Thursday, January 22, 2009

Dulu susah, kini mewah


Oleh AQMAR ALLADAD
aqmar.alladad@kosmo.com.my

Ada yang datang sehelai sepinggang, malah tidak kurang yang hidup makan pagi, kais pagi. Namun, nasib buruk mereka berubah setelah berhijrah ke Malaysia.


--------------------------------------------------------------------------------


SEKITAR pukul 6 pagi Ronaliza Zulhasrei, 22, sudah bangkit daripada tidurnya. Katil dua tingkat dengan tilam empuk yang disediakan oleh majikan itulah yang menemani tidurnya saban hari.

Sejurus terjaga daripada tidur, dia perlu segera bersiap dengan menyarung uniform putih dan vest bercorak kerana restoran tempatnya bekerja memulakan operasi pada pukul 7 pagi setiap hari.

Lazimnya, Ronaliza akan membantu majikannya melakukan kerja-kerja menghidang makanan untuk khidmat katering. Selain Ronaliza, dia turut ditemani oleh rakan sekerjanya untuk melakukan tugas-tugas tersebut.

Itulah rutin yang dilakukan oleh anak kelahiran Padang, Indonesia ini sejak hampir lima tahun lalu. "Saya seronok bekerja di Malaysia kerana negara ini aman dan gajinya juga lumayan," kata anak kelima daripada enam beradik ini dalam loghat bahasa Melayu yang cukup fasih.



KEMUDAHAN tempat tinggal yang selesa antara faktor yang mendorong pekerja asing untuk bekerja di Malaysia.

--------------------------------------------------------------------------------


Menurut Ronaliza, dia memilih untuk berhijrah ke Malaysia kerana kebanyakan ahli keluarganya mencari rezeki dengan merantau ke negara orang. Malah, Ronaliza juga datang ke Malaysia ketika usianya 17 tahun berbekalkan RM50 pemberian kedua-dua ibu bapanya.

"Saya datang daripada keluarga yang susah. Kami sekeluarga pernah hidup umpama kais pagi makan pagi kerana ibu bapa bekerja sebagai petani.

"Semasa di sekolah rendah, saya membantu ibu bersawah untuk menampung perbelanjaan sekolah sebanyak RM75 sebulan. Ketika di sekolah menengah, saya bekerja secara sambilan sebagai pelayan di kedai makan," ceritanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, cerita-cerita yang didengar daripada jiran mengenai kemewahan dan kejayaan mereka yang bekerja di Malaysia mendorong Ronaliza untuk mencuba nasib. Dia bernasib baik kerana jurusan penyediaan makanan yang diambil banyak mendedahkannya kepada peluang pekerjaan yang diminatinya.

Ronaliza yang memiliki sijil dalam jurusan penyediaan makanan kemudiannya dihantar bekerja di Malaysia. Tambahnya, sebelum itu dia sudah bekerja di restoran tersebut selama tiga bulan untuk latihan praktikal. Setelah tamat latihan dia terus menyambung bekerja di tempat yang sama secara kontrak selama tiga tahun.


BERSEDIA untuk memulakan tugas pada awal pagi.

--------------------------------------------------------------------------------



Namun, selesa dengan persekitaran tempat kerja dan majikan yang baik, maka dia sekali lagi berniat untuk meneruskan sahaja mencari rezeki di Restoran Rumpun Selera, Bandar Baru Selayang.

"Saya sudah percaya dengan majikan, itu yang menyebabkan saya tidak berpindah atau bertukar ke bidang lain seperti pembantu rumah.

"Saya rasa sangat teruja apabila dimaklumkan bahawa saya diterima bekerja di salah sebuah restoran di sini dengan gaji sebanyak RM500 sebulan.

"Meskipun saya belum pernah ke Malaysia sebelum ini, tetapi saya sudah biasa mendengar tentang negara ini. Benar, saya cukup gembira apabila ditawarkan bekerja di sini, tetapi jauh di sudut hati saya juga bimbang mengenai kes-kes rogol, pelacuran, dijual kepada sindiket dan penderaan oleh majikan. Namun, saya pasrah," ujarnya yang datang ke Malaysia bersama tiga rakannya.

Selepas lima tahun bekerja di Restoran Rumpun Selera, kini Ronaliza diberi kepercayaan oleh majikannya sebagai ketua bahagian katering. Sepanjang berkhidmat di restoran tersebut, majikannya menyediakan tempat tinggal seperti asrama, makan minum percuma, perubatan dan insurans nyawa.

Selain asrama, majikannya juga menyediakan kemudahan seperti televisyen. Kebiasaannya mereka bekerja selama sembilan jam sehari.

"Saya bersyukur mendapat majikan yang banyak memberi tunjuk ajar dan baik hati. Saya banyak belajar mengubah bunga, menghias dewan makan, malah saya diberi latihan bertutur dalam bahasa Inggeris," katanya yang pernah pulang sekali ke kampung halamannya.

