Friday, January 23, 2009

Singapura guna rizab biaya pakej rangsangan


SINGAPURA - Buat pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Singapura akan menggunakan rizab persekutuan untuk membiayai sebahagian pakej bantuan berjumlah S$20.5 bilion (RM49 bilion) bagi merangsang ekonomi republik tersebut.

Pakej itu adalah untuk menambah perbelanjaan kerajaan termasuk S$5.1 bilion (RM12 bilion) bagi tujuan latihan dan lain-lain langkah serta S$5.8 bilion (RM14 bilion) bagi merangsang sektor perbankan.

"Pakej rangsangan itu tidak akan membantu Singapura keluar dari kemelesetan tetapi ia dapat membantu mengurangkan kesan negatif terhadap ekonomi," kata Menteri Kewangan, Tharman Shanmugaratnam di Parlimen.

Tambahnya, tidak ada jaminan bahawa 2010 akan menjadi lebih baik berbanding tahun semasa.

Defisit perbelanjaan Singapura untuk 2008/2009 dijangka mencecah S$2.2 bilion (RM5 bilion) atau 0.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Singapura ialah negara pertama di Asia yang mengalami kemelesetan pada tahun lalu sehingga terpaksa menangguhkan projek pembangunan bernilai S$4.7 bilion (RM11 bilion).

Sementara itu dalam isu berkaitan, Tharman turut mengumumkan cukai korporat diturunkan sebanyak satu peratus kepada 17 peratus bagi mengurangkan beban syarikat. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Penduduk terbakar akibat bom fosforus


SEKUMPULAN kanak-kanak bermain dengan percikan api yang dipercayai sisa bom fosforus di Gaza pada Isnin lalu.

--------------------------------------------------------------------------------


GAZA - Seorang penduduk Palestin, Sabbah Abu Halima mengalami kebakaran kulit pada bahagian tangan dan kaki yang teruk. Kumpulan doktor di Hospital Shifa di Gaza yang merawat wanita itu percaya dia menjadi mangsa bom fosforus tentera Israel.

Pakar perubatan itu kemudian menunjukkan sejumlah sampel bahan hitam di dalam bekas plastik yang mengeluarkan bauk busuk.

"Ia akan mengeluarkan asap jika ia dibiarkan terdedah kepada udara," kata pakar bedah, Dr. Sobhi Skaik.

Kumpulan tersebut juga sempat merakam gambar kecederaan penduduk Palestin akibat bahan sama, malah, ada mangsa yang mati akibat bahan kimia itu terus membakar tisu otot.

"Bau luka akibat kebakaran fosforus seperti daging panggang yang terbakar. Kami merawat lebih 10 kes.

Kebanyakan sudah dipindahkan untuk dirawat di Mesir atau Arab Saudi. Kami tidak tahu lokasi sebenar mereka," kata Sobhi.

Dalam satu laporan akhbar Haaretz di Israel kelmarin, tentera Yahdui dipercayai melancarkan siasatan terhadap 20 peluru yang dibedil ke wilayah Gaza.

Haaretz melaporkan, tentera Israel membedil 200 peluru fosforus dan 180 disasarkan terhadap pejuang kumpulan Hamas.

Israel melancarkan serangan tiga minggu terhadap penduduk Gaza pada 27 Disember lalu atas alasan pertahanan diri setelah wilayah itu menjadi tapak pelancaran roket.

Lebih 1,300 penduduk mati termasuk kanak-kanak dalam operasi itu manakala beribu-ribu lagi cedera.

"Ia (bom fosforus) seperti bintang terang yang jatuh dari langit. Cahayanya sangat terang," kata Sabbah.

Dalam kejadian pada 4 Januari itu, Sabbah turut kehilangan suami dan seorang anak lelaki. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Obama angkat sumpah sekali lagi


BARACK OBAMA melafazkan sumpah dihadapan Ketua Hakim John Roberts di White House, Washington kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama terpaksa mengangkat sumpah kali kedua gara-gara beliau dan Ketua Hakim, John Roberts tersasul ketika majlis angkat sumpah Selasa lalu.

Bagaimanapun, Obama kembali menarik nafas lega selepas upacara angkat sumpah di White House kelmarin itu berjalan dengan lancar.

Walaupun kesilapan teknikal itu tidak membatalkan sumpah Obama di hadapan 1.8 juta orang di Washington Selasa lepas, beliau dinasihatkan supaya mengangkat sumpah semula bagi mengelakkan perkara tidak diingini pada masa depan.

Sebelum ini, isu serupa menyebabkan dua Presiden terdahulu, Calvin Coolidge dan Chester A. Arthur terpaksa mengangkat sumpah dua kali bagi mengelak kesahihan mereka sebagai Presiden AS dipertikai.

Sementara itu, seorang pegawai White House menyatakan bahawa Presiden kulit hitam itu akan menandatangani arahan untuk menutup penjara Teluk Guantanamo dalam tempoh setahun sekali gus mengotakan janjinya sebelum ini.

Kewujudan penjara di Cuba itu dikritik masyarakat antarabangsa termasuk Suruhanjaya Eropah kerana melanggar hak asasi manusia.

Penutupan itu merupakan antara tiga arahan Obama bagi meningkatkan integriti pentadbiran beliau.

