Monday, July 26, 2010

Yassin disyaki ambil dadah lagi


Sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid di Subang Jaya dipercayai tempat Yassin ditahan semalam.


KUALA LUMPUR - Pelakon dan pelawak, Yassin atau nama sebenarnya, Yassin Yahya mengulangi sejarah hitamnya apabila dia ditahan kali keempat kerana disyaki mengambil dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 1 pagi, seramai 30 pengunjung pusat hiburan tersebut telah diperiksa dan menjalani ujian air kencing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, hasil ujian saringan awal, tiga daripada mereka ditahan termasuk Yassin kerana disyaki positif mengambil dadah.

"Pemeriksaan awal mendapati Yassin yang merupakan bekas kumpulan Senario positif ganja.

"Dua lagi lelaki yang ditahan ialah seorang pengurus artis dan seorang peniaga yang disyaki positif ketamin," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Khalid, pihaknya akan memohon reman terhadap ketiga-tiga individu tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Yassin


Yassin, 31, sebelum ini pernah ditahan pada tahun 2001 atas dakwaan memiliki 0.05 gram syabu di sebuah kondominium dekat Jalan Damansara Indah.

Dia yang dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang pada tahun 2005.

Pada Jun 2002, Yassin sekali lagi dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang daripada dua tuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya dan Akta Dadah Racun 1952.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Air kencing ada ganja

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
2010/07/26

SUBANG JAYA: Seorang pelakon komedi yang juga bekas anggota kumpulan lawak terkenal nyata tidak serik apabila dia sekali lagi diberkas selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid, Subang Jaya di sini, awal pagi semalam.

Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menyerbu pusat hiburan terbabit kira-kira jam 1 pagi, sebelum mengarahkan semua pengunjung menjalani ujian air kencing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dihubungi berkata, air kencing milik pelawak berusia 32 tahun itu disahkan positif ganja.

Menurutnya, selain daripada pelakon terbabit, ada 30 pengunjung lain sedang berhibur dalam premis berkenaan ketika serbuan dilakukan.

Beliau berkata, semua pengunjung dalam pusat hiburan itu dibebaskan sejurus ujian air kencing mendapati mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Namun, tiga daripada mereka didapati positif dadah. Hasil ujian mendapati pelakon komedi itu positif ganja manakala dua lagi termasuk pengurusnya dan seorang ahli perniagaan didapati positif ketamin.

“Serbuan itu rutin hari minggu polis dengan mengadakan operasi di beberapa tempat di sekitar Subang Jaya. Ketika menyerbu pusat hiburan berkenaan, kita mendapati dia ada bersama,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman bermula semalam sehingga 27 Julai mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pelawak terbabit pernah dibebaskan daripada beberapa tuduhan memiliki pelbagai jenis dadah oleh Mahkamah Majistret, sebelum ini.

Dia pernah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memasukkan syabu ke dalam badan, tetapi mengaku tidak bersalah dan kemudian dibebaskan daripada tuduhan itu.

Pelakon komedi itu juga pernah dibebaskan daripada tuduhan memiliki kanabis serta kodein beberapa tahun lalu.

Pelawak terbabit dikatakan pernah ditahan memiliki dua tiub straw mengandungi syabu di Brickfields, tetapi dia tidak mengaku bersalah.

Ketika dicekup dalam serbuan sebelum ini, pelawak terbabit dikatakan merayu agar dibebaskan, namun dia seolah-olah tidak serik apabila ditangkap sekali lagi semalam, walaupun sudah beberapa kali ditahan dan dibicarakan di mahkamah atas kesalahan sama sebelum ini.

Pengawal tidak boleh pegang MyKad orang lain

2010/07/26

PUTRAJAYA: Hanya mereka yang diberi kuasa secara bertulis saja dibenarkan memegang dan menyimpan kad pengenalan seseorang individu, sama ada untuk memasuki bangunan kediaman, syarikat, kementerian atau agensi kerajaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jainisah Mohd Noor berkata, tindakan itu diambil untuk melindungi maklumat peribadi dalam MyKad, sekali gus mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan melakukan perkara tidak bertangggungjawab.


“Tak kira siapa, semua pihak tidak boleh menyimpan kad pengenalan orang lain, kecuali mendapat kuasa secara bertulis daripada Ketua Pengarah JPN.


“Ia bertujuan melindungi maklumat di dalam Mykad, apatah lagi ketika ini, banyak maklumat peribadi dalam kad pengenalan mungkin boleh disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab,”
katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Jainisah berkata, mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 79), di bawah Peraturan 8A, Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 78) adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak untuk memegang dan menyimpan kad pengenalan orang lain.


Beliau berkata, mengikut peraturan itu, pemilik bangunan atau pengawal keselamatan yang bertanggungjawab terhadap bangunan terbabit hanya berhak meneliti dan menyemak kad pengenalan.


“Selepas berpuas hati, mereka perlu mengembalikan semula kepada individu terbabit sebelum mengeluarkan pas atau permit sementara untuk berada di kawasan premis mereka.


“Mereka tidak boleh menyimpan jika tidak mempunyai surat kuasa secara bertulis,”
katanya.


“Jika masih berdegil, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Peraturan 25 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.


Sehubungan itu, katanya JPN menasihatkan pemilik bangunan supaya mencari satu mekanisme baru untuk membenarkan pelawat memasuki premis mereka tanpa perlu meninggalkan kad pengenalan di kaunter pengawal keselamatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PengawaltidakbolehpegangMyKadoranglain/Article

'Harga diesel beban pengusaha bas'

2010/07/26

KUALA LUMPUR: “Kaji semula kenaikan harga diesel, ia terlalu mendadak dan merugikan kami (pengusaha bas),” kata Pengarah Eksekutif Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tengku Hasmadi Tengku Hashim berhubung isu pengendali bas ekspres utama yang bercadang tidak menambah bas menjelang Aidilfitri ini berikutan kenaikan lima sen harga diesel mulai 16 Julai lalu.

“Ada pihak mendakwa pengusaha bas mengugut kerajaan menaikkan harga tiket bas nanti, semua itu tidak benar.


“Kami cuma mahu kerajaan kaji semula kenaikan diesel dari RM1.43 seliter kepada RM1.48 seliter. Kami menanggung rugi jika harga diesel berkenaan kekal,” katanya ketika Majlis Penyerahan Bas Untuk Asrama Anak-Anak Yatim Darul Taqwa (Asdat), kelmarin.