Hasil titik peluhnya, Ronaliza yang memperoleh gaji sebanyak RM1,000 sebulan mengirim wang sebanyak RM200 kepada keluarga di kampung. Bagi menghilangkan rasa rindunya, Ronaliza akan menelefon mereka sebagai pengubat rindu.

"Lazimnya, saya akan menghubungi mereka sama ada dua atau tiga kali seminggu," ujarnya yang mahu menyambung kontrak bekerja. Menurut Ronaliza, dia dan rakan-rakannya akan diberi cuti sekali seminggu.


RONALIZA (kanan) kini diberi kepercayaan oleh majikannya sebagai ketua bahagian katering selepas lima tahun berkhidmat.

--------------------------------------------------------------------------------


Jika hari cuti tersebut jatuh pada awal bulan, dia dan rakan-rakannya tidak akan melepaskan peluang menghabiskan masa dengan membeli-belah di Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, Pasar Seni dan sebagainya.

Malah, jika ada kelapangan mereka juga akan berhibur dengan menonton wayang. "Majikan juga pernah membawa kami bersiar-siar ke Port Dickson, Bukit Merah LakeTown Resort, Teluk Cempedak dan lain-lain," katanya yang memiliki telefon bimbit jenama Nokia.

Rakan sekerjanya, Fitriani, 21, bangga dan memuji majikan di Malaysia kerana begitu prihatin terutama soal kebajikan pekerja.

"Saya tertarik untuk datang bekerja di sini kerana kebanyakan majikan di Malaysia memang menjaga kebajikan pekerja mereka.

"Paling penting kita perlu bekerja dan menghormati majikan, barulah kita rasa seronok sepanjang bekerja," ceritanya yang mempunyai pengalaman bekerja di Malaysia selama tiga tahun.

Fitriani yang pernah menjalani latihan di restoran tersebut berkata, kegembiraan bekerja di Malaysia membuatkan Fitriani tidak terfikir untuk pulang ke kampung halaman, apatah lagi mencari pekerjaan lain di tempat kelahirannya.


MENGISI masa lapang dengan menonton televisyen bersama rakan-rakan yang merantau ke Malaysia.

--------------------------------------------------------------------------------


Bukan kerana tidak merindui tanah air sendiri, sebaliknya peluang yang diperoleh di Malaysia belum tentu dapat dinikmati sekiranya pulang ke Indonesia.

"Siapa yang tidak gembira sepanjang bekerja di sini, majikan telah membawa saya dan rakan-rakan melancong ke Pulau Pinang, Sunway Lagoon dan banyak lagi.

"Kebiasaannya kami dibawa melancong pada cuti hari raya kerana masing-masing tidak pulang ke kampung," jelasnya yang mengirim wang kepada keluarga sebanyak RM200 setiap bulan.

Saat berjauhan daripada keluarga, Fitriani mengakui adakalanya perasaan sunyi menyelubungi hati. Namun, dia akan menghubungi kedua-dua ibu bapanya sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk mengubat rasa rindu.

"Mana boleh lupa keluarga. Hubungan kami tidak akan putus, telefon merupakan penawar rindu saya," kata anak pertama daripada tiga beradik itu.

Dia yang diberi tanggungjawab sebagai juruwang di restoran itu menjelaskan, juga mempelajari pelbagai pengalaman baru seperti menggubah bunga dan hiasan untuk majlis perkahwinan.

"Saya tidak pernah menyesal malah cukup berbaloi tinggalkan keluarga di kampung, sekurang-kurangnya saya dapat menimba ilmu di sini, mana tahu saya dapat membuka perniagaan sendiri suatu hari nanti," katanya yang datang daripada keluarga yang senang.

Bagaimanapun, lain pula kisahnya bagi seorang lagi pekerja Restoran Rumpun Selera, Alam Shah, 31, yang berhijrah ke Malaysia sejak 16 tahun lalu.

Dia menyifatkan penghijrahannya ke negara ini banyak mengubah nasib keluarganya.

Bagaimanapun, dia masih belum berpeluang pulang ke kampung halaman. Namun, memikirkan peluang dan kelebihan bekerja di Malaysia, maka Alam Shah memendamkan saja rasa sedihnya.

Di sebalik keceriaan wajah, terselit juga kepiluan kerana tidak sempat bertemu dengan bapanya yang telah meninggal dunia beberapa tahun lalu.

"Berita pemergian arwah bapa hanya saya ketahui setelah keluarga yang tinggal di Cittazong, Bangladesh menghubungi saya.

"Tidak dapat saya gambarkan perasaan ketika itu. Kalau ikutkan hati, mahu saja saya segera pulang ke kampung tetapi disebabkan faktor perbelanjaan yang tinggi maka hasrat itu saya pendamkan saja," katanya yang mendapat berita kematian bapanya selepas beberapa bulan berada di Malaysia.

