Monday, October 18, 2010

Bakal Pengantin Dicekup Kerana Samun Bersenjata

Ahad Oktober 17, 2010

ALOR SETAR: Seorang bakal pengantin dicekup kerana dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata ke atas beberapa stesen minyak di sekitar Kota Setar, Jitra dan Kangar.

Suspek yang berumur 22 tahun itu dicekup di Gunung Keriang pada 8 Okt lalu, iaitu dua hari sebelum dia akan berkahwin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab berkata bakal pengantin tersebut turut dikehendaki berhubung satu kes rogol di Kuala Nerang dua tahun lalu.

Sehari sebelum suspek ditahan, seorang rakan suspek yang berumur 25 tahun turut ditahan di Pokok Sena.

Beliau berkata kedua-dua suspek aktif menyamun sejak April lalu dan sehingga Oktober lepas, sebanyak 19 buah stesen minyak dan sebuah kedai serbaneka di Pokok Sena telah mereka samun yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM35,000.

Mereka didapati menggunakan senjata seperti parang, pisau dan pistol tiruan dan pernah menikam seorang juruwang sebuah stesen minyak tersebut.

"Modus operandi kumpulan ini ialah mereka akan meninjau terlebih dahulu stesen-stesen minyak. Sekiranya tidak ada pelanggan ketika itu, mereka akan masuk ke dalam stesen minyak dan menyamun wang di kaunter juruwang.

"Seorang akan masuk ke dalam stesen minyak dengan memakai topi kaledar dan seorang lagi akan menunggu dengan motosikal di luar stesen minyak," kata Abdul Ghafar.Selepas menyamun, mereka akan menukar nombor plat motosikal mereka, katanya.

Polis turut merampas tiga buah motosikal yang dipercayai digunakan untuk menyamun, dua pucuk pistol tiruan dan sebilah pisau daripada kedua-duanya.

Mereka kini ditahan reman sehingga 25 Okt ini.-BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/10/17/mstar_jenayah/20101017195203&sec=mstar_jenayah

Parlimen – Guan Eng Gesa Kerajaan Kaji Semula Kenaikan Elaun JKKK

Published: Isnin Oktober 18, 2010 MYT 2:14:00 PM

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa kerajaan mengkaji semula kenaikan elaun kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pembinaan projek mega namun tiada pemberian bonus kepada kakitangan awam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, keputusan kerajaan menaikkan elaun JKKK namun tidak memberikan bonus kepada kakitangan awam menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat di negara ini.

“Kita mendapat maklum balas yang negatif daripada rakyat kerana mereka rasa kurang senang hati dengan Belanjawan 2011.

“Saya tidak faham mengapa kerajaan boleh menaikkan elaun JKKK daripada RM450 kepada RM800 sedangkan mereka tidak mampu membayar bonus kepada kakitangan awam.

“Bukan itu sahaja, kerajaan mahu membina bangunan Warisan Merdeka berharga RM5 bilion. Kita harap perkara ini dapat dipertimbangkan semula. Kalau elaun dinaikkan ia perlu diberikan kepada semua. Kalau tak ada tak perlu beri,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Isnin.

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan kenaikan elaun bulanan Pengerusi JKKK dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa ini, bagi menghargai peranan mereka sebagai pemimpin masyarakat.

Bukan itu sahaja, kerajaan turut meluluskan projek bersepadu yang dinamakan Warisan Merdeka itu dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad akan mengekalkan Stadium Merdeka, Stadium Negara termasuk pembinaan sebuah menara 100 tingkat di Malaysia.

Malah Setiuasaha Agung DAP itu juga menyelar tindakan kerajaan menaikkan cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus.

“Kenaikan cukai ini akan hanya membebankan golongan miskin kerana mereka tidak mampu untuk menampung kenaikan kos perkhidmatan tersebut.

“Ini adalah bentuk hiburan kepada orang miskin. Kita harap ia boleh dikaji semula, kerana ini akan menembahkan beban kepada rakyat Malaysia sebanyak RM597 juta dengan kenaikan cukai perkhidmatan ini,” katanya.

