Thursday, November 18, 2010

Dr Khir bayar tunggakan cukai banglonya

Joseph Sipalan
Nov 17, 10
4:48pm

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, semalam telah membayar sekitar RM11,000 kepada Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA), setelah diberikan notis untuk menyelesaikan cukai taksiran banglo mewahnya yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit di Shah Alam.

Seorang pembantu kepada Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Mohd Noor menafikan berita kononnya kediaman kontroversi milik Khir itu telah disita oleh MPSA berikutan kegagalannya menjelaskan cukai taksirannya.

“Rumahnya tidak disita; beliau cuma diberikan notis untuk menyelesaikan bayaran tertunggak selama enam penggal (dua penggal setahun) cukai taksiran rumahnya semalam. Beliau diberi seminggu untuk berbuat demikian tetapi saya percaya beliau telah menjelaskan bayaran tertunggak itu,” kata pembantu itu ketika dihubungi.

Akhbar Berita Harian hari ini menyiarkan laporan banglo milik Dr Khir di Sekysen 7 Shah Alam menjadi tumpuan MBSA menyerahkan notis sita rumah selepas bekas Menteri Besar itu dikatakan tidak menjelaskan penilaian bagi rumahnya sejak tiga tahun lalu.

Akhbar milik Umno itu juga memetik Dr Khir sebagai berkata, beliau tidak menerima sebarang notis daripada MBSA sejak kebelakangan ini, malah ketika notis sita rumah itu diserahkan, beliau tiada di rumah ketika itu.

"Saya sudah menyelesaikan bayaran ini. Ia hanya kes terlepas pandang dan saya harap ia tidak dijadikan isu," katanya kepadaBerita Harian.

Laporan itu kemudian diperbesarkan oleh akhbar Cina yang mendakwa kediaman Dr Khir telah disita selepas beliau gagal menjelaskan bayaran cukai taksirannya itu.

Banglo itu menjadi isu selepas didedahkan kos pembinaannya termasuk pengambilan dua bidang tanah masing-masing berkeluasan 0.2 hektar dan 0.1 hektar bernilai kira-kira RM24 juta.

Bekas menteri besar itu bagaimanapun telah menafikan jumlah itu dan sebaliknya menjelaskan ia menelan perbelanjaan RM3.5 juta.

Ibu bapa guna mahkamah syariah 'rampas' anak

Susan Loone
Nov 16, 10
7:02pm

Trend 'merampas' kanak-kanak bagi membolehkan seseorang yang menukar agama mereka kepada Islam mendapatkan anak mereka semula setelah bercerai dengan pasangan bukan Islam dengan bantuan beberapa agensi didakwa semakin membimbangkan.

Naib Ketua Pemuda PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung yang membuat dakwaan itu berkata lebih menakutkan apabila kanak-kanak itu pula kemudiannya diislamkan sehingga menimbulkan kekalutan berhubung tafsiran undang-undang.

NONE"Ibu atau bapa yang beragama Islam itu boleh berbuat demikian kerana berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Syariah yang mencabuli hak perlembagaan dan hak awam ibu atau bapa yang bukan beragama Islam berhubung anak mereka,” kata Gooi.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan masalah perlembagaan kerana hak ibu atau bapa bukan Islam seringkali 'diketepikan' oleh Mahkamah Syariah.

'Kekalutan' itu, tambahnya, akan memaksa ibu atau bapa bukan Islam merujuk ke Mahkamah Syariah sedangkan kuasanya sepatutnya hanya terhad kepada mereka yang beragama Islam.

Menurut Gooi, kejadian merampas kanak-kanak seringkali dibantu oleh institusi lain seperti polis dan majlis agama negeri.

"Apa yang kami cuba perkatakan ialah, jika sesuatu perkahwinan itu dimeterai mengikut undang-undang sivil, sebarang pertelingkahan rumah tangga, termasuk hak penjagaan kanak-kanak sepatutnya diputuskan oleh mahkamah sivil,” katanya.

"Mahkamah Syariah tidak sepatutnya campur tangan dan mencerobohi bidang kuasa mahkamah sivil.

"Ini adalah trend yang membimbangkan kerana ada perkembangan di mana Mahkamah syariah terus mencabar bidang kuasa mahkamah sivil,” katanya.

Gooi, yang seorang peguam merujuk kepada kes di mana seorang mualaf Fatimah Fong, 28, baru-baru ini 'melarikan' anaknya yang berusia tujuh tahun dari sekolah.

Anak itu , Tan Yi Min, telah menetap dengan bapanya, Tan Cheow Hong, 36, sejak 2007, apabila pasangan itu bercerai.

Sepanjang tempoh berkenaan, ibunya didakwa jarang melawat anaknya dan Yi Min telah dipelihara oleh ayahnya, ibu dan kakak Tan yang menetap di Buuerworth manakala Fatimah pula tinggal di Kuala Lumpur.

Gooi berkata guru dan pengetua sekolah Yi Min cuba menghalang kanak-kanak itu daripada 'dilarikan' tetapi gagal kerana ibunya mempunyai perintah daripada Mahkamah syariah.

"Ibu kanak-kanak itu datang dengan membawa perintah Mahkamah Syariah Shah Alam dan diiringi serta dibantu oleh perwakilan daripada majlis agama dan polis,” katanya.

"Bapanya tidak pernah dimaklumkan oleh prosiding Mahkamah Syariah dan tidak ada sebab bagi isterinya bertindak sedemikian dengan penuh kerahsiaan dan tergesa-gesa dalam mengambil kanak-kanak itu,” katanya.


