Friday, September 10, 2010

'Dapat juga rasa nasi minyak'

2010/09/10

HULU TERENGGANU: “Lapan tahun saya tidak merasai juadah kegemaran nasi minyak disediakan ibu pada pagi raya, malah pernah terfikir mungkin tidak berpeluang lagi beraya bersama ahli keluarga.

“Bagaimanapun, berkat doa ibu, Aidilfitri tahun ini saya dan anak dapat menyambutnya bersama ibu serta ahli keluarga lain,” kata Ku Faridah Ku Seman, 33, wanita tempatan yang mengikut suami dikenali Rosman ke Lombok lapan tahun lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Pueh, Kuala Berang.


Menceritakan pengalamannya menyambut lebaran di Mataram, Lombok, Ku Faridah berkata, beraya di perantauan tanpa suami dan ahli keluarga begitu memeritkan, malah Aidilfitri seperti hari biasa, cuma takbir raya berkumandang menandakan umat Islam menyambut Aidilfitri.


“Bukan saja tidak berbaju raya, malah juadah di sana hanya nasi kosong dan lauk-pauk ala kadar, tidak seperti di negara kita yang begitu meriah.


“Kebiasaannya, saya hanya menyambut raya bersama tiga anak, Mohd Haikal Daniel, 9, Puteri Balqis, 4, dan Dewi Helen Fiona, 2, namun kami tetap menziarahi keluarga mentua sebelum pulang semula ke rumah,”
katanya.


Menurutnya, memandangkan dia dan anak-anak hidup merempat serta bergantung kepada pendapatan RM7 (Rp20,000) sehari di ladang tembakau, dia tidak mampu menyediakan persiapan raya anak.


“Dengan pendapatan serendah itu, apa sangat yang boleh disediakan, selain sehelai baju untuk anak bagi menceriakan mereka, hendak makan pun menagih simpati jiran, inikan pula membuat persiapan raya, bayangkan saya hanya memakai baju lama,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dapatjugarasanasiminyak/Article

Serbu rumah di ladang sawit

2010/09/10

BANTING: Polis menyerbu sebuah rumah di dalam ladang kelapa sawit di Tanjung Layang, Tanjung Sepat, petang semalam yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain sejak 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun, dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, polis dengan bantuan anjing pengesan gagal menemui sebarang bukti menunjukkan kehadiran jutawan berkenaan dan individu terbabit yang kemungkinan dikurung di rumah berkenaan.


Difahamkan, selepas serbuan itu, anggota polis dipercayai dari Bukit Aman kemudian membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.


Sekumpulan wartawan yang berkumpul di IPD berkenaan sebaik mengetahui kehadiran pasukan forensik gagal mendapat sebarang komen mengenai apa hasil serbuan di rumah berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Serburumahdiladangsawit/Article

Peguam ada rekod jenayah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Ibrahim Isa, Noriah Idris dan Mary Victoria Dass

2010/09/10

KUALA LUMPUR: Seorang peguam yang kini diburu polis berhubung kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dikatakan berstatus Datuk dan berusia dalam lingkungan 40-an.

Peguam itu dikatakan pernah berjumpa dengan beberapa VIP di Selangor untuk membincangkan mengenai urusan jual beli tanah.


Menurut sumber polis, Sosilawati memang mengenali peguam terbabit kerana pernah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengannya sebelum ini untuk membincangkan urusan pembelian tanah.


“Sebelum ini, Sosilawati pernah beberapa kali berjumpa dengan peguam terbabit membincangkan mengenai urusan jual beli tanah dan kali terakhir pada awal Ogos lalu.


“Namun pertemuan kali terakhir pada 30 Ogos lalu bertukar misteri apabila Sosilawati dan peguam terbabit turut hilang begitu saja,”
katanya.


Selain Sosilawati yang juga Pengasas Nouvelles Visage, tiga lagi individu bersamanya iaitu pembantu peribadi, Kamarudin Samsudin, 47, pegawai bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32, turut ghaib ketika mahu berjumpa peguam berkenaan.


Sumber itu juga mendakwa, peguam itu yang kini amat dikehendaki dalam kes kehilangan Sosilawati dipercayai mempunyai rekod jenayah berkaitan kes penipuan di Selangor.


“Difahamkan, peguam itu juga pernah memberikan cek bernilai RM1 juta kepada Sosilawati, baru-baru ini. Cek itu mungkin ada kaitan dengan urusan beli tanah antara mereka, namun ia hanya boleh ditunaikan pada September ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya memerlukan untuk membantu siasatan sehingga terungkainya misteri kehilangan Sosilawati.


Beliau berkata, memandangkan Sosilawati dan tiga lagi yang lain dilaporkan hilang di Banting, Selangor pihaknya memang ada menerima maklumat daripada penduduk tempatan yang boleh digunakan untuk membantu siasatan.


Namun, katanya, semua maklumat diperoleh itu diserahkan kepada polis memandangkan kes berkenaan disiasat oleh mereka.

“Dalam kes membabitkan orang hilang, polis Selangor memang ada terbabit memberi bantuan jika mempunyai maklumat, begitu juga pasukan polis dari kontinjen lain.


“Kes Sosilawati tidak terkecuali apabila kita sentiasa menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa jika ada perkembangan,”
katanya selepas melawat pos kawalan Ops Sikap Ke-22 di Batu 20, Bukit Berdarah, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peguamadarekodjenayah/Article

'Rela makan nasi bergaram'

Oleh Mary Victoria Dass

2010/09/10

JOHOR BAHRU: “Kami rela makan nasi bercampur garam di pondok usang kami berbanding ke rumah saudara yang tidak pernah memberi layanan mesra,” kata remaja, Kamaruzaman Rahmat Kamal, 17, semalam.