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/18/mstar_berita/20101018141117&sec=mstar_berita

Gempa Bumi Lemah Dikesan Di Tawau Awal Pagi Tadi

Isnin Oktober 18, 2010

TAWAU: Gempa bumi lemah berukuran 3.8 pada skala Richter dikesan berlaku di Tawau kira-kira jam 4.37 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kira-kira jam 5.05 pagi tadi di sini menyebut bahawa pusat gegaran itu dikesan di latitud 4.4 Utara dan longitud 118.1 Timur iaitu lapan kilometer dari barat laut Tawau.

Menurut kenyataan itu, gegaran lemah dapat dirasai di sekitar Tawau dan jabatan itu sedang memantau perkembangan berkenaan dan akan memaklumkan orang ramai jika ada perkembangan terbaru. - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/18/mstar_berita/20101018120848&sec=mstar_berita


'Diracik, dimandi dan dikebumi'




EMPAT tahun lalu, Rahmat Mahdan, 52, sedih apabila melihat taburan kertas yang tertera ayat-ayat suci al-Quran di sebuah pusat pengumpulan barang kitar semula.

Perasaan sayu itu lantas membuatkannya terdetik untuk melakukan sesuatu.

Demi mengelakkan keadaan tersebut daripada terus berulang, dia berazam untuk mendapatkan ruang sempurna bagi mengurus dan menyelamatkan wahyu Allah itu daripada dibiarkan sebegitu.

Nalurinya ternyata gusar apabila memikirkan tentang sikap tidak peduli segelintir umat Islam mengenai perkara itu.

Memang adakalanya, ayat- ayat al-Quran yang sudah terkoyak daripada kitabnya atau daripada petikan bahan bacaan ilmiah lain tidak lagi boleh disimpan atau dimanfaatkan. Namun, membuang dengan sesuka hati bukanlah jawapannya.

“Masyarakat pada hari ini mudah menyerahkan segala urusan kitar semula menggunakan khidmat pengumpul surat khabar lama yang selalu datang ke kawasan kediaman dengan lori.

“Lebih menyayat hati apabila bahan bacaan yang hendak dilupus itu terkandung ayat-ayat suci al-Quran.

“Adakah mereka terfikir tentang ‘nasib’ kesucian wahyu Allah itu?” keluh pemilik dan peneraju syarikat Percetakan Saufi Sdn. Bhd. tersebut.

Dia bagaimanapun tidak menafikan faktor kesibukan urusan kerja menjadikan segolongan orang terlupa akan hal itu.

Rahmat mula berfikir panjang untuk berbakti atas matlamat melindungi kandungan al-Quran dan hadis Rasulullah.


LAMBAKAN al-Quran dan buku ilmiah menunggu waktu dilupuskan.


Sebagai langkah awal, Rahmat mengumpulkan pandangan daripada beberapa orang tokoh agama seperti Imam Satu masjid Wilayah Persekutuan, Ustaz Moghni Israri dan Pengetua Darul Quran Selangor, Ustaz Azahari Othman.

Malah, kunjungan tenaga pengajar dari Masjidil Haram, Mekah, Dr. Syeikh Md. Idrees Al-Mashrafe ke Malaysia juga menjadi peluang buat Rahmat merujuk kepadanya mengenai hal tersebut.

Selanjutnya, Rahmat mengambil inisiatif dengan melihat sendiri cara terbaik pelupusan al-Quran di beberapa buah negara terpilih.

“Tiga tahun lalu saya berkesempatan ke beberapa lokasi seperti Hanoi, Singapura, Indonesia dan Syria untuk menimba pengalaman kerana saya sangat berhajat untuk membuka tapak khas bagi pengurusan pelupusan ayat-ayat suci.

Memelihara dan melupus

“Ayat suci al-Quran ini tidak akan dicampurkan dengan sebarang bahan bacaan lain. Saya mahu memeliharanya sebaik mungkin dan melupuskannya dengan cara betul,” terangnya.

Rahmat juga memberitahu, kebiasaannya sesetengah orang Islam memilih untuk membakar dan menanam ayat-ayat suci itu.

Bagaimanapun, jika diamati, helaian kertas yang terdapat ayat al-Quran tidak mampu hancur sepenuhnya apabila ia dibakar dengan cara biasa.