Ujar Alam Shah, dia cukup tenang berada di Malaysia. Walaupun terpaksa bekerja keras, tetapi dia juga berkesempatan untuk menghabiskan masa bersama rakan-rakan seperti orang lain," katanya yang pernah bekerja di salah sebuah stesen minyak.


--------------------------------------------------------------------------------


Sementara itu, pengusaha restoran tersebut, Safnida Afiza Sanusi memberitahu, kebajikan pekerjanya memang dititikberatkan memandangkan bukan mudah untuk mereka mendapatkan kemudahan tempat tinggal.

"Saya terdetik untuk menyediakan tempat tinggal kepada setiap pekerja kerana ia bukan sahaja memudahkan mereka datang dan pulang bekerja malah soal keselamatan.

"Mereka juga tidak perlu menghabiskan pendapatan mereka untuk membayar sewa rumah mahupun kenderaan ke tempat kerja," jelas beliau yang turut membiayai insurans nyawa dan kos perubatan.

"Kita mahu mereka seronok bekerja dan selesa dengan persekitaran. Saya hanya mementingkan kualiti setiap pekerja, sekiranya ada di antara mereka yang bermasalah saya ambil keputusan dengan menghantar mereka pulang," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Pelelong dara dapat tawaran berlakon


Natalie
--------------------------------------------------------------------------------


SAN DIEGO - Pelelong dara, Natalie Dylan mendedahkan bahawa dia menerima banyak tawaran untuk berlakon termasuk dalam filem lucah, lapor sebuah akhbar semalam.

Gadis berusia 22 tahun itu berkata, tawaran lumayan itu diperoleh sejak kisah dia melelong dara di Internet baru-baru ini terbongkar.

Bagaimanapun, kata Natalie, dia terpaksa menolak tawaran berlakon dalam filem lucah.

"Saya tidak membenci filem lucah. Saya juga menonton filem lucah tetapi saya tidak bercita-cita untuk melakukannya," kata gadis tersebut.

Dia turut mendedahkan mendapat tawaran menulis buku mengenai kisah hidupnya.

Natalie menegaskan tujuan dia melelong dara adalah semata-mata untuk memperoleh wang mencukupi bagi membiayai pengajiannya ke peringkat sarjana.

Dia berkata, ibunya masih menyayangi dirinya walaupun tidak bersetuju dengan keputusannya untuk menjual tubuh.

Setakat ini seorang pembida membuat tawaran tertinggi iaitu £2.6 juta (RM13.1 juta) bagi memperoleh daranya.

"Jika saya berjaya mendapatkan wang yang banyak, saya tidak akan melelong dara," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Doktor keluarkan batu karang gergasi


SEORANG doktor, Judit Csorba (kiri) menunjukkan batu karang gergasi yang berjaya dikeluarkan dari perut Sandor Sarkadi (kanan) di Hospital Kenez Gyula, Hungary.

--------------------------------------------------------------------------------



DEBRECEN - Sekumpulan doktor di Hungary terkejut besar apabila mengeluarkan seketul batu karang sebesar buah kelapa kecil dari perut seorang pesakit, lapor sebuah akhbar semalam.

Pesakit berkenaan, Sandor Sarkadi dirawat di bilik pembedahan Hospital Kenez Gyula di sini kira-kira 250 kilometer ke timur ibu kota Hungary, Budapest kelmarin.

Keputusan untuk melakukan pembedahan terhadap pesakit itu dilakukan selepas doktor mendapati terdapat bonjolan besar dalam perutnya menerusi pemeriksaan X-ray.

Pihak hospital memberitahu, pembedahan mengeluarkan batu karang gergasi bersaiz 17 sentimeter dengan berat 1.125 kilogram itu berjalan lancar tanpa pesakit menghadapi sebarang komplikasi.

Batu karang terbentuk dalam berbagai saiz iaitu dari sekecil bijirin sehingga sebesar bola golf.

Bagaimanapun, kes yang menimpa Sarkadi mengejutkan pihak hospital kerana saiz batu itu begitu besar.

Kebanyakan batu karang akan dibuang secara semula jadi dari tubuh manusia menerusi proses perkumuhan dalam tempoh beberapa jam atau beberapa hari. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Bush rancang masa depan


BUSH merenung tingkap helikopter ketika berlepas meninggalkan Washington kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush berucap di podium sebagai bekas presiden buat pertama kali kelmarin sebaik tiba di Texas selepas tamat tempoh lapan tahun sebagai pemimpin.