Turut Hadir di majlis berkenaan, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Salleh Yusuf dan Penaung Asdat, Md Saat Md Yusof.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hargadieselbebanpengusahabas/Article

KM tak ganjak

Oleh Nur Ain Musdad
am@hmetro.com
2010/07/26

MELAKA: Kerajaan negeri akan tidak berganjak untuk melaksanakan idea penubuhan sebuah sekolah khas, iaitu Sekolah Murid Mengandung sekiranya ia adalah jalan terbaik bagi membantu menyelesaikan dan mengelakkan maksiat dan zina yang semakin berleluasa di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membantu pelajar ‘miang’ untuk berkahwin kerana percaya masalah mengandung anak luar nikah dan pembuangan bayi akan dapat dikurangkan.


Menurutnya, cadangan menggalakkan berkahwin muda bukanlah sesuatu yang pelik atau mengarut memandangkan kes maksiat, mengandung anak luar nikah dan pembuangan bayi adalah adalah isu utama yang berlaku di kalangan pelajar dan anak muda pada masa kini.


“Kita banyak kali berbincang mengenainya namun sehingga kini tidak timbul sebarang penyelesaian.


“Malah masalah buang bayi akibat hubungan tidak sah menjadi semakin bertambah di negeri ini. Oleh itu lebih baik sekiranya kita membenarkan mereka bernikah dengan sah dan tentunya akan melahirkan anak hasil hubungan yang halal,” katanya ketika melancarkan buku Makan-Makan dan Membeli Belah di Melaka bertempat di Taman Botanikal,Ayer Keroh, semalam.


Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Hang Tuah Jaya, Linda Phua Sue Lin.


Idea untuk menubuhkan Sekolah Murid Mengandung itu setakat ini mendapat reaksi negatif termasuk daripada Kementerian Pelajaran yang menganggapnya pelik dan tidak sesuai untuk dilaksanakan.


Mohd Ali berkata, sekiranya terdapat anak muda yang bersekolah dan ingin berkahwin tetapi tidak mendapat persetujuan ibu bapa mereka boleh bertindak dengan mengadu kepada pihak Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).


“Kita akan bertindak melalui pihak Jaim dengan bertemu, memujuk dan berbincang dengan ibu bapa supaya membenarkan anak mereka berkahwin daripada terus terbabit dalam sebarang aktiviti maksiat yang membawa kepada masalah sosial yang lain.


“Kita melihat secara peribadinya kebanyakan remaja kini banyak melahirkan anak luar nikah selepas tidak dapat mengawal nafsu serakah dan bertindak mengikut perasaan.


“Jika mereka ingin berkahwin, saya cadangkan ibu bapa kahwinkan sahaja kerana bimbang hal lain berlaku.

“Biasalah, anak muda ‘tengah miang’, nak kahwin ibu bapa tak benarkan dan disebabkan tak dapat kawal nafsu akhirnya mereka melakukan hubungan luar nikah menyebabkan lahirnya anak hasil hubungan tidak sah itu. Tetapi jika mereka berkahwin pada usia muda, mereka boleh lakukan hubungan yang halal,” katanya.


Beliau berkata sekiranya, seseorang perempuan itu mengandung luar nikah dan pihak sekolahnya tidak membenarkan datang ke sekolah mereka boleh masih boleh meneruskan persekolahan di Sekolah Murid Mengandung yang akan ditubuhkan oleh kerajaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KMtakganjak/Article

Kahwin 4 bukan cara kawal nafsu

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
2010/07/26

KUALA LUMPUR: “Poligami tak semestinya boleh menyelesaikan masalah nafsu seorang lelaki,” ulas Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau yang juga Pensyarah Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata, Islam tidak menetapkan syariat yang mengatakan poligami penyelesaian kepada kesukaran golongan Adam mengawal nafsu, sebaliknya masalah terbabit diatasi dengan amalan tertentu.


Katanya, lelaki yang berdepan masalah itu perlu berbalik kepada hukum yang menetapkan supaya semua umatnya berpuasa, mengamalkan zikir dan memperbanyakkan amalan kerana cara terbabit mampu melemahkan nafsu serakah selain godaan syaitan yang menjurus kepada sebaran air mani.

“Kejadian merogol anak kandung sendiri meskipun sudah mempunyai empat isteri sepatutnya tak berlaku dan ini secara tidak langsung menunjukkan suami memang tidak boleh mengawal nafsunya.


“Kalau begitu, kita kena periksa pula latar belakangnya dari segi solat, amalannya yang menyebabkan dia (suami) buat demikian. Kalau dia memang tergamak merogol anak kandung sendiri yang sepatutnya dilindungi, maknanya dia berkahwin itu semata-mata memuaskan nafsu.


“Sepatutnya, apabila sudah mempunyai empat isteri, dia kena juga berpuasa, buat amalan lebih banyak dan berzikir kerana ini yang mampu melemahkan sedikit nafsu, tidak kiralah sama ada seorang lelaki itu orang tua atau muda. Kita kena berbalik kepada hukum,” katanya.


Noor Aziah berkata demikian mengulas muka depan Harian Metro, kelmarin mengenai seorang kontraktor beristeri empat layak digelar ‘bapa setan’ apabila tergamak menjadikan anak kandung hasil perkahwinan dengan isteri keduanya sebagai tempat memuaskan nafsu apabila memperkosa mangsa sejak berusia sembilan tahun di Kerambit, Kuala Lipis.

Lebih keji, lelaki berusia 49 tahun itu merakamkan perbuatan terkutuknya merogol anak yang kini berusia 14 tahun dengan telefon bimbitnya sebelum menyimpan rakaman berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kahwin4bukancarakawalnafsu/Article

'Kita mati sama-sama'



Oleh Gaddafi Musli
gaddafimusli@hmetro.com.my
2010/07/26

KUALA LUMPUR: “Mama ikut Nasywa ya, kita mati sama-sama...” itu ayat yang tertera pada sekeping nota dipercayai ditulis seorang pembantu rumah warga Indonesia sebelum cuba terjun bersama bayi majikannya berusia lima bulan dari tingkat enam sebuah kondominium di Segambut di sini.

Cubaan itu, bagaimanapun gagal apabila ibu bayi berkenaan, Azlinda Ibrahim, 37, berjaya memujuk wanita dipercayai menghadapi masalah mental itu dan menyelamatkan bayinya selepas bergelut hampir setengah jam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari beberapa hari lalu, selepas Azlinda, seorang suri rumah, terdengar pembantu rumahnya, Siti Pajar, 21, yang baru tiga bulan diambil bekerja bercakap seorang diri dan menangis di dalam biliknya.

