ag Kadir, 22, pelajar Diploma Sains pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-72 di Dewan Sri Budiman, di sini, semalam.

Anak pesara polis tinggal di Penampang, Sabah itu mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.91.


Dg Noraiana yang bercita-cita menjadi seorang doktor. Dia dijangka mengikuti pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda perubatan bulan depan.


Ketika ditemui selepas majlis konvokesyen, dia berkata cita-citanya untuk menjadi seorang doktor menyebabkan dia berusaha bersungguh-sungguh berikutan bidang itu susah selain persaingan sengit. “Setiap semester saya dapat 3.9 ke atas dan cuma semester kelima saja saya dapat 3.75, itu pun kerana banyak tesis yang perlu saya siapkan.


“Kejayaan yang saya capai ini bukan senang. Saya perlu membahagikan masa sebaik mungkin dan menjadi ‘ulat buku’,” katanya. Dg Noraiana yang juga anak keenam daripada sembilan beradik mengikuti Diploma Sains selama tiga tahun bermula tahun 2007 di kampus UiTM, Jengka, Pahang.


Dia berkata, lima pelajar terbaik setiap semester dalam bidangnya akan diberi pingat oleh Persatuan Diploma Sains sebagai tanda penghargaan persatuan di atas kejayaan pelajar dalam bidang itu.


Selain itu, Dg Noraiana bersyukur kerana walaupun tinggal berjauhan daripada ahli keluarga, namun mereka kerap berhubung untuk bertanya khabar mengenai pelajaran dan kebajikannya.


“Ketika mula-mula sampai di sini, saya agak kekok untuk menyesuaikan diri, terutama melihat pembangunan pesat di ibu kota.


“Saya terpaksa mengambil masa hampir sebulan untuk menyesuaikan diri di sini dan berterima kasih kepada rakan-rakan ,”
katanya.


Sementara itu, bagi Faezah Che Omar, 23, yang juga mengambil diploma dalam bidang sama menjadikan kemiskinan keluarganya sebagai semangat untuk dia belajar bersungguh-sungguh bagi membantu keluarganya.


“Ayah saya penoreh getah, manakala ibu tanam sayur untuk dijual secara kecil-kecilan di Kuala Berang, Terengganu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Belajardanberserah/Article

Balas jasa ibu

2010/05/31

SHAH ALAM: Seorang anak peniaga kedai runcit tidak menjadikan kemiskinan dalam hidupnya sebagai alasan untuk tidak berjaya, sebaliknya dia menjadikan kekurangan itu sebagai pendorong untuk belajar bersungguh-sungguh, sekali gus menerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-72 di Dewan Seri Budiman di sini, kelmarin.

Pada konvokesyen itu, Siti Humaira Ramly, 26, dikurniakan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni dan Seni Reka.


Beliau mencatat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.84 untuk melayakkannya menerima Anugerah Naib Canselor iaitu anugerah tertinggi yang diberikan UiTM kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran diambil.


Ditemui selepas konvokesyen, Siti Humaira berkata, kepayahan ibunya bekerja membesarkannya dan seorang adik menyebabkan dia ingin membalas jasa dan pengorbanan ibunya.


“Ayah meninggal dunia ketika usia saya baru 15 tahun dan selepas itu, ibu meneruskan perniagaan kedai runcit berkenaan kerana ayah pernah berpesan selagi sihat tubuh badan jangan tutup kedai itu.


“Atas dasar tanggungjawab yang diberikan, setiap hari ibu akan bangun seawal jam 4 pagi untuk membeli barangan basah di pasar besar sebelum memulakan perniagaan sehingga jam 7 malam,”
katanya yang memakai pakaian dan aksesori pemberian ibu saudara untuk nampak cantik ketika menerima ijazahnya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Balasjasaibu/Article

Pukul isteri tuntut cerai

2010/05/31

AMPANG: Kerana tidak berpuas hati dengan isterinya, seorang lelaki bertindak luar dugaan apabila membelasah wanita terbabit bertubi-tubi ketika berada di Mahkamah Syariah Gombak Timur, di sini, Rabu lalu.

Mangsa yang juga seorang guru ditumbuk tanpa belas kasihan dan kejadian terbabit berlaku dari luar mahkamah hingga ke dalam mahkamah, dan turut disaksikan peguam serta bapa mentuanya.


Malah, lelaki berkenaan biadab apabila turut mengugut bapa mentuanya yang mahu menolong anak perempuannya yang ketika itu dibelasah.