"Sejarah akan menjadi hakim terhadap keputusan-keputusan yang saya lakukan namun ketika saya melangkah keluar dari Oval Office pagi tadi (kelmarin), saya berasa nilainya sama seperti ketika saya memegang jawatan Presiden lapan tahun lalu," katanya ketika disambut orang ramai di Midland, Texas.

Kenyataan itu adalah sebagai menjawab kritikan Obama mengenai beberapa dasar Bush ketika beliau menyampaikan ucapan pertama selepas pelantikannya sebagai Presiden AS ke-44 kelmarin.

Bush dikritik hebat berikutan dasar luar dan domestik sehingga beliau memperoleh undian terendah berbanding Presiden AS yang terdahulu.

"Apabila saya pulang dan lihat di cermin, saya tidak akan kesal apa yang saya lihat kecuali uban yang mula memutih," katanya.

Menurutnya, beliau berhasrat untuk menulis sebuah buku dan memantau pembinaan sebuah pusat Presiden di Dallas, Texas.

"Saya mungkin menyampaikan beberapa ucapan. Saya ialah bekas Presiden yang berupaya berkongsi cerita mengenai jawatan kepada ibu bapa saya," katanya. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Pakaian Michelle curi tumpuan orang ramai


MICHELLE memakai pakaian kuning keemasan ketika berjalan bersama Obama di Pennsylvania Ave, Washington kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


LOS ANGELES - Isteri Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mencuri tumpuan ramai apabila beliau muncul di atas pentas memakai pakaian seorang pereka terkenal dan aksesori sederhana.

Pakaian isteri Obama, Michelle anggun tetapi praktikal dengan warna kuning keemasan rekaan Isabel Toledo, sarung tangan kedai J. Crew dan kasut jenama Jimmy Choo.

Dalam majlis sempena pelantikan rasmi, Michelle memilih gaun putih rekaan pereka kelahiran Taiwan Jason Wu yang berharga AS$6,000 (RM21,600).

Pakaian pilihan Michelle dijangka memberi petunjuk terhadap peranannya sebagai wanita pertama ketika AS berhadapan kemelesetan ekonomi.

Bekas peguam korporat berumur 45 tahun itu menerima pujian ramai kerana tampil dengan imej muda serta tidak kekok untuk menggunakan pakaian murah dari pasar raya.

Obama pada Jun lalu turut memakai kot hitam putih berharga AS$148 (RM533) ketika muncul dalam satu program bual bicara tetapi pakaian itu habis dijual di seluruh negara. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Obama menari bersama isteri


OBAMA dan isterinya, Michelle menari dalam majlis tarian di Bangunan Muzium Kebangsaan, Washington kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan isterinya, Michelle menari mengikut irama lagu klasik At Last nyanyian penyanyi Beyonce di White House bagi meraikan pelantikannya sebagai Presiden kelmarin di sini.

Pasangan tersebut menjadi tumpuan ramai dalam majlis itu apabila melihat mereka menari dengan rentak perlahan di hadapan tetamu undangan.

Majlis itu dikenali sebagai Neighborhood Ball iaitu khas untuk penduduk yang tinggal di Washington iaitu acara pertama daripada 10 sambutan bagi meraikan pelantikannya.

Penyanyi Shakira, Mary J. Blige, Faith Hill dan Mariah Carey kemudian menyanyikan lagu Sign, Sealed Delivered bersama Stevie Wonder.

"Anda dapat memberitahu bahawa beliau adalah seorang presiden berkulit hitam dengan melihat cara dia bergerak," kata seorang aktor, Jamie Foxx.

Obama memakai tali leher putih manakala Michelle mengenakan gaun putih labuh ke lantai rekaan Jason Wu.

"Pertama sekali, bagaimanakah rupanya isteri saya? soal Obama kepada sekumpulan selebriti dan penyokong-penyokongnya.

Sementara itu, dalam satu lagi acara Obama Home States, Presiden itu menarik isterinya lebih dekat dengan dirinya berbanding ketika mereka menari tarian pertama.

Pada satu ketika, Obama merangkul pinggang isterinya.

"Hello orang ramai. Aloha, Apakah yang terjadi sekarang?"
soal Obama dalam dialek Hawaii dan Illinois.

"Kebanyakan anda terlibat bukan sahaja dalam kempen kami tetapi kehidupan kami," kata Obama.

Mereka turut menari dalam majlis meraikan Obama sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera Amerika Syarikat di Bangunan Muzium Kebangsaan, Washington. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Obama minta kes tahanan Guantanamo ditangguh


OBAMA mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Hakim John Roberts, di bangunan Capitol, Washington kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------


TELUK GUANTANAMO - Seorang hakim tribunal tentera Amerika Syarikat (AS), bersetuju memenuhi permintaan Presiden Barack Obama supaya menangguhkan perbicaraan jenayah perang terhadap warga Kanada, Omar Khadr.