DAIF...Kamarulbahrin (dua dari kiri)  dan Kamaludin melihat abang mereka, Kamaruzaman melukis komik di depan pintu pondok usang.
DAIF...Kamarulbahrin (dua dari kiri) dan Kamaludin melihat abang mereka, Kamaruzaman melukis komik di depan pintu pondok usang.
Anak sulung daripada tiga beradik itu menceritakan pengalaman menyambut lebaran dilalui sejak beberapa tahun lalu dan masih terluka dengan sikap dingin saudara-maranya memandang rendah kemiskinan keluarganya.

Menurutnya, meskipun mereka mengunjungi kediaman beberapa saudara- mara dengan harapan mampu meraikan Aidilfitri dengan meriah selepas kematian ibunya lebih lapan tahun lalu, namun hajat itu tidak pernah kesampaian.

Katanya, bagi memastikan pertalian persaudaraan tidak terputus, bapanya yang bekerja sebagai pemandu teksi gantian sanggup meminjam wang daripada rakan bagi menampung kos balik ke kampung di luar Johor Bahru.

“Malangnya, kehadiran kami tidak pernah disenangi di mana kami adik-beradik dipandang rendah kerana tidak mampu memakai baju raya atau kemas seperti sepupu lain.

“Malah, pengalaman yang tidak dapat saya lupakan apabila kami tidak diberi layanan hingga terpaksa minum bekalan air kosong dari rumah biarpun terdapat pelbagai juadah raya dimasak di situ,”
katanya yang menambah keluarganya masih bergantung kepada air hujan untuk memasak dan mandi kerana tidak mempunyai kemudahan bekalan air.

Malah, pondok usang dihuni mereka di kawasan tanah paya bakau bersebelahan Taman Sri Pandan tidak mempunyai bekalan elektrik hingga memaksa mereka menggunakan lilin pada waktu malam.

Kamaruzaman berkata, bagi mengelakkan perkara sama berulang, tahun ini bapanya dan dua adik lelakinya, Kamarulbahrin, 16 dan Kamaludin, 9, mengambil keputusan meraikan Aidilfitri di pondok usang mereka.

Menurutnya, meski pun menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba kekurangan dengan hanya memakan nasi putih bersama serbuk kari, mereka masih bersyukur berbanding terpaksa menempuhi situasi mengguris hati di kediaman saudara-mara.

“Kami yang menghuni di rumah yang ditinggalkan kosong di tanah paya bakau berhampiran Taman Sri Pandan lebih setahun lalu tidak mampu melakukan sebarang persiapan raya melainkan membersihkan pondok yang hanya menunggu masa menyembah bumi.

“Hanya dengan wang RM20 diperoleh jualan lukisan komik ciptaan saya kepada rakan sekolah, kami membeli sekampit beras biarpun berkeinginan memakan ketupat dan rendang hari ini,”
katanya.

Kamaruzaman yang belajar di tingkatan lima berkata, biarpun keluarganya pernah memohon rumah penduduk pendapatan rendah sebelum ini, mereka tidak memperoleh sebarang maklum balas.

“Ayah menjadi pemandu teksi gantian memperoleh pendapatan RM10 hingga RM15 sehari di mana dengan wang itu menampung perbelanjaan persekolahan saya dan dua adik,” katanya.

Jangan timbulkan spekulasi berhubung kehilangan Sosilawati

2010/09/09

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya sejak 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang maklumat terbaru berhubung kes itu termasuk menerima laporan yang mendakwa Sosilawati mati dibunuh.


"Kita masih siasat lagi kes ini. Setakat ini polis masih belum menerima sebarang maklumat terbaru yang boleh membawa kepada penemuan mereka.


"Berhubung khabar angin yang mengatakan dia (Sosilawati) telah mati dibunuh, pihak saya langsung tidak mendengar perkara seperti itu. Apa-apa pun biar polis siasat dahulu,"
katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang semasa berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.


Ekoran kejadian itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya, Isnin lalu.


Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menyalurkan maklumat yang diperolehi daripada saksi-saksi berhubung kes terbabit kepada polis Kuala Lumpur (KL).


"Kes ini adalah di bawah siasatan pihak polis KL. Namun apa juga bantuan...apa sahaja kerjasama yang diperlukan kita akan beri dan itu memang amalan pasukan polis. "Ada maklumat yang disalurkan pada pihak kita dan kita sudah salurkan (maklumat itu) kepada polis KL termasuk maklumat yang diperolehi dari saksi di Banting berhubung kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota trafik yang bertugas di khemah Ops Sikap di Sungai Buloh.


Tinjauan Bernama di perkarangan rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini mendapati rumah itu lengang dan hanya terdapat beberapa individu dipercayai saudara dan kenalan rapat yang berada di rumah berkenaan.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JangantimbulkanspekulasiberhubungkehilanganSosilawati/Article

Thursday, September 9, 2010

Pengusaha kecantikan tingkat keselamatan

2010/09/09

KUALA LUMPUR: Kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu sejak 30 Ogos lalu, turut memberi kesan kepada pengusaha produk kecantikan bertaraf jutawan bagi meningkatkan keselamatan diri dan keluarga mereka.

Pengasas RZAC Cosmetic yang mempunyai rangkaian produk kecantikan, spa, butik dan produk minuman kesihatan, Datuk Kamaliah Abdul Halim, berkata pihaknya kini lebih mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini.

