Saturday, June 26, 2010

Kehamilan Remaja Meningkat dengan 111 Kes Tahun Ini

Sabtu Jun 26, 2010

PETALING JAYA: Kehamilan di kalangan remaja menjadi trend yang membimbangkan di seluruh negara berikutan peningkatan jumlah gadis mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung masalah ini.

Sehingga April, JKM menerima 111 laporan berkaitan kes seumpama itu. Jumlah berkenaan naik mendadak berbanding 131 kes

Dilaporkan bagi sepanjang tempoh tahun lalu. Pada 2008, seramai 107 gadis bawah umur mengandung.

Mangsa ditempatkan di Taman Seri Puteri, pusat pemulihan dan perlindungan yang menawarkan latihan untuk golongan muda,

khasnya gadis remaja yang menghadapi masalah sosial.

Statistik oleh JKM ini hanya merupakan sebahagian kecil dari permasalahan sebenar, menurut Ketua Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong.

"Banyak kes dibiarkan tanpa laporan," katanya, sambil menyebut bahawa keluarga di Malaysia melihat masalah itu sebagai memalukan.

Tidak seperti filem Juno pada tahun 2007 tentang kehamilan remaja, tidak ada penyelesaian ala Hollywood bagi gadis yang berakhir dengan kehamilan di negara ini.

"Mereka hilang arah dan sebahagiannya lari daripada rumah. Manakala yang lainnya mengambil jalan mudah membuang bayi," tambah Chong.

Beliau berkata, tahun lalu dia sendiri mengendalikan empat kes serupa tahun lalu dan tiga kes lagi tahun ini.

"Sebilangan remaja mengambil keputusan membuat pengguguran haram apabila mendapati diri hamil. Sebab inilah kita sukar mengumpul data sebenar," jelasnya.

Chong berkata, ramai di antara gadis terbabit mengadakan hubungan seks dengan teman lelaki atas tanggapan salah bahawa mereka sedang dilamun cinta.

Mengenai kaedah mengendalikan kes tersebut, kata Chong, beliau tidak akan membuat laporan polis sekiranya pasangan terbabit sanggup berkahwin.

"Sangat menyedihkan untuk melihat remaja lelaki dipenjarakan atas kesalahan ini. Kita tidak mahu dia menanggung risiko kehilangan masa depannya.

"Bagaimanapun, saya akan mengadu kepada polis jika terdapat unsur kes disyaki rogol," tegasnya.

Di Amerika syarikat (AS), statistik menunjukkan kehamilan di kalangan gadis berusia antara 15 dan 19 tahun meningkat sebanyak 3 peratus dari 2005 hingga 2006.

Tiga hari lalu, akhbar berbahasa Cina di Pulang Pinang melaporkan tentang seorang kanak-kanak berusia 9 tahun melahirkan bayi lelaki.

Dia dipercayai mengadakan seks dengan remaja berusia 14 tahun yang tinggal bersebelahan rumahnya.

Pihak berkuasa, bagaimanapun, enggan mengesahkan laporan tersebut.

Semalam, laporan Harian Metro menyebut, dua gadis berusia 15 tahun yang melahirkan bayi di Kuala Lumpur, minggu lalu, membuat rayuan kepada pihak polis agar tidak mengambil tindakan ke atas teman lelaki masing-masing.

Salah seorang daripadanya, yang bersalin Sabtu lalu, memberitahu akhbar berkenaan bahawa dia mengenali teman lelakinya yang berusia 30-an, Ogos tahun lalu.

Pasangan itu mengadakan hubungan seks dua bulan kemudian.

Katanya, dia berhenti sekolah setelah mendapati dirinya hamil dan keluarga mereka bersetuju bahawa dia dan teman lelakinya harus dikahwinkan.

Sementara seorang lagi gadis yang melahirkan anak Selasa lalu pula mengakui dia dan pasangannya, juga teman sekolah gadis itu, mula mengadakan hubungan intim Mei tahun lalu.

Dia mendakwa keluarganya tahu tentang kehamilan itu dan memberi keizinan kepada mereka untuk berkahwin.

Kedua-dua gadis tersebut juga mendakwa teman lelaki masing-masing sanggup memikul tanggung jawab atas bayi mereka.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan laporan oleh doktor.

Katanya, disebabkan laporan membabitkan remaja, kes itu akan disiasat mengikut Akta Kanun Keseksaan Seksyen 376 kerana merogol.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/6/26/mstar_berita/20100626131922&sec=mstar_berita

Dr Asri Isytihar Kekal Ulama Bebas, Tidak Sertai Parti Politik

Published: Sabtu Jun 26, 2010 MYT 10:25:00 AM
Updated: Sabtu Jun 26, 2010 MYT 12:25:42 PM

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang diuar-uar akan menyerahkan borang sebagai ahli Umno malam tadi menegaskan beliau tidak menyertai mana-mana parti buat masa ini.

"Ingin saya tegaskan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya sehingga kini tidak menyertai mana-mana parti politik.

"Sokongan saya adalah kepada kebenaran dan fakta tanpa mengira batasan parti, kaum atau agama. Itulah prinsip Islam yang adil untuk semua," katanya dalam kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dihantar kira-kirapukul 10.35 pagi ini.

Pada masa yang sama, kata ulama muda itu, beliau menghormati mana-mana pihak untuk melakukan dakwah khususnya dalam parti politik.

"Saya tidak berhasrat untuk membuat kenyataan yang panjang lebar dalam hal ini demi menjaga perasaan sahabat-sahabat saya dan pihak-pihak lain.

"Apa yang penting ialah saya tidak menyertai mana-mana parti politik dan tidak bercadang untuk memilih jalan itu buat masa ini," tegas beliau.

Malam semalam gembar-gembur bekas Mufti Perlis itu akan menyertai Umno tidak menjadi kenyataan apabila beliau tidak muncul pada majlis penyerahan borang keahlian malam semalam sejurus sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat parti itu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) .