Malah ketika dibakar, serpihan itu mudah berterbangan dengan kesan petikan ayat yang masih tertera. Jadi, proses itu tidak mampu melupuskannya dengan sempurna.

“Ramai yang pilih untuk membuat cara begitu, kemudian ditanam. Tetapi jika ia ditanam di kawasan yang cenderung menjadi laluan orang ramai, ia tetap meragukan kerana kalimah al-Quran tidak boleh dilangkah,” jelasnya yang antara lain mengingatkan orang ramai tentang ‘nasib’ potongan ayat al-Quran yang turut terdapat dalam sesetengah kad jemputan perkahwinan.

Hajat terlaksana

Berkat kesungguhan mengejar matlamatnya, Rahmat kini mampu menarik nafas lega kerana dikurniakan rezeki untuk menyediakan sebidang tanah sebagai tapak pelupusan al-Quran.

Terletak di Batu 10 Cheras, Kajang, Selangor, lokasi itu menempatkan sebuah gudang yang dipenuhi timbunan al-Quran lama, hadis dan buku pembelajaran agama.

Di situ, kelihatan dua orang pekerja wanita tekun mengoyakkan helaian buku satu persatu.


INSINERATOR rekaan Rahmat perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum proses pelupusan dimulakan.


“Kertas-kertas itu diasingkan mengikut kategori. Helaian al-Quran tidak dicampur dengan helaian bahan bacaan lain. Proses itu perlu dipastikan dahulu sebelum ia dimasukkan ke dalam mesin peracik khas,” ujarnya yang ketika ini menghadapi cabaran mendapatkan tenaga kerja yang mencukupi.

“Saya kadangkala terpaksa menolak jika ada pihak yang mahu menghantar bahan untuk dilupuskan dalam kuantiti yang banyak. Bukannya tidak mahu terima tetapi kapasiti gudang dan tenaga kerja saya belum mengizinkan.

“Tetapi kalau setakat sekotak dua, saya masih terima,” ujar Rahmat yang mempunyai pengalaman selama 23 tahun dalam bidang percetakan.

Sementara itu, sebuah mesin pembakar khas (insinerator) ditemui krew Kosmo! di luar gudang tersebut. Diperbuat daripada keluli tahan karat, rekaannya mendapat sentuhan idea Rahmat sendiri dan ditempah khas setelah menimba pengetahuan sepanjang lawatannya ke beberapa buah negara sebelum ini.

“Maaf, kos mesin ini tidak boleh saya dedahkan. Yang pasti, apabila kita mereka sendiri, ia lebih murah. Nilainya tidak penting, paling utama saya mahu mendapat sokongan masyarakat untuk sama-sama berkongsi menyelamatkan al-Quran,” katanya.

Suhu 700 darjah Celsius

Proses pembakaran dilakukan secara berkala iaitu dua kali seminggu. Setiap kali sesi membakar, mesin itu dipanaskan terlebih dahulu dan ia mengambil masa selama enam jam.

Tempoh itu diperlukan bagi mencapai tahap suhu sehingga 700 darjah Celsius dan ketika itu barulah kertas-kertas dimasukkan dan dapat dibakar sepenuhnya sehingga hancur. Untuk proses pembakaran yang selesai dalam masa 30 minit itu sahaja, sebanyak empat tong gas diperlukan.

“Hasil daripada pembakaran itu, bahan bakar itu menjadi abu yang kemudian terkumpul di bahagian bawah dan belakang mesin pembakar itu,” terang Rahmat yang lazimnya akan menyudahkan sendiri proses tersebut.


SEORANG petugas sedang meracik helaian kertas yang sudah diasingkan mengikut kategori.


Menurutnya, pendekatan seperti membuang abu ke laut tidak digunakan kerana ia mungkin berhadapan dengan masalah. Antaranya adalah abu tersebut tidak tenggelam atau mengalir dengan teratur.

“Faktor cuaca seperti angin juga boleh menolak haluan abu tersebut. Silap perhitungan, habis muka dan badan melekat dengan abu itu,” selorohnya sambil tergelak kecil.