Bagaimanapun, ‘drama’ aksi ganas itu berakhir tidak lama kemudian apabila polis menahan lelaki terbabit selepas menerima panggilan kakitangan mahkamah berkenaan. Menurut sumber polis, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 9.15 pagi ketika pasangan itu di mahkamah berkenaan menyelesaikan proses perceraian mereka.


“Bagaimanapun, lelaki berkenaan yang ketika itu berada dalam mahkamah keluar sebelum isterinya yang ternampak kelibat lelaki terbabit cuba melarikan diri.


“Namun, suaminya itu terus mengejar dan sebaik menghampiri wanita itu dia melepaskan tumbukan bertubi-tubi tanpa belas kasihan,”
katanya.


Katanya, ketika kejadian, bapa mentua lelaki terbabit turut campur tangan, namun dia diugut mendapat habuan sama dengan anak perempuannya membuatkan bapa mentua hanya mampu mendiamkan diri.


“Mujur seorang rakan mangsa membantunya sebelum wanita terbabit melarikan diri dengan masuk dalam mahkamah.


“Sejurus masuk ke mahkamah, wanita terbabit duduk berhampiran peguamnya kerana terlalu takut melihat kelakuan ganas lelaki terbabit,”
katanya.


Menurutnya, sangkaan wanita yang dia akan lebih selamat ketika berada dalam mahkamah ternyata meleset apabila suaminya yang masih tidak berpuas hati terus menghampirinya.


“Sejurus menghampiri mangsa dan juga peguamnya, lelaki terbabit melepaskan beberapa tumbukan lagi yang terkena kepala wanita terbabit.

“Mangsa kemudian diminta peguamnya itu masuk ke sebuah bilik untuk mengelak daripada dibelasah sementara beberapa orang cuba mengawal lelaki berkenaan,” katanya.


Sumber terbabit berkata, kakitangan mahkamah terpaksa menghubungi polis disebabkan tindakan ganas lelaki terbabit yang mencetuskan huru-hara di mahkamah sebelum ditahan.


“Berikutan dipukul, mangsa mengalami beberapa kecederaan di muka serta matanya lebam selain kesakitan di leher,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan wanita itu.

Menurutnya, lelaki berusia 38 tahun ditahan, namun dia dibebaskan kelmarin selepas siasatan dan segala keterangannya diambil. “Kami menjalankan siasatan kes ini mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pukulisterituntutcerai/Article

Terap unsur keagamaan dalam majlis keraian

2010/05/31

KUALA LUMPUR: Budaya keraian seperti sambutan tahun baru dan majlis hari keluarga bagi umat Islam di negara ini perlu diubah dengan menerap dan menyelitkan unsur keagamaan termasuk doa selamat, tazkirah, sembahyang sunat dan sesi tahlil bagi menguatkan jiwa generasi muda supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan pujuk rayu menyesatkan.

Penceramah terkemuka, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata, jiwa anak muda yang kosong tanpa pengisian agama termasuk kejahilan ibu bapa dalam membesarkan anak menyebabkan generasi masa kini mudah terpengaruh dengan ajakan rakan yang sudah terpesong, selain pengaruh media dan Internet.


Beliau berkata, pendekatan unsur keagamaan termasuk menerapkannya dalam majlis yang sering dianjurkan seperti sambutan tahun baru serta hari keluarga mampu memberi suntikan positif kepada generasi muda berbanding jika mereka terdedah kepada sambutan ala Barat.


Selain itu, katanya, kebanyakan ibu bapa gagal mendidik anak mengikut tahap umur bersesuaian kerana tiada ilmu selain terlalu sibuk dengan pekerjaan.


Dr Mohd Fadzilah merujuk laporan Metro Ahad semalam mengenai kegiatan tiga remaja di negeri berlainan yang sanggup dibayar serendah RM5 atau diumpan syabu berikutan ketagihan seks selain alasan mendapatkan wang saku.


“Kasih sayang saja tidak cukup dan anak tidak boleh dibiasakan menerusi kemewahan tanpa diseimbangkan dengan didikan bersepadu dari semua segi.


“Apabila pengaruh ibu bapa lemah, maka anak akan mudah terpengaruh dengan unsur luar yang negatif seperti ajakan rakan, pengaruh media dan Internet.