[Baca berita penuh]

Karim: Sabah miskin sebab pemimpinnya kaya

Nov 16, 10 4:21pm

Bekas pengasas Umno Sabah, Datuk Karim Ghani mengakui kesahihan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) oleh Bank Dunia, bahawa Sabah dikategori sebagai negeri paling miskin di Malaysia, lapor TV Selangor.

Laporan berkenaan menyebut Sabah yang mewakili 10 peratus penduduk Malaysia mempunyai 40 peratus daripada rakyatnya dikategorikan sebagai miskin.

Sehubungan itu, Karim juga yang menyanggah kenyataan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Negeri Sabah yang menafikan laporan MEM berkenaan.

Pemimpin yang pernah sama-sama berjuang bersama tokoh kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun itu berkata masalah wujud disebabkan perjanjian ketika pembentukkan Malaysia tidak ditunaikan.

"Sabah negeri kaya, yang miskin rakyatnya dan yang kaya juga pemimpinnya. Laporan Bank Dunia itu yang betul," katannya yang berhasrat menghidupkan semula Usno.

Berhubung tindakan EPU menyanggah laporan tersebut, Karim berkata ini kerana kerajaan BN sengaja tidak mahu mengakui rakyat Sabah miskin.

"Kenyataan yang asyik diulang-ulang oleh pemimpin Sabah, hujung tahun ini semua rakyat sudah keluar daripada kemiskinan.

"Sabah kaya...kita ada minyak, ada kayu balak, ada kelapa sawit tapi rakyatnya miskin disebabkan pentadbiran yang tidak betul.

"Yang dimajukan cuma bandar dengan bangunan yang mencakar langit tetapi di luar bandar, orang masih lagi merempat.

"Seperti di Batu Sapi, kalau kita tengok tempat orang Islam di sana, air mata saya pun menitis kerana merempat sedangkan Batu Sapi itu tempat Ketua Menteri, banyak dengan kayu balak dan kelapa sawit," katanya.

Dakwa Karim lagi, Umno-BN sengaja membiarkan rakyat Sabah di dalam keadaan daif supaya undi mereka senang dibeli setiap kali pilihan raya diadakan.

"Ini adalah soal kepimpinan, kalau pemimpin mentadbir dengan baik, apa parti pun baik tetapi sejak tahun 1985 keadaan rakyat Sabah bertambah buruk. Rata-rata pekerja di Sabah, berpendapatan kurang daripada RM 500 kecuali pegawai kerajaan dan para pimpinan atasan," katanya.

Beliau juga membidas projek mega seperti membina terminal lapangan terbang yang berharga RM 1.2 bilion yang dakwanya tidak memberikan manfaat kepada rakyat Sabah terutamanya yang tinggal di kampung-kampung yang langsung tidak pernah menjejak kaki ke terminal tersebut.

"Projek mega memang nampak indah tapi projek di kampung, apa yang ada.

"Buat jalan raya tapi tidak mendatangkan hasil kepada rakyat jadi macam mana hendak menambah pendapatan rakyat supaya dapat keluar daripada kemiskinan," katanya lagi.

MB: Larangan liputan DUN Kedah boleh ditarik balik

Nov 16, 10 7:01pm

Larangan terhadap kebanyakan media arus perdana untuk membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan perbahasan bajet 2011 Kedah adalah tidak mutlak dan ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, tujuan utama larangan itu kerana ada berita yang dilaporkan beberapa organisasi media tidak benar dan mengelirukan rakyat.

"Tapi buat masa sekarang ni, jangan mai dekat lagi la sebab masih panas lagi," katanya semasa sesi penggulungan sidang dewan dan perbahasan bajet 2011 hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini pun organisasi media berkenaan masih menimbulkan berita yang tidak benar mengenai situasi sebenar sepanjang tempoh bencana banjir yang lalu.

Pada persidangan DUN kali ini, kerajaan negeri hanya membenarkan wartawan dari Bernama serta akhbar The Star, Sinar Harian, Harakah, Sin Chew Daily, China Press, Kwong Hwa Jit Poh, Guan Ming Daily, Oriental Daily, Nan Yang Siang Pau, Makkal Osai dan Malaysian Nanban membuat liputan.

Surat memaklumkan senarai media yang dibenarkan itu, yang ditandatangani oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Muhamad Helmi Mohamed Khalid, dihantar kepada semua organisasi media di negara ini Khamis lepas berikutan apa yang didakwa sebagai "ekoran dari putar belit dan berita biadap pihak media tertentu terhadap kerajaan negeri Kedah mutakhir ini".

- Bernama

Husam dakwa berita 'PAS terima Zaid' karut

Nov 16, 10 2:00pm

Ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Husam Musa mendakwaBernama membuat laporan "karut" berhubung kesediaan parti itu menerima bekas ahli parti lain, termasuk Datuk Zaid Ibrahim.

"Apa yang dilaporkan Bernama yang kononnya dipetik daripada kenyataan saya semalam adalah tidak benar dan direka-reka," katanya.

Sehubungan itu, menyatakan kekesalaannya, Husam yang juga exco kanan kerajaan Kelantan mendesak berita itu ditarik balik.

Beliau juga mengkritik Bernama yang membuat laporan "rasmi" untuk kegunaan media lain, "seolah-olah laporannya adalah betul dan rasmi".

Semalam selepas ditemuramah Bernama menerusi rancangan Hello Malaysia di Wisma Bernama, di Kuala Lumpur Husam dilaporkan sebagai berkata PAS sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana bekas ahli parti lain, termasuk Zaid yang mengesahkan akan keluar daripada PKR.