Maka, langkah seterusnya adalah dengan meletakkan abu tersebut di dalam bekas dan ‘dimandikan’. Abu terbabit digaul rata dengan air untuk memudahkannya dimasukkan ke dalam tong.

Tanpa perlu tong-tong itu dibawa jauh, Rahmat telah pun menyediakan telaga khas di kawasan yang sama. Dibina sedalam 3.5 meter, telaga itulah tempat ‘persemadian’ akhir bagi abu tersebut.

“Kita akan ‘kebumikan’ abu tadi ke dalam telaga ini. Proses ini menjimatkan masa, tenaga dan pengangkutan kerana pengurusan satu tan abu boleh disiapkan dalam masa 20 minit,” jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Uji kenderaan baru guna alat kawalan jauh



SEORANG wanita menguji sebuah kenderaan Mitsubishi Outlander Sport dengan menggunakan alat kawalan jauh di sebuah kawasan di California baru-baru ini.


LOS ANGELES - Pengeluar kenderaan Mitsubishi menjadi syarikat yang pertama di dunia membenarkan pelanggan menguji kenderaan utiliti sport (SUV) dengan menggunakan alat kawalan jauh, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Syarikat dari Jepun tersebut menggunakan teknologi yang membolehkan pelanggan-pelanggannya menguji kenderaan Outlander Sport tetapi dengan kelajuan cuma 48 kilometer sejam.

Ujian seperti permainan video itu merupakan yang pertama di dunia.

Kenderaan yang diuji itu dilengkapi dengan perkakasan alat kawalan jauh termasuk kamera dan Sistem Panduan Arah (GPS).

Pelanggan-pelanggan dikatakan boleh menguji kenderaan itu yang berharga AS$22,387 (RM69,052) dengan menggunakan alat kawalan jauh dari rumah. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Robot menari, menyanyi dengan kawalan tetikus



ROBOT wanita (tiga dari kanan) setinggi 1.58 meter menyanyi dan menari bersama beberapa penari lain di Ekspo Kandungan Digital di Tokyo semalam.


TOKYO - Penyelidik-penyelidik di Institut Lanjutan Sains dan Teknologi Jepun mencipta robot wanita yang boleh menyanyi dan menari serta dikawal dengan tetikus.

Robot yang dinamakan HRP-4C itu dipamerkan pada Ekspo Kandungan Digital di Tokyo semalam.

Dengan menggunakan tetikus komputer, pengguna dengan mudahnya boleh mencipta pergerakan robot itu seperti menari dan melompat.

Satu perisian yang dicipta akan mengira jangkaan pergerakan robot itu seperti bila ia bakal melompat.

"Dengan perisian itu, kita berharap akan menjadikan robot bergerak, menyanyi dan berjalan dalam satu pertunjukan fesyen. Kami mahu mencipta satu kandungan baru teknologi industri," kata seorang penyelidik dari institut itu, Shinichiro Nakazawa. - Agensi

Kereta buatan Jepun dirosakkan



BEBERAPA orang melihat sebuah kereta yang diterbalikkan penunjuk perasaan di bandar Mianyang, wilayah Sichuan, China semalam.


BEIJING - Para penunjuk perasaan semalam mengambil bahagian dalam hari kedua protes terhadap Jepun walaupun pemerintah China meminta rakyatnya bertenang.

Menurut sebuah agensi berita semalam, para penunjuk perasaan anti-Jepun membaling batu ke arah restoran Jepun, memecahkan tingkap kereta buatan negara itu dan bertempur dengan polis di bandar Mianyang, wilayah Sichuan.

Sikap penduduk China itu berlaku selepas hubungan ekonomi antara kedua-dua negara kian tegang pada bulan lalu.

Ketegangan itu bermula selepas pihak berkuasa Jepun menangkap seorang nelayan China apabila kapalnya berlanggar dengan bot peronda Jepun dekat sebuah pulau yang menjadi perebutan kedua-dua buah negara.

Pulau yang menjadi rebutan itu, Senkaku, mempunyai potensi simpanan minyak dan gas yang banyak di Laut China Utara.

Selepas tunjuk perasaan pertama berlaku kelmarin, pemerintah China semalam meminta rakyatnya bertenang namun ia tidak dihiraukan oleh penduduk di wilayah Sichuan.