Omar yang kini ditahan di penjara Teluk Guantanamo, Cuba kerana didakwa membunuh seorang askar AS di Afghanistan.

Hakim berkenaan, Kolonel Patrick Parrish mengeluarkan arahan bertulis supaya kes itu ditangguhkan 120 hari dan menimbang untuk menangguhkan lima lagi kes tahanan Teluk Guantanamo kerana pembabitan mereka dalam serangan ke atas AS pada 11 September 2001.

Arahan tersebut dikeluarkan sejajar dengan permintaan Obama yang mahu perbicaraan tahanan Teluk Guantanamo ditangguhkan hingga Mei depan.

Pendakwa raya tentera, Clay Trivett berkata, semua kes yang menunggu perbicaraan perlu ditangguhkan kerana sistem tribunal tentera yang diguna pakai bagi membicarakan tahanan Teluk Guantanamo akan disemak semula.

Keputusan pertama yang dilakukan oleh Obama sejak menduduki White House kelmarin itu disambut baik oleh pertubuhan hak asasi manusia dan Suruhanjaya Eropah. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Presiden AS mula bekerja


OBAMA (dua dari kanan) dan isteri, Michelle mengiringi bekas Presiden AS George W. Bush (dua dari kir) dan isterinya menuju ke sebuah helikopter untuk pulang ke Texas dari Washington kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama tanpa melengahkan masa mula mengadakan mesyuarat dengan pasukan penasihat ekonomi dan kalangan komander tentera semalam sehari selepas beliau menduduki White House.

Masalah ekonomi dan isu Iraq merupakan dua agenda utama yang dibincangkan di White House pada hari pertama Obama menerajui negara kuasa besar itu.

Obama memanggil pakar-pakar ekonomi untuk merancang pelan pemulihan ekonomi menerusi pakej rangsangan berjumlah AS$825 bilion (RM2.9 trilion) yang dipersetujui Kongres sebelum ini.

Kakitangan White House turut diarah supaya memikirkan cara membaik pulih dasar luar AS yang tercalar di mata dunia semasa di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush.



LAUTAN manusia yang membanjiri dekat bangunan Capitol untuk menyaksikan majlis angkat sumpah Obama di Washington, kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


Beliau juga menemui kalangan pemimpin tentera bagi merumuskan formula pengunduran tentera AS dari Iraq selain meningkatkan pembabitan negara itu di Afghanistan seperti yang dijanjikan dalam kempennya pada tahun lalu.

Selain agenda rasmi, Obama mengalu-alukan kehadiran pelawat awam ke White House ketika Kongres meneliti pelan pemulihan ekonomi beliau dan membincangkan pencalonan Hillary Rodham Clinton sebagai Setiausaha Negara dan Timothy Geithner bagi jawatan Setiausaha Perbendaharaan.

"Malam ini kita meraikan. Esok, tugas kita bermula, saya yakin kita akan melakar lembaran baru dalam sejarah AS," kata Obama dalam majlis tarian White House malam kelmarin.

- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Sah Mazidul-Fazlin masih suami isteri


Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my



Mazidul dan Fazlin gembira mereka masih suami isteri di Mahkamah Syariah Petaling Jaya semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


PETALING JAYA - Pengacara rancangan 360 dan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3, Mazidul Akmal Sidik boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam mengesahkan bahawa dia dan pasangannya, Khairul Fazlin Kamaruddin masih lagi suami isteri yang sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Ghazali Ahmad setelah berpuas hati dengan keterangan Mazidul, 41, selaku defendan berhubung lafaz cerai berbunyi, "Kalau dia orang datang, I ceraikan you."

Lafaz itu dibuat terhadap Fazlin, 38, (plaintif) di rumah mereka di Apartmen Salbia, Bukit Damansara dekat sini pada pukul 11.30 malam, 13 Oktober tahun lalu.

Mazidul mendakwa 'dia orang' dalam lafaz itu dimaksudkan ibu bapa mertua, namun pada malam selepas lafaz dibuat, hanya ibu mertua datang bersama adik iparnya manakala bapa mertua tidak datang.

"Walaupun mahkamah mengambil kira lafaz cerai itu kerana ia jelas, namun ia belum lagi berlaku kerana bapa mertuanya tidak datang, justeru mereka masih lagi suami isteri yang sah," hujah Ghazali.

Pada 20 Oktober tahun lalu, Fazlin memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Air laut bertukar merah di Pulau Pangkor


Oleh NORSHARUDDIN SAPIAN
berita@kosmo.com.my


ZON pelancongan Lumut-Pangkor turut dilanda air laut merah. Bulatan dalam peta menunjukkan kawasan terlibat.
--------------------------------------------------------------------------------


PULAU PANGKOR - Permandangan Pulau Pangkor yang cantik terganggu apabila air laut di sini bertukar warna kemerah-merahan.