Sebaliknya yang muncul pada majlis berkenaan ialah 40 orang pendakwah muda yang menyerahkan borang keahlian mereka kepada Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam pada itu Ahli MT, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Mohd Asri akan menyertai Umno pada fasa kedua sedikit masa lagi.

"Penyertaan golongan ulama muda ini adalah secara berperingkat...insyaAllah Dr Asri akan termasuk dalam peringkat kedua tidak lama lagi.

"Kita harus ingat, dalam Umno ada dua kategori, yang pertama adalah ahli Umno seperti saya dan yang kedua ialah penyokong Umno... buat masa ini Dr Asri ada dalam kumpulan itu (penyokong)," katanya.

Kesemua ulama muda itu akan didaftarkan menjadi ahli Umno Cawangan Dataran Merdeka. Selain itu, mengulas lanjut mengenai penyertaan golongan ulama itu, Shahidan berkata, kemasukan mereka ke dalam Umno bukan untuk mengancam mana-mana pihak.

"Kita beri peluang yang besar kepada mereka untuk sebarkan Islam sama ada kepada umat Islam sendiri mahupun kepada yang bukan Islam... mereka bukan untuk mengancam mana-mana pihak.

"Penyertaan mereka akan memberi impak yang besar kepada kepada umat Islam," katanya.

Sementara itu, pada sidang media yang sama, ketua kumpulan ulama berkenaan, Fadlan Mohd Othman berkata, tujuan mereka menyertai Umno adalah bagi menyemarakan aktiviti dakwah dalam parti itu.

"Kami menyertai Umno bukan berlandaskan politik, tapi dengan tujuan untuk berdakwah...selepas beberapa perbincangan dibuat, kami dapati ada positifnya (sertai Umno) kerana ia lebih kepada bentuk kerjasama," katanya yang juga merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ditanya sama ada kemasukan mereka ke dalam Umno ada kaitan dengan isu Jemaah Islamiah (JI) yang dikaitkan dengan golongan ulama, beliau bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.

Seorang lagi ulama, Penasihat Agama Institut Jantung Negara (IJN), Fathrul Bari Mat Jahaya berkata mereka memilih Umno sebagai medium dakwah berdasarkan janji yang diberikan pemimpin tertinggi parti itu untuk memastikan para ulama dan ilmuan muda meneruskan dakwah.

"Jadi tawaran seperti ini memang dinantikan oleh kumpulan ini, sebagai seorang yang memiliki ilmu, memang menjadi tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat," katanya.

Tambahnya, ia selaras dengan firman Allah dalam al-Quran yang menyeru supaya umatnya keluar mencari ilmu di mana sahaja supaya sekembalinya nanti ke tanahair dapat menyebarkan ilmu yang diperolehinya kepada masyarakat.

"Maka kami yang dibenarkan oleh kerajaan untuk keluar menuntut ilmu di luar negara sehingga ke Mesir, Jordan, Madinah dan sebagainya... kepulangan kami dinanti-nanti oleh masyarakat untuk menyampaikan ilmu.

"Tapi sekiranya berlaku sekatan dalam menyampaikan ilmu, maka pengajian kami selama ini menjadi sia-sia... maka peluang yang diberikan Umno merupakan satu peluang keemasan," katanya.

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/6/26/mstar_berita/20100626102007&sec=mstar_berita

'Saya lapar'

Oleh Mustafa Ngah Mansor
am@hmetro.com.my
2010/06/26

TELUK INTAN: “Emak, saya mahu balik cepat. Saya lapar. Sudah empat hari empat malam tidak makan,” kata Dewi Kartini Ibrahim, 17, sebaik bertemu ibunya, Fatimah Sulaiman, 50, sebelum kedua-dua mereka berpelukan dan menangis di Balai Polis Teluk Intan, semalam.

Sebelum ini, Dewi Kartini dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah sejak petang Selasa lalu selepas keluar ke bandar Teluk Intan mencari kelengkapan sekolah.


Dia kemudian ditemui dalam keadaan tidak terurus dan tidak bermaya di stesen bas Bandar Baru Teluk Intan kira-kira jam 2.45 petang semalam oleh beberapa anggota polis.


Selepas empat hari menghilangkan diri dan kisahnya dipaparkan di beberapa akhbar tempatan kelmarin, Dewi Kartini, pelajar sebuah sekolah menengah di Seberang Perak di sini menghubungi ibunya kira-kira jam 2 petang semalam dan meminta mengambilnya di stesen bas berkenaan.


Fatimah berkata, dia terkejut sebaik menerima panggilan daripada anaknya sebelum memaklumkan perkara itu kepada suami, Ibrahim Hassan, 51.


Menurutnya, dia dan suami terlebih dulu dihubungi polis supaya mengambil anaknya di stesen bas sebelum bergegas ke balai berkenaan.


“Saya bersyukur kerana anak selamat dan berterima kasih dengan semua pihak termasuk media kerana membantu mengesan Dewi Kartini termasuk polis.


“Pada masa ini, Dewi Kartini dalam keadaan baik, cuma banyak termenung dan kurang bercakap mungkin kerana masih terkejut dengan kejadian menimpanya,”
katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Jejawi di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayalapar/Article

Ke mana hilangnya Dewi Kartika?


IBRAHIM menunjukkan gambar Dewi Kartika di rumahnya di Kampung Gajah semalam.


PARIT - Seorang bapa tidak dapat menahan perasaan gelisah selepas anak gadisnya, Dewi Kartika Ibrahim, 17, menghilangkan diri tanpa berita sejak Selasa lalu.

Ibrahim Hassan, 50, berkata, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil Shah, Seberang Perak itu tidak pulang ke rumah selepas keluar dengan seorang rakan perempuan di pusat bandar Teluk Intan dekat sini.

"Pada kira-kira pukul 4 petang Selasa lalu, Dewi Kartika beritahu mahu berjumpa dengan kawan perempuannya sambil membeli beberapa peralatan sekolah di Teluk Intan.

"Dia menunggang motosikal hingga di tebing Sungai Perak dan menyeberang ke Teluk Intan dengan bot penambang. Namun hati saya tidak sedap apabila dia tidak pulang hingga ke malam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Jejawi, Kampung Gajah dekat sini semalam.