"Kami menyatakan bahawa patriotisme sepatutnya disuarakan dengan rasional dan berdasarkan undang-undang. Kami tidak bersetuju dengan tindakan tidak rasional yang melanggar undang-undang dan peraturan," kata jurucakap Kementerian Luar China, Ma Zhaoxu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Lelaki kahwin dua dalam tempoh 24 jam



AZHAR HAIDRI (kanan) duduk bersama saudara-maranya di Multan malam kelmarin.


MULTAN - Seorang pemuda Pakistan berumur 23 tahun, Azhar Haidri merancang untuk berkahwin dengan dua wanita dalam tempoh 24 jam. Rancangan itu mendapat perhatian ramai penduduk di Pakistan kerana pemuda tersebut mahu menyelesaikan dilema yang menghantui dirinya.

Dilema yang dihadapinya itu ialah dia jatuh cinta dengan seorang wanita berusia 21 tahun, Rumana Aslam.

Bagaimanapun, keluarganya mahu Azhar berkahwin dengan seorang wanita berumur 28 tahun, Humaira Qasim yang menjadi tunangnya sejak dia kecil.

Dia pada mulanya enggan untuk berkahwin dengan wanita pilihan keluarganya itu.

Namun, disebabkan ancaman kemungkinan keluarganya berpecah-belah, dia merancang untuk berkahwin dengan kedua-dua wanita tersebut.

"Saya membuat tawaran saya akan bernikah dengan kedua-duanya," kata Azhar sebelum dia bernikah dengan wanita pilihan keluarganya itu di bandar Multan semalam.

Menurutnya, kedua-dua wanita itu bersetuju untuk berkahwin dengannya.

Dia akan berkahwin dengan wanita pilihan hatinya itu pada hari ini.

Beberapa stesen televisyen di Pakistan merancang untuk membuat liputan majlis perkahwinan Azhar secara langsung kerana ia dianggap unik.

Kedua-dua wanita itu menyatakan mereka berpendapat tolak ansur merupakan satu cara penyelesaian yang terbaik.

Mereka merancang untuk hidup sebagai kakak dan adik serta rakan.

"Saya berasa gembira kerana kami akan menyintai lelaki yang sama," kata Rumana.

Azhar yang merupakan seorang pengamal perubatan herba menganggap dirinya bertuah.

"Adalah sesuatu yang jarang berlaku apabila dua wanita bersetuju untuk berkahwin dengan seorang lelaki," katanya. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Dua pelajar perempuan maut


SEBUAH motosikal dan kereta yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan dua pelajar di Kilometer 119, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kemasek kelmarin.


KEMAMAN – Dua pelajar yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan maut apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer 119, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat pekan Kemasek kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu berlaku apabila sebuah motosikal dinaiki mangsa, Nur Amalina Saimin dan rakan karibnya, Nur Ain Abdul Rahim yang kedua-duanya berusia 17 tahun dirempuh sebuah kereta jenis Proton Persona ketika berhenti di lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat memberitahu, akibat rempuhan itu kedua-dua pelajar tersebut tercampak beberapa meter di atas jalan raya.

“Nur Amalina maut di tempat kejadian kerana kecederaan teruk di kepala dan badan manakala Nur Ain yang membonceng motosikal itu pula meninggal dunia di Hospital Kemaman,” katanya.

Beliau yang ditemui di pejabatnya dekat sini semalam memberitahu, pemandu kenderaan berusia 49 tahun dan dua penumpang di dalam kereta itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari rumah mereka melalui Perumahan Rantau Petronas menghala ke pusat beli-belah yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Menurut ibu Nur Ain, Aminah Ibrahim, 54, sebelum kejadian, anaknya meminta kebenaran untuk pergi ke rumah seorang lagi kawannya di Kampung Baru Kemasek kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka bagi menziarah ibu rakannya yang akan mengerjakan haji.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Sanggup mati demi cinta


Anggota Bomba dan Penyelamat mengutip serpihan mayat Santhakumari yang maut selepas digilis kereta api di Kilometer 25, Jalan Gemas-Bahau, Jempol semalam.