Husam yang juga ADUN Salor dilaporkan berkata, PAS pernah menawarkan tempat kepada Zaid dalam parti itu namun ditolak kerana Zaid lebih cenderung menyertai PKR.

"Dia (Zaid) sudah dewasa kalau dia nak masuk mana-mana parti... dulu pun kita tawarkan dia masuk PAS, dia menolak namun terpulanglah kepada dia mana-mana parti dia nak masuk," katanya.

Zaid yang juga bekas ketua PKR Wilayah Persekutuan, semalam secara rasmi melahirkan hasratnya untuk berundur dari parti itu.

"Memang benar saya akan meninggalkan parti itu tetapi saya belum menyerahkan borang rasmi lagi,” tulis Zaid di blognya petang semalam.

Katanya, “semuanya akan dijelaskan” apabila beliau mengeluarkan kenyataannya pada Jumaat ini.

PAS: Media tidak beretika perlu diajar

Nov 16, 10 1:07pm


Ketua Dewan Pemua PAS Pusat, Nasrudin Hasan menegaskan, memang layak media yang tidak beretika mesti diajar sebagai teladan untuk mereka mengkaji semula laporan yang berat sebelah, laporHarakahDaily.

Berucap pada malam penutup Karnival Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum malam semalam, beliau berkata tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah melarang media pro Umno membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) merupakan reaksi biasa sebagai protes bukanya menghalang kebebasan media.

"Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan memang patut sebab media pro-Umno buat liputan berat sebelah berkaitan banjir. Media hanya tumpukan pada sumbangan Kerajaan Pusat, seolah-olah menidakkan bantuan kerajaan negeri. Lepas tu hentam tanpa bagi peluang Menteri Besar menjawab," terangnya.

Sebagai contoh, katanya ketika bantuan Dewan Pemuda PAS Pusat yang berkampung di Kubang Rotan di mana mangsa banjir diberikan sumbangan dan disajikan gulai daging lembu pada hari pertama, pada hari kedua pula ayam masak merah manakala hari ketiga gulai telur ikan masin.

“Bila hari ketiga, datang TV3 dan terus menemu ramah mangsa yang dihidangkan gulai telur ikan masin. Mereka buat cerita bukan-bukan kononnya mangsa diberikan hidangan yang tidak seberapa, ada pilih kasih dan seumpamanya.

"Itulah kejahatan yang dibuat, mereka mencipta isu demi kepentingan Umno dan Barisan Nasiona (BN). Mereka meninggalkan etika yang mengkehendaki bersikap jujur dan tulus pada sebarang laporan," jelasnya kecewa.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyifatkan, laporan yang dibuat oleh media pro-Umno itu didalangi oleh beberapa individu yang sengaja mengambil kesempatan berlakunya banjir terburuk yang melanda Negeri Kedah.

Beliau juga yakin peristiwa yang berlaku itu tidak akan mendorong rakyat untuk kembali ke pangkuan Umno yang telah membohongi mereka sejak 50 tahun lalu.

"Rakyat Kedah pasti tahu cerita sebenar apa yang berlaku. Semua itu pembohongan media pro Umno yang senantiasa mencari ruang untuk mereka mengucar-kacirkan pemerintah Pakatan Rakyat,” katanya.

Sime Darby mulakan saman akhir tahun

Sime Darby mulakan saman akhir tahun

Nov 16, 10 1:38pm
Sime Darby Bhd akan memulakan samannya bersabit lebihan kos dan kemungkinan salah pengurusan dalam bahagian tenaga dan utilitinya sebelum akhir tahun, kata Pengerusinya, Tun Musa Hitam.

Katanya, audit forensik ke atas unit itu sudah mengenal pasti individu yang disyaki mempunyai kes prima facie dalam kes berkenaan, katanya pada mesyuarat tahunan syarikat itu di Kuala Lumpur hari ini.

azlanLaporan audit berkenaan telah dipertimbangkan oleh lembaga pengarah Sime Darby pada 20 September dan salinannya telah diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti. Kedua-dua badan itu juga telah memulakan siasatan mereka.

"Oleh itu, sehingga kes ini difailkan dan saman diserahkan, peguam juga menasihatkan kami supaya merahsiakan segala maklumat," katanya dalam satu kenyataan.

Musa berkata lembaga pengarah Sime Darby sudah merancang strategi untuk meletakkan syarikat itu pada kedudukan yang kukuh dan memastikan supaya walaupun kawalan, sistem dan proses diketatkan, namun peluang untuk berkembang, tidak wajar dilepaskan.

Juruaudit forensik bebas, KPMG dan Deloitte Enterprise Risk Services Sdn Bhd dan perunding undang-undang dilantik untuk mengkaji situasi dalam empat projek yang diketuai bahagian tenaga dan utiliti.

Projek terbabit ialah Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar (MOQ), sebuah projek membabitkan pembinaan kapal serta Projek Empangan Hidroelektrik Bakun.

Setakat ini, kerugian yang dialami oleh bahagian itu dianggarkan RM1.3 bilion.

Semasa mengumumkan kerugian pada Mei lalu itu, Sime Darby turut mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Datuk Seri Zubir Murshid, supaya bercuti sebelum beliau kemudiannya digantikan.

Beliau digantikan oleh bekas pengarah Felda Holdings Datuk Mohd Bakke Salleh dalam usaha menstabilkan syarikat berkenaan.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/148353

S'jaya Hong Kong tolak kuasa pendakwaan SPRM

Nov 16, 10 4:15pm

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta agar tidak memandang ringan aduan yang dianggap kecil kerana ia akan memberi kesan kepada keyakinan masyarakat.