Dia segera menghubungi suaminya di pejabat kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini selepas mengesyaki pembantu rumah yang kematian anak sebelum datang bekerja di negara ini, mungkin melakukan sesuatu tindakan di luar kawalan.

“Sebaik membuka pintu biliknya, saya lihat Siti berdiri di atas tangga dan bersedia untuk melompat keluar dari tingkap. Tanpa berlengah saya menariknya dan kami terjatuh di atas lantai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pembantu rumah itu seolah-olah ‘hilang akal’ apabila berlari ke bilik tidur utama dan mengambil bayinya, Mia Adreeyan yang tidur sambil berulang kali menyatakan mereka akan mati bersama.

“Dalam keadaan panik saya menerkam ke arah Siti sambil menjerit meminta tolong dan merampas Mia daripada dakapannya” katanya.

Ketika pergelutan itu, Azlinda sempat menekan butang interkom untuk menghubungi pengawal keselamatan memaklumkan cubaan Siti terjun melalui tingkap bersama bayinya.

“Selepas lebih kurang 15 minit, pengawal keselamatan tiba dan saya terpaksa mencampakkan kunci rumah ke arah pintu kerana masih memegang Siti yang masih meronta-ronta untuk melompat keluar dari tingkap,” katanya.

Suaminya, Mohd Aleemin Othman, 58, yang tiba di rumah sejurus kemudian menghubungi ambulans untuk menghantar Siti ke hospital kerana mengesyaki wanita itu menelan beberapa pil yang tidak diketahui jenis sebelum cuba membunuh diri.

Difahamkan, pembantu rumah yang sudah berkhidmat bersama keluarga mangsa selama tiga bulan itu menghadapi tekanan perasaan selepas kematian bayi perempuannya, dikenali sebagai Nasywa kira-kira dua tahun lalu dan sering tersasul memanggil Mia Adreeyan dengan nama arwah bayinya itu.

“Kejadian itu membuatkan saya trauma dan hidup ketakutan sehinggakan saya tidak berani keluar rumah kerana khuatir sesuatu terjadi kepada bayi saya” kata Azlinda.

Dia berharap kejadian menimpa dirinya dijadikan teladan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika mengambil pembantu rumah warga asing dan seboleh-bolehnya mereka menyiasat latar belakang amah itu terlebih dulu sebelum mengambil mereka bekerja.

Susulan itu, Azlinda dan suaminya membuat laporan di Balai Polis Kepong dan menghubungi pihak agensi untuk membuat aduan dan menyelesaikan masalah pembantu rumah terbabit.

Bagaimanapun, suri rumah itu kesal kerana mendakwa agensi terbabit mengambil sikap ‘lepas tangan’ dan sehingga kini belum memberi maklum balas kepada keluarganya.

Pembantu rumah terbabit dipercayai sudah dibenarkan keluar dari hospital dan kini berada dalam jagaan agensinya.

Saturday, July 24, 2010

Kasanova simpan gambar bogel, seluar dalam mangsa

2010/07/23

KLANG: Bermodalkan rupa paras yang dimiliki, seorang ‘kasanova’ menjadikan ketampanannya sebagai modal untuk memerangkap mangsa sebelum dijadikan pemuas nafsunya.

Lelaki berusia 26 tahun dan bekerja sebagai eksekutif jualan di sebuah syarikat penerbitan di Shah Alam itu turut mempunyai perangai pelik dengan menyimpan seluar dalam wanita selain gambar bogel gadis dipercayai pernah menjalin hubungan dengannya.


Bagaimanapun, kelicikan kasanova terbabit berakhir apabila dia diberkas polis kelmarin selepas seorang remaja perempuan berusia 14 tahun membuat laporan polis mendakwa dia menjadi mangsa lelaki hidung belang terbabit.


Sumber berkata, mangsa yang baru tiba dari Perak dua hari lalu dipercayai dirogol suspek di sebuah pangsapuri sebelum gambar bogelnya dirakam suspek.


“Mangsa kemudian membuat satu laporan polis pada hari sama dan susulan itu, kita menjejaki suspek sebelum menahannya.


“Hasil serbuan ke rumah suspek, polis turut menemui beberapa keping gambar bogel gadis selain seluar dalam dipercayai kepunyaan mereka yang pernah menjalin hubungan seks dengannya,”
katanya di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kasanovasimpangambarbogel_seluardalammangsa/Article

Peraturan jual RON95 tetap dilaksana

2010/07/23

PUTRAJAYA: Kerajaan tetap bertegas untuk menguatkuasakan notis pengharaman penjualan petrol RON95 kepada pemilik kenderaan asing berkuatkuasa 1 Ogos depan meskipun terdapat permintaan tempoh berkenaan dilanjutkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh yang diberikan sebelum ini sudah mencukupi kerana pemberitahuan itu tidak melibatkan sebarang perubahan atau kos tambahan yang membebankan pengedar.


Pengedar dan pengusaha stesen minyak, katanya, perlu bertanggungjawab dan memahami hasrat kerajaan yang hanya mahu memberikan subisidi berkenaan kepada rakyat Malaysia.


“Alasan mereka memerlukan masa tidak timbul kerana pengharaman penjualan itu tidak melibatkan sebarang perubahan pada stesen minyak dan penggunaan duit. Bukan saya tidak mahu layan permintaan mereka, tetapi harap mereka faham hasrat kerajaan untuk memberikan subsidi itu hanya pada rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan-Persatuan Pengguna di kementeriannya, di sini, semalam.


Pertemuan dan dialog itu merupakan aktiviti tahunan kementerian yang diadakan dua kali setahun, khusus untuk membincangkan pelbagai isu kepenggunaan.


Katanya, perjumpaan semalam khusus bagi membincangkan segala kempen yang dijalankan kementerian mengenai amalan hidup sihat dan pengambilan makanan berkaitan gula terutama menjelang Ramadan.


Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petrol Malaysia (PDA) sebelum ini meminta agar tempoh pemberitahuan itu dilanjutkan kepada sebulan kerana memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu.


Presidennya, Datuk Hashim Othman berkata, mereka dan pelanggan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut memandangkan tempoh yang diberi terlalu singkat dan segelintir pelanggan mungkin tidak menyedari perubahan itu. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PeraturanjualRON95tetapdilaksana/Article

Wanita jumpa bayi

2010/07/23

JOHOR BAHRU: Bungkusan sampah yang bergerak-gerak di bawah tempat duduk seorang wanita di hentian bas Jalan Persiaran Mutiara Emas awal pagi semalam menyelamatkan bayi baru lahir yang ditinggalkan ibu tidak berhati perut.