Presiden AS itu dijangka mengubah prosedur perbicaraan dan soal siasat terhadap tahanan suspek pengganas termasuk Al-Qaeda dan Taliban bagi mengelakkan unsur penyeksaan.

Hari kedua beliau di White House menyaksikan Obama melantik seorang diplomat AS berpengalaman, George Mitchel sebagai Utusan Khas ke Asia Barat.

Pelantikan Mitchel, 75, adalah sejajar janji beliau untuk segera menangani cabaran dan permasalahan di Asia Barat dan beberapa rantau lain di seberang laut.

Semalam juga menyaksikan Obama menelefon beberapa pimpin dunia iaitu Presiden Mesir, Hosni Mubarak; Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert; Pemerintah Jordan, Raja Abdullah dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Pemuda 27 tahun tulis teks ucapan Obama



WASHINGTON - Individu yang menulis kebanyakan teks ucapan P
residen Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam majlis angkat sumpah beliau sebenarnya baru berumur 27
tahun.

Lelaki itu, Jon Favreau (gambar) baru menamatkan pengajian di universiti apabila dia diambil bekerja sebagai penulis ucapan untuk bekas calon Presiden AS daripada Parti Demokrat, John Kerry.

Obama menganggap Favreau boleh membaca fikirannya dan lelaki itu juga bertanggungjawab meletakkan slogan Yes We Can dalam kempen beliau.

Favreau yang menggemari permainan video Rock Band pernah dipaksa untuk meminta maaf selepas dirakam memegang bahagian payu dara gambar Hillary Clinton.

Obama memenangi hati ramai rakyat AS kerana menggunan mesej tersembunyi seperti perkataan 'kita', kata pakar ucapan, Sonia Saxton. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Dihukum mati cemar susu formula


SEORANG pekerja pasar raya di Wuhan, Hubei mengeluarkan susu keluaran Sanlu daripada rak jualan pada 17 September 2008.

--------------------------------------------------------------------------------


SHIJIAZHUANG - Sebuah mahkamah di China semalam menjatuhi hukuman mati terhadap dua lelaki dan hukuman penjara terhadap 19 tertuduh lain berikutan pembabitan mereka dalam skandal susu formula dicemari melamin.

Bekas pengerusi syarikat tenusu Sanlu Group, Tian Wenhua, 66, yang menjadi dalang utama skandal susu tercemar itu hanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Seramai 21 orang dihadapkan ke mahkamah kerana pembabitan mereka dalam skandal yang menyebabkan enam bayi meninggal dunia manakala hampir 300,000 jatuh sakit.

Melamin dicampur ke dalam susu untuk menipu ujian protein selepas ia ditambah air sekali gus meningkatkan keuntungan.

Seorang suspek, Zhang Yujun dijatuhi hukuman mati kerana didapati bersalah menghasilkan dan menjual sebanyak 600 tan serbuk protein yang dicemari melamin pada Oktober 2007 hingga Ogos 2008.

Sebuk protein itu kemudiannya dibeli oleh orang tengah yang mencampurkan bahan berkenaan dengan susu sebelum ia dijual kepada Sanlu.

Salah seorang lelaki yang yang menjadi orang tengah dalam urus niaga tersebut juga dijatuhi hukuman mati.

Seorang bapa bayi yang jatuh sakit, Liu Donglin berkata, hukuman yang dijatuhkan itu sebenarnya sandiwara kerajaan.

"Mereka semua memang patut dihukum tetapi saya fikir semua tertuduh adalah kambing hitam. Persatuan pengeluar susu dan individu yang bertanggung jawab menguji susu juga patut dihukum," katanya.

Keluarga mangsa dan peguam mereka menimbulkan persoalan mengapa tidak ada pegawai kerajaan yang diheret ke mahkamah berhubung isu itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Bomoh pukau mengganas


Oleh WARTAWAN Kosmo!
berita@kosmo.com.my




SABARIAH menunjukkan salinan laporan polis berhubung dakwaan dia ditipu seorang bomoh di Jitra semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



JITRA - Seorang lelaki dipercayai bomoh terus mengganas menjerat beberapa wanita terutamanya di kalangan ibu tunggal menerusi 'panggilan manja' sebelum meratah tubuh dan mengikis wang mangsa.

Lelaki licik yang berlagak seperti seorang alim dan mengaku ustaz ini mempunyai kemampuan luar biasa sehingga membolehkan mangsa 'jatuh hati' biarpun buat pertama kali bercakap dengan lelaki ini tanpa menatap wajahnya sebelum ini.

Taktik digunakan lelaki berumur 40-an itu dikatakan telah berjaya menjerat ramai ibu tunggal berduit sebelum memperdaya mereka dengan segala pujuk rayu yang 'mencairkan' hati mangsa.

Seorang mangsa yang dikenali sebagai Sabariah (bukan nama sebenar) yang berani tampil membongkar kegiatan kasanova itu mendakwa, dia seolah-olah seperti dipukau setelah menerima panggilan telefon lelaki itu.

"Mula-mula dia hubungi nombor telefon bimbit saya kata dia tersalah dail nombor, selepas itu dia hubungi lagi kata dia ustaz dan ingin mencari isteri untuk dirinya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

'Ejen' nodai 10 wanita ditahan


KUALA LUMPUR - Hanya bermodalkan janji kerja di agensi peragawati antabangsa kepada gadis cantik, seorang lelaki didakwa telah menipu dan menodai sekurang-kurangnya 10 orang mangsa.