Saranan itu dibuat oleh bekas ketua Suruhanjaya Bebas Membanteras Rasuah Hong Kong (ICAC), Bertrand Edouard Doger de Speville, yang melawat SPRM di Putrajaya hari ini.

Sempena kunjungan itu, beliau turut memberi taklimat kepada semua ahli lembaga, jawatankuasa dan panel SPRM.

"Kita berkongsi pengalaman beliau ketika bersama ICAC Hong Kong. Kita juga ingin tahu apakah elemen-elemen penting yang turut beliau bukukan bagi meningkatkan keberkesanan SPRM dalam mencegah rasuah," kata Ketua Pengarah SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed kepada pemberita selepas kunjungan itu.

Abu Kassim berkata pengalaman ICAC Hong Kong boleh dicontohi oleh SPRM kerana struktur model yang digunakan kedua-dua badan itu adalah sama.

"Beliau mengatakan SPRM harus memberi penekanan bagi menjalankan siasatankepada semua aduan yang dibuat termasuk yang kecil. Kecil atau besar adalah sama besar," kata Abu Kassim.

Katanya SPRM sendiri mempunyai satu jawatankuasa khas yang bermesyuarat setiap pagi untuk membincangkan semua kes rasuah.

"Kes-kes yang dikira tidak berbentuk rasuah akan akan dibentangkan pula kepada Panel Penilaian Operasi. Kita perlu perjelaskan kepada Panel Penilaian Operasi mengapa kes-kes itu tidak dituduh.

"Ini penting untuk tingkatkan keyakinan masyarakat bahawa kita tidak menutup mana-mana kes atas sebab-sebab yang tidak telus," kata Abu Kassim.

Katanya ini akan menjadi kekuatan pada masa hadapan bahawa tindakan SPRM dipantau oleh jawatankuasa yang diwakili oleh rakyat ini.

De Speville pula, ketika ditanya sama ada SPRM perlu mempunyai kuasa pendakwaan, berkata sebuah badan anti rasuah tidak seharusnya mempunyai kuasa seperti itu.

"Saya berpendapat prinsip asas penghakiman jenayah perlu dikekalkan termasuk bagi mengasingkan fungsi siasatan, pendakwaan dan hukuman," katanya.

--Bernama

SPR: Penempatan tentera tingkatkan pengundi pos

Salhan K Ahmad
Nov 16, 10
2:46pm

Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, penambahan pengundi pos di satu-satu kawasan mungkin melibatkan beberapa faktor, termasuk program penempatan tentera bagi suatu tempoh tertentu.

Ia juga mungkin melibatkan pembinaan kem tentera atau balai polis baru serta tindakan pasangan kepada anggota keselamatan berkenaan untuk turut sama mengundi pos, katanya lagi.

"Mungkin ia melibatkan penempatan sementara di satu-satu kem itu untuk tugas-tugas khas seperti kawalan sempadan, melibatkan tempoh setahun atau dua tahun.

"Selain daripada itu, saya tidak fikir ada sebab lain berlakunya pertambahan pengundi pos," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan daripada PAS Pulau Pinang semalam yang curiga dengan penambahan jumlah pengundi pos di beberapa kawasan negeri itu melalui beberapa kes yang penukaran status pengundi yang dikesan.

PAS Pulau Pinang khuatir penambahan sebenyak 630 orang seperti yang dikesan di kawasan parlimen Tasek Gelugor itu akan digunakan BN untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka berlangsung tahun depan.

Perkembangan itu dicurigai kerana pengundi pos berkenaan sebelum ini telahpun mengundi sebagai pengundi awam, namun kini didakwa telah hilang kelayakan tersebut.

"Kalau benar seperti yang PAS Pulau Pinang dakwa itu (peningkatan jumlah pengundi pos), ia mungkin melibatkan peningkatan jumlah pasangan anggota keselamatan yang memohon menjadi pengundi pos.

"Tapi di kawasan itu saya tidak tahu berapa jumlah dia. Saya kena semak dengan pengawai saya di Pulau Pinang," kata Wan Ahmad lagi.

Ditanya lanjut, beliau menjelaskan bahawa peningkatan atau pengurangan jumlah pengundi pos di seluruh negara biasanya tidak akan melebihi jumlah seramai 200,000 orang pada satu-satu masa.

"Sebab ada yang akan bersara tapi kemudian ada pula kemasukan baru," katanya yang menegaskan bahawa permohonan untuk menjadi pengundi pos tidak boleh dilakukan tanpa kehadiran pengundi itu sendiri.

"Di bawah undang-undang (pasangan berkenaan) boleh memohon untuk menjadi pengundi pos seperti suami (atau isteri) dia.

"Kita melantik pegawai yang mewakili SPR (untuk mendaftar). Tapi pengundi berkenaan perlu hadir sendiri dan mereka kena tandatangan Borang B untuk untuk memohon sebagai pengundi pos," katanya lagi.

Sementara itu, satu laporan hari ini menyebut, seramai 10,000 orang anggota PGA akan ditempatkan di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor sebagai sokongan kepada fungsi kawalan keselamatan dalam negeri oleh pasukan polis.

Langkah itu melibatkan pengambil alihan kawalan persempadanan negara oleh Angkatan Tentera Malaysia yang sebelum ini dikawal oleh PGA melalui perjanjian selama enam bulan.