Hanya berbalut kain batik dan diletakkan dalam beg plastik, bayi perempuan comel menempuh kesejukan apabila ditinggalkan di atas simen di bawah tempat duduk hentian bas tidak jauh dari Hospital Sultan Ismail (HSI).


Ternyata bayi itu bernasib baik apabila ditakdirkan ditemui wanita dalam perjalanan ke tempat kerja itu jam 6.40 pagi semalam.


Curiga dengan isi kandungan beg plastik yang bergerak-gerak itu, wanita terbabit memeriksa bungkusan dan terkejut mendapati bayi perempuan masih bertali pusat.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitajumpabayi/Article

Bogel 6 murid dalam kelas

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
2010/07/23

SIMUNJAN: Lima murid lelaki tahun tiga di sebuah sekolah di sini terpaksa menahan kesakitan di dubur masing-masing selepas mendakwa dicucuk lidi penyapu oleh ustaz mereka disebabkan gagal menghafaz surah al-Quran seperti diarahkan.

Selain itu, seorang lagi murid lelaki mendakwa dikasari apabila lehernya dijerut dengan wayar, manakala seorang murid perempuan yang turut dihukum, mengaku kemaluannya diraba ustaz terbabit selepas diarahkan berbogel.

Menurut sumber, enam murid lelaki terbabit juga diarahkan berbogel dalam kelas dengan disaksikan rakan, manakala murid perempuan itu dibogelkan dalam bilik berasingan sebelum dia mendakwa dicabul ustaz berusia 30-an itu.

“Lima murid lelaki dihukum dengan duburnya dimasukkan lidi penyapu selepas diarahkan berbogel, manakala seorang lagi dikasari dengan lehernya dijerut menggunakan wayar. Seorang murid perempuan pula dibogelkan dalam bilik berasingan sebelum kemaluannya diraba ustaz itu,” katanya.

Menurutnya, kejadian menjijikkan itu berlaku pada minggu lalu dan laporan sudah dibuat kepada guru besar sekolah berkenaan, namun tiada tindakan diambil. Bagaimanapun, kes kemudian dibawa ke Pejabat Pelajaran Daerah.

“Susulan kejadian itu, semua murid berkenaan diiringi ibu bapa masing-masing membuat laporan di Balai Polis Simunjan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Choo Yin Kok ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut.

Ini kerana, katanya, polis masih belum mendapat maklumat lengkap dan siasatan masih dijalankan berhubung kejadian itu.

Difahamkan, ustaz yang mengajar di sekolah berkenaan sejak tujuh tahun lalu ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu, semalam.

Pada masa sama, semua murid terbabit dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menjalani pemeriksaan.

Perkara itu turut sudah dibawa ke pengetahuan Jabatan Pelajaran Negeri dan difahamkan, pihak berkenaan turut ke sekolah berkenaan untuk membuat siasatan.

Isteri nikah tanpa cerai

Oleh Khairulmizan Yahya
am@hmetro.com.my
2010/07/23

KUANTAN: Hancur luluh hati seorang bekas tentera yang baru dibebaskan daripada tahanan selama sembilan bulan apabila mendapati isterinya sudah berkahwin dengan remaja berusia 17 tahun sedangkan dia tidak pernah menceraikan wanita itu.

Lebih mengaibkan, Mohd Zaini Abdul Hamid, 28, mendakwa ibu mentuanya bersekongkol menyembunyikan rahsia pernikahan isterinya dengan suami kedua selain menjadi dalang terhadap perkahwinan terlarang itu yang dilakukan di negara jiran.

Mohd Zaini dari Nenasi, Pekan, mendakwa isterinya yang berusia 26 tahun kini masih tinggal bersama ‘suami’ barunya di kampung asalnya di Pokok Sena, Kedah.

“Saya sebelum ini ditahan dalam tahanan tentera selama sembilan bulan bermula Ogos tahun lalu kerana melakukan kesalahan tidak hadir bertugas.

“Selepas tamat tempoh tahanan, saya pulang mencarinya (isteri), namun terkejut apabila mendapati dia tinggal bersama remaja lelaki berusia 17 tahun di kampungnya di Kedah, lalu saya melaporkan perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) untuk tindakan lanjut.


“Bagaimanapun, saya terkejut dan kecewa apabila Jaik memaklumkan kepada saya selepas membuat serbuan pada 15 Julai lalu, isteri saya mengaku sudah berkahwin dengan remaja itu di negara jiran dan mereka mengemukakan dokumen pernikahan dalam tulisan jawi sebagai bukti,” katanya.

Mohd Zaini berkata, dia terkilan apabila tiada tindakan dikenakan terhadap isterinya dan remaja berkenaan kerana Jaik mengatakan surat nikah terbabit sah.

“Saya bingung dengan status saya sebagai suami dan kini nekad untuk menceraikannya. Bagaimanapun, saya terkilan mereka tidak dikenakan hukuman.

“Ini bukan kali pertama dia curang. Sebelum ini, saya pernah terserempak dia bersama remaja itu, namun selepas ditanya, dia memberitahu remaja itu adik angkatnya,” katanya.

Mohd Zani turut mendakwa, sebelum mereka berkahwin, wanita terbabit yang berusia 26 tahun pernah menipunya dengan mendakwa masih anak dara, namun selepas berkahwin dia membawa seorang kanak-kanak berusia empat tahun dipercayai anak yang dilahirkannya hasil hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Bagaimanapun, saya tetap menerimanya ketika itu kerana memikirkan kami sudah berkahwin, namun tidak menyangka dia masih sanggup melakukan perkara seperti ini,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Kedah, 15 Julai lalu.

Thursday, July 22, 2010

IPTA

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAILrencana@utusan.com.my

HEBOH seketika dulu apabila jumlah pelajar wanita ke insititusi pengajian tinggi (IPT) bagi sesi kemasukan 2009/2010 mengatasi pelajar lelaki. Daripada 40,366 calon yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bermula Jun lalu misalnya, 65 peratus atau 26,200 orang daripada mereka ialah pelajar wanita.

Namun, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, trend pelajar perempuan mendominasi IPT sudah menjadi sesuatu yang biasa. Ia turut berlaku di kebanyakan negara apabila kebanyakan wanita hari ini mempunyai akses yang sama rata kepada sistem pendidikan.