Suspek berusia 33 tahun dan sering berpakaian kemas itu akan berkeliaran di pusat beli-belah terkemuka di ibu kota bagi mencari gadis berdahi licin sebagai mangsa.

Sebaik terpikat dengan sasaran, suspek yang berlagak seolah-olah seorang profesional akan menghampiri mangsa sebelum memuji mangsa cantik seterusnya menawar peluang kerjaya dalam bidang peragaan.

Lebih menarik kerjaya tersebut kononnya di Amerika Syarikat dan setiap mangsa dijanji dengan bayaran RM60,000 sebaik mereka bersetuju mengadakan sesi fotografi.

Bayaran tersebut belum termasuk bayaran lain.

Mangsa yang 'rabun mata' dengan tawaran tersebut, diminta hadir di mana-mana hotel terkemuka di kawasan Brickfields bagi menjalani uji bakat dan fotografi.

Sebaik mangsa tiba di bilik, suspek yang bermulut manis mula meminta mangsa beraksi bagi diambil gambarnya.

Selepas dapat mempengaruhi mangsa, suspek kemudian mula memaksa mangsa melakukan aksi ghairah termasuk berbogel dengan alasan bagi melayakkan mangsa menyertai agensi tersebut.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Jangan makan ikan Pangkor


Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my




KERATAN Kosmo! semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Penduduk di kawasan Pulau Pangkor dinasihatkan tidak memakan hidupan laut di kawasan berlakunya perubahan warna air laut jika pencemaran tersebut berpunca daripada fenomena Red Tide atau alga merah.

Menurut Pengarah Institut Oseanografi dan Maritim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Kamaruzaman Yunus, kehadiran alga merah yang terlalu banyak itu boleh memberi kesan terhadap habitat laut kerana akan menyebabkan oksigen terlarut menjadi rendah.

"Apabila ia semakin banyak, lama kelamaan alga-alga ini akan mati dan mendap di dasar laut. Kemudian bakteria akan mereputkan alga ini yang akan menghasilkan toksin.

"Kehadiran toksin ini akan menyebabkan ikan di laut mati. Kalau ikan yang masih hidup makan alga ini dan kemudian ditangkap oleh manusia untuk dimakan, ia boleh membahayakan manusia termasuk menyebabkan kematian,''
jelasnya.

Semalam, Kosmo! melaporkan mengenai perubahan air laut daripada kebiru-biruan kepada warna merah yang mengejutkan kira-kira 2,000 nelayan di sekitar Pulau Pangkor, Kampung Baharu dan Segari di Perak.

Keadaan itu menyebabkan pendapatan nelayan mulai merosot ekoran hasil tangkapan ikan yang terjejas.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Thursday, January 22, 2009

Pengundi wanita KT tolak BN...




Muda Mohd Noor Jan 22, 09 11:21am



Ketua Wanita Umno Terengganu, Wan Ramlah Wan Ahmad berkata, beliau merasa bimbang kerana ramai pengundi wanita di kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, mereka menyatakan perkara itu secara terbuka kepada perayu undi Wanita Umno sewaktu berkempen dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari lalu.


Menurutnya, lebih mengejutkan lagi kerana mereka adalah penyokong Umno dan mengundi parti itu dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini.

"Saya tidak tahu mengapa mereka berkata demikian, tetapi perayu undi ada memberitahu, mereka kecewa dengan apa yang berlaku dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

"Mereka mengadu tidak puas hati dengan pemilihan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Mereka kata, tiada calon BN lainkah, asyik-asyik anak Datuk Wan Salleh...

"Ini kerana dalam pilihanraya umum lalu, abangnya, Datuk Wan Hisham telah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Hisham tewas kepada calon PAS, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dalam pilihanraya umum lalu.

Wan Ahmad Farid kalah kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mendapat 30,252 undi manakala lawannya itu mendapat 32,883 undi.

Tidak dapat sambutan


Manakala calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mendapat 193 undi dan sekaligus hilang wang pertaruhan.

Wan Ramlah juga berkata, ramai pengundi wanita juga mengadu mereka tidak senang dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.


Bagaimanapun, beliau tidak mahu menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Ramlah mengakui kempen Wanita Umno tidak mendapat sambutan.

"Kami jangka 15 orang hadir tetapi sekadar dua atau tiga orang sahaja.

"Mereka beri alasan masing-masing sibuk dengan tugas harian.

"Saya tidak tahu salah siapa tetapi Wanita Umno bahagian Kuala Terengganu tidak bekerja sebagaimana sepatutnya,"
katanya.

Kempen jentera Wanita Umno untuk pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu diketuai oleh ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz.

http://www1.malaysiakini.com/news/96947

Umno Raub: Guru didakwa terbabit politik wang

Jan 22, 09 2:15pm

Seorang penolong kanan sekolah rendah di Raub, Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan memberi rasuah dalam bentuk wang semasa pemilihan Umno Bahagian Raub.

Pertuduhan ini merupakan kes pertama melibatkan "politik wang" sejak penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Junaidi Abdul Hamid, 46, didakwa memberi suapan berbentuk wang tunai kepada dua ahli Umno - Noranizah Abd Hamid dan Adnan Samad, masing-masing RM200 - sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid sebagai ketua Umno bahagian Raub dan Datuk Abdullah Bakar sebagai timbalan ketua Umno bahagian Raub.