Kejadian itu sudah berlaku sejak sebulan lalu dan ia menjadi semakin teruk minggu lepas.

Perubahan air laut daripada kebiru-biruan kepada warna merah itu mengejutkan kira-kira 2,000 nelayan di sekitar Pulau Pangkor, Kampung Baharu dan Segari di sini.

Pulau Pangkor yang mempunyai 25,000 orang penduduk menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Dianggarkan seramai 10,000 orang mengunjungi pulau itu setiap bulan.


--------------------------------------------------------------------------------


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Sungai Pinang Besar di sini, Roslan Ahmad berkata, senario aneh itu telah menjejaskan hasil tangkapan ikan khususnya nelayan pesisir pantai.

"Sehingga kini kita tidak tahu apa punca menyebabkan air laut di sini menjadi merah tetapi yang pasti ramai nelayan mendakwa pendapatan mereka mulai merosot," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu tinjauan Kosmo! di sekitar muara Sungai Dinding termasuk kawasan Terminal Jeti Penumpang di Lumut, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jeti Lumut Yacht Club Lumut di sini turut mendapati keseluruhan air laut di situ bertukar menjadi merah.

Bagaimanapun, warna kemerah-kemerahan itu beransur-ansur hilang terutama di muara Sungai Dinding berhadapan Pulau Pangkor.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Pengedar dadah lesap selepas langgar balai

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
ahmadsyakir.sazili@kosmo.com.my



KERETA Kancil yang rosak selepas merempuh pagar Balai Polis Tanah Rata di Cameron Highlands semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


CAMERON HIGHLANDS - Salah masa dan silap tempat.

Itulah nasib seorang pengedar dadah yang terpaksa meninggalkan keretanya yang remuk selepas merempuh tembok pagar konkrit Balai Polis Tanah Rata setinggi satu meter di sini semalam.

Dalam kesakitan, suspek berusia 24 tahun itu menggagahkan dirinya keluar dari kereta Perodua Kancil yang dipandunya sebelum berlari ke arah Stesen Bas Tanah Rata dan menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Pemangku Deputi Supritendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, semasa kejadian pukul 3.35 pagi, hanya seorang anggota polis wanita berada di balai polis berkenaan.

"Pemandu terbabit dipercayai terlalu panik selepas dia terlanggar pagar konkrit balai polis itu menyebabkan dia segera melarikan diri dan meninggalkan keretanya di situ," katanya ketika ditemui Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands.

Menurutnya, semasa kejadian lelaki itu dipercayai dalam perjalanan ke Brinchang di sini.

Katanya, polis yang membuat pemeriksaan ke atas kereta yang ditinggalkan menemui 20 biji pil ekstasi dan lima tiub kecil straw yang dipercayai mengandungi heroin.

"Lebih memudahkan siasatan, polis menemui dokumen pemandu kereta tersebut.

"Kita terus melancarkan operasi memburu suspek yang berasal dari Lawan Kuda, Kota Bharu, Gopeng," katanya.

Zahari memberitahu, daripada semakan terhadap dokumen yang ditemui, suspek itu didapati mempunyai rekod jenayah.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39(A)(1), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta yang sama.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

10 geng penyamun berkubur

KUALA LUMPUR - Polis bandar raya berjaya menumpaskan 10 kumpulan samun bersenjata api yang amat dikehendaki dengan penangkapan 44 anggotanya termasuk dua wanita sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, dalam tempoh itu juga polis menembak mati dua lelaki dan seorang wanita anggota kumpulan itu serta merampas 22 pistol automatik, 14 revolver, tiga pump gun, tiga butir bom dan 1,052 butir peluru pelbagai jenis.

Dalam ucapannya pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini semalam, beliau berkata, indeks jenayah di bandar raya juga dapat diturunkan 4.2 peratus dalam tempoh itu membabitkan 1,323 kes.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya Datuk Abdul Samah Mat.

Muhammad Sabtu berkata, pencapaian polis KL dalam menyelesaikan kes-kes dadah juga patut dipuji apabila ia berjaya menumpaskan 27 kumpulan pengedaran dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang dengan nilai rampasan berjumlah RM18.6 juta. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Bantah harga gula naik


Oleh HISHAM IDRIS
hisham.idris@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Bukan masanya untuk naik harga.

Itu pandangan Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Bahrim A. Razak mengenai kemungkinan harga gula dinaikkan selepas perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Katanya, walaupun ia sekadar kemungkinan, tindakan memaklumkan perkara tersebut terlalu awal kepada umum adalah tidak adil terutama kepada masyarakat kaum Cina.

Katanya, apabila kerajaan berbuat demikian sudah pasti akan berlaku masalah kekurangan gula ekoran tindakan sesetengah peniaga yang mahu mencari keuntungan dengan cara menyorokkan bekalan bahan tersebut.