Tetapi ada perkara lain daripada jumlah pengambilan pelajar baru ke IPTA di negara ini yang sepatutnya lebih mendapat perhatian. Secara komposisi kaumnya, daripada jumlah keseluruhan pelajar ke IPTA sesi kali ini, sebanyak 27,829 orang adalah calon bumiputera. Seramai 10,116 orang pula merupakan pelajar kaum Cina manakala selebihnya iaitu sebanyak 2,421 terdiri daripada pelajar kaum India dan kaum lain.

Pada dasarnya, kemasukan pelajar bumiputera masih tinggi berbanding pelajar bukan bumiputera. Tetapi apa yang tidak kelihatan ialah bagaimana pecahan sebenar komposisi pelajar itu jika dilihat daripada kaedah kemasukan iaitu berdasarkan prinsip meritokrasi?
Sejak 2003, pengambilan pelajar ke IPTA tidak lagi berdasarkan kuota yang mana 55 peratus tempat diperuntukan kepada bumiputera manakala 45 peratus yang lain kepada bukan bumiputera. Sebaliknya, kerajaan memperkenalkan prinsip meritokrasi yang membuka peluang sama rata kepada pelajar pelbagai kaum berdasarkan kemampuan pelajar.

Ketika diperkenalkan, sistem meritokrasi antara lain dirujuk sebagai satu bentuk pengajaran kepada kaum bumiputera supaya tidak mensia-siakan peluang pendidikan yang telah disediakan oleh kerajaan. Dengan pelaksanaan itu juga, para pelajar akan dipilih berdasarkan 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

Pemilihan itu pula dibuat oleh sebuah badan yang ditubuh khas iaitu Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (yang dahulu dikenali Unit Pusat Universiti atau UPU). Ketika peringkat awal pelaksanaannya, kemasukan pelajar bumiputera ke IPTA dicatatkan sebanyak 68.9 peratus. Ia memeranjatkan banyak pihak terutamanya mereka yang menentang pelaksanaannya kerana bimbang sistem itu akan dibolot oleh pelajar bukan bumiputera yang diketahui lebih pandai dan cemerlang.

Rekod penguasaan pelajar bumiputera itu terus dipertahankan untuk tahun-tahun berikutnya iaitu 62.6 peratus pada sesi 2003/2004 dan 63.8 peratus pada 2004/2005. Bagaimanapun selepas kira-kira lapan tahun pelaksanaannya, jumlah pelajar bumiputera itu menunjukkan perbezaan yang sangat ketara.

Tahun ini, iaitu bagi pengambilan pelajar sesi 2009/2010 yang bermula Jun lalu, jumlah pelajar bumiputera yang layak berdasarkan prinsip meritokrasi dikatakan hanya sebanyak 26 peratus sahaja. Bakinya iaitu 74 peratus tempat yang lain, dibolot oleh pelajar-pelajar bukan bumiputera.

Meskipun fakta ini tidak didedahkan oleh agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam urusan pengambilan pelajar ke IPTA, namun ia mempunyai asas yang kukuh untuk diyakini.
Ini bermaksud, apa yang dibimbangi oleh banyak pihak sebelum ini mengenai akan berlakunya tempat yang dibolot oleh pelajar bukan bumiputera menjadi kenyataan.

Asas kebimbangan itu sebenarnya sangat jelas kerana pelajar bukan bumiputera mempunyai kelebihan dari sudut pencapaian akademik kerana beberapa faktor. Antaranya kerana kedudukan ekonomi mereka yang lebih baik yang membolehkan pelajar bukan bumiputera mendapatkan pendidikan tambahan di luar sesi persekolahan.

Malah, ada yang mampu mengupah guru persendirian khusus untuk mengajar anak-anak mereka secara peribadi. Sudah semestinya, keputusan peperiksaan mereka jauh lebih baik jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar bumiputera yang rata-ratanya hanya bergantung kepada pendidikan asas di sekolah biasa.

Ketidakadilan itu lebih dirasai oleh pelajar-pelajar di luar bandar yang mana akses mereka kepada pendidikan tambahan lebih terhad. Belum pun satu dekad prinsip meritokrasi itu dilaksanakan, jurang antara pelajar bumiputera dan bukan bumiputera yang layak ke IPTA sudah kelihatan begitu besar.

Tidak mustahil, tiada lagi pelajar bumiputera yang layak ke IPTA berasaskan sistem merit sekiranya dasar ini dikekalkan untuk satu jangka masa panjang. Kerana itu adalah wajar bagi kerajaan mengkaji semula dasar ini dengan mengambil kira survival pendidikan tinggi bumiputera.

Perkara ini bukan tidak disedari oleh pihak kerajaan kerana khabarnya, kerajaan terpaksa menambah bilangan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengimbangi jumlah pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di IPTA.

Ini kerana UiTM ketika ini merupakan satu-satunya universiti khusus milik bumiputera dan tidak mengamalkan sistem merit sepenuhnya dalam pengambilan pelajar. Akan tiba masanya, UiTM juga tidak lagi mampu menampung lebihan pelajar berkenaan dan ketika itu, ke mana pelajar-pelajar bumiputera akan ditempatkan?

Soal menjamin pendidikan kepada bumiputera adalah sesuatu yang jelas dalam Perlembagaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan. Tidak perlu ada rasa bersalah dalam memastikan bumiputera mendapat kelebihan kepada akses pendidikan yang sempurna termasuk di peringkat pengajian tinggi kerana itu merupakan hak mereka.
Sementelah, kaum bumiputera juga berdepan dengan persekitaran yang tidak adil untuk diajak bersaing secara terbuka menerusi pelaksanaan prinsip meritokrasi. Ini kerana mereka tidak berkemampuan untuk ke sektor pengajian swasta seperti kaum lain sekiranya gagal ke IPTA kerana kos pengajian yang terlalu tinggi.

Kaum bukan bumiputera pula seharusnya sedar bahawa sistem kuota yang dilaksanakan sebelum ini tidak sedikit pun menafikan hak mereka untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Dengan komposisi kemasukan pelajar mengikut kaum yang terlalu kecil, kuota 45 peratus yang disediakan kepada bukan bumiputera ke IPTA masih meninggalkan baki yang tidak dipenuhkan.

Selain itu, mereka juga disediakan beberapa buah universiti khusus untuk kaum tertentu yang dananya disalurkan oleh kerajaan. Sebagai contoh Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Terbuka Wawasan, Kolej New Era dan beberapa universiti lain. Begitu juga dengan lambakan universiti dan kolej universiti swasta yang majoriti pelajarnya terdiri daripada bukan bumiputera.