“Kita pun bimbang dan risau bila jadi macam ini. Tak berani pergi bank melainkan terdesak atau berjalan seorang diri mesti ditemani keluarga. Sekarang macam-macam boleh jadi, tambahan pula bila terbabit dalam perniagaan yang banyak persaingan, dengan rakan dan kakitangan kita pun tidak boleh percaya sangat.

“Saya sendiri pernah alami, ramai yang kacau, hantar SMS pun banyak minta kita beli hartanah mereka dan macam-macam lagi. Kita tak layan tapi setakat ini tak pernah terima ugutan,” katanya semalam.

Kamaliah yang terkejut dengan kehilangan Sosilawati, berkata beliau mengenalinya sejak 12 tahun lalu dan menyifatkannya sebagai rakan perniagaan yang baik.

“Kenal sudah lama sejak jadi stokis, tapi tidak berapa rapat. Tidak tahulah kenapa boleh jadi macam ini dan saya harap dia ditemui selamat dengan segera,” katanya yang membina empayar produknya di Pulau Pinang dan kini meluaskan pasaran hingga ke Indonesia.

Ahli keluarga rayu henti sebar cerita karut

2010/09/09

KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Sosilawati Lawiya merayu semua pihak tidak menyebarkan cerita karut, termasuk dakwaan penemuan mayatnya bersama tiga lagi individu yang dilaporkan hilang ketika terbabit dalam urus niaga tanah di Banting sejak 10 hari lalu.

Adik lelakinya, Masturi, 42, meminta semua pihak peka terhadap sensitiviti ahli keluarga empat mangsa yang masih dirundung kesedihan, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri.

“Ini semua cerita karut yang perlu dihentikan segera kerana ia bukan saja mengganggu siasatan polis, malah emosi kami turut terganggu, terutama anak mangsa. Kita tidak boleh main-main cerita hidup mati ini dan saya harap orang ramai peka perasaan kami,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Beliau kini menetap sementara di banglo milik Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak di sini bagi menjaga anak saudaranya, berkata mereka sekeluarga optimis dan yakin pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages itu masih hidup.

“Walaupun belum ada perkembangan, kami yakin mereka masih hidup. Malah, kami sekeluarga tidak henti-henti berdoa agar mereka dilindungi sentiasa. “Kami tidak percaya khabar angin mengatakan Wati sudah mati. Percayalah... dia masih hidup dan selamat... cuma tidak tahu berada di mana . Kami berharap dia akan pulang ke pangkuan keluarga untuk meraikan Aidilfitri kerana anak-anaknya amat memerlukannya,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan Aidilfitri, Masturi berkata, anak Sosilawati berkemungkinan besar tidak pulang ke kampung mereka di Seri Medan, Batu Pahat, sebaliknya beraya di Gombak jika ibu mereka belum ditemui.

“Tumpuan kami sekarang bukan fasal raya, sebaliknya usaha mencari Wati. Kami amat bimbangkan keadaannya, malah kami sudah keletihan kerana tidak henti-henti mencarinya di serata tempat. Malah, pelbagai ikhtiar sudah dilakukan untuk mengesannya,” katanya.

Umpan telekung sebelum cabul

Oleh Hadzlihady Hassan

2010/09/09

AMPANG: Gelaran dajal layak diberikan buat seorang lelaki apabila sanggup mengumpan membelikan baju dan kain telekung untuk seorang kanak-kanak sebelum membawa mangsa ke sebuah hotel untuk dicabul, Sabtu lalu.

Lebih menjijikkan apabila lelaki itu yang juga penjaga surau sanggup mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak yang hanya berusia sembilan tahun itu.


Difahamkan, kejadian hanya disedari ibu mangsa beberapa hari kemudian apabila kanak-kanak berkenaan mengadu sakit di bahagian kemaluan sebelum menceritakan apa yang berlaku.


Mangsa pada mulanya dikatakan berkunjung ke surau itu untuk berbuka puasa bersama jemaah dan ahli surau lain, namun kemudian dibawa seorang penjaga surau menaiki motosikal kira-kira jam 8 malam.


Menurut sumber polis, penjaga surau berusia lingkungan 50-an itu bijak memujuk mangsa dengan memberitahu yang dia mahu membawa kanak-kanak itu ke sebuah pasar raya.


“Lelaki itu kemudian membawa mangsa ke pasar raya seperti dijanjikan dan ini cuba mengumpan pula kanak-kanak itu dengan membelikannya baju, kain telekung serta ayam goreng. “Bagaimanapun, selepas membeli semua barang berkenaan, lelaki itu tidak menghantar mangsa ke surau atau pulang, sebaliknya melencong dan membawanya ke sebuah hotel murah,” katanya.


Sumber itu berkata, mangsa yang langsung tidak mengerti apa-apa dan tidak mengetahui niat buruk lelaki berkenaan yang sebaya dengan bapanya hanya mengikut segala apa yang disuruh.


Katanya, sejurus tiba di hotel itu, kanak-kanak itu diarahkan berbogel sebelum lelaki itu juga menanggalkan bajunya dan membawa mangsa ke bilik air.


“Mangsa kemudian bersama lelaki itu mandi dalam keadaan berbogel dan ketika itu kanak-kanak terbabit mendakwa lelaki berkenaan cuba memegang kemaluannya.


“Bagaimanapun, kanak-kanak itu enggan menceritakan lanjut perbuatan lelaki berkenaan kepada ibunya dan dia hanya mendakwa mengalami kesakitan di kemaluan.