“Ulama berkata, hancurnya anak muda masa kini disebabkan tiang serinya yang rosak. Yang dimaksudkan tiang seri itu ialah kepemimpinan ibu bapa, masyarakat dan negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Beliau berkata, remaja yang sudah terjerumus ke dalam kancah maksiat termasuk seks bebas akan mula ketagih tetapi mereka boleh dibimbing dengan cara mengajak mereka bersembahyang taubat dan mengajar mereka mengangkat tangan berdoa minta dijauhkan daripada maksiat setiap kali mempunyai keinginan untuk melakukan perbuatan itu.


Laporan semalam mendedahkan tiga remaja perempuan itu sanggup membiarkan tubuh dijamah lelaki asalkan apa yang dihajati dapat dipenuhi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terapunsurkeagamaandalammajliskeraian/Article

Tindakan luar fitrah

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
2010/05/31

KUALA LUMPUR: Fitrah seorang wanita hanya boleh menyayangi seorang lelaki hingga tahap rela menyerahkan ‘mahkota’ dirinya kepada lelaki itu tetapi jika sebaliknya, ia mengalami masalah jiwa rosak dan perlu dibantu segera oleh segenap lapisan masyarakat tanpa prejudis.

Penceramah terkemuka, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata perbuatan wanita yang sanggup merelakan dirinya melakukan seks dengan sebarang lelaki atau ramai lelaki menunjukkan tindakan luar fitrah, sekali gus membuktikan dia mengalami masalah jiwa yang memerlukan bantuan.


Beliau berkata, secara fitrahnya, seseorang wanita hanya rela melakukan hubungan seks dengan seorang saja lelaki yang sangat disayanginya dan selalunya ia suaminya, bukan sekadar untuk berseronok tetapi bertujuan menzahirkan rasa cinta yang ada dalam hati kepada lelaki berkenaan.


“Tetapi ada kemungkinan seseorang wanita sanggup melakukan hubungan seks dengan lelaki lain disebabkan sudah hilang rasa cinta terhadap suami yang zalim, tidak bertanggungjawab hingga menyebabkannya menagih kasih orang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Beliau merujuk kepada laporan Harian Metro Sabtu lalu mengenai seorang wanita yang mengaku pernah diperkosa bergilir-gilir sekumpulan 15 lelaki pada tujuh tahun lalu, mendakwa kini ketagih seks dengan menjadikan suami orang sebagai sasaran memuaskan nafsunya.


Lebih mengejutkan, wanita kemaruk seks itu hanya memburu suami orang yang gemar ‘makan luar’ untuk mencurahkan perasaan dan mendapatkan belaian kasih sayang sebelum meninggalkan ‘mangsanya’ selepas apa dihajati tercapai. Dr Mohd Fadzilah berkata, masyarakat secara amnya dan keluarga secara khusus perlu menghulurkan bantuan termasuk sokongan dari segi psikologi kerana wanita seperti itu dalam kategori ‘sakit’ secara rohaniah dan mereka perlu diberi bimbingan langkah demi langkah supaya dapat kembali ke pangkal jalan.


“Kita perlu mencari punca masalah terlebih dulu dan berikan apa yang kekurangan contohnya belaian kasih sayang kemudian membimbingnya dengan cara mengajaknya menunaikan solat, sembahyang taubat dan mendengar tazkirah.


“Masyarakat perlu benci perbuatannya tetapi jangan membenci atau menghinanya dan bawalah dia ke pangkal jalan dengan membimbingnya dan memujuk secara kaunseling,”
katanya.


Beliau berkata, tiga pendekatan boleh diambil bagi menangani masalah jiwa rosak di kalangan wanita sedemikian iaitu merawat mereka yang sudah terjebak, mencegah sebelum mereka sempat terbabit dalam kancah maksiat dan mencegah daripada awal perkara maksiat terus berlaku.


Katanya, cara terbaik menangani perbuatan maksiat yang makin menjadi-jadi di kalangan umat Islam ialah kembali semula kepada ajaran Islam iaitu mengukuhkan asas agama yang rapuh sebelum ini dengan cara menjaga ibadat solat.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tindakanluarfitrah/Article

Ugut wanita hamil angkara rasuah seks

2010/05/31

MELAKA: Seorang pegawai kanan kerajaan kini disiasat polis berhubung satu laporan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita yang juga seorang pengusaha gerai makanan di sebuah daerah di negeri ini berhubung skandal seksnya.

Menurut sumber, pegawai terbabit meminta habuan seks untuk menolong mangsa memperoleh tapak sebuah rumah kedai bagi tujuan membuka perniagaan gerai berkenaan dan mangsa bersetuju dengan permintaannya itu.


Sumber berkata, pegawai itu dan wanita terbabit kemudiannya bersetuju berjumpa kali pertama di satu tempat sebelum mereka dikatakan melakukan hubungan seks.