BAHAU – Gara-gara percintaan dengan seorang lelaki tidak direstui keluarga, seorang janda beranak empat didakwa sanggup menamatkan riwayat hidupnya dengan berbaring di atas landasan kereta api sebelum badannya digilis di Kilometer 25, Jalan Gemas-Bahau, Jempol kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 6.30 petang dan mangsa P. Santhakumari, 48, didakwa menunggu di landasan itu sebelum bertindak berbaring di atas landasan apabila mendengar kehadiran kereta api.

“Pemandu kereta api itu dikatakan nampak wanita itu dan cuba memperlahankan kereta api tetapi gagal.

“Badan wanita itu berkecai akibat digilis kereta api itu,” kata beliau.

Menurut beliau, kereta api terbabit ketika kejadian itu merupakan kereta api membawa muatan barang yang dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke Kuala Lipis, Pahang.

“Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Jempol untuk tujuan bedah siasat,” kata beliau.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Tasik air panas lubuk curi pasir


PELBAGAI jentera berat begitu rakus mengorek pasir di Semenyih baru-baru ini.


SEMENYIH – Jika satu masa dulu tasik air panas di kawasan Batu 28, Kampung Pasir di sini menjadi tarikan pengunjung untuk bersantai namun ia cuma tinggal sejarah selepas ia dirosakkan oleh sindiket korek pasir.

Kawasan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Semenyih itu terlindung dan kesempatan itu digunakan sebuah sindiket untuk mengorek pasir di beberapa tempat di sekitarnya

Tarikan utama pengunjung ke tasik yang berkeluasan 10 hektar (24.7 ekar) itu sebelum ini adalah kerana keistimewaan airnya yang didakwa mampu dijadikan penawar penyakit kulit.

Namun, sejak setahun lalu, kawasan yang merupakan milik kerajaan Selangor itu tidak ubah seperti koloni bagi warga Myanmar dan Indonesia. Mereka tinggal di rumah-rumah sewa di Kampung Pasir di sini dan diupah oleh sindiket.

Sejak adanya kegiatan mengorek pasir di situ yang dilakukan di antara pukul 9 pagi hingga pukul 7 malam, pemandangan di sekitar tasik tersebut kini berhiaskan beberapa bekas lombong.

Malah tidak jauh dari lombong-lombong yang telah diteroka itu, bermacam jenis jentera bagi tujuan mengorek pasir seperti jentera pengorek, mesin sedut pasir dan membuang air berdiri megah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Bakal pengantin hilang


Sabariah menunjukkan gambar anaknya, Rozaliya yang hilang di Kemaman semalam.


KEMAMAN - Seorang gadis, Rozaliya Mat Lazim (gambar) yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 12 November depan hilang ketika keluar membeli barang-barang persiapan untuk hari bahagianya di Kuantan pada 13 Oktober lalu.

Keluarga mangsa mendakwa, Rozaliya, 20, hilang selepas gadis itu menghantar dua mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada tunangnya berbunyi 'ada dua lelaki sedang mengekori' dan 'abang datang cepat, saya takut'.

Ibu mangsa, Sabariah Mansor, 42, memberitahu, anaknya dijemput tunangnya, Mohd. Helmi Mohd. Nor, 24, dengan sebuah kereta kira-kira pukul 11 pagi dari rumahnya di Bandar Baru Cheneh dekat sini pada Rabu lalu.

"Tetapi kira-kira pukul 6 petang saya dihubungi Helmi menyatakan anak saya hilang," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini semalam.

Menurut Sabariah, Mohd. Helmi yang bekerja sebagai pegawai Felda memberitahu dia meninggalkan Rozaliya di pasar raya Mydin, Kuantan sejurus tiba di sana kerana terpaksa kembali ke pejabatnya di Bandar Baru Cheneh ekoran ada urusan kerja yang perlu diselesaikan segera.

"Ketika Mohd. Helmi baru saja tiba di pejabatnya dia dapat dua SMS daripada anak saya dan dia cuba menghubungi anak saya tetapi gagal menyebabkan dia pergi semula ke Kuantan kira-kira pukul 3 petang," katanya sambil menyatakan anaknya bertunang pada bulan Februari lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Empat pemimpin JMM ditahan polis

Abdul Rahim Sabri
Okt 15, 10
3:47pm

Empat pemimpin Jaringan Melayu Malaysia (JMM), termasuk yang dipertuanya, Azwandin Hamzah ditahan polis di hadapan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq Bangsar selepas solat Jumaat hari ini.