Pak Lah: Tindakan Zaid keluar PKR dijangka

Nov 16, 10 3:27pm

Tindakan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, untuk keluar dari parti itu memang telah dijangka, kata bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

pm abdullah ahmad badawi suspend eurocopter ec725 deal ministry of defense event 281008 02"Saya tidak terkejut, dulu pun masa dalam Umno dan diberi peluang menjadi menteri tetapi tiba-tiba dia (Zaid) mengambil keputusan untuk meletak jawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Aprisiasi Sekolah Menengah Sains Kepala Batas (SMSKB) di Kepala Batas, hari ini.

Beliau berkata, penyertaan Zaid dalam PKR semata-mata untuk mengejar jawatan tinggi dan bukan bertujuan memimpin parti itu menjadi sebuah parti politik yang baik dan disegani.

"Dia cuba hendak mencapai jawatan yang lebih tinggi, tetapi tidak dapat, kemudian melepaskan semua jawatan dan tinggal PKR, kalau dia suka PKR patutnya dia pimpin PKR tetapi nyata sekali dia tidak suka PKR," katanya.

Ditanya pandangannya sama ada Umno akan membuka pintu semula kepada Zaid, Abdullah berkata: "Itu terpulang kepada Umno...".

zaid ibrahim and umnoAkhbar tempatan semalam melaporkan Zaid mengesahkan akan meninggalkan PKR, bagaimanapun notis rasmi berhubung keputusannya itu belum diserahkan kepada ibu pejabat parti.

Pada 8 November, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengumumkan keputusannya untuk menarik diri dari bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR selain melepaskan semua jawatan dalam parti itu.

Keesokannya, beliau menggesa Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Azmin Ali supaya berundur kerana mendakwa mereka berdua adalah punca segala masalah dalam parti.

Zaid yang sebelum ini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri meletakkan jawatannya pada September 2008 kerana membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa Abdullah menjadi perdana menteri.

- Bernama

Wednesday, November 17, 2010

Hidup baru selepas susut 112kg


SYANIE memandu sendiri Toyota Innova sehingga selamat sampai ke kampungnya di Kota Bharu semalam.


KUALA LUMPUR – Selepas dua tahun sekadar menjadi penumpang disebabkan masalah obesiti, pelakon Syaniza Hisham kini sudah boleh bergaya dengan memandu kenderaan sendiri.

Syaniza yang lebih dikenali sebagai Syanie, 36, menjalani pembedahan pintasan perut di Pusat Perubatan Pakar Damansara di sini pada Mei tahun lalu sehingga berjaya menurunkan berat badannya daripada 240 kilogram (kg) kepada 128kg.

Bagi Syanie, keputusan menjalani pembedahan tersebut adalah tindakan yang memberi kesan paling besar dan cukup bermakna kepada hidupnya setakat ini.

“Dahulu saya selalu semput dan susah untuk bergerak malah kerap kurang tidur kerana oksigen tidak sampai ke otak.

“Alhamdulillah, sekarang saya dapat buat apa sahaja yang saya suka termasuk memandu kereta kesayangan saya,“ katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Katanya, pembedahan yang menelan belanja RM40,000 itu bukan untuk mendapatkan bentuk badan yang menarik tetapi menjadikan tubuhnya lebih sihat dan mengelak risiko penyakit yang selalu dikaitkan dengan obesiti.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Kerani bawa isteri orang mati ditikam


ZULFA dicari pihak polis bagi membantu siasatan pembunuhan teman lelakinya.


SHAH ALAM - Seorang kerani sebuah pusat pengajian tinggi di sini yang koma selama dua hari akibat diserang dua lelaki meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.

Mangsa, Rashidi Mohd. Saman, 27, yang masih bujang dipercayai diserang ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar teman wanitanya, Zulfa Ismail atau Puteri, 20, yang tinggal di Padang Jawa pada pukul 10.17 malam, Ahad lalu.

Akibat serangan dua lelaki menggunakan pisau jenis celorek, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan teruk di kepala, dagu dan belakang.

Keadaannya dilaporkan kritikal apabila lengan tangan kirinya hampir putus dan tali perutnya terburai.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, polis tidak menolak kejadian bermotif dendam berikutan teman wanita mangsa yang berasal dari Malang, Indonesia merupakan isteri orang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Gadis lari nyaris dirogol

KUALA LUMPUR: ”Saya minta maaf mak, saya menyesal dan janji tidak akan buat lagi,” kata Wan Nur Hakimah Wan Manah, 13 yang lari daripada rumah bersama dua rakannya di Flat Danau Kota Off Jalan Genting Klang, di sini, minggu lalu.

Lebih menjadi sesalan bagi remaja itu apabila dia dan seorang rakannya nyaris menjadi mangsa rogol seorang lelaki yang kononnya ingin membantu membawanya pulang ke rumah.


Menurutnya, perasaan kesal kerana menurut kehendak hati yang mahu mencari ketenangan dan kebebasan dengan lari daripada rumah menghantui dirinya apatah lagi bila mengenangkan dia terpaksa mengikat perut kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

“Saya dan rakan terpaksa meminta wang daripada orang yang kami temui kerana ingin membeli makanan. Ketika itu baru saya tahu betapa susahnya bila berjauhan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Akhbar ini Ahad lalu melaporkan kehilangan Nur Hakimah dan rakannya yang dikenali sebagai Amylia,16 dan adiknya, Adila, 13 dan kebimbangan keluarga mengenai keselamatan mereka.


Nur Hakimah berkata, mereka merayau-rayau di pusat beli-belah dan pada jam 3 pagi mereka didatangi seorang lelaki ketika berada berhampiran Hentian Puduraya yang mahu menghantar mereka pulang ke rumah.