Ibrahim berkata, gerakan mencari gagal menemui kelibat Dewi Kartika dan sekadar menjumpai motosikal yang ditinggalkan anaknya itu di tebing Sungai Perak.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0625&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Hidup terbiar disisih 4 anak

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
2010/06/26

ALOR GAJAH: Seorang warga emas kini hidup sebatang kara apabila mendakwa disisihkan empat anak lelakinya selepas berpisah dengan bekas isteri akibat mengalami penyakit urat saraf kira-kira 19 tahun lalu.

Lelaki berkenaan, Subuh Baba, 70, dari Kampung Kundur, Padang Sebang, di sini, turut mendakwa keputusan melepaskan isterinya terpaksa dibuat selepas dicabar keluarga mentuanya.

Subuh yang berasal Singapura, berkata dia mengahwini bekas isterinya itu selepas beberapa tahun merantau ke negara ini bagi mencari rezeki dan mereka dikurniakan empat anak lelaki.

Bagaimanapun, katanya, dia kemudian diserang penyakit urat saraf sehingga tidak mampu bekerja selain gagal memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri sehinggakan wanita berkenaan terpaksa bekerja di sebuah kilang untuk menambah pendapatan keluarga.


“Bagaimanapun, isteri mula buat perangai sebelum meninggalkan saya bersendirian sehinggalah keluarganya meminta saya melepaskan anak mereka.


“Akibat tiada pilihan, saya terpaksa berbuat demikian kerana tidak mampu melawan kehendak takdir kerana tidak sanggup menanggung derita dengan perbuatan isteri sedangkan hubungan kami tidak berdepan dengan sebarang masalah,”
katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Menurutnya, lebih memilukan apabila keempat-empat anaknya yang kini berusia antara 35 dan 41 tahun yang ditatang bagai minyak penuh ketika kecil menyisihkan dirinya tanpa sebarang khabar berita hingga menambahkan lagi penderitaan yang ditanggung.


Menurutnya, anak memberi alasan dirinya tidak memberi tumpuan kepada mereka sejak kecil sedangkan dia bekerja di Singapura dan hanya akan pulang menjenguk keluarganya setiap enam bulan sekali.


“Akibat itu, saya kini hidup sebatang kara dengan menghabiskan sisa hidup di rumah pusaka peninggalan bekas mentua dan mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM230 sebulan selain baucar makanan bernilai RM150 daripada Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

“Hendak harap pemberian anak memang tak adalah, kalau ada pun apabila tiba Aidilfitri, tetapi mereka tidak masuk ke rumah mungkin kerana malu melihat keadaan saya yang mendiami rumah usang ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hidupterbiardisisih4anak/Article

Amah kena penjara

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my
2010/06/26

KUANTAN: Seorang pembantu rumah berusia 17 tahun yang menikam majikannya hanya kerana berang selepas wanita berkenaan memintanya membancuh susu, kira-kira dua tahun lalu, diperintah oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjalani hukuman penjara sehingga diperkenan Sultan Pahang.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir, memerintahkan hukuman berkenaan ke atas gadis berasal dari Pontianak, Indonesia itu mengikut peruntukan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001.


Akhtar dalam penghakimannya berkata, beliau membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan kedua-dua hujah pendakwaan dan pembelaan serta mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh ketika kejadian berusia 15 tahun.


Mengikut kertas pertuduhan, remaja perempuan terbabit dituduh melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Miati Bakri yang ketika kejadian berusia 69 tahun pada 11 November 2008 antara jam 1.30 petang hingga 2.30 petang di No 3, Lorong Sungai Karang Maju 7, Taman Sungai Karang Darat 2, di sini.


Bagi kesalahan itu, pembantu rumah berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Difahamkan, pada hari kejadian mangsa yang uzur meminta tertuduh ketika itu sedang menonton televisyen membancuh susu.


Namun, tertuduh yang berang enggan berbuat demikian dan bertindak di luar batasan apabila menikam dada warga emas berkenaan ketika mereka tinggal berdua di rumah itu berikutan anak dan menantu mangsa bekerja.


Selepas menikam mangsa, tertuduh melarikan diri meninggalkan warga emas itu yang rebah berlumuran darah di depan kediaman berkenaan sebelum ditahan polis pada hari sama tidak jauh dari tempat kejadian.


Tertuduh diwakili peguam Raftfizi Zainal Abidin dan BG Jayaprakash Rao, manakala pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwaraya Kalmizah Salleh dan Heng Yeng Loo.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amahkenapenjara/Article

2 tahun ditipu ‘suami’

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin dan Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my
2010/06/26

SEGAMAT: Dengan alasan Masjid Putrajaya ditutup sempena sambutan Hari Wilayah 2008, seorang wanita ditipu suami sendiri apabila dia ‘dinikahkan’ oleh rakan karib suaminya di sebuah rumah flet di Shah Alam, Selangor.

Lebih malang, wanita berusia 26 tahun itu hanya mengetahui kisah benar di sebalik majlis pernikahannya dengan ‘suami’ berusia 55 tahun itu selepas anaknya yang berusia dua tahun didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai tidak berbapa kerana tiada sijil nikah.

Lebih membuatkan Siti Amira Mohamad kesal tidak sudah, majlis akad nikah dikendalikan jurunikah palsu itu turut disahkan secara lisan oleh dua saksi yang juga rakan suaminya.

Ketika menceritakan semula majlis pernikahannya di Shah Alam, Siti Amira berkata, pada mulanya dia hairan kerana tempat asal majlis itu sepatutnya diadakan di Masjid Putrajaya, tetapi diubah lokasi ke rumah berkenaan pada saat akhir. “Saya datang bersama rombongan ahli keluarga. Apabila ditanya kenapa tidak dilangsungkan di Masjid Putrajaya, wakil suami memberitahu tempat pernikahan terpaksa diubah berikutan sambutan Hari Wilayah.

