Thursday, January 22, 2009

Kontraktor dituduh beri rasuah pemilihan Umno

Jan 22, 09 3:58pm

Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini terhadap tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang wanita semasa pemilihan ketua Umno bahagian Alor Gajah pada 1 November lepas.

Johari Ibrahim, 46, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal. Alor Gajah, dituduh memberi suapan itu kepada Nadiah Roslan sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Abdul Kadir Daud sebagai ketua bahagian berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 12 tengah hari di perkarangan dewan Institut Latihan Perindustrian, Selandar, lapor Bernama.

Johari, yang juga Ketua Umno cawangan Kampung Panchor dan bekas pegawai seranta Perbadanan Ayer Melaka (PAM), dituduh mengikut Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16, Akta yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari atau tidak lebih 20 tahun serta didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau sehingga RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menetapkan empat hari bermula 18 Mei depan sebagai untuk perbicaraan dan membenarkan Johari dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili peguam bela Shamsul Iskandar Mohd Akin manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Wong Poi Yoke, dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


http://www1.malaysiakini.com/news/96976

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...