“Polis masih menunggu laporan daripada hospital untuk memastikan sama ada mangsa turut dirogol,”
katanya.

Difahamkan, lelaki itu melarikan diri sejurus mengetahui ibu mangsa membuat laporan polis.


Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat ibu mangsa.


“Polis juga sedang mengesan seorang lelaki yang juga penjaga surau berusia lingkungan 50-an itu bagi membantu siasatan,” katanya. Difahamkan, lelaki itu melarikan diri sejurus mengetahui ibu mangsa membuat laporan polis.


Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat ibu mangsa.

Sedih sambut lebaran jauh daripada keluarga

2010/09/09

KUALA LUMPUR: “Wang saya hanya cukup untuk membeli tiket pulang ke kampung, sedangkan keluarga juga memerlukan wang untuk membeli keperluan hari raya,” luah Zainuddin Mangemban, 29, warga asing berasal dari Medan, Indonesia yang pertama kali menyambut Aidilfitri di negara ini.

Dia antara warga asing beragama Islam yang terpaksa menyambut Aidilfitri di perantauan kerana bekerja sepanjang musim perayaan.


Walaupun sedih dan terkilan, Zainuddin akur dan akan menyambut lebaran kali ini bersama teman sekerjanya di Serdang.


“Sudah dua tahun saya bekerja di sini dan inilah kali pertama saya tidak dapat beraya di kampung. Memang sedih, tetapi gaji yang tidak cukup untuk memenuhi keperluan keluarga membuatkan saya terpaksa melupakan hasrat bertemu mereka.


“Insya-Allah, hujung tahun ini saya akan usahakan untuk bertemu dengan keluarga untuk melepaskan kerinduan saya terhadap mereka,”
katanya yang bekerja sebagai buruh kasar di Putrajaya.

Bagi Yahyu Sri Wahyuni Rashid, 40, Aidilfitri kali ini dirasakan janggal baginya kerana terpaksa beraya seorang diri di sini, dengan status ibu tunggal yang dipegang, hatinya akan tersentuh mengenangkan anak yang menyambut lebaran tanpa ayah.


“Anak bersama nenek mereka, walaupun mereka sedih tidak dapat beraya bersama saya, mereka faham saya punya tanggungjawab mencari wang untuk mereka di sini.


“Insya-Allah pada Aidiladha saya akan pulang meraikan majlis perkahwinan adik perempuan bongsu saya,”
katanya yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia.


Seorang lagi warga asing yang bekerja sebagai pelayan restoran, Suminah Ahmad Khafi, 39, berkata, sejak 18 tahun bekerja di sini, ini kali pertama dia terpaksa meninggalkan seorang lagi anaknya di kampung halaman Surabaya, Indonesia atas tuntutan kerja.


“Biarpun suami juga di sini, kesedihan tetap terasa kerana terpaksa membiarkan anak perempuan saya menyambut lebaran tanpa kami, “katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sedihsambutlebaranjauhdaripadakeluarga/Article

Terkejut anak di Lombok

Oleh Ravale Savarinathan

2010/09/09

TELUK INTAN: “Saya terkejut apabila mengetahui anak sulung saya berada di Lombok, Indonesia bersama seorang lelaki yang turut berasal dari wilayah itu.

“Sebaik mendapat berita itu, kami pada mulanya tidak percaya kerana Shafikah jarang keluar rumah dan seorang pendiam,” kata Mohd Safiee Sardi, 43, bapa Shafikah Marlina Mohd Safiee, 16, gadis yang hilang dari rumah dipercayai mengikut lelaki Indonesia ke Lombok.

Sabtu lalu, Shafikah Marlina keluar ke pekan Teluk Intan seorang diri membayar bil telefon, kira-kira jam 9.15 pagi. Bagaimanapun, dia tidak pulang ke rumah sebelum kehilangannya disedari kira-kira jam 9 malam pada hari sama.


Mohd Safiee berkata, dia dan isteri, Mazanah Abdul Latif, 38, menyedari sesuatu berlaku kepada anaknya kerana Shafikah tidak pulang ke rumah selepas keluar rumah sejak pagi. Katanya, dia yang tidak sedap hati menemui isterinya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ladang.


“Menurut isteri saya, dia ada menerima SMS daripada Shafikah mengatakan dia berada di Ipoh kerana melawat rakannya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh yang cedera akibat kemalangan jalan raya. “Selepas jam 8 malam, isteri saya menerima SMS daripada Shafikah yang mengatakan kereta dinaikinya bersama kawan rosak dan akan pulang selepas membaikinya,” katanya.


Katanya, isterinya menerima satu lagi SMS daripada Shafikah menyatakan dia berada di Manjung dan bertolak pulang, kira-kira jam 9 pagi keesokannya. Mohd Safiee berkata, selepas SMS itu, dia tidak menerima berita daripada anaknya termasuk gagal menghubunginya menerusi telefon bimbit.


“Lima hari kemudian, saya menerima panggilan daripada Shafikah memaklumkan dia berada di Lombok bersama seorang lelaki,” katanya.


Katanya, dia percaya, lelaki yang melarikan anaknya itu dikenali sebagai Misbah, 20, berasal dari Kuranji, Lombok, Indonesia kerana lelaki itu pernah bekerja sebagai pekerja ladang di tempat kerja isterinya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TerkejutanakdiLombok/Article

Disembunyikan kenalan rapat?

2010/09/09

KUALA LUMPUR: Kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, difahamkan ada hubung kait dengan faktor kewangan dan sehingga kini dipercayai disembunyikan pihak tertentu.