“Tetapi, kerana dia bermotosikal, lelaki itu memaklumkan akan membawa saya dan Amylia dahulu sebelum berpatah balik mengambil Adila kemudian.


“Bagaimanapun, sebaik memasuki rumah berkenaan, lelaki itu cuba merogol kami dan dalam keadaan kelam-kabut itu, kami berjaya melarikan diri,” katanya.

Namun, remaja terbabit bernasib baik apabila bertemu lelaki yang kemudian membawa mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sementara itu, ibunya, Nor Hazita Shaari, 44, melahirkan rasa syukur kerana doanya untuk menyambut Aidiladha bersama anaknya itu dimakbulkan Tuhan.


Katanya, sejak kehilangan Nur Hakimah, mereka sekeluarga bimbang keselamatannya hingga penyakit batuk kering yang dihadapinya semakin teruk.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gadislarinyarisdirogol/Article/index_html


Jais serbu bilik asmara

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunri@hmetro.com.my

TAHAN...gadis yang ditahan bersama lelaki bukan Islam di biliknya, kelmarin.
TAHAN...gadis yang ditahan bersama lelaki bukan Islam di biliknya, kelmarin.
BUKA...penguat kuasa MPSJ memecahkan pintu sebuah rumah dalam operasi, kelmarin.
BUKA...penguat kuasa MPSJ memecahkan pintu sebuah rumah dalam operasi, kelmarin.

SUBANG: Seorang gadis berusia 22 tahun ditahan bersekedudukan dengan seorang lelaki bukan Islam di sebuah bilik kecil yang disewanya di Kawasan Perindustrian Puchong Utama, di sini, malam kelmarin.

Gadis itu dicekup penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika berbaring bersama pasangannya dalam bilik berkenaan.


Dalam operasi bersepadu bermula kira-kira jam 11 malam itu, dua lagi wanita yang bersekedudukan dengan pasangan bukan Islam ditahan dalam bilik berasingan di kawasan sama.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan ketika ditemui berkata, semua wanita itu dipercayai sudah dua tahun menginap di bilik berkenaan.


Katanya, mereka tinggal di bilik kecil yang diubah suai secara haram dari sebuah unit pangsapuri. “Setiap unit pangsapuri empat tingkat di Kawasan Perindustrian Puchong Utama itu memiliki tiga bilik tidur, namun pemiliknya mengubahsuai dengan meletakkan papan penghadang menjadikannya 10 bilik kecil.


“Kami mengesan taktik ini selepas mendapat maklumat jiran dan hasil pemeriksaan, tiga rumah di kawasan itu mengubah suai kediaman berkenaan kepada 10 bilik kecil setiap unit,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pemilik rumah terbabit menyalahi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM25,000.


Menurutnya, tindakan pemilik terbabit juga membahayakan nyawa penyewa di bilik kecil berkenaan sekiranya berlaku kebakaran atau struktur papan berkenaan runtuh.

Adnan berkata, penyewa hanya membayar RM150 sehingga RM170 sebulan dan ia tidak sepadan dengan risiko yang dihadapi mereka.


Katanya, semua bilik berkenaan akan diruntuhkan segera dan pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan jika ada unit kediaman di sekitar mereka yang diubah suai dengan cara sama.


Menurutnya, tiga gadis yang dicekup itu akan diserahkan kepada Jais untuk tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jaisserbubilikasmara/Article/index_html

Lupus hantaran

Lupus hantaran

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my


MENGAKU SALAH...pasangan warga Indonesia Nordin (kanan) dan Uswatun (dua dari kiri) diiringi penguat kuasa Jawi selepas perbicaraan semalam.
MENGAKU SALAH...pasangan warga Indonesia Nordin (kanan) dan Uswatun (dua dari kiri) diiringi penguat kuasa Jawi selepas perbicaraan semalam.

KUALA LUMPUR: Dua warga Indonesia yang terbabit dalam upacara pernikahan menggunakan sindiket diketuai ‘Pak Hashim’ empat hari lalu, terpaksa melupakan seketika hasrat mereka untuk bergelar suami isteri selepas kedua-duanya didenda RM800 setiap seorang atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran pendaftar.

Hakim Syarie Khairul Azwadi Mohamed Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Uswatun dan Nurdin (umur tidak dinyatakan) di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, selepas mahkamah menerima pengakuan salah mereka.


Bagaimanapun, kedua-dua mereka hanya perlu membayar RM150 setiap seorang kerana mereka dibenarkan menambah daripada wang jaminan yang dikenakan terhadap mereka sebelum ini iaitu masing-masing RM650.

Kedua-dua tertuduh yang hanya menundukkan muka turut berdepan hukuman penjara 12 hari sekiranya mereka gagal membayar denda seperti yang diperintahkan mahkamah.


Mahkamah juga memerintahkan barangan hantaran milik pasangan itu dilupuskan.


Mengikut pertuduhan, mereka di dakwa melakukan di sebuah rumah di rumah No 51, Lot 2242, Jalan Kubur, Kampung Pantai Dalam dekat sini, jam 7.45 malam pada 13 November 2010.

Pasangan itu masing-masing didakwa mengikut Seksyen 39 dan Seksyen 40 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 40 (2) yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Dalam prosiding semalam, kedua-dua tertuduh memohon supaya hukuman yang dikenakan kepada mereka diringankan kerana masih menanggung keluarga. Bagaimanapun, Pendakwa Syarie Mohd Sohibul Kahfi daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mereka bukan saja melakukan kesalahan berdasarkan undang malah turut melanggar hukum syarak.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Khairul Azwadi sempat menasihati kedua-dua tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan mereka dan mengikut prosedur serta undang-undang yang ditetapkan di negara ini.