“Wakil pihak suami beritahu tiada kadi bertugas di situ (Masjid Putrajaya) selain masjid juga tidak dibuka untuk sebarangan aktiviti keagamaan pada masa itu.

“Tanpa usul periksa, saya hanya mengikut saja rombongan pihak lelaki ke sebuah rumah pangsa dan setibanya kami di situ, kadi nikah kahwin sudah pun menunggu termasuklah bakal suami,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Amira berkata, akibat terlalu teruja mahu dinikahkan segera, dia langsung tidak memeriksa kesahihan kadi yang bakal menikahkan mereka.


“Namun, selepas dua tahun melahirkan anak serta ditinggalkan suami ‘gantung tidak bertali’, barulah saya sedar kadi bertanggungjawab menikahkan saya adalah rakan karibnya (suami),” katanya.

Penipuan itu hanya disedari mangsa apabila dia pergi mendaftarkan kelahiran anaknya itu di pejabat JPN, di sini.


Beliau terkejut apabila anaknya itu diberikan status tiada berbapa berikutan ketiadaan sijil perkahwinan diberikan ketika proses pendaftaran itu. “Saya musykil dan menghubungi suami, namun dia kata sijil perkahwinan masih tidak diperoleh.


“Saya pun percaya dan menunggu sehingga kini, kemudian barulah sedar rupanya majlis pernikahan yang berlaku dua tahun lalu adalah komplot dirancang secara teliti oleh suami,” katanya. Siti Amira berkata, suami sengaja mengubah tempat pernikahan dijadualkan di Masjid Putrajaya itu semata-mata untuk mengadakan majlis nikah palsu itu.

Katanya, beberapa rakan suami gelap itu turut bersubahat dengan lelaki terbabit malah seorang daripada mereka turut bertindak menyamar sebagai kadi daerah.


“Saya pada masa itu langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana ada dokumen yang ditandatangani sebagai syarat setuju untuk bernikah diambil oleh ‘kadi’ terbabit,” katanya.


Siti Amira berkata, perkahwinan itu juga diraikan dalan sebuah majlis yang diadakan selepas seminggu mereka dinikahkan dengan dihadiri lebih 1,000 jemputan.


Menurutnya, kegembiraan majlis perkahwinan juga tidak kekal lama kerana sebaik selesai kenduri itu, dia datangi dua lelaki yang menuntut hutang barangan yang digunakan pada majlis berkenaan.


Dia hairan kerana suami gelapnya itu memberitahu dia sudah melangsaikan segala hutang berkaitan sebelum kenduri diadakan.


Namun, katanya, akibat pembohongan itu, beliau dan keluarga terpaksa bergadai barang kemas bagi melangsaikan segala hutang yang dituntut terbabit.

Katanya, suami yang diharapkan membantu, tiba-tiba saja menghilangkan diri selepas sebulan majlis perkahwinan selesai.


“Sejak dari itu saya cuba menghubungi suami, namun semua usaha menemui jalan buntu dan apabila ditanya mengenai sijil perkahwinan dia (suami) memberikan alasan hilang dan sebagainya,” katanya.


Siti Amira melahirkan rasa terkilan kerana suami gelapnya tergamak mempermainkan soal agama semata-mata ingin memenuhi tuntutan nafsunya.


Difahamkan mangsa sudah membuat laporan polis mengenai perkara terbabit dan beliau juga kini dalam tindakan untuk melaporkan kepada pihak jabatan agama daerah berkenaan bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil dalam masa terdekat ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2tahunditipu__8216_suami__8217_/Article

Kecoh tren komuter letup

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
2010/06/26

KUALA LUMPUR: “Suasana dalam komuter menjadi gamat dan kelam-kabut apabila tali kabel elektrik meletup sebelum terbakar berhampiran dengan koc wanita,” kata pekerja swasta, Noor Hafizah Abu Hassan, 28.

Dia yang sarat mengandung lapan bulan berkata, kejadian jam 7.30 malam kelmarin itu berlaku ketika tren dari Sentul ke Pelabuhan Klang itu baru saja berlepas dari Kuala Lumpur Sentral sebelum meletup berhampiran stesen Angkasapuri.


Katanya, sebelum kejadian, perjalanan tergendala selama satu jam menyebabkan penumpang terpaksa berhimpit menaiki komuter lain.


“Komuter berjalan dengan perlahan menyebabkan saya dan penumpang lain berasa tidak sedap hati sebelum kabel elektrik meletup berhampiran stesen Angkasapuri menyebabkan gerabak menjadi senget sebelah.


“Pertama kali dalam hidup, saya melihat orang ramai menjerit seperti diserang histeria, menumbuk, menendang pintu komuter, memecahkan gelas tingkap dan berebut mahu menyelamatkan diri dengan merempuh penumpang lain.


“Kami melompat keluar dari komuter, dengan ketinggian lebih 1.5 meter bagi menyelamatkan diri dan ada penumpang menangis,” katanya.


Menurutnya, walaupun tiada penumpang yang cedera dan tidak mengalami kemalangan jiwa, tetapi kejadian itu menyebabkan dia trauma.


Sementara itu, Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter, Mohd Hider Yusoff @ Othman berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kejadian litar elektrik komuter itu meletup.


Katanya, banyak faktor perlu diteliti seperti gerabak, litar dan sistem talian atas kerana letupan kedengaran berpunca daripada tindak balas sistem berkenaan yang terjejas ketika gerabak melalui kawasan itu.


“Kami memohon maaf kepada pengguna yang terbabit dengan kejadian itu dan kes berkenaan akan diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kecohtrenkomuterletup/Article

Menyamar TNB

Oleh Saipul Adli Mohamad
saipuladli@hmetro.com.my
2010/06/26

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang awam supaya berwaspada dan berhati-hati terhadap pihak yang menawarkan khidmat menguji meter elektrik kononnya bagi mengurangkan jumlah bil bulanan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan TNB semalam, pihak terbabit dipercayai beroperasi secara berkumpulan dan modus operandi kumpulan itu turut membabitkan penyamaran sebagai warga kerja TNB, lengkap dengan peralatan menguji meter elektrik.