Harian Metro difahamkan, pihak yang dipercayai terbabit dalam 'agenda' berkenaan terdiri daripada beberapa individu yang dikatakan turut mempunyai hubungan rapat dengan jutawan wanita berkenaan.


Sumber berkata, seorang daripada individu yang masih menghilangkan diri sehingga kini itu dipercayai menjadi perancang di sebalik kehilangannya.


“Bagaimanapun, motif lain di sebalik kehilangan berkenaan masih belum dapat dipastikan dan polis sudah mengambil keterangan daripada beberapa individu yang rapat dengan ahli perniagaan terbabit bagi mengenal pasti rangkaian konspirasi berkenaan.


“Desas-desus sebelum ini mengenai dia (Sosilawati) keluar dan membawa wang hingga mencecah jutaan ringgit juga tidak masuk akal. Mungkin dia ada membawa wang dalam jumlah yang besar namun tidaklah hingga jutaan ringgit,”
katanya.


Beliau berkata, motif dan susun galur proses jual beli tanah di Banting kononnya bagi tujuan penanaman herba untuk bahan kandungan produknya turut samar.


“Apa yang diketahui, Sosilawati ada menemui seseorang di Banting bagi membincangkan urus niaga tanah namun, tanah berkenaan sebenarnya adalah di Pulau Pinang,” katanya.


Usahawan terbabit yang juga bekas isteri penyanyi rock Lefhanded, Nash hilang sejak 10 hari lalu bersama peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dari Tetuan Kamaruddin & Partners di Putrajaya; pegawai bank dari CIMB Bank Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang didakwa pemandu peribadi pakar kecantikan itu.


Difahamkan, mereka menggunakan dua kereta berasingan iaitu BMW X5 bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati dan BMW 525i bernombor pendaftaran AAJ 5 ditemui Isnin lalu ditinggalkan di tempat letak kereta pangsapuri Angsana, Taman Subang Mewah dan di hadapan Hotel Dorsett, Subang Jaya.


Sementara itu, adik kepada ahli perniagaan wanita berkenaan Masturi, 42, berkata mereka sekeluarga akan mengadakan kenduri kesyukuran jika Sosilawati dan tiga lagi lelaki berkenaan selamat pulang.


“Setakat ini, ahli keluarga belum menerima panggilan dan SMS individu tertentu sejak kehilangan kakak dan tiga lagi lelaki terbabit.

“Kami hanya mampu berdoa dan berharap dia (Sosilawati) akan pulang bagi menyambut Aidilfitri bersama seluruh ahli keluarga lain,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Disembunyikankenalanrapat_/Article

'Nak duit minta, jangan curi'



Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

2010/09/09

BATU PAHAT: “Aku dah kena tipu. Kau bayangkan, setiap bulan kebelakangan ini untung meniaga tak nampak...lepas bayar duit elektrik dan air, sudah tidak ada duit simpanan.

TENANG...Rosnani menatap akhbar yang melaporkan kehilangan Sosilawati. Hilang
TENANG...Rosnani menatap akhbar yang melaporkan kehilangan Sosilawati. Hilang
“Aku tidak suka orang tipu aku. Kalau nak duit minta, jangan curi. Jangan buat aku macam ini,” itu sebahagian daripada kata-kata jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, ketika pertemuan akhir bersama adiknya sebelum dilaporkan hilang, 30 Ogos lalu.

Menurut adiknya, Rosnani Lawiya, 45, kakaknya bersungguh-sungguh mengadu kesal kerana dia ditipu orang kepercayaan yang membantu menguruskan syarikatnya.

Rosnani berkata, masalah itu didedahkan Sosilawati dalam pertemuan terakhir mereka di rumahnya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, di sini akhir bulan lalu, selepas kenduri kesyukuran menyambut Ramadan.

“Sebelum ini, saya kerap berpesan pada kakak tidak terlalu mempercayai orang lain dan mengambil tahu hal ehwal kewangan syarikatnya bagi mengelak ditipu.

“Namun Kak Wati selalu mengatakan dia amat mempercayai orang di sekelilingnya dan pernah mengatakan tidak mungkin mereka sanggup mengkhianati kepercayaan yang diberi dengan menipunya.

“Bagaimanapun, pada pertemuan terakhir kami sebelum Kak Wati tiba-tiba hilang, dia mengadu kepada saya apa yang pernah saya pesan kepadanya kini benar-benar menimpanya dan dia begitu sedih dan terkejut apabila mengetahuinya,” katanya.

Katanya, dia sekeluarga resah apabila kata kakaknya itu menjadi kenyataan selepas dia dilaporkan hilang bersama tiga individu lain sejak 30 Ogos lalu.

Rosnani berkata, sebelum kejadian penuh tanda tanya itu berlaku, kakaknya tidak pernah berkelakuan sedemikian atau mengadu sebarang perkara hingga membuatkannya runsing.

“Kak Wati seorang yang ceria, penyayang apa lagi mempunyai prasangka buruk atau bukan-bukan terhadap mereka yang rapat dengannya terutama membabitkan soal kerja.

“Sebelum ini Kak Wati jarang bercerita tentang perniagaannya, malah setiap kali berjumpa dia lebih gemar bersembang mengenai hal keluarga dan bertanya khabar.

“Perkara paling penting hal ibu kami (Yatemah Abdul Rahman, 80), kehidupan kami adik-beradik selain memberikan dorongan dan tunjuk ajar kepada kami mengenai selok- belok dunia perniagaan,”
katanya.

Rosnani meluahkan kerisauannya apabila Sosilawati mengadu ditipu menyebabkan dia turut sedih dengan nasib kakaknya itu.