Dalam erti kata yang lain, kaum bukan bumiputera sebenarnya tidak mempunyai banyak masalah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi di negara ini meskipun ketika amalan kuota diguna pakai.

Malah jika faktor itu juga diambil kira, kita akan menyedari bahawa kaum bumiputera sebenarnya berdepan dengan peluang yang sangat terhad untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, bukan hanya kekuasaan ekonomi yang akan terlepas daripada tangan kaum bumiputera. Malah kita juga akan kekurangan kumpulan cerdik pandai yang akan menguruskan negara pada masa depan.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Harga gula, telur naik di Thailand




BANGKOK - Buat pertama kalinya dalam tempoh 30 tahun, Thailand terpaksa mengimport gula kerana kerajaan gagal memastikan bekalan yang mencukupi.

Kenaikan harga itu menyebabkan para peniaga makanan di jalanan di Bangkok merasai keperitan.

Jika harga gula dan telur berterusan naik, peniaga akan menaikkan harga makanan yang popular di kalangan penduduk tempatan.

Thailand yang merupakan pengeksport kedua terbesar gula, secara kasarnya menghasilkan tujuh juta tan metrik gula setahun.

Lazimnya, dua juta tan gula diperuntukkan untuk rakyat Thai.

Namun, bekalan itu kian berkurangan selepas harga gula dunia mencecah harga tertingginya dalam tempoh tiga dekad iaitu AS$750 (RM2,407) setiap tan pada Januari lalu.

Bagi meminimumkan kekurangan bekalan, kerajaan Thai membeli sebanyak 74,350 tan gula pada harga AS$705 (RM2,266) hingga AS$720 (RM2,314) satu tan.

Biarpun begitu, penjual makanan di jalanan yang bergantung kepada komoditi tersebut masih tidak berasa lega.

Seorang penjual buah-buahan, Charoen Saengsilp, 51, membeli gula pada harga 28 baht (RM2.80) sekilogram (kg), naik AS$0.31 (RM1) berbanding tahun lalu.

Harga itu lebih tinggi daripada harga runcit yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu 23.5 baht (RM2.33) setiap kilogram.

Charoen juga memberitahu gula sukar diperoleh di kedai. Pembelian dihadkan hanya sebanyak tiga kilogram untuk setiap keluarga.

Ada pihak yang percaya kekurangan bekalan berlaku akibat sikap tamak peniaga yang menjual gula untuk kegunaan tempatan kepada pembeli luar negara untuk meraih keuntungan berlipat kali ganda.

Setiausaha Agung Majlis Gula dan Tebu, Kementerian Industri, Prasert Tapaneeyangkul menyifatkan kekurangan gula berlaku kerana permintaan industri minuman dalam negara yang meningkat.

Sementara itu, tindakan pengeluar telur ayam yang kurang mengimport ayam juga telah mengakibatkan sumber makanan itu menjadi semakin mahal.

Sebagai tindak balas, kerajaan Thai menghapuskan kuota pengimportan ayam selain membuka peluang mengimport ayam kepada syarikat-syarikat baru. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

'Doktor cinta' lesap RM20,000

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/07/22

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki kasanova menjaja kisah sedihnya yang kononnya hidup sebatang kara bagi memperdaya gadis-gadis yang dikenali melalui laman sembang untuk memberi wang kepadanya.

Lebih memeranjatkan, kebanyakan mangsa yang kerugian berpuluh ribu ringgit termakan helah dan pujukan ‘doktor cinta’ terbabit yang berjanji mahu berkahwin dengan mereka dalam tempoh terdekat.


Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Amalina, 38, berkata, dia mula mengenali lelaki terbabit yang dikenali sebagai Nazaruddin, September tahun lalu selepas diperkenalkan rakannya melalui satu laman sembang.


“Tanpa berselindung dia memberitahu amat cintakan saya dan merancang untuk memperisterikan saya Jun lalu,” katanya.


Menurutnya, lelaki terbabit memberitahu bekerja sebagai tutor di sebuah kolej pendidikan perubatan swasta dan mendakwa hidup sebatang kara berikutan ibunya sudah meninggal dunia.


“Sejak itulah bermula lakonan liciknya yang mendakwa dia tidak dibayar gaji oleh majikan selain mengalami kemalangan jalan raya. Akibat simpati, saya memasukkan wang ke dalam akuan bank miliknya dengan niat mahu membantu,” katanya.


Menurutnya, dia tidak hanya membayar wang ansuran motosikal dan sewa rumah teman lelakinya itu malah turut memberikan wang sara hidup sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.


Namun selepas memberikan wang lebih RM20,000, dia mula menyedari ditipu selepas lelaki terbabit tiba-tiba hilang tanpa dapat dihubungi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DoktorcintalesapRM20000/Article

3 kes profil tinggi tutup

Oleh Idris Musa

2010/07/22

KUALA LUMPUR: Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju menutup tiga kes berprofil tinggi membabitkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, kata pengerusinya, Tan Sri Dr Hadenan Abd Jalil.

Menurut beliau, antara sebab kes terbabit ditutup dan tidak dilanjutkan penyiasatan, kerana tidak ada kaitan kes rasuah dan tiada saksi, malah pihak yang menuduh didapati gagal menentukan penerima rasuah terbabit.


“Disahkan memang kes itu tidak diambil tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Operasi bilangan tujuh suku tahun kedua 2010, di SPRM, semalam.


Dr Hadenan berkata, kes Liow yang dikatakan menerima rasuah sebuah Toyota Alphard atas nama isterinya daripada syarikat pembinaan, ditutup kerana SPRM mendapati tidak ada kaitan dengan hubungan rasmi, malah kenderaan itu dibeli sendiri olehnya.


Bagi kes berkaitan dengan jamuan Aidilfitri 2008 oleh Khalid, katanya panel bersetuju supaya ditutup kerana majlis itu sudah dilaksanakan dan dihadiri orang ramai, bukannya membabitkan individu tertentu.


“Kes membabitkan Ong yang dikatakan menerima wang tunai RM10 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi, tidak diambil tindakan lanjut kerana tiada saksi dan sukar untuk disahkan, malah pihak yang menuduh tidak dapat menentukan penerima wang berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, mesyuarat panel itu juga mengulang kaji kes lain yang dicadangkan supaya tidak ada tindakan khas dan tindakan seterusnya. “Kali ini kita diberi 63 kes untuk ditutup. Namun panel bersetuju dan mengambil keputusan supaya dua daripada kes itu dibuka semula. Dua kes itu bukan berprofil tinggi,” katanya.