“Mereka berpura-pura menguji meter elektrik di premis pengguna dan kemudiannya mengugut dengan menuduh pengguna mencuri elektrik dengan cara mengusik meter. Seterusnya, pengguna ditawarkan bayaran tertentu bagi menutup kes.


“Sekiranya didatangi pihak mencurigakan yang mendakwa sebagai warga kerja TNB, pengguna diminta segera menghubungi pejabat TNB atau balai polis berhampiran,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MenyamarTNB/Article

Ketuk pintu tiga jam

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
2010/06/26

PUTRAJAYA: Seorang pencuci kereta sanggup memaksa teman wanitanya mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji semata-mata membayar denda selepas mereka ditangkap khalwat di sebuah apartmen di Presint 18, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, permintaan lelaki berusia 27 tahun itu tidak dilayan kekasihnya menyebabkan dia meringkuk di Penjara Kajang sejak semalam.


Namun, wanita yang juga seorang pegawai kerajaan itu dibebaskan selepas bapanya memasukkan duit RM3,000 untuk membayar denda.


Pasangan terbabit ditahan pegawai Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) cawangan Putrajaya kerana disyaki berkhalwat kira-kira jam 3 pagi, semalam.


Sebelum itu, pegawai penguat kuasa meminta bantuan polis memotong mangga jeriji besi sebelum memecahkan pintu rumah wanita berkenaan berikutan keengganan penghuninya membuka pintu walaupun diketuk berkali-kali.


Sumber Jawi berkata, dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, pegawai penguat kuasa Jawi menyerbu rumah berkenaan selepas mendapat aduan orang ramai melaporkan penghuni rumah terbabit disyaki berkhalwat.


Bagaimanapun, usaha penguat kuasa mengetuk pintu dan memanggil penghuni membuka pintu gagal, menyebabkan mereka meminta bantuan polis untuk memotong kunci jeriji besi bagi membolehkan mereka masuk ke rumah terbabit.


Sumber berkata, mereka tiba di rumah terbabit kira-kira jam 1 pagi dan menunggu tiga jam sebelum meminta bantuan polis memecahkan pintu rumah berkenaan.


“Ketika serbuan dibuat, kami mendapati lelaki lengkap berpakaian berada di atas katil di bilik tidur utama, manakala wanita berada di dalam bilik air dalam ketakutan.


“Siasatan mendapati kedua-duanya bukan pasangan suami isteri dan lelaki terbabit dipercayai kerap menjadikan apartmen wanita itu sebagai tempat melampiaskan nafsu,”
katanya.


Difahamkan, wanita itu tinggal di rumah terbabit seorang diri selepas beberapa rakannya mengambil keputusan keluar dari rumah itu sejak tiga bulan lalu akibat tidak tahan tindakannya sering membawa teman lelaki balik ke rumah.

Berikutan itu, wanita dan teman lelaki mengambil kesempatan memadu asmara, sebelum dihidu orang awam yang melaporkan kepada pihak berkuasa kerana tidak sanggup melihat maksiat berleluasa di kawasan kuarters kerajaan terbabit.


Sumber berkata, pasangan terbabit dibawa ke Pejabat Jawi Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27, Akta Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 kerana berdua-duaan hingga menimbulkan syak.


“Ketika disoal siasat pasangan itu mengaku sudah tiga tahun berkenalan dan sering mengadakan hubungan seks di rumah terbabit. Mereka dihadapkan ke Mahkamah Syariah dan kedua-duanya mengaku bersalah.


“Mereka dikenakan denda RM3,000 seorang atau penjara 12 bulan. Wanita berkenaan membayar denda bagaimanapun lelaki terbabit mungkin meringkuk dalam penjara selama 12 bulan kerana gagal membayar denda,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ketukpintutigajam/Article

Tak diizin periksa tubuh

2010/06/26

BALING: “Saya dapati ada kesan lebam di bahagian mata kanan arwah ketika mengucupnya buat kali terakhir. Saya juga meminta untuk memeriksa seluruh badannya, tetapi tidak dibenarkan wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hadir mengiringi jenazah ketika itu,” kata Mohd Sobri Mohd Sofian, 41, bapa kepada Mohammad Naim Mustaqim, 16, pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) yang mati dipercayai akibat dibuli dan didera pelajar senior, kelmarin.

Menurutnya, dia terpaksa akur dengan keputusan wakil ATM yang tidak membenarkannya memeriksa badan arwah anaknya itu.


“Mereka kata ikut prosedur tak boleh sebab arwah sudah dikapan dan mereka hanya membenarkan bahagian muka saja dibuka untuk kami menatap wajahnya kali terakhir.


“Saya tidak membantah, tetapi mendapati ada kesan lebam di mata kanan arwah ketika mengucupnya kali terakhir.


“Saya mahu mereka yang bertanggungjawab memukul anak saya dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Lalang, Siong di sini, semalam.


Katanya, dia dan keluarga menerima kejadian itu sebagai takdir, namun kematian Mohammad Naim tetap memerlukan pembelaan bagi memberi teladan kepada orang lain yang mungkin menerima nasib sama pada masa depan. “Arwah adalah anak harapan saya untuk membantu keluarga kami pada masa depan, namun hari ini (semalam) harapan itu hancur berkecai. Sukar bagi saya menerima kejadian itu yang menyebabkan kehilangannya buat selama-lamanya.


“Saya sentiasa impikan satu hari nanti arwah akan pulang ke rumah dengan pakaian seragam seorang pegawai tentera dan berharap dia akan membantu kami dan adik-adik lain untuk berjaya sepertinya,” katanya Harian Metro semalam melaporkan seorang pelajar tingkatan empat MTD meninggal dunia di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT), Kem Sungai Besi di sini, awal pagi kelmarin dipercayai akibat dibuli dan didera pelajar senior.


Mohammad Naim Mustaqim dikatakan pengsan selepas didera kumpulan pelajar senior terbabit antara jam 11.30 pagi kelmarin dan 1.20 pagi semalam di asrama MTD sebelum dikejarkan ke PPAT, namun disahkan meninggal dunia.