Mereka dijadual untuk mengadakan perhimpunan anti sebuah portal berita -
Malaysian Insider.

Tiga lagi pemimpin JMM yang ditahan ialah naib yang dipertuanya, Omar Salleh; setiausahanya, Tengku Sani Tengku Amalluddin dan bendaharinya, Yusof Mahmud.

Mereka dibawa ke ibupejabat polis Brickfields untuk memberi keterangan mengenai tujuan mereka berhimpun di situ.

Mereka dibebaskan kira-kira jam 4 petang tadi.

Sebelum itu, anggota polis dilihat menghampiri Tengku Sani yang sedang berdiri di persimpangan lampu isyarat di depan masjid tersebut, sambil membawa pembesar suara.

Ketika dia sedang disoal oleh anggota polis, Azwandin pula datang, difahamkan, untuk bertanya apa yang berlaku.

Para wartawan dan jurugambar turut menghampiri mereka. Azwandin kedengaran meminta polis memberi alasan mengapa mereka tidak boleh berkumpul di situ.

Polis kemudiannya meminta Azwandin menunjukkan kad pengenalannya, tetapi pada mulanya beliau enggan berbuat demikian.

Selepas arahan sebanyak tiga kali diberikan, akhirnya beliau akur dengan arahan tersebut.

Tidak lama selepas itu, kedengaran arahan supaya pembantunya ditahan, menyebabkan mereka berpautan bagi mengelak ditahan polis.

Kemudiaan beberapa anggota polis membawa pembantu Azwandin masuk ke dalam kereta poranda polis.

Azwandin juga turut ditahan sejurus kemudian dengan tangannya digari.

Beliau juga dimasukkan ke dalam kereta peronda yang sama dan kedua-duanya kemudiannya dipercaya dibawa ke balai polis.

Insiden itu menarik perhatian para jemaah yang baru selesai mengerjakan solat Jumaat.

Berikutan itu, perhimpunan anti
Malaysian Insider yang diwar-warkan sebelum itu, tidak berlaku.

Sebelum itu, kira-kira 20 anggota polis kelihatan mengawal lalulintas dan sekitar masjid tersebut ketika jemaah bersolat Jumaat.

Anggota polis juga kelihatan di hadapan bangunan UOA yang terletak tidak jauh dari masjid tersebut, yang menempatkan pejabat
Malaysian Insider.

Sementara itu, Tengku Sani ketika dihubungi Malaysiakini petang ini berkata mereka memberi kerjasama sepenuhnya ketika memberi keterangan kepada pihak polis.

Katanya, mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

VIDEO | 4.23 min

http://www.malaysiakini.com/news/145437

Hobi jerat diri



Oleh FIRDAUS SAHAT, MIORAZLAN MIOR KAMARULBAID dan RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pada mulanya dia hanya suka-suka mencari kenalan baru menerusi laman sembang ketika melayari Internet sambil mengulang kaji pelajaran.Itu rutin Syafika, 19, sama ada ketika berada di institusi pengajian tinggi atau pulang ke rumah.

Tapi, hobi itu akhirnya menjadi racun apabila terjebak dengan lelaki miang yang rupa-rupanya mempunyai niat serong di sebalik perkenalan di alam maya.

Menceritakan kisah silamnya, Syafika berkata, pada mulanya dia menggunakan laman sosial hanya untuk mencari kenalan.

Namun, katanya selepas mempunyai ramai kenalan lelaki, ada antara mereka mengajak dia keluar malah tidak kurang juga sanggup membayar untuk 'tidur' bersamanya.

Pada awalnya dia agak keberatan untuk menerima pelawaan berkenaan, bagaimanapun, selepas dipujuk dan ditawarkan bayaran lumayan, akhirnya dia tewas dan terjebak dalam kancah kehidupan sosial terbabit.