Menurutnya, bagi tempoh dari awal Januari hingga pertengahan tahun ini SPRM membuka siasatan 673 kes, berbanding 923 kes bagi keseluruhan tahun lalu manakala jumlah tangkapan sejak kempen memerangi rasuah dilancarkan seramai 206 pemberi rasuah ditangkap.


“Saya ucap tahniah pada orang awam kerana bekerjasama dengan kami. Ini menunjukkan petanda yang baik,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/3kesprofiltinggitutup/Article

Datuk berhati haiwan

Oleh Alias Abd Rani

2010/07/22

KUCHING: Seorang datuk yang juga bekas Ahli Majlis Perbandaran Padawan terpaksa meringkuk dalam penjara selama 62 tahun selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan merogol cucunya sejak enam tahun lalu.

Tertuduh berusia 60 tahun yang tidak diwakili peguam mengaku melakukan semua kesalahan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. Dia mengaku merogol cucunya di dua lokasi berasingan iaitu di kebun dan rumahnya.

Dia dihukum mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. Hakim Mahkamah Seksyen Kuching, Afidah Abdul Rahman memerintahkan hukuman itu dijalankan bermula semalam.


Mengikut kertas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa raya Teo Teck Soon, tertuduh didakwa merogol cucunya ketika berusia lapan tahun buat kali pertama di sebuah pondok di kawasan kebun di Jalan Kuching, Serian, dekat sini, antara jam 12 tengah malam hingga 12 tengah hari sekitar Januari hingga Disember 2004.


Dia kemudian mengulangi kesalahan itu pada 2005 juga pada waktu sama di sebuah rumah bernombor 25, Kampung Mambong, Jalan Kuching, Serian.


Warga emas itu turut dituduh melakukan perbuatan sama pada 2006 , 2007, 2008, 2009 dan kali terakhir pada 28 Jun lalu. Semua kesalahan itu dilakukan di tempat sama.


Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh meminta hukuman ke atasnya dikurangkan dengan alasan dia sudah tua dan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan serta mengaku sudah insaf.


Berikutan pengakuan bersalah tertuduh itu, Afidah kemudian mensabitkan kesalahan pertama pada 2004 dengan hukuman penjara sembilan tahun, hukuman penjara 10 tahun untuk tuduhan kedua yang dilakukan pada 2005, lapan tahun (2006), enam tahun (2007), tujuh tahun (2008), lapan tahun (2009) dan 12 tahun bagi kesalahan dilakukan pada 2010.


Laporan perubatan menunjukkan mangsa mengandung 28 minggu selain terdapat kesan koyakan pada kemaluannya.


Tertuduh dikatakan memelihara mangsa sejak kecil selepasibu bapanya menghilangkan diri dan tidak mahu bertanggungjawab.


Sepanjang tempoh penjagaan itu, tertuduh dikatakan mengambil kesempatan ketika mangsa berusia lapan tahun sehinggalah dia berusia 14 tahun.


Mengikut fakta kes, kejadian itu disaksikan sendiri isteri tertuduh, namun dia dimarahi dan diugut supaya tidak melaporkan perkara ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Datukberhatihaiwan/Article

Awang Misai Merah 'terkucil'



Oleh Hadzlan Hassan

2010/07/22

KUALA TERENGGANU: Ketua sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Awang Misai Merah didapati benar-benar mempunyai misai lebat berwarna perang kemerahan menyebabkan kumpulan itu mendapat jolokan daripada nama berkenaan.

TAHAN...Awang Misai Merah (dua dari kanan) dan dua anaknya yang diberkas dalam serbuan pagi semalam.
TAHAN...Awang Misai Merah (dua dari kanan) dan dua anaknya yang diberkas dalam serbuan pagi semalam.
Lelaki berusia 48 tahun yang sebelum ini bersembunyi selepas meloloskan diri dalam beberapa siri serbuan polis di sekitar negeri ini akhirnya terjerat selepas sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menyerbu sebuah rumah di Kemaman.

Walaupun kelihatan garang dan gagah dengan misai lebatnya, lelaki berkenaan dikatakan beberapa kali ‘terkucil’ ketika diserbu dan memberitahu pihak berkuasa dia mengalami masalah itu akibat pengambilan ubat batuk secara berlebihan.

Berikutan itu, dia yang amat dikehendaki kerana bertanggungjawab terhadap beberapa kes curi kenderaan berat membabitkan pacuan empat roda dan lori di negeri ini mungkin akan menjalani ujian air kencing bagi mengetahui sama ada positif dadah atau sebaliknya.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan yang mengesahkan penahanan ketua kumpulan itu berkata, suspek ditahan bersama dua anak lelakinya berusia 17 dan 24 tahun di sebuah rumah di Cheneh, Kemaman.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat orang ramai kira-kira jam 7 pagi semalam dan polis turut menemui tiga kenderaan dengan dua daripadanya didapati mempunyai kesan ubah suai seolah-olah ada tampalan pada casisnya.

“Berikutan itu, kedua-dua kenderaan dirampas dan dibawa ke IPK untuk ujian forensik dan kami akan memohon perintah reman terhadap tahanan bagi membantu siasatan,” katanya.

“Sebenarnya tangkapan kes itu baru saja dilakukan dan polis masih menjalankan siasatan, jadi tidak banyak yang boleh saya katakan setakat ini kerana proses siasatan masih di peringkat awal,” katanya kepada Harian metro.

Geng Awang Misai Merah digeruni kerana mempunyai rangkaian hampir di seluruh negeri ini dan dipercayai menjadikan kawasan pedalaman lokasi pasaran kenderaan curi selain menjadikan pemilik kenderaan pacuan empat roda sebagai sasaran.

Benci dapat bayi perempuan



Oleh Hadzlihady Hassan

2010/07/22

AMPANG: Bagai hidup pada zaman jahiliah, seorang bapa tergamak mengasari isterinya disebabkan kecewa wanita itu melahirkan bayi perempuan yang juga anak sulung hasil perkongsian hidup mereka.

Sejak isterinya hamil dan diberitahu doktor anak dalam kandungannya dijangka perempuan, lelaki terbabit sering memukul isterinya.

Lebih menyedihkan, selepas bayi perempuan itu dilahirkan, dia menjadi mangsa perbuatan zalim bapanya dan perbuatan itu berterusan sehingga usianya kini lima bulan.