Sementara itu, ibu mangsa, Fauziah Abdul Wahab, 45, berkata kali terakhir berjumpa arwah ketika anaknya itu pulang ke rumah sempena cuti sekolah seminggu lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Takdiizinperiksatubuh/Article

1 digantung sekolah, 4 kena tindakan

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/06/26

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar senior Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi di sini, digantung sekolah serta-merta manakala empat rakannya disyaki terbabit membuli seorang pelajar junior sehingga mati Rabu lalu dikenakan tindakan tegas.

Malah, semua mereka kini sudah direman beberapa hari mulai semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Mereka juga bakal dikenakan tindakan di Mahkamah Tentera kerana semua mereka adalah pelajar kolej ketenteraan.


Kelima-lima pelajar berusia 17 tahun itu ditahan sepasukan anggota Provost Marshal dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan tindakan membuli hingga menyebabkan kematian, Mohamad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, sebagai perbuatan jahiliah.


“Kami mengambil tindakan serta-merta dengan menggantung seorang pelajar MTD dipercayai dilihat menendang mangsa, manakala empat lagi akan dikenakan tindakan keras.


“Selain itu, mereka juga akan dikenakan tindakan di mahkamah ketenteraan kerana mereka adalah putera (pelajar kolej ketenteraan),”
katanya ketika menghadiri mesyuarat Agung Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh, semalam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat berkata, penahanan semua pelajar terbabit dilakukan bagi menyiasat sama ada mereka terbabit dalam kes membuli mangsa hingga menyebabkan kematian.


“Polis tidak menolak kemungkinan punca kematian mangsa disebabkan kejadian buli atau dera.


“Kalau dilihat luaran anggota badan mangsa tidak terdapat sebarang luka, bagaimanapun kami akan tunggu keputusan bedah siasat daripada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk tindakan susulan,”
katanya selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, semalam.


Abdul Samah berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis daripada keluarga pelajar berkenaan berhubung kejadian itu.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan kejadian ini yang pertama berlaku dalam tahun ini, namun tidak dinafikan terdapat laporan mengenai pergaduhan membabitkan penuntut institut pengajian tinggi di ibu negara sebelum ini,” katanya.


Semalam Harian Metro melaporkan seorang pelajar MTD Sungai Besi, meninggal dunia dipercayai dibuli sekumpulan pelajar senior selepas kepalanya terhantuk pada lantai sejurus ditendang pelajar senior sehingga tidak sedarkan diri.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/1digantungsekolah_4kenatindakan/Article

Cair janji ‘Kak Ida’



Oleh Murshid Eunos
murshid@hmetro.com.my
2010/06/26

KUALA LUMPUR: Penampilannya cukup meyakinkan. Dengan menggunakan kereta mewah dan memakai perhiasan mahal termasuk berlian serta petah berbicara, wanita berusia 46 tahun ini kelihatan seperti usahawan berjaya.

Tidak hairan ramai cair dengan lakonannya termasuk penyanyi Sharifah Hadijah Wan Mos atau lebih dikenali sebagai Deja Moss.

Penyelewengan dilakukan wanita berstatus janda beranak tiga dipanggil ‘Kak Ida’ itu bukan sembarangan, sebaliknya dirancang teliti dan cukup licik.

Deja kerugian RM10,750 dalam tempoh kurang tiga bulan selepas diperkenalkan kepada wanita itu oleh adiknya.

Dia menyifatkan janda berusia 46 tahun itu penipu cekap.

Berikutan kejadian berkenaan, Deja membuat laporan di Balai Polis Ukay Perdana, di sini, Selasa lalu.

Deja yang memiliki restoran menjual kek lapis di Ukay Perdana mengakui bodoh kerana terlalu mudah mempercayai kata-kata wanita itu kononnya mempunyai dua syarikat dan mengalami masalah kewangan selepas ditipu rakan kongsi dalam bidang pengiklanan.

“Kak Ida dakwa rakan kongsi itu melarikan duit syarikat ke Jakarta dan meninggalkan beban padanya.

“Memang bodoh sebab saya percaya dan kasihan mendengar ceritanya. Tidak sangka pula menjadi mangsa penipuan sedangkan saya melayannya baik sebelum ini

“Mula-mula dia telefon saya sekitar Mei lalu untuk meminjam RM7,000, namun saya tidak mempunyai wang. Selepas berbincang dengan suami dan bersetuju membuat surat perjanjian, saya menyerahkan RM5,000 kepadanya dan dia berjanji memulangkan pada 8 Jun.


“Pada 21 Mei saya memasukkan lagi RM1,500 kerana katanya ingin menghantar anak ke sekolah asrama penuh di Ipoh. Sekali lagi saya masukkan RM2,000 pada 3 Jun atas alasan lain dan terakhir RM250 tiga hari kemudian. Bukan saya tak berfikir, cuma wanita ini pernah meyakinkan saya pada 1 Jun yang dia menerima cek bernilai RM200,000 selepas menjual BMW miliknya. Dia berjanji melangsaikan hutang saya pada 6 Jun sebaik cek itu ditunaikan. Rupa-rupanya, itu semua dusta,” katanya.

Deja turut merahsiakan semua pemindahan wang tunai ke akaun wanita itu daripada pengetahuan suami kerana bimbang timbul salah faham.

Malah, akuinya, sejak awal, suaminya mengesyaki sesuatu aneh pada wanita itu. Sebaliknya Deja tidak mempercayainya dan cuba bersikap optimis kerana yakin dengan kronologi kisah diceritakan kepadanya.

Sehingga kini Deja malu dan rasa bersalah pada temannya yang meminjamkan RM5,000 itu kerana sepatutnya sudah lama diselesaikan.

Selepas mula sangsi alasan dan cerita disampaikan, dia mula mendesak wangnya dipulangkan, namun pelbagai alasan diberi.

Puluhan kali Deja berusaha menghubungi wanita itu dan menghantar SMS menuntut hutang.