Lebih menyedihkan, ketika menceritakan masalahnya itu Sosilawati kelihatan kesal, sedih, kecewa dan teraniaya diperlakukan sedemikian.

Selepas mengetahui perkara itu, dia sekeluarga dan suami, Misjam Jamikun, 48, mendoakan kakaknya mampu mengatasi halangan dan cabaran dihadapinya.

“Kali terakhir Kak Wati menghubungi saya menggunakan telefon bimbitnya pada 29 Ogos lalu, kira-kira jam 2.30 petang, sehari sebelum dia dilaporkan hilang.

“Dalam perbualan singkat itu kami berkongsi persediaan Aidilfitri dan saya langsung tidak menduga perkara buruk bakal menimpanya kerana nada suaranya ceria,”
katanya.

Bagaimanapun, katanya, persediaan tahun ini agak pelik kerana kebiasaannya Sosilawati akan membelikan kuih raya untuk semua adik- beradiknya, sebaliknya tahun ini berjanji memberikan wang tunai RM500 dan meminta membeli sendiri persiapan hari raya.

“Dia juga sempat bergurau jika dia yang belikan kuih semua pasti sama dan mungkin tidak kena selera adik beradik, jadi lebih baik dia beri wang dan kami beli sendiri.

“Hanya ibu akan mendapat kuih raya dibelikan, dia berjanji memberikan duit raya pada kami seperti tahun sebelumnya sebagai persediaan menyambut Aidilfitri kelak,”
katanya.

9 beraya awal



Oleh Rashidi Karim

2010/09/09

KANGAR: Kumpulan Al Nadzir Awwalun mendakwa mereka menyambut Aidilfitri semalam, dua hari lebih awal berbanding umat Islam lain di negara ini berdasarkan perkiraan empat elemen utama iaitu air, udara, api dan angin selain anak bulan Syawal kononnya sudah kelihatan, malam kelmarin.

TAHAN...ketua dan pengikut kumpulan terbabit dibawa ke pejabat Jaips untuk diambil keterangan, semalam.
TAHAN...ketua dan pengikut kumpulan terbabit dibawa ke pejabat Jaips untuk diambil keterangan, semalam.
Seorang ahli jemaah dikenali Abang Man ketika ditemui berkata, dia sudah mengikuti kumpulan itu sejak 1993 dan menyatakan semua yang dia lakukan mengikut hukum dan ajaran Islam.

“Anak bulan sudah keluar malam tadi (Selasa) dan Aidilfitri perlu segera disambut iaitu hari ini (Rabu),” katanya yang turut ditahan bersama lapan yang lain, termasuk dua wanita kerana disyaki menyambut Aidilfitri lebih awal daripada ditetapkan pemerintah di sebuah surau ahli kumpulan terbabit di Taman Pertiwi Indah, Seriab, dekat sini, semalam.

Kumpulan yang membabitkan penduduk tempatan itu ditahan ketika khusyuk mendengar khutbah Aidilfitri disampaikan ketua kumpulan terbabit yang berusia 51 tahun, kira-kira jam 8.30 pagi.

Serbuan dilakukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) dan beberapa anggota polis menemui beberapa bungkusan kuih-muih, termasuk lemang dan ketupat dipercayai dibawa kumpulan terbabit untuk menyambut Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips), Abdul Malik Hussin, berkata lima yang ditahan itu membabitkan anak-beranak iaitu ketua kumpulan bersama isteri, dua anak lelaki serta menantu mereka manakala empat lagi penduduk tempatan yang menjadi pengikut setia kumpulan terbabit.

Katanya, pihaknya yang mendapat maklumat awam bergegas ke tingkat atas bangunan bersebelahan pejabat cawangan baru News Straits Time Press (M) Bhd (NSTP) yang dijadikan surau serta markas ahli kumpulan jemaah terbabit.

“Mereka ditahan berusia 19 hingga 61 tahun. Ketika anggota penguat kuasa memasuki bangunan terbabit, ketua kumpulan memegang tongkat dan berdiri atas mimbar khas untuk membaca khutbah Aidilfitri kepada lapan jemaah lain.

“Teks khutbah yang dibaca pula dikeluarkan Majlis Agama Islam Perlis (Maips) keluaran 2000. Ini bermakna mereka baru selesai mengadakan solat Aidilfitri.

“Kumpulan terbabit menyambut Aidilfitri lebih awal ditetapkan pemerintah sedangkan umat Islam akan mengetahui tarikh sebenar perayaan dengan melihat anak bulan petang ini (semalam),” katanya ketika ditemui di pejabat Jaips, di sini, semalam.

Beliau berkata, semua ahli kumpulan dibawa ke pejabat Jaips untuk diambil keterangan dan akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 28, Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 kerana menghina kuasa pemerintah.

Jika sabit kesalahan semua suspek boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Abdul Malik berkata, kumpulan jemaah diketuai seorang guru dari Indonesia itu bertapak di Perlis sejak 10 tahun lalu. Walaupun bilangannya kecil ia perlu dibanteras kerana boleh memesongkan akidah umat Islam.

“Mereka juga berpuasa dua hari lebih awal iaitu 9 Ogos lalu dan sudah membuat kiraan berdasarkan hukum akal, Aidilfitri perlu disambut hari ini (semalam),” katanya.

Sambut Aidilfitri lebih awal


PEGAWAI JAIPs menyoal siasat ahli kumpulan Jamiatul Al-Nadzir Awwallun di sebuah rumah kedai di Seriab, Kangar semalam.