Dalam kejadian terbaru, dua beranak itu diperlakukan dengan kejam apabila lelaki terbabit memukul bayi dan isterinya selain turut mengurung wanita berkenaan apabila mangsa cuba melarikan diri.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi, 7 Julai lalu apabila mangsa yang berusia awal 20-an ketika itu berada di rumah manakala suaminya yang bekerja sebagai pengutip barang lusuh baru pulang.

“Sebaik tiba di rumah, lelaki terbabit tiba-tiba menghampiri bayi perempuan mereka dan dalam keadaan naik angin dia melepaskan tendangan ke arah bayi itu yang berada dalam buaian.

“Bayi berusia lima bulan itu diperlakukan dengan kejam apabila dia bukan saja ditendang, malah turut ditumbuk dan ditampar bapanya sehingga cedera di badan, mata dan kepala,” katanya.

Sumber itu berkata, sambil membebel kepada isterinya, lelaki terbabit terus menerus memukul, menumbuk dan menampar bayi berkenaan walaupun cuba dihalang wanita berkenaan.

“Lelaki terbabit turut mengatakan rasa tidak puas hati dan mendoakan supaya bayi berkenaan mati selain mempersoalkan isterinya mengapa tidak melahirkan bayi lelaki,” katanya.

Sumber berkenaan berkata, isterinya yang tidak tahan perangai lelaki terbabit menghalang suaminya dan cuba melarikan diri bersama bayi mereka ke rumah ibunya tidak jauh dari situ.

“Bagaimanapun, tindakan wanita berkenaan mengundang kemarahan suaminya apabila dia sekali lagi mengamuk.

“Lelaki itu memukul dan menumbuk isterinya tanpa belas kasihan dan mengurung wanita berkenaan serta bayinya selama tiga hari dalam rumah bagi mengelak dua beranak itu melarikan diri,”
katanya.

Menurutnya, bagaimanapun dua beranak berkenaan dapat melepaskan diri selepas lelaki terbabit keluar bekerja dan terlupa mengunci pintu rumah.

Ketika dihubungi Harian Metro, wanita itu yang meminta namanya dirahsiakan berkata, kekejaman suami ditanggungnya sejak hamil dan dia kurang pasti kenapa suaminya benci serta marah apabila dia melahirkan anak perempuan.

“Apapun saya bersyukur kerana suami terlupa mengunci pintu rumah. Jadi, saya dan bayi saya dapat melarikan diri ke rumah ibu yang tidak jauh daripada rumah kami,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu dia membuat laporan polis dan membawa bayinya mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

“Anak saya cedera di beberapa bahagian badan dan ditempatkan dalam wad Hospital Ampang selama empat hari,” katanya sambil memberitahu suaminya tidak pulang ke rumah sejak kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan menjejaki lelaki terbabit yang dipercaya sudah melarikan diri.

Nasib ibu Si Tanggang



Oleh Khairulmizan Yahya

2010/07/22

KUANTAN: Nasib seorang ibu tunggal dari Kampung Kubang Buaya di sini, tidak ubah seperti kisah ibu Si Tanggang apabila dia bukan saja dimaki-hamun anak kandung, malah turut dihalau insan yang dilahirkannya.

BUKTI...Zaiton menunjukkan laporan polis dibuat terhadap anak sulungnya.
BUKTI...Zaiton menunjukkan laporan polis dibuat terhadap anak sulungnya.
Lebih menyedihkan apabila anak yang pernah ditatang bagai minyak yang penuh satu ketika dulu, sanggup memanggilnya dengan gelaran babi, malah tidak mengaku lahir daripada rahim ibunya.

Ibu tunggal malang itu, Zaiton Jaafar, 57, mendakwa anak sulungnya yang dahulunya baik mula berubah sikap sejak suaminya meninggal dunia hampir 19 tahun lalu.

“Saya isteri ketiga kepada arwah suami dan mempunyai dua anak hasil perkongsian hidup, namun anak perempuan saya yang juga anak kedua meninggal dunia akibat ketumbuhan dalam otak kira-kira tujuh tahun selepas kematian suami.

“Saya berkahwin lain setahun selepas kematian suami dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 17 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, suami keduanya menghilangkan diri kira-kira 16 tahun lalu dan sejak itu dia tinggal bersama anak lelaki sulung (hasil perkongsian hidup dengan suami pertama) yang berusia 32 tahun serta anak ketiga (dengan suami kedua) di rumah peninggalan suami pertamanya.

“Rumah itu dulunya atas nama syarikat milik arwah suami kemudian ditukar hak kepada anak sulung saya sebelum dia berkahwin dengan seorang kerani bank kira-kira 10 tahun lalu.

“Sejak tinggal berasingan dia tidak pernah menjenguk saya sehinggalah dia ingin berkahwin lain kira-kira empat tahun lalu,”
katanya yang bekerja sebagai tukang sapu.

Zaiton berkata, sebelum sambutan Aidilfitri tahun lalu, anak sulung bersama isterinya pulang ke rumah kononnya mahu meminta ampun dan mengajaknya tinggal bersama di Kuala Lumpur.

“Namun, ketika tinggal bersamanya di sana, saya sering dimaki-hamun walaupun hanya melakukan kesalahan kecil menyebabkan saya kembali ke rumah asal.

“Derita saya tidak berakhir di situ apabila dia dan isterinya pulang ke rumah yang saya diami sekarang dan berkeras mahu menjual rumah berkenaan,” katanya.

Kemuncaknya, Zaiton mendakwa, anak sulungnya itu pernah menolaknya sehingga terjatuh dan menghalaunya keluar, malah anak ketiganya turut menjadi mangsa amarah lelaki berkenaan.

“Dia turut memanggil saya dengan gelaran babi dan pernah tidak mengaku lahir daripada rahim saya selain menyorok makanan di rumah supaya saya tidak dapat makan. Malah, isterinya turut membaling selipar ke arah saya, baru-baru ini.

“Walaupun dihalau keluar, saya tetap tidak meninggalkan rumah berkenaan kerana tiada tempat lain untuk dituju namun berikutan bimbang keselamatan diri, saya membuat laporan polis,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, Isnin, lalu.

Menurut Zaiton, dia bimbang anak sulungnya itu menjual rumah yang didiaminya sekarang. Jika keadaan itu berlaku, dia pasti buntu mengenangkan nasibnya dan anak bongsu kerana mereka akan kehilangan tempat tinggal.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...