“Sebelum ini, saya hanya melakukan hubungan seks dengan teman lelaki. Selepas kami berpisah, saya tidak berjumpa mana-mana lelaki dan akhirnya tidak dapat menahan nafsu sendiri.

“Sebab itu, saya menerima pelawaan seorang lelaki untuk menemaninya. Dia memberikan saya sejumlah wang tetapi dengan syarat saya perlu mengadakan hubungan seks dengannya.

“Kerana nafsu dan wang tunai yang ditawarkan, akhirnya saya merelakan diri dinodai. Sejak itu, saya aktif melakukan kegiatan ini meskipun masih belajar,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Bagi mendapatkan kemewahan dengan cara mudah selain melampiaskan nafsunya, Syafika mula menjerat kaum lelaki hidung belang.

“Sejak berjinak-jinak dengan kegiatan berkenaan, saya mula berasa kemewahan. Dengan merahsiakan segala kegiatan ini daripada pengetahuan keluarga, saya semakin aktif melayan lelaki yang dahagakan seks menerusi laman sosial.

“Kini, saya mengenakan bayaran RM80 kepada sesiapa yang menghubungi saya di laman sosial terbabit. Setidak-tidaknya, saya dapat mengumpul wang tambahan sebanyak RM500 sebulan,” katanya.

Bagi mengelak identitinya diketahui, Syafika bertindak memadamkan akaun laman sosialnya selepas mendapat mangsa yang dikehendaki kemudian membukanya semula atas nama berbeza.

“Saya meletakkan gambar sebenar dalam keadaan yang mengghairahkan. Selepas ada lelaki yang cuba berkenalan, saya memberitahu perkara sebenar dan kebanyakannya setuju untuk membayar.

“Kemudian, mereka memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun bank saya dan menjemput saya di tempat yang dijanjikan. Selepas itu, terpulang kepada mereka untuk membawa saya ke mana saja.

“Selepas selesai, saya akan memadam akaun laman sosial dan buka yang baru. Setidak-tidaknya, tidak ada yang dapat mencari saya kembali,” katanya. Menurut Syafika, setakat ini aktiviti nakalnya masih belum diketahui ibu bapanya kerana dia bijak menyembunyikan kegiatan berkenaan.

“Kadang-kadang, saya 'online' di rumah saja. Ibu dan ayah tidak menghalang saya menggunakan Internet lebih-lebih lagi atas alasan menyiapkan tugasan universiti.

“Lagipun, mereka tidak mengesyaki apa-apa memandangkan penggunaan laman sosial kini menjadi kepentingan ramai termasuk pelajar seperti saya. Begitupun, saya bukanlah pelacur tetapi lebih kepada golongan bohsia yang sukakan aktiviti sosial,” katanya.

Selain Syafika, Dira, 20, turut menggunakan laman sosial untuk mencari ‘teman’ bagi mendapatkan pendapatan sampingan. Menurutnya, pekerjaan sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam membuatkan dia lebih aktif mencari teman selain mengumpul wang sampingan.

“Kebiasaannya, jika saya menerima pelanggan di dalam kelab malam, ‘mummy’ akan mengambil sedikit keuntungan daripada apa yang saya dapat. Sebab itu saya mencari kenalan baru atau pelanggan menerusi Internet. Setidak-tidaknya, saya memperoleh keuntungan bersih.

“Lagipun, kerja ini tidak susah. Jika ada yang memasukkan wang ke dalam bank, saya akan mengambil cuti daripada bekerja dan mengikut lelaki itu. Jika bekerja sekalipun, belum tentu saya mendapat pelanggan,” katanya.

Menurutnya, penggunaan laman sosial memudahkannya melakukan pekerjaan itu. Katanya, meskipun sekadar suka-suka atau demi mencari kemewahan, tiada sesiapa dapat mengesyaki apa yang dilakukannya.

“Mudah dan senang. Lagipun, saya tidak perlu bekerja keras kerana kebanyakan lelaki yang kemaruk seks suka menjadikan laman sosial sebagai tempat mencari pasangan.

“Lagipun, cara begini lebih praktikal daripada ‘menjaja badan’ di tepi jalan. Silap-silap nanti, terserempak dengan kaum keluarga ataupun ditahan pihak berkuasa,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/20101017224855/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...