Menurut kertas pertuduhan, dia melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Coffee House, Tingkat 1, Hotel Grand Season, Kuala Lumpur, pada jam 8 malam, 13 September 2008, lapor Bernama.

Junaidi menghadapi pertuduhan tersebut di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Josendra Abu Senin menawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan dan memohon agar pasport Junaidi ditahan oleh mahkamah.

Bagaimanapun peguambela Mohd Harris Abdullah yang mewakili Junaidi membantahnya dan memohon agar ikat jamin tersebut dikurangkan kerana ia terlalu tinggi.

Serah pasport

Beliau juga berkata anak guamnya yang merupakan seorang penjawat awam iaitu merupakan penolong kanan di sebuah sekolah rendah Raub tidak mungkin akan melarikan diri kerana dia pasti akan mempertahankan jawatan yang disandangnya.

Hakim Rosbiahanin Arifin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Sebagai syarat tambahan Junaidi diperintahkan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Rakan Junaidi membayar jaminan tersebut.

Di Ipoh, Naib Ketua Umno bahagian Beruas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan memberi rasuah wang tunai berjumlah RM300 kepada seorang anggota parti itu pada pemilihan Umno bahagian Oktober lepas.

Tertuduh Azman Noh, 42, yang juga merupakan seorang kontraktor didakwa secara rasuah memberi suapan RM300 kepada Davad @ Daud Parman pada 11 Oktober lepas
di sebuah rumah beralamat No.10 A, Kampung Sungai Ramai, Air Tawar dekat Ipoh kira-kira 12 tengah malam.

Azman yang juga bekas seorang pendidik didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan supaya Davad @ Daud melakukan satu perkara iaitu memilihnya bagi jawatan Naib Ketua Umno bahagian itu, Abdul Manaf Hashim bagi jawatan Ketua Umno dan Azhar Ahmad bagi jawatan Timbalan Ketua Umno pada pemilihan bahagian Beruas pada 12 Oktober lepas.

Ikat jami RM10,000

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM6,000 dengan seorang penjamin walaupun peguam Khairil Azwa yang mewakili tertuduh memohon ia dikurangkan kepada RM5,000.

Sebelum itu pendakwaan yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya How May Ling memohon ikat jamin sebanyak RM10,000.

Peguam berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa oleh kerana tertuduh memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan kepada pihak pendakwaan dan jaminan untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

"Penduduk tempatan juga tidak mempunyai bukti tertuduh akan boleh melarikan diri dan semenjak disiasat tidak ada bukti tertuduh cuba mengganggu saksi," katanya.

Peguam turut memberitahu mahkamah, tertuduh mula dipanggil untuk membantu siasatan pada 6 November lepas dan pada Selasa lepas tertuduh sekali lagi dipanggil untuk tujuan yang sama dan sejurus selepas memberi keterangan pada hari tersebut tertuduh ditahan.

Azhaniz Teh juga menetapkan 1, 2 dan 3 Jun depan sebagai tarikh perbicaraan.

Azman yang mempunyai lima orang anak berusia dua hingga 16 tahun dan seorang isteri yang berkhidmat sebagai pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan itu didakwa di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.


http://www1.malaysiakini.com/news/96961

Kontraktor dituduh beri rasuah pemilihan Umno

Jan 22, 09 3:58pm

Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini terhadap tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang wanita semasa pemilihan ketua Umno bahagian Alor Gajah pada 1 November lepas.

Johari Ibrahim, 46, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal. Alor Gajah, dituduh memberi suapan itu kepada Nadiah Roslan sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Abdul Kadir Daud sebagai ketua bahagian berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 12 tengah hari di perkarangan dewan Institut Latihan Perindustrian, Selandar, lapor Bernama.

Johari, yang juga Ketua Umno cawangan Kampung Panchor dan bekas pegawai seranta Perbadanan Ayer Melaka (PAM), dituduh mengikut Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16, Akta yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari atau tidak lebih 20 tahun serta didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau sehingga RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menetapkan empat hari bermula 18 Mei depan sebagai untuk perbicaraan dan membenarkan Johari dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili peguam bela Shamsul Iskandar Mohd Akin manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Wong Poi Yoke, dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


http://www1.malaysiakini.com/news/96976

Khir Toyo dakwa ada bukti terhadap MB S'gor



Jimadie Shah Othman Jan 22, 09 1:00pm


Ketua pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa menerima salinan surat mengenai arahan dari pejabat menteri besar Selangor berhubung pembelian 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

"Kita kesal dengan kenyataan akhbar yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengatakan bahawa beliau tidak tahu menahu bahawa lembu dihantar ke kawasan itu (Bandar Tun Razak), dan tidak ada arahan berhubung pembayaran RM110,400 itu.
"Sebenarnya kita ada bukti dokumen yang menyatakan arahan (telah) dibuat oleh Tan Sri Abdul Khalid,” katanya dalam satu sidang akhbar di Pejabat Umno Selangor di Shah Alam, pagi tadi.

Menteri Besar, Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Semalam, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

Dalam laporannya, Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa Abdul Khalid membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Abdul Khalid telah menafikan dakwaan tersebut dan berkata tidak menggunakan sebarang dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

‘Arahan bayaran’

Abdul Khalid juga dilaporkan berkata, beliau tidak menyedari wujudnya sebarang agensi kerajaan negeri yang dikenali sebagai Selangor Industrial Corporation (SIC).


Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Dr Mohd Khir berkata, surat tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri berhubung pengedaran lembu korban kepada surau, madrasah dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak.

Surat tersebut ditandatangani oleh ketua setiausaha kepada menteri besar dan di alamat kepada pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Surat itu bertarikh 27 November tahun lalu. Catatan bertulis tangan berkenaan arahan supaya bayaran itu dibuat pula bertarikh sehari selepas itu.

Catatan itu, juga diakhiri dengan tandatangan di penjuru kanan bawah surat berkenaan.

Dr Mohd Khir berkata, beliau juga mempunyai salinan invois dan resit pembayaran bagi pembelian lembu-lembu korban tersebut.

Menurut beliau, resit pembayaran pula bertarikh 16 Disember tahun lalu, katanya,

Minta MB kosong jawatan

Beliau turut menunjukkan surat tersebut kepada wartawan. Bagaimanapun tiada salinan diedarkan kepada media.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, beliau menerima dokumen tersebut melalui pos dua hari lalu.

Sehubungan itu, Dr Mohd Khir menyifatkan kenyataan Abdul Khalid sebagai sebuah "penipuan, pembohongan, dolak-dalik" serta bertentangan dengan janji Pakatan Rakyat bahawa mereka akan memastikan ketelusan dalam kerajaan di bawah pentadbirannya.

"Saya tak nampak ini ketelusan, ini ketipuan (penipuan)," katanya sambil menambah perkara yang sama berlaku berhubung kos pembelian kereta Toyoto Camry oleh kerajaan negeri bulan lalu.

Dr Mohd Khir, bagaimanapun berkata, Umno Selangor tidak perlu lagi tampil membuat laporan kerana laporan yang dibuat telah cukup, setelah Gerak tampil mengemukakan aduan yang sama kepada SPRM semalam.

Dr Mohd Khir berkata, beliau juga difahamkan suruhanjaya tersebut telah menggeledah pejabat menteri besar dan pejabat PKNS dua hari lalu.

Sehubungan itu, beliau mendesak Abdul Khalid mengosongkan kerusi menteri besar sehingga selesai siasatan.

Bercakap lanjut mengenai ketelusan dalam pentadbiran, beliau turut menempelak kerajaan negeri yang didakwanya masih tidak mengamalkan tender terbuka berhubung projek-projek pihak berkuasa tempatan.

Sebagai bukti, beliau berkata, tiada iklan dibuat dalam akhbar-akhbar arus perdana berhubung perkara itu.


http://www1.malaysiakini.com/news/96956

Razali juga akui Umno kurang mesra rakyat...


Muda Mohd Noor Jan 22, 09 2:54pm

Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Razali Ibrahim mengakui bahawa pemimpin Umno kini kurang mesra dengan rakyat sehingga menimbulkan tanggapan bahawa parti itu tidak mesra rakyat.

Menurutnya, ia berlaku kerana suasana perjuangan dan tuntutan hari ini telah berbeza daripada dahulu.

Oleh itu, katanya, pemimpin Umno perlu kerap mendampingi rakyat, bukan sahaja untuk bertemu muka tetapi menyampaikan maklumat kepada mereka.

“Mereka juga perlu merendah diri, tidak sombong dan ikhlas, dan keikhlasan itu perlu dicerminkan,” katanya.

Razali yang juga calon jawatan naib ketua Pemuda Umno dalam pemilihan Umno Mac depan, menyifatkan dakwaan bahawa Umno sudah hilang tarikan, sebagai propaganda pihak tertentu sahaja.

Katanya, Umno menyediakan pelbagai keperluan untuk orang muda tetapi mereka mungkin tidak menyedarinya.

“Tetapi kita perlu mencari jalan untuk memastikan mereka tetap bersama Umno,” katanya.

Daya tarikan

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pemimpin Umno kurang mesra dengan pengundi.

Manakala, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, parti itu telah hilang daya penarik terutamanya di kalangan orang muda.

Kedua-dua mereka berkata demikian ketika diminta mengulas kekalahan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lalu.

Sementara itu, exco Pemuda Umno, Datuk Idris Haron berkata, Umno hilang daya tarikan di kalangan rakyat kerana masih terikat dengan cara lama.

Ini bermakna, katanya, pemimpin Umno perlu berubah mengikut keperluan semasa.

“Umpamanya, untuk membuat sesuatu keputusan, ia perlu mengambil kira pandangan dari semua pihak.

“Kalau hendak memilih calon, mestilah mengambil kira kehendak pengundi di kawasan terbabit,” kata beliau yang juga timbalan menteri pengajian tinggi.

Mengenai pemimpin Umno yang dikatakan kurang mesra, Idris berkata, pemimpin akar umbi perlu lebih mesra dengan masyarakat di kawasannya.

Katanya, jika pemimpin mesra rakyat, mereka sekaligus melihat Umno sebagai parti yang mesra rakyat.

http://www1.malaysiakini.com/news/96971

MB S'gor akan beri kerjasama


Jan 21, 09 7:52pm

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan tentang pembelian 46 ekor lembu untuk program Hari Raya Haji diperingkat kawasan Parlimen Bandar Tun Razak bagi 46 surau dan masjid di kawasan tersebut.