“Perkahwinan adalah sesuatu digalakkan dalam Islam untuk menambahkan bilangan zuriat dan generasi yang akan mengembangkan Islam.


“Namun, perkahwinan itu perlu mengikut prosedur terutama hukum syarak. Jika kamu atau mana-mana pihak mempunyai masalah mengenai wali, kamu boleh merujuk kepada pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Lupushantaran/Article

Atuk tembak mati perompak remaja

Atuk tembak mati perompak remaja

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di rumah mangsa, semalam.
SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di rumah mangsa, semalam.

PETALING JAYA: Cemas melihat dua cucunya diacu dengan parang, seorang datuk bertindak pantas mengambil senapang patah sebelum melepaskan tembakan ke arah seorang perompak berusia 17 tahun yang menceroboh rumah teres dua tingkat milik mereka di Sungai Way, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi, lelaki berusia 70 tahun itu yang juga bekas mandur estet berada di tingkat atas rumahnya apabila terdengar bunyi bising di tingkat bawah sebelum terlihat seorang remaja lelaki mengacukan parang kepada pembantu rumah serta dua cucunya berusia lapan dan 10 tahun.


Warga emas itu masuk ke biliknya untuk mengambil selaras senapang patah dan ketika bergegas turun dia terserempak suspek yang pada masa sama menaiki tangga untuk ke tingkat atas.

Dengan pantas, dia melepaskan dua das tembakan dan satu daripadanya mengenai rusuk remaja itu sebelum rebah di atas tangga.


Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin, berkata perompak remaja yang terkena tembakan itu mati ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


Menurutnya, ketika kejadian ada lima penghuni dalam rumah itu iaitu lelaki warga emas berkenaan, anak lelaki dan dua cucunya serta seorang pembantu rumah.

“Siasatan awal mendapati lima suspek terbabit kes itu. Tiga daripada mereka menunggu dalam kereta sementara seorang berkawal di pintu rumah. Hanya remaja yang mati ditembak itu masuk ke rumah.


“Sebaik memasuki rumah, remaja itu mengacu parang kepada pembantu rumah serta mengugut untuk membunuh dua kanak-kanak yang ketika itu berada di tingkat bawah sekiranya bapa kanak-kanak terbabit enggan memberi kerjasama menyerahkan barang berharga kepadanya,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Khaw berkata, selepas perompak remaja itu ditembak pemilik rumah menggunakan senapang patah miliknya, rakannya yang berkawal di pintu rumah segera lari masuk ke dalam kereta bersama tiga rakan yang lain sebelum memecut meninggalkan tempat kejadian.


Sehubungan itu, katanya, polis kini giat memburu keempat-empat suspek terbabit yang dipercayai berusia antara 17 dan 20 tahun.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata,” katanya.


Sementara itu, ibu suspek yang ditembak meraung ketika datang menuntut mayat anak sulungnya itu di PPUM di sini, petang semalam.


Wanita berusia 40 tahun itu memberitahu dia tidak menyangka anaknya terbabit kegiatan samun berkumpulan berikutan selama ini dia diberitahu anaknya bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel kenderaan.


Menurutnya, dia cuba menghubungi anaknya kira-kira jam 11 pagi semalam, namun panggilannya tidak dijawab menyebabkan dia menghantar SMS bagi mengetahui keadaan anaknya itu.


“Saya amat terkejut apabila polis datang ke rumah dan memberitahu anak saya mati ditembak kerana melakukan rompakan.


“Saya sedih kerana suami saya masih meringkuk di penjara selepas terbabit kes pukul dan kini anak saya terbabit kes jenayah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Atuktembakmatiperompakremaja/Article

Zaid sah tinggalkan PKR

Zaid sah tinggalkan PKR

KUALA LUMPUR: Bekas ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan, di sini, semalam, beliau akan meninggalkan parti itu.

Teka-teki mengenai pengundurannya daripada parti itu terjawab apabila beliau membuat penjelasan menerusi blognya.

Dalam pos terbarunya, Zaid menjelaskan pengundurannya daripada parti itu akan dianggap selesai, sebaik saja beliau menyerahkan surat rasmi kepada sekretariat parti.

“Saya merujuk kepada tajuk akhbar berbahasa Inggeris hari ini (semalam). Adalah benar saya akan meninggalkan parti itu tetapi saya belum menyerahkan surat pengunduran rasmi daripada parti.

“Semuanya akan dijelaskan menerusi siaran akhbar Jumaat ini,” katanya.


Akhbar itu melaporkan bahawa Zaid, yang menarik diri daripada bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR, memutuskan keluar parti, atas sebab tidak dapat menerima perkembangan dalam parti itu akhir-akhir ini.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengumumkan pada 8 November lalu bahawa beliau menarik diri dari bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dan meletakkan semua jawatannya dalam parti.

Zaid berkata dalam blognya bahawa kepemimpinan PKR tidak berusaha mengatasi manipulasi dan penyelewengan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung walaupun isu berkenaan beberapa kali ditimbulkan.

Sehari selepas pengumuman itu, Zaid mendesak penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan naib presiden, Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan kerana beliau mendakwa kedua-dua mereka adalah punca segala masalah dalam parti.