“Kononnya sudah ada RM200,000, tapi setiap kali saya hubungi ada saja alasan tak masuk akal diberi. Kononnya berbincang dengan pihak bank, masih menunggu cek ditunaikan dan pelbagai lagi. Malah, pernah sekali ketika saya menghubunginya, dia beritahu berada di Pulau Pinang kerana mendakwa cek diberi cek tendang.

“Lama-kelamaan saya menjadi marah dan bengang dengan tindakannya. Suami juga memarahi saya kerana kesilapan ini. Saya sangat tertekan hingga mengganggu perjalanan kerjaya saya. Mana tidaknya, wang yang saya berikan padanya adalah daripada simpanan sendiri yang sudah diketepikan untuk melangsaikan bayaran kad kredit, kereta dan gaji pekerja.


“Justeru, pada 22 Jun selepas lebih dua minggu menanti, saya terus membuat laporan polis. Saya turut membuat penyelidikan terhadap latar belakang wanita itu dan ternyata saya sudah tersalah pilih orang.

“Dia itu bukan saja penipu, malah pernah memiliki rekod pecah amanah dan beberapa kes lain di mahkamah sebelum ini.

“Saya percaya ramai menjadi mangsanya sebelum ini. Saya bukan bodoh untuk duduk diam. Saya selidik daripada keluarganya di Segamat, Johor serta beberapa rakan yang mengenalinya.


“Keluarganya sendiri terkejut dan adiknya yang memang mengenali saya sebelum ini malu dengan perbuatan kakaknya. Wanita ini memang penipu dan menjerat beberapa individu lain. Mungkin kini nasib saya tidak baik terjerat sama.

“Wanita ini pernah menipu seorang teman saya lebih RM100,000. Bukan itu saja, untuk mengelak dituduh, wanita ini sanggup berkahwin dengan suami kepada kawan saya itu di Thailand pada 2 Mac tahun lalu. Selepas dibawa berubat isterinya, baru suaminya sedar dan menceraikan wanita itu tiga bulan kemudian,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cairjanji__8216_KakIda__8217_/Article

Friday, June 25, 2010

Anne Ngasri Sah Cerai Talak Tiga

Published: Jumaat Jun 25, 2010 MYT 12:18:00 PM
Updated: Jumaat Jun 25, 2010 MYT 3:41:50 PM

Anne Ngasri disahkan bercerai talak tiga dengan suaminya, Abdul Wafi Hassan (kanan) di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini - Foto oleh IQMAL HAQIM ROSMAN.

KUALA LUMPUR: Aktres Anne Ngasri disahkan bercerai talak tiga dengan suaminya, Abdul Wafi Hassan di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin.

Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 25, sedang hamil lima bulan dan Wafi, 28, pernah bercerai dan rujuk sebanyak dua kali pada Julai tahun lalu tanpa pengetahuan mahkamah.

Menurut Shaiful, Wafi melafazkan taklik kepada Anne pada waktu tengahari awal Julai tahun lalu di Sungai Jawi, Pulau Pinang dengan lafaz 'kalau engkau keluar rumah, aku ceraikan engkau'.

Ibu Anne, Habibah dan bekas suaminya, Wafi menenangkan Anne yang hampir pitam sebelum mendengar keputusan cerai di luar mahkamah hari ini.

Kali kedua Wafi melafazkan cerai 'aku ceraikan engkau' kepada Anne pada waktu petang pertengahan bulan yang sama tahun lalu.

Kedua-duanya rujuk semula dan selepas Isyak pada pertengahan Julai tahun lalu dengan kedua-duanya melafazkan 'saya kembali kepada awak'.

Sementara lafaz cerai ketiga iaitu 'aku ceraikan kau Anne' berlaku pada 25 Mac tahun ini, pukul 11.20 pagi di rumah mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam. Waktu itu Anne hamil dua bulan.

Wafi mengaku di hadapan Shaiful di kamar hakim sebelum ini bahawa dia pernah melafazkan cerai di tempat kejadian tanpa mempunyai saksi dan mempunyai niat semasa melafazkan ketiga-tiga lafaz cerai itu.

Mereka Anne dan Wafi secara rasminya bercerai pada 25 Mac tahun ini dan Anne menjalani tempoh edah sehingga bayi ketiganya dilahirkan.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan bersedia menerimanya. Saya percaya mesti ada hikmah selepas ini," luah Anne di luar mahkamah.

Terdahulu, sebelum mendengar keputusan Hakim di dewan perbicaraan, Anne hampir pitam di tandas. Khabarnya,dia tidak sempat menjamah makanan tambahan pula dia sedang berbadan dua.

Bagaimanapun, Wafi dilihat masih sempat membelikan minuman untuk Anne.

Wafi hadir ke mahkamah bersama dua rakannya serta peguam syarie Mohd. Hamidullah Che Hassan manakala Anne ditemani ibunya, Habibah Jaafar.

Pasangan itu bernikah pada 26 Mei 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Abdul Warits, 2, dan Abdul Wafri yang berusia empat bulan.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/6/25/mstar_hiburan/20100625121619&sec=mstar_hiburan

Maya, Muhammad mohon sah nikah


Maya, Muhammad


KUALA LUMPUR - Setelah hampir dua tahun berkahwin dan dihambat kontroversi keretakan rumah tangga, pelakon dan pengacara Maya Karin muncul di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam bersama suaminya, Muhammad Ali dipercayai bagi mengesahkan pernikahan mereka yang berlangsung di Itali.

Maya Karin, 31, dan peguam syarie, Norhusniah Husin yang mewakilinya hadir di mahkamah pada pukul 2 petang dan terus memasuki kamar Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin.

Ini disusuli dengan ketibaan Muhammad Ali atau nama sebenarnya Steven David Shorthose, 41, bagi menghadiri prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Setelah berada di dalam kamar mahkamah selama 45 minit, Muhammad Ali keluar diikuti Maya Karin, 15 minit kemudian.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak enggan melayani pertanyaan puluhan wartawan yang sudah menunggu di mahkamah sejak pagi lagi.