Kenyataan pejabat menteri besar hari ini berkata, kerajaan negeri sentiasa berpegah teguh kepada konsep ketelusan dan bertanggungjawaban secara menyeluruh dalam menjalankan pentadbiran negeri dan anak syarikat.

Oleh itu, katanya, menteri besar peka kepada tuduhan yang dilempar oleh sesetengah pihak berhubung pembelian 46 ekor lembu untuk program Hari Raya Haji tersebut.

Pagi, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa, Abdul Khalid menggunakan wang negeri untuk menaja 46 ekor lembu untuk korban dan mengedarnya kepada penduduk Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Sehubungan itu, kenyataan itu berkata:"Menteri besar ingin menegaskan bahawa dana kerajaan negeri Selangor tidak digunakan untuk pembelian lembu korban untuk Bandar Tun Razak," kata kenyataan itu lagi.

"Sebaliknya, lembu korban telah didermakan oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)," kata kenyataan tersebut.

Menurutnya lagi, adalah difahamkan syarikat-syarikat berkenaan telah menaja peruntukan pembelian lembu korban bagi Bandar Tun Razak atas dasar tanggungjawab sosial korporat tanpa arahan dari mana-mana pihak di peringkat kerajaan negeri.

"Malah, menteri besar juga tidak tahu menahu syarikat mana yang terlibat. Perlu ditegaskan kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan membuat apa-apa keputusan yang boleh menyebabkan kerugian kepada rakyat Selangor.

"Dalam pada itu kerajaan negeri berharap pihak berkuasa akan menjalankan siasatan yang adil dan tidak pengaruhi oleh sesetengah pihak yang mempunyai agenda politik yang tersembunyi.

"Menteri Besar akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan," tambahnya.


http://www1.malaysiakini.com/news/96938

Laporan rasuah terhadap MB S'gor


Rahmah Ghazali Jan 21, 09 1:09pm

Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana didakwanya telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa, Abdul Khalid telah menggunakan wang negeri untuk menaja 46 ekor lembu untuk korban dan mengedarnya kepada penduduk Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Dalam aduannya, Mohd Nazree mendakwa Abdul Khalid telah membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak itu juga mendakwa, mereka menerima dokumen minggu lagi dari seorang individu yang bekerja dengan agensi kerajaan negeri terbabit - Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd.

Aduannya diterima oleh Pengerusi SPRM SElangor, Mohd Shamsuddin Yusof di Plaza Masalam, Shah Alam pada jam 10.45 pagi.

Sementara itu, Abdul Khalid menafikan dakwaan Gerak tersebut.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang akhbar, Abdul Khalid menjelaskan bahawa lembu tersebut sebenarnya disumbangkan oleh sebuah syarikat milik agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, beliau tidak menggunakan sebarang dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

Katanya, beliau tidak menyedari wujudnya sebarang agensi kerajaan negeri yang dikenali sebagai Selangor Industrial Corporation (SIC).


http://www1.malaysiakini.com/news/96885

S'gor tubuh j/kuasa tangani pemberhentian pekerja


Jan 22, 09 11:09am

Kerajaan Selangor bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak untuk menangani masalah pemberhentian pekerja akibat kesan kemelesetan ekonomi dunia.

Persetujuan untuk menubuhkan jawatankuasa tersebut diputuskan dalam mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri Selangor semalam.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan dianggotai semua ahli exco kerajaan negeri.

Ia juga akan turut dianggotai ahli lembaga Kesatuan Pengilang Malaysia (FMM), Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), pengarah sumber manusia dan pengarah kebajikan di Selangor.

Manakala Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) dan Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) akan bertindak sebagai sekretariatnya.

"Kerajaan negeri juga akan menjemput ahli-ahli tertentu dalam Majlis Perniagaan Selangor untuk menganggotai jawatankuasa ini," kata kenyataan pejabat menteri besar Selangor semalam.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan mengadakan perjumpaan setiap minggu mulai 30 Januari ini bagi membincangkan cara-cara mengatasi masalah pemberhentian pekerja di Selangor.

"Skop utama perbincangan termasuklah kajian terperinci situasi pemberhentian pekerja di Selangor, merangka langkah-langkah bantuan bagi setiap pekerja di Selangor serta mendapatkan penyelesaian, termasuk bantuan latihan, bantuan kewangan dan peluang-peluang perniagaan di Selangor.

"Kerajaan negeri Selangor berharap, dengan adanya jawatankuasa ini, akan dapat sedikit sebanyak membantu setiap pekerja di Selangor yang telah diberhentikan bagi mencari alternaif baru dalam meneruskan kehidupan," katanya.


http://www1.malaysiakini.com/news/96946

Pengecualian enam bulan kepada majikan bayar levi

Jan 22, 09 12:03pm

Para majikan dalam industri tekstil and elektrik akan dikecualikan dari membayar levi pembangunan sumber manusia bagi tempoh enam bulan ke atas sektor itu berkuat kuasa 1 Februari.

Langkah itu bertujuan mengurangkan bebanan kewangan masing-masing memandangkan krisis ekonomi global sekarang ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam dalam satu kenyataan hari ini.

"Dengan pelaksanaan langkah kerajaan itu, para majikan dijangka dapat menjimatkan antara RM30 juta dan RM40 juta," katanya, lapor Bernama.