Selepas hubungan kali pertama itu, mangsa memperoleh apa yang dikehendakinya sebelum kedua-dua mereka bertemu sekali lagi di satu tempat dan melakukan hubungan seks.


Bagaimanapun, sumber berkata, selepas pertemuan kali kedua itu, mangsa kemudiannya mendapati dirinya tidak datang haid dan dipercayai mengandung anak hasil hubungan dengan pegawai terbabit.


“Perkara itu sampai kepada pengetahuan pegawai kanan kerajaan terbabit menyebabkan dia terkejut dan panik. Dipercayai bimbang rahsia hubungan sulitnya dengan mangsa terbongkar, pegawai berkenaan mendesak wanita itu menggugurkan kandungannya.


“Begitupun, mangsa enggan menuruti permintaan pegawai terbabit biarpun didesak dan diugut beberapa kali,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ugutwanitahamilangkararasuahseks/Article

Kejutan belakang bilik mayat

2010/05/31

MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu ditemui ditinggalkan oleh individu tidak bertanggungjawab di belakang Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), petang kelmarin.

Difahamkan, bayi terbabit ditinggalkan agak lama sebelum ditemui oleh seorang orang awam berusia 40-an kira-kira jam 4.30 petang yang kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk melawat ahli keluarganya sebelum dia menghubungi pihak polis.


Sumber berkata, bayi terbabit ditemui dibalut dengan sehelai kain batik dan diletakkan di dalam sebuah beg berwarna merah bertulis ‘Parkson’ yang turut dilapik dengan tilam nipis.


“Bayi terbabit kemudiannya dibawa polis yang bertugas di pondok hospital ke Jabatan Kecemasan untuk pemeriksaan kesihatan. Bayi terbabit sudah tidak mempunyai tali pusat dan selamat serta keadaannya adalah sihat,” katanya.


Sumber berkata, bayi berkenaan kini diletakkan dalam pengawasan pihak hospital bagi memastikan keadaan kesihatannya benar-benar terjamin sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan selanjutnya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi berkenaan.


Beliau berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu yang terbabit meninggalkan bayi berkenaan untuk tindakan.


Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian dalam menjaga kanak-kanak yang berada dalam jagaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.


Salehhudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan polis.


Ini adalah kes kedua berkaitan bayi yang berlaku dalam bulan ini.


Pada 18 Mei lalu, akhbar ini melaporkan satu pasangan remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dan menanam mayat seorang bayi lelaki di tepi sungai di Taman Melaka Baru, Batu Berendam pada 12 Mei lalu.

Ibu bayi itu, seorang pelajar berusia 15 tahun, dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru, di sini, dituduh bersama-sama melakukan kesalahan itu antara jam 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 12 Mei lalu.


>Buang bayi dalam kotak

Oleh Salman Hamat salman@hmetro.com.my

KULAIJAYA: “Kali pertama melihat wajah bayi di dalam kotak susu itu, saya mahu menyelamatkannya malah sepanjang perjalanan ke hospital, saya tidak putus mendoakan bayi yang masih bertali pusat itu panjang umur dan dapat diselamatkan.


“Bagaimanapun, saya terkilan apabila tepat azan Subuh dilaungkan bilal surau hospital, doktor mengesahkan bayi perempuan malang itu sudah menghembuskan nafas terakhirnya walaupun pelbagai usaha dilakukan pasukan perubatan,” kata Zulkifli Samsi, 40, bapa kepada tiga anak menceritakan detik cemas cubaannya menyelamatkan bayi perempuan yang ditemuinya di dalam kotak susu di sebuah hentian bas depan Sekolah Menengah Munsyi Addullah, di sini, jam 4.50 pagi semalam.


Menurutnya, ketika kejadian, dia secara kebetulan melalui jalan berkenaan untuk minum di gerai berhampiran sementara menunggu azan Subuh sebelum berjemaah di surau berhampiran.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila melihat sebuah kereta tiba-tiba berhenti di kawasan berkenaan dalam keadaan tergesa-gesa sebelum memecut laju.


“Dalam keadaan samar-samar, saya dapat melihat kelibat manusia keluar daripada kereta terbabit sambil membawa sesuatu, dengan kelam-kabut dia terus meletakkan objek di hentian bas sebelum memecut laju ke arah Johor Bahru.


“Sifat ingin tahu menyebabkan saya berhenti dan mendapati sebuah kotak ditinggalkan di situ. Saya kemudian mengambil sebatang kayu untuk membuka kotak susu berkenaan sebelum terpandang wajah bayi yang diam membisu di balut menggunakan kain.