Zaid kini dipercayai berada di luar negara dan tidak dapat dihubungi untuk ulasan lanjut.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu menghormati keputusan Zaid dan hasratnya menubuhkan sebuah parti politik.
Saifuddin berkata, walaupun PKR kehilangan seorang pejuang reformis, keputusan Zaid tidak akan memberikan impak negatif kepada parti itu.

“Saya doakan dia (Zaid) ‘best of luck’. Kami masih belum lagi terima surat keluar parti daripada beliau,” kata Saifuddin yang enggan mengulas lanjut perkara itu kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Ditanya mengenai penubuhan sebuah ‘parti Keadilan baru’ oleh Zaid, Saifuddin menyifatkan ia perkembangan baik kepada politik negara.

“Ia meriah. Tetapi yang saya tahu, sudah ada parti politik baru ditubuhkan dan ada pemilihan untuk jawatan dalam parti itu...saya tahu Zaid sudahpun meletakkan orang-orangnya dalam parti baru itu,” katanya. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/ZaidsahtinggalkanPKR/Article

Sedia fakta pertuduhan

Sedia fakta pertuduhan

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

PUTRAJAYA: Selepas mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Syariah pada 3 November lalu, penyanyi dan pelakon Aman Shah yang dituduh berkhalwat dengan janda beranak dua di kuarters kerajaan di Presint 15, di sini, pada 26 September lalu, bakal dibicarakan pada 12 Januari depan.

Sumber Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata, beliau yakin pihak pendakwaan bersedia mengemukakan fakta berkaitan pertuduhan yang dikenakan terhadap artis lingkungan 50-an terbabit.

Menurutnya, artis terbabit mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan mengikut Seksyen 27, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dibacakan terhadapnya.

“Mahkamah menetapkan 12 Januari bagi membolehkan perbicaraan dilakukan dan sudah pasti artis terbabit diminta membawa peguam untuk mewakilinya nanti,” katanya, semalam.

Muka depan Harian Metro 27 September lalu melaporkan mengenai penahanan seorang penyanyi veteran era 1980 dan awal 1990-an di rumah ‘kekasih gelapnya’ di kuarters kerajaan di Presint 15, di sini, selepas didapati berdua-duaan di rumah terbabit.


Artis terbabit dikatakan memasuki rumah kekasihnya yang juga kakitangan kerajaan kira-kira jam 10 malam sebelum sepasukan anggota penguat kuasa Jawi menyerbu rumah terbabit selepas mendapat aduan berlakunya perbuatan khalwat.

Walaupun memberikan alasan mengunjungi wanita beranak dua itu sempena Aidilfitri, alasan berkenaan tidak dipedulikan penguat kuasa Jawi, malah artis terbabit mengakui dia bukan mahram dengan wanita terbabit.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, tidak wujud sikap pilih kasih terhadap artis terbabit walaupun hanya dihadapkan ke mahkamah selepas hampir 40 hari dicekup berkhalwat dengan janda terbabit.

Beliau berkata, pendakwaan terhadap mereka yang menghadapi pertuduhan syariah dijalankan tanpa mengambil kira latar belakang tertuduh.

Menurutnya, ia termasuk artis terbabit yang tetap dihadapkan ke mahkamah walaupun mengambil sedikit masa bagi membawanya ke mahkamah.

“Sebenarnya, masalah pilih kasih tidak berbangkit walaupun kes itu mengambil masa untuk dibawa ke mahkamah dan ia mungkin disebabkan beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan, terutama apabila ia membabitkan pertuduhan jenayah syariah.

“Apa yang pasti, artis terbabit sudah dituduh di mahkamah syariah atas pertuduhan khalwat dengan janda beranak dua,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sama ada artis terbabit mengaku salah atau tidak, ia adalah haknya mempertahankan diri di mahkamah.

Menurutnya, apabila mengaku tidak bersalah mahkamah akan menetapkan tarikh bagi membolehkan artis terbabit membawa peguam bagi menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Artis terbabit didakwa mengikut Seksyen 27, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana melakukan khalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

http://www.hmetro.com.my/articles/Sediafaktapertuduhan/Article

Siram minyak hitam

Siram minyak hitam

Oleh Salman Hamat

JOHOR BAHRU: Hasrat seorang wanita memutuskan hubungan cinta dengan kekasihnya bertukar mimpi ngeri apabila dia bukan saja dibelasah di sebuah rumah di Kulai, malah turut dimandikan dengan minyak hitam oleh teman lelakinya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Ahad lalu, lelaki terbabit hilang pertimbangan selepas mangsa yang tawar hati dengannya menyatakan hasrat berkenaan.

Berdasarkan laporan polis, mangsa dibelasah menggunakan kayu di belakang badannya selain disepak beberapa kali sehingga tersungkur.

Tanpa menghiraukan rintihan dan rayuan mangsa supaya tidak diperlakukan sedemikian, suspek yang berusia 18 tahun memijak badan gadis berkenaan sambil menarik rambutnya.

Suspek menyimbah minyak hitam ke atas mangsa selain melumur cecair terbabit di mukanya.


Mangsa cuba melarikan diri, tetapi gagal dan akibatnya dia dihumban ke dalam rumah dan ‘dihukum’ lebih teruk lagi oleh suspek.

Dalam laporannya, mangsa mengatakan kejadian itu bukan pertama kali menimpa dirinya, malah suspek kerap bertindak ganas setiap kali mereka bertengkar.

Mangsa mendakwa suspek turut mengugut hendak menikamnya jika membuat laporan polis berkaitan kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis mangsa, kelmarin.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan kami mengesan lokasi remaja lelaki terbabit untuk direkodkan kenyataan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lokasi suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Siramminyakhitam/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...