"Ia tidak wajar dan situasi itu sekadar mencetuskan kemarahan pengguna terutama pengguna kaum Cina," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ujar Bahrim, kerajaan patut rasional berhubung cadangan itu kerana permintaan gula pada musim perayaan akan naik secara mendadak.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Lambang salib di sekolah timbulkan keresahan


SEKOLAH kebangsaan yang siap dibina di Pokok Sena, Alor Setar ini mempunyai seni bina menyerupai lambang salib pada bangunannya.
--------------------------------------------------------------------------------


ALOR SETAR - Seni bina menyerupai lambang salib yang terdapat di bangunan sebuah sekolah baru di Pokok Sena dekat sini menimbulkan keresahan masyarakat tempatan.

Mereka mendakwa bangunan sekolah kebangsaan itu dibina dengan mempunyai unsur-unsur lambang Kristian sedangkan sekolah itu mempunyai pelajar daripada kalangan kanak-kanak Islam.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Haris Che Mat berkata, beliau menerima aduan penduduk mengenai objek seakan-akan salib itu sejak beberapa bulan lalu.

"Saya minta pihak Kementerian Pelajaran segera mengubahsuainya," menurut beliau.

Pengarah Pelajaran Negeri, Shahidan Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, beliau akan memastikan masalah berkenaan diatasi sebelum sekolah itu dibuka pada Mac ini. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

USM bakal miliki pusat farmasi nuklear


Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my


Syed Azhar
--------------------------------------------------------------------------------


GEORGE TOWN - Negara bakal melangkah ke hadapan dalam bidang sains kesihatan dengan adanya pusat farmasi nuklear tidak lama lagi.

Ia akan menjadi kenyataan berikutan kesediaan konglomerat Jepun, Sumitomo Corporation menjalinkan kerjasama strategik dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menubuhkan pusat tersebut di kampusnya di sini.

Dekannya, Profesor Madya Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman memberitahu, kerjasama tersebut bakal dilaksanakan secara berperingkat-peringkat termasuk persediaan prasarana dan tenaga pakar.

Menurut beliau, teknologi farmasi nuklear begitu meluas digunakan khususnya dalam mengesan dan merawat penyakit kanser tetapi kosnya amat tinggi jika dilakukan di luar negara.

"Sebagai contoh, tahun lalu kita membelanjakan kira-kira RM33 juta untuk membeli peralatan untuk rawatan kanser dari luar negara dan kosnya semakin meningkat.

"Dengan adanya pusat ini nanti, kita berupaya menyediakan rawatan pada kos lebih rendah dan yang lebih penting ia mampu menjalankan penyelidikan sendiri tanpa bergantung kepada sumber luar,"
katanya semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Penjual sayur jadi 'hero' tahan peragut


Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
zainal.mohamed@kosmo.com.my


RADZI melihat motosikalnya yang rosak selepas dia melompat turun dari kenderaan itu untuk menahan peragut di Alor Setar semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


ALOR SETAR - Seorang penjual sayur menjadi hero apabila memberkas seorang lelaki yang meragut beg tangan seorang wanita di Jalan Sultan Badlishah dekat Bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di sini semalam.

Kejayaan Radzi Awang Dol, 43, turut dibantu tiga anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang kebetulan melalui tempat kejadian.


INILAH suspek kes ragut yang diberkas oleh Radzi.
--------------------------------------------------------------------------------


Radzi berkata, ketika kejadian pada pukul 11.15 tengah hari, dia dalam perjalanan ke pasar berdekatan untuk membeli barangan perniagaannya.

"Bila saya sampai di tempat kejadian saya lihat seorang lelaki yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 berhenti di tepi jalan secara tiba-tiba dan berlari ke arah seorang wanita yang sedang berjalan kaki.

"Suspek kemudian meragut beg tangan wanita itu,"
katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Terkejut dengan tindakan suspek dia menerkam ke arah peragut tersebut untuk menangkapnya.

Bercerita lanjut, Radzi memberitahu, pergelutan antaranya dengan peragut berkenaan disedari tiga anggota polis yang kebetulan melalui kawasan itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

'Geng Sabah Boy' aktif samun, cabul berkubur


KERATAN Kosmo! 10 Oktober lalu.
--------------------------------------------------------------------------------


GOMBAK - Sekumpulan tujuh lelaki bergelar 'Geng Sabah Boy' yang bukan sahaja menyamun malah sanggup mencabul mangsanya 'bertemu buku dengan ruas' apabila mereka ditahan di sini kelmarin.

Kesemua penagih dadah berusia antara 17 dan 27 tahun tersebut dikatakan agresif sehingga sanggup mencederakan mangsa jika kehendak mereka tidak dipatuhi.

Di kalangan polis, suspek-suspek itu dikenali sebagai penyamun 'sesungut sotong' kerana tangan mereka akan menjalar mencabul mangsa samun wanita muda.