Bagi tempoh enam bulan, katanya jumlah levi pembangunan sumber manusia yang akan diecualikan bagi indfustri tekstil ialah RM2.68 juta dan RM30.57 juta bagi industri elektronik dan elektrik.

Beliau berkata pengecualian itu membabitkan 1,234 majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad di bawah kementerian itu, yang terdiri

daripada 325 majikan di dalam industri tekstil dan 909 majikan di dalam industri elektronik dan elektrik.

"Ini merupakan langkah proaktif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu para majikan pada masa sukar ini," katanya.

Pengecualian itu diberikan berikutan kemerosotan berterusan permintaan yang memberi kesan buruk ke atas kedua-dua industri itu, katanya.

"Walau pun levi itu dikecualikan mulai Februari 2009 hingga Julai 2009, para majikan di kedua-dua industri itu digalakkan terus menghantar para pekerja masing-masing bagi mengikuti latihan dan menggunakan levi masing-masing di dalam akaun masing-masing," katanya.

Dr Subramaniam berkata kerajaan sebelum ini mengecualikan sepenuhnya atau sebahagian pembayaran levi dalam tiga keadaan ialah krisis kewangan Asia 1998 (levi dikecualikan antara enam bulan hingga 18 bulan); kelembapan ekonomi pada 2001 (levi dikecualikan bagi kesemua sektor); dan Perang Iraq dan wabak SARS pada 2003 (bagi agensi hotel dan pengembaraan bagi tempoh enam bulan).

Katanya kerajaan akan terus memantau pertumbuhan kedua-dua industri berasaskan Indeks Pengeluaran Perindustrian bulanan dan menyemak semula keadaan pada akhir tempoh enam bulan itu.

"Jika keadaan berterusan, pengecualian seterusnya akan dipertimbangkan," katanya.


http://www1.malaysiakini.com/news/96953

Zahidi: Rakyat muak dengan Umno...


Muda Mohd Noor Jan 21, 09 5:10pm

Rakyat, khususnya orang Melayu, kini muak dengan Umno kerana parti itu gagal menyelesaikan masalah dalamannya sehingga gagal memainkan peranan membantu orang Melayu, kata .
Timbalan Pengerusi Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abdin.

Katanya, keadaan itu mendorong orang Melayu mengalihkan sokongan kepada pembangkang, terutama PAS dan PKR.

"Orang ramai kini melihat Umno sedang menghadapi pelbagai masalah,bukan sahaja di peringkat bahagian, tetapi juga di peringkat badan perhubungan.

"Berbanding dengan parti pembangkang, mereka bertindak menyelesaikan masalah mereka dengan segera.

"Oleh kerana itu, mereka lebih percaya kepada pembangkang sebagaimana yang ditunjukkan dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu Sabtu lalu," katanya.

Zahidi berkata demikian ketika diminta mengulas kekalahan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini.

Tidak yakin Umno

Wan Ahmad Farid kalah kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mendapat 30,252 undi manakala lawannya itu mendapat 32,883 undi.

Manakala calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mendapat 193 undi dan sekaligus hilang wang pertaruhan.

Ketika mengulas kekalahan tersebut, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pemimpin Umno kurang mesra rakyat.

Manakala Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, Umno sudah kehilangan daya penarik khususnya kepada pengundi muda.

Mengulasnya, Zahidi yang juga ketua Umno bahagian Padang Besar, Perlis berkata, apa yang berlaku sekarang ialah rakyat telah kurang keyakinan kepada Umno untuk menyelesaikan masalah mereka.

Tarik sokongan Melayu

"Bukan kerana pemimpin tidak mesra. Tetapi masalah dalaman ini tidak pernah selesai... bayangkan masalah semasa pilihanraya umum lalu belum selesai, begitu juga dengan masalah yang berlaku dalam mesyuarat perwakilan bahagian November lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor, Syukur Idrus berkata, Umno perlu memikirkan bagaimana untuk menarik semula sokongan orang Melayu dalam pilihanraya umum akan datang.

Kini, katanya, orang Melayu tertanya-tanya adakah Umno telah melakukan yang terbaik untuk mereka.

"Jika kita tidak melakukan apa-apa untuk menarik sokongan Melayu, tidak mustahil kita akan kalah lebih teruk dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.

Syukur yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang, Selangor berkata, ahli Umno perlu mengukur diri adakah mereka benar-benar melakukan yang terbaik untuk parti.

Katanya, kalau mereka gagal menyakinkan orang Melayu, bagaimana mereka hendak menyokong Umno.


http://www1.malaysiakini.com/news/96930

Peguam Sirul pohon kenyataan beramaran

Jan 21, 09 7:22pm

Peguam yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini agar diberikan akses kepada kenyataan beramaran yang direkodkan DSP Musa Safri.

Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar semasa mengemukakan permohonan itu berkata kenyataan beramaran yang direkodkan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah itu penting bagi pasukan pembelaan untuk menyediakan pembelaan.

Beliau berkata Musa merupakan saksi penting untuk menyangkal afidavit Abdul Razak Abdullah Baginda dan keterangan penyangkalan itu hanya boleh dibuat oleh Musa tetapi pihak pendakwaan tidak memanggilnya untuk memberikan keterangan sebagai saksi, lapor Bernama.