KANGAR – Ketika orang ramai sibuk meneka sama ada Aidilfitri jatuh pada hari ini atau Jumaat, sekumpulan pengikut fahaman Jamiatul Al-Nadzir Awwallun sudah menyambut hari raya itu di sebuah rumah kedai yang dijadikan surau di Seriab di sini semalam.

Tindakan mereka menyambut hari raya awal terbongkar apabila anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) menyerbu surau tersebut ketika sembilan orang ahli kumpulan itu sedang mendengar khutbah raya kira-kira pukul 9.30 pagi.

Ketika ditahan, kumpulan tersebut telah selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri dan menyediakan pelbagai kuih raya serta juadah seperti ketupat, rendang serta laksa.

Pengarah JAIPs, Abdul Malik Hussin (gambar) berkata, penahanan ahli kumpulan disebabkan mereka melanggari titah diraja dalam menentukan tarikh puasa dan hari raya.

“Kumpulan ini didapati telah menyambut Aidilfitri lebih awal daripada masyarakat Islam di negara ini di surau yang bernama Mosalla Al-Zakirin tempat pengikut mereka beroperasi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

20,000 berhimpun untuk dapatkan RM3.45


PULUHAN ribu berhimpun untuk mendapatkan duit zakat di luar kilang Gudang Garam di Kediri, Indonesia semalam.


KEDIRI - Kira-kira 20,000 penduduk dari pelbagai daerah di Jawa Timur berhimpun untuk mendapatkan duit zakat yang diedarkan oleh pihak pengurusan syarikat rokok Gudang Garam di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Puluhan ribu penduduk itu berhimpun di luar kilang rokok itu sejak awal pagi lagi.

Menurut seorang pegawai bahagian perhubungan masyarakat polis di sini, bilangan penduduk yang datang untuk mendapatkan wang zakat itu lebih ramai daripada tahun lalu.

"Mereka (penduduk yang datang) berasal dari berbagai daerah di Jawa Timur seperti Nganjuk, Jombang, Trenggalek, dan daerah lain," katanya.

Dia menyatakan pihak polis menempatkan kira-kira 700 anggota keselamatan untuk mengawasi ketenteraman.

Kebanyakan penduduk yang mahu mendapatkan duit zakat itu termasuk kanak-kanak dan orang tua.

Mereka berhimpun untuk mendapatkan wang antara 10,000 rupiah (RM3.45) hingga 20,000 rupiah (RM6.90).

Anggota-anggota keselamatan terpaksa membahagikan-bahagikan penduduk itu menjadi sejumlah kumpulan kecil.

Seorang penduduk, Suprih berkata, dia mahu menggunakan wang zakat itu untuk membeli barang keperluan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Dia sanggup membawa seorang anaknya berusia satu setengah tahun ke lokasi pengedaran duit zakat kerana tidak ada orang yang menjaganya jika dia ditinggalkan di rumah. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Pulanglah sebelum Aidilfitri


MASTURI yang ditemui wartawan di rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak semalam.


GOMBAK - Hari ini genap sepuluh hari jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga lagi lelaki bersamanya hilang selepas keluar atas urusan perniagaan pada 30 Ogos lalu namun sehingga semalam tiada sebarang khabar berita mengenai nasib keempat-empat mangsa itu.

Adik Sosilawati, Masturi, 42, berkata, mereka sekeluarga terutama anak-anak Sosilawati masih menunggu kepulangannya dan berharap dia dapat sama-sama beraya di kampung di Batu Pahat, Johor seperti tahun-tahun sebelum ini.

"Mungkin tahun ini keluarga saya beraya di Kuala Lumpur selagi anak-anak Sosilawati tidak dapat berjumpa dengan ibu mereka," kata Masturi ketika ditemui di rumah Sosilawati di Taman Harmonis di sini semalam.

Masturi memberitahu, mereka sekeluarga juga merancang untuk mengadakan majlis doa selamat dan solat hajat di Batu Pahat, Johor bagi mempermudahkan segala hal dan dapat dipertemukan dengan Sosilawati dalam masa terdekat.

Sosilawati hilang pada 30 Ogos lalu bersama pembantu peribadinya, Kamarudin Shansudin, pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd. Karim, 32.

Isnin lalu, polis menemui kereta BMW X5 bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati ditinggalkan di Flat Angsana, USJ manakala kereta BMW 525i bernombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil ditemui di Hotel Dorsett, Subang Jaya.

Tinjauan Kosmo! di rumah Sosilawati pada pukul 1 petang semalam mendapati lebih enam buah kereta berada di pekarangan banglo mewah tersebut.

Masturi berkata, kereta-kereta tersebut milik saudara-mara yang datang dari Batu Pahat, Johor sejak malam kelmarin dan ada juga kereta itu membabitkan kenalan Sosilawati yang menziarahi mereka.

Dalam pada itu, Masturi berkata, beliau dan beberapa ahli keluarga lain tetap gigih keluar setiap malam mencari Sosilawati yang juga pengasas produk kecantikan Nouvelles Visage walaupun letih.

"Pada waktu siang saya menjaga anak-anak Sosilawati manakala pada waktu malam saya keluar mencarinya," katanya yang berharap adiknya dapat pulang sebelum Aidilfitri ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Nenek jaga tiga cucu ditinggalkan ibu bapa


FATIMAH terpaksa menjaga tiga orang cucunya (dari kiri) Nurul Farhani, Safarilia Hanani dan Safaralisa Hanani di Kampung Masjid, Beserah, Kuantan semalam.