“Naluri kebapaan menyebabkan saya tidak berfikir panjang dan terus mengambil kotak berisi bayi itu dan masuk ke dalam kereta menuju ke Hospital Kulai (HK),” katanya.


“Ketika bayi itu dirawat, saya dapat melihat jarinya bergerak sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya menjalankan siasatan berhubung penemuan bayi itu. “Hasil siasatan awal bayi perempuan itu dipercayai berketurunan Melayu dan kami percaya dia dilahirkan dalam tempoh 24 jam.


“Ketika dirawat tali pusatnya masih lengkap dia hanya dibalut menggunakan kain tanpa baju serta ditinggalkan dalam kotak berkenaan.


“Berikutan itu kami memohon bantuan orang ramai membantu siasatan kes ini serta mengesan ibu dan individu bertanggungjawab melakukan perkara tidak berperikemanusiaan itu,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat bayi secara sulit.


Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian Hotline Polis Johor 07-2212999 atau 07-6637222.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kejutanbelakangbilikmayat/Article

Pontianak balai polis

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
2010/05/31

BETONG: Kelibat wanita berpakaian putih dan berambut panjang yang dikaitkan dengan pontianak didakwa sering mengganggu anggota dan pegawai polis bertugas pada waktu malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baru Betong di sini, sejak sebulan lalu.

Ia berlaku beberapa hari selepas IPD berkenaan berpindah ke lokasi barunya iaitu kira-kira dua kilometer dari Jalan Kuek Huat Wee bersebelahan Stadium Betong, April lalu. Betong terletak kira-kira 150 kilometer dari Kuching.


Sejak itu, satu demi satu kejadian menyeramkan dialami anggota bertugas apabila mereka mendakwa ternampak wanita misteri dalam lokap di IPD baru berkenaan.


Malah, kejadian itu berlarutan beberapa hari selepas itu dengan anggota lain turut mendakwa melihat kelibat lembaga terbabit ‘menyamar’ rakan setugas mereka.


Menurut sumber, lembaga terbabit kelihatan berlegar-legar di IPD itu namun tidak menjawab apabila ditegur.


“Wajahnya sama dengan seorang anggota bertugas di sini. Apabila ditegur untuk diberikan tugas seperti diarahkan pegawai atasan, ‘anggota’ terbabit hanya mendiamkan diri,” katanya.


Beliau berkata, anggota polis berkenaan hanya menyedari jelmaan itu selepas menghubungi rakannya untuk memaklumkan tugas yang perlu diselesaikan.


“Kejadian seumpama itu kerap berlaku sejak IPD berpindah ke sini. Ada anggota polis memberitahu ketika bertugas pada waktu malam, mereka diganggu seorang wanita yang menjelma dengan berpakaian serba putih dan berambut panjang.


“Malah, ia turut dilihat berada di kerusi pegawai atasan dan ada anggota hampir pengsan apabila mereka disergah makhluk halus itu,”
katanya.


Dalam kejadian terbaru minggu lalu, seorang anggota penyiasat hampir pengsan dan terpaksa melompat dari tingkap dua bangunan berkenaan selepas melihat lembaga itu berdiri di depannya.


“Ketika itu, saya hendak keluar dan mengunci pintu kaca di pejabat. Tiba-tiba saya nampak seseorang berlari di belakang saya. Saya nampak jelas menerusi pintu kaca dan terus beristighfar.

“Ketika mahu membuka suis lampu berdekatan, tiba-tiba lembaga itu berdiri di depan saya dengan rambut berjuntai ke lantai,” katanya.


Difahamkan, pihak IPD terpaksa mendapatkan khidmat seorang ustaz untuk ‘menangkap’ lembaga terbabit.


Menurutnya, ustaz berkenaan memaklumkan lembaga terbabit ‘tidak tenteram’.


“Kami dimaklumkan, tempat ini pernah menjadi tempat pembunuhan yang menyebabkan lembaga itu melakukan gangguan. Ketika hayatnya, lembaga itu dipercayai dirogol dan dibunuh di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan, Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Beliau berkata, tiga anggotanya diganggu lembaga itu sejak bulan lalu dengan kali terakhir berlaku minggu lalu.


“Saya akui perkara ini berlaku dan kami sudah berikhtiar untuk memulihkan keadaan. Kami memanggil seorang ustaz dengan harapan ia tidak berulang,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pontianakbalaipolis/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...