Biarpun diasak dengan pertanyaan berhubung kehadiran mereka berdua ke mahkamah, Muhammad Ali tetap enggan memberi komen dan mahu soalan itu ditanya kepada Maya.

"You just ask Maya, no comment, (Awak tanya Maya, tiada komen)," katanya. Guru Matematik di sekolah antarabangsa itu sempat memberitahu: "No divorce" (tiada perceraian).

Sementara Maya juga enggan mengulas sebaliknya memohon maaf kepada wartawan kerana tidak boleh menjawab sebarang soalan mereka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0625&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Teman lelaki lari ke Australia

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Raja Noraina Raja Rahim

2010/06/25

PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan yang ‘diperkosa’ teman lelaki akhirnya melahirkan bayi luar nikah di hospital kerajaan di sini, sedangkan kekasihnya pula sudah melarikan diri ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dan enggan bertanggungjawab.

Bayi luar nikah itu dipercayai dilahirkan selepas hasil hubungan sulit antara remaja perempuan terbabit yang berusia 17 tahun dengan teman lelakinya dari sekolah yang sama.


Bagaimanapun, ibu mangsa yang kecewa dengan tindakan teman lelaki anaknya yang enggan bertanggungjawab itu mengambil tindakan membuat laporan polis.


Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, remaja itu melahirkan seorang bayi perempuan di Hospital Sungai Buloh, di sini, pada 2 Jun lalu.


“Hasil siasatan, remaja itu mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya tanpa sebarang paksaan, tetapi polis tetap mengklasifikasikan kes ini sebagai rogol kerana mangsa di bawah umur.


“Bagaimanapun, suspek belum ditahan kerana dipercayai berada di Australia untuk melanjutkan pelajarannya,”
katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, semalam.


Dalam kes berasingan, polis berjaya menumpaskan dua kumpulan penjenayah yang aktif menyamun di beberapa kedai serbaneka di daerah ini.


“Kita (polis) berjaya menangkap 17 suspek yang ke semuanya lelaki dalam beberapa serbuan sejak 26 Mac sehingga Mei lalu,” katanya. Menurutnya, geng samun pertama tumpas sejurus ke semua 11 penjenayah itu yang berusia 15 hingga 25 tahun termasuk seorang pelajar berjaya diberkas.


“Hasil tangkapan itu, kita berjaya menyelesaikan 14 kes samun membabitkan kedai serbaneka yang dilaporkan berlaku di sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya, dan ibu kota.


“Manakala, geng samun kedua dipercayai disertai tujuh lelaki berusia 19 hingga 25 tahun, tetapi hanya empat daripada mereka berjaya ditangkap,”
katanya.


Difahamkan, kedua-dua kumpulan penjenayah terbabit menggunakan pisau dan topi keledar sebagai senjata, dan hanya mengambil wang tunai dan rokok semasa menjalankan kegiatan samun terbabit.

Menurutnya, semua suspek dikenakan perintah sekatan yang hanya dibenarkan berada di dalam daerah tertentu, manakala suspek yang berusia 15 tahun dikenakan sekatan dengan tidak dibenarkan keluar rumah selepas jam 7 malam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TemanlelakilarikeAustralia/Article

'Ibu, adik rindu abah...'

Oleh Ai’syah Sukaimi

2010/06/25

PUTRAJAYA: “Ibu, kenapa abah tak balik dari kerja lagi, adik rindu abah kerana abah selalu tidur dengan adik selepas abah balik kerja, mengapa abah lama tak balik, ibu?“ demikian rintihan, Nur Izz Dania Batrisyia Mohd Faiz, 4, merindui bapanya yang meninggalkan rumah di Salak Tinggi sejak hampir sebulan lalu.

Rintihan Nur Izz Dania yang sering jatuh sakit selepas kehilangan bapanya itu disuarakan ibunya, Nor Diana Ahmad Ghapur, 34, yang turut mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Izz Danial, 7, selain dirinya juga yang sedang mengandung lima bulan.


Nor Diana berkata, suaminya, Mohd Faiz Abdul Hamid, 35, yang juga pemandu seorang kenamaan meninggalkan rumah kira-kira jam 7 pagi pada 27 Mei lalu selepas memberitahu mahu melakukan kerja sampingan dengan menjadi pemandu limo.

“Saya tidak pasti sama ada dia berjaya melakukan kerja tambahan itu atau sebaliknya bagi memperoleh pendapatan tambahan untuk keluarga.


“Malah, sebelum kehilangan ini, suami juga memberitahu tidak mahu bertukar ke pejabat di Ipoh, Perak seperti yang diminta syarikat sebelum mengambil cuti,”
katanya ketika datang ke Pejabat Harian Metro, semalam.


Menurutnya, kali terakhir suami menghubunginya menggunakan telefon bimbitnya pada 29 Mei lalu dan memberitahu akan pulang pada 11 Jun, tetapi sehingga kini kelibatnya masih tidak kelihatan.

Nor Diana berkata, tidak ada sebarang perselisihan faham dengan suami seminggu sebelum kehilangan lelaki itu secara misteri.


Menurutnya, suaminya meninggalkan rumah sehelai sepinggang selain dua telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi sehingga menimbulkan rasa bimbang.


“Saya bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini selain dua anak yang sering bertanya ‘abah’ mereka yang sudah lama tidak pulang.

“Memang sebagai isteri, saya juga bimbang memandangkan tidak berlaku sebarang perselisihan faham sebelum itu,” katanya dalam nada sedih.


Menurutnya, apa yang dihadapi itu adalah pertama kali sepanjang lapan tahun mendirikan rumah tangga.


“Mengenangkan nasib anak-anak dan diri yang mengandung lima bulan, saya berharap suami dapat pulang ke pangkuan keluarga dan menyelesaikan sebarang perkara yang berbangkit,” katanya yang meminta orang ramai yang mengenali suami menghubunginya di talian 017-6653750.


Nor Diana berkata, dia sudah membuat laporan berkaitan kehilangan suaminya di Balai Polis Bandar Baru Salak pada 31 Mei lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibu_adikrinduabah/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...