KUANTAN - "Saya pasrah menjaga tiga orang cucu kami yang ditinggalkan ibu bapa mereka meskipun saya sendiri hidup melarat."

Demikian rintihan pilu seorang nenek, Fatimah Abu Bakar, 53, yang sanggup menjaga tiga cucunya termasuk dua daripada mereka kembar perempuan berusia setahun.

Fatimah memberitahu, cucunya diabaikan kerana ibu bapa mereka menghadapi masalah rumah tangga dan bertindak menghilangkan diri sejak setahun lalu.

"Cucu kembar perempuan saya ini, Safarilia Hanani Mohd. Riduan dan Safaralisa Hanani ditinggalkan di rumah saya sejak masih bayi. Nurul Farhani Abdul Mohd. Shukri, 9, juga mengalami nasib serupa.

"Sebagai nenek, walau sesusah manapun, saya tidak sampai hati untuk lepas tangan atau menyerahkan mereka kepada orang lain untuk dijaga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Masjid, Beserah di sini semalam.

Paling menyentuh perasaannya ialah salah seorang daripada kembar berkenaan mengalami kecacatan sejak lahir dan memerlukan perbelanjaan besar untuk rawatan.

"Doktor maklumkan bahawa Safaralisa mengalami penyakit otak mengecil sejak lahir yang menyebabkan dia tidak boleh bergerak dan hanya mampu berbaring.

"Tetapi saya dan suami tidak pernah berputus asa untuk merawat dan melihatnya kembali sihat seperti kanak-kanak lain," ujarnya.

Menurutnya, wang pencen suami sebanyak RM720 sebulan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat digunakan untuk membeli ubat serta membawa kanak-kanak itu menjalani rawatan tradisional.

Fatimah mengakui dia sedih dengan sikap anak lelaki dan menantunya yang tidak mengendahkan kehadiran cahaya mata mereka sendiri.

"Mereka ada masalah tapi yang jadi mangsa adalah cucu-cucu saya yang masih kecil ini padahal menjadi tanggungjawab mereka menjaga kanak-kanak ini," katanya.

Menjelang hari lebaran kali ini, dia mengakui perasaannya pilu kerana tiada persiapan sempurna buat tiga cucu tersebut berikutan kekurangan wang sebagaimana tahun sebelumnya.

"Kami tak mampu untuk menyediakan persiapan raya kerana untuk membeli barang keperluan pun kadang-kala tidak cukup," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Wati disorok

Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
2010/09/09


  • Foto

    MASTURI (dua dari kiri) ditemu bual wartawan di kediaman Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak, semalam.

  • Foto

    Datuk Sosilawati Lawiya

Kehilangan Sosilawati bersama 3 lagi individu dirancang berpunca perselisihan kewangan

KUALA LUMPUR: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dilaporkan hilang bersama tiga individu lain ketika di Banting, Hulu Selangor sejak 10 hari lalu, dipercayai disembunyikan di lokasi rahsia oleh kumpulan tertentu kerana perselisihan berhubung soal kewangan membabitkan perniagaan.

Sumber memberitahu Berita Harian, motif sebenar kumpulan itu belum dipastikan, namun polis sudah mengambil keterangan beberapa individu yang rapat dengan ahli perniagaan terbabit yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visgaes bagi mengenal pasti rangkaian konspirasi berkenaan.

Difahamkan wang yang dibawa ahli perniagaan itu ketika kehilangannya bukan RM4 juta seperti yang dilaporkan, tetapi jumlah sebenar tidak dapat dipastikan lagi. Lokasi tanah yang dikatakan mahu diurusniagakan juga bukan di Banting seperti yang didakwa sebelum ini, sebaliknya di Pulau Pinang.

“Difahamkan, Sosilawati ada menemui seseorang di sana (Banting) bagi membincangkan urus niaga tanah, selain mengambil sejumlah wang yang tujuannya belum dikenal pasti.

“Apa kaitan individu itu dengan Sosilawati atau kumpulan yang menyembunyikannya juga belum diketahui. Motif mereka juga masih samar. Namun, mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan salah seorang yang turut dilaporkan hilang bersama ahli perniagaan terbabit,”
katanya.

Sosilawati, 47, yang juga bekas isteri penyanyi Nash dilaporkan hilang ketika urus niaga tanah di Banting pada 30 Ogos lalu selepas kali terakhir dilihat pada majlis berbuka puasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS), di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dua hari sebelum itu.

Turut hilang bersama beliau ialah peguam dari Tetuan Kamaruddin & Partners di Putrajaya; Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank dari CIMB Bank Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38: dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang dikatakan pemandu peribadi Sosilawati.

Difahamkan, mereka menggunakan dua kereta berasingan, iaitu BMW X5 M-Series bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati dan BMW 525i M-Series bernombor pendaftaran AAJ 5 yang kemudian masing-masing ditemui di tempat letak kereta Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah dan di hadapan Hotel Dorsett Subang Jaya kira-kira jam 8.30 malam, Isnin lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada sidang media majlis serah tugasnya semalam, berkata siasatan terperinci sedang dijalankan berpandukan beberapa petunjuk yang diperoleh oleh polis.

“Kita sedang siasat dan yakin boleh menemui semula keempat-empat individu berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian berkenaan secara terperinci dengan segala kemungkinan diambil kira, termasuk mengesan individu terakhir yang ditemuinya sebelum dilaporkan hilang.

Beliau menasihati orang ramai tidak mempercayai khabar angin berhubung kehilangan jutawan terbabit, terutama yang disebarkan melalui SMS.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...