Difahamkan, ketua kumpulan yang berasal dari Sabah dikenali sebagai 'Zul' telah mengasaskan pertubuhan samun itu dengan hanya mengambil suku sakatnya sahaja untuk mengelakkan tembelang mereka pecah.

Di samping itu, 'Zul' juga bertanggungjawab merekrut ahli baru di kalangan saudara-maranya yang telah lama tinggal di sekitar Gombak untuk melakukan samun dan ragut tepi jalan.

Bagaimanapun, polis juga sedang menyiasat kemungkinan kumpulan yang sama terlibat dalam penjualan rantai dan gelang emas palsu yang hanya menggunakan cangkuk bertulis 916 sahaja sebagai tulen.

Nama kumpulan 'Sabah Boy' diambil sempena ramai ahli kumpulannya yang berasal dari Sabah.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, operasi khas yang dirancang dengan teliti itu dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan samun di Selayang, 12 Januari lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Kumpulan 'Azhar Kastam' tumpas


Mohamad menunjukkan sebahagian barang yang dirampas daripada
kumpulan 'Azhar Kastam' yang ditumpaskan minggu lalu.
--------------------------------------------------------------------------------


KLANG - Polis memberkas 11 anggota 'Geng Azhar Kastam' yang diketuai sepasang suami isteri yang aktif melaku jenayah dengan menyamar sebagai pegawai kastam atau polis dalam operasi minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, salah seorang suspek lelaki berjaya ditangkap di Plaza Tol Batu 11, Kajang pukul 4 petang pada 7 Januari yang membawa kepada tangkapan 10 lagi ahli kumpulan berkenaan sehari kemudian di Cheras dan Ampang.

Menurut beliau, kesemua suspek terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita berumur lingkungan 27 hingga 48 tahun.

Beliau memberitahu, pada 3 Januari lalu, 10 suspek yang menyamar sebagai pegawai kastam dan polis 'menyerbu' sebuah bengkel kereta di Selat Selatan, Pandamaran, Pelabuhan Klang di sini.

Suspek-suspek semasa itu memakai jaket pasukan keselamatan kononnya mahu melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan yang terdapat di situ.

"Di bengkel itu, suspek membawa keluar dua buah kereta iaitu Subaru Impreza dan BMW dengan alasan kedua-dua buah kenderaan tersebut perlu menjalani pemeriksaan rekod oleh kastam.

"Namun, hasil perbincangan mangsa bersama kumpulan suspek di sebuah kedai kopi di Bukit Tinggi di sini, pemilik bengkel diminta membayar masing-masing sebanyak RM50,000 untuk dua kereta itu sekiranya mahu 'menyelesaikannya' di luar,"
katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

'Pulang jika tiada kerja'

Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN
saiful.sapran@kosmo.com.my



KERATAN Kosmo! semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini meminta warganya yang telah kehilangan pekerjaan di Malaysia akibat kelembapan ekonomi supaya segera pulang ke Indonesia bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini.

Bagaimanapun, Wakil Duta Besarnya, Tatang B. Razak berkata, pada masa sama mereka yang terlibat perlu mendapatkan hak sebagai pekerja daripada majikan masing-masing.

Beliau memahami kelembapan ekonomi ketika ini turut menjejaskan pelbagai sektor ekonomi di negara ini dan menasihatkan mereka yang telah diberhentikan kerja pulang ke Indonesia.

"Sekiranya masih tidak melanggar undang-undang negara ini dan ada peluang-peluang pekerjaan lain, mereka boleh cuba cari kerja tetapi sebaiknya mereka segera pulang,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Tatang berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Kosmo! semalam berhubung pekerja warga asing yang kini mula diberhentikan kerja ekoran kelembapan ekonomi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Harga gula dijangka naik


HARGA gula dijangka naik selepas perayaan Tahun Baru Cina. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------


BUKIT MERTAJAM - Harga gula dijangka naik selepas perayaan Tahun Baru Cina berikutan pembaharuan kontrak pengimportan gula yang menyaksikan negara pembekal menaikkan harga komoditi tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menaikkan harga gula berikutan harga barangan itu telah naik di pasaran antarabangsa.

"Sebanyak 80 hingga 90 peratus bekalan gula kita adalah dari luar negara.

"Kontrak pembekalan gula dari negara pengeluar telah tamat tahun lepas dan tahun ini kita ada kontrak baru dan harganya (gula) lebih tinggi daripada kontrak lama,"
katanya di sini semalam.

Menurut Shahrir, Malaysia mengimport gula secara kontrak yang diperbaharui setiap tiga tahun.

"Kita sedang mengkaji untuk mengekalkan harga lama atau kemungkinan menaikkannya sedikit. Perkara ini akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...