"Pihak pendakwa akan berhujah yang kami boleh menemubual DSP Musa tetapi sekadar menemubual adalah tidak bernilai jika kami tidak tahu apa yang dia telah kata kepada polis. Dengan itu, pasukan pembelaan tidak mempunyai keterangan yang menyeluruh," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup membantah permohonan Kamarul Hisham.

Kenyataan beramaran merupakan dokumen dilindungi, katanya.

"Kami telah menawarkan saksi dan beliau bebas untuk ditemu bual. Pihak pembelaan berhujah yang mereka tidak mendapat keterangan menyeluruh kerana mereka tidak mempunyai dokumen itu tetapi mereka sebenarnya boleh bertanya kepada saksi sama ada dia ada membuat kenyataan yang serupa kepada polis.

Mahkamah putus esok

"Sehingga kini kami tidak tahu apakah pentingnya kenyataan itu kepada tertuduh.

"Kenyataan itu adalah berkaitan dengan tertuduh ketiga (Razak). Tertuduh kedua tidak mungkin disebut dalam afidavit itu selain tertuduh ketiga menyatakan dia tidak kenal tertuduh kedua," katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata mahkamah akan memutuskan esok sama ada akan memerintahkan pihak pendakwaan membekalkan salinan kenyataan beramaran itu kepada pihak pembelaan.

Kamarul Hisham sebelum itu itu berkata dokumen itu bagi membolehkan pihak pembelaan menyediakan kenyataan Sirul Azhar yang akan diberikan dari kandang saksi.

Mengenai permohonan Kamarul Hisham bagi rekod khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diperoleh pihak pendakwaan semasa penyiasatan tetapi tidak dikemukakan di mahkamah, Manoj berkata:

"Bagi pihak kami, kami telah membekalkannya. Apa yang kami ada ialah berkaitan log. Kami juga telah menyerahkan rekod SMS berkaitan Rohaniza, Sirul, Azilah, DSP Musa dan mangsa."

Selepas mendengar keterangan itu, Kamarul Hisham menggugurkan permohonannya.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Sirul Azhar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dituduh membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja antara 10 malam, 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokannya.

Pada 31 Oktober tahun lepas, mahkamah membebaskan dan melepaskan Abdul Razak, 48, daripada pertuduhan bersubahat dengan mereka di Kuala Lumpur antara jam 9.54 pagi 18 Oktober 2006 dan jam 9.45 malam hari berikutnya tanpa memanggilnya membela diri.


http://www1.malaysiakini.com/news/96936

Ahamad Kuris hadapi tuduhan rasuah


Jan 21, 09 1:00pm

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih di Selangor, Datuk Ahamad Kuris Mohd Nor mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM30,000.

Beliau juga dituduh meminta rasuah wang tunai RM170,000 dari seorang kontraktor, dua tahun yang lalu.

Ahamad Kuris dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang untuk tiga pertuduhan pertama dan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Bagi pertuduhan pertama, Ahamad Kuris, 52, didakwa secara rasuah cuba untuk memperoleh satu suapan wang tunai sebanyak RM170,000 dari Azlan Ahmad Marshid iaitu pemilik syarikat Ufuk Rata Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan tender bagi kerja pembinaan jalan keluar-masuk 30meter Taman Impian Ehsan, Balakong, Cheras.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Syarikat Ufuk Rata Sdn Bhd di No 10A, Tingkat 1, Jalan Mesra Niaga Batu 13, Jalan Cheras, Kajang, pada jam 11.53 pagi 26 Feb 2007.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah RM20,000 dari individu yang sama, dengan tujuan yang sama, di Pejabat Umno bahagian Ulu Langat, Tingkat 2, Bangunan Umno, Jalan Tuanku Hishamuddin, Kajang, pada jam 12.30 tengahari 11 Mei 2007.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa menerima rasuah RM5,000 dari individu yang sama dengan tujuan yang sama, pada 12.30 tengahari 17 Ogos 2007.

Untuk kesemua kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tuduhan alternatif

Bagi pertuduhan alternatif untuk tuduhan kedua, beliau didakwa dengan curang menyalahgunakan wang tunai RM20,000 milik Umno bahagian Hulu Langat, di Pejabat Umno Bahagian Ulu Langat Tingkat 2, Bangunan Umno Jalan Tuanku Hishamuddin, Kajang, pada jam 12.30 tengahari 11 Mei 2007.

Bagi pertuduhan alternatif bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa menyalahgunakan wang tunai RM5,000 milik Umno Bahagian Ulu Langat, di tempat yang sama, pada 12.30 tengahari, 17 Ogos 2007.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, beliau turut mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM5,000 daripada individu yang sama dalam membuat bayaran kad kreditnya dengan tujuan yang sama, di Malayan Banking Berhad, Menara Maybank, 100 Jalan Tun Perak, pada 27 Februari 2007.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang membawa hukuamn penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rosbiahanin Arifin membenarkan Ahamad Kuris diikat jamin dengan jumlah yang sama seperti ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Nuradidah Ahmad, iaitu RM35,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Datuk Abdul Razak Musa memohon mahkamah untuk membenarkan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dibicarakan bersama-sama dengan kes di Mahkamah Sesyen Ampang.

Bagaimanapun, peguambela Akbardin Abdul Kadir tidak membantah.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula bagi kesemua kes di Mahkamah Sesyen Ampang.

http://www1.malaysiakini.com/news/96883
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...