Sunday, July 12, 2009

Kalaulah Natrah tahu...

Kisah budak perempuan bernama Natrah yang dibela sebuah keluarga Melayu tetapi direbut bapanya, seorang Belanda, menggemparkan Tanah Melayu. Selepas 59 tahun, peristiwa murtad itu terus diperkatakan.




PEMERGIAN Bertha Hertogh, atau nama Islamnya, Natrah, 72, pada 9 Julai lalu, disifatkan bekas penulis dan penyelidik untuk majalah Dewan Masyarakat, Datin Fatini Yaacob, 50, sebagai satu pengakhiran kepada penderitaan wanita malang itu.

Fatini pernah menjejak Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu untuk merungkai kisah pencetus Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 itu.

Natrah, yang dilahirkan pada 24 Mac 1937, menjadi rebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad, dengan keluarga kandungnya yang berasal dari Belanda.

Sebelum itu, Natrah ditinggalkan ibunya, Adeline Hunter, di bawah jagaan Che Aminah ketika berumur lima tahun di Jawa setelah bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ditawan tentera Jepun. Sepanjang berada di bawah jagaan Che Aminah, Natrah dididik dengan agama Islam dan adat Melayu.

Setelah berpindah ke Singapura, Hertogh menuntut Natrah dikembalikan kepadanya.


TINGGAL KENANGAN. (Dari kiri): Peguam Ahmad Ibrahim, Natrah, Che Aminah, suaminya, Mansor Adabi dan bapa angkat Mansor, M.A Majid.


Pada mulanya Che Aminah memenangi hak penjagaan ke atas Natrah. Namun tindakannya menjodohkan Natrah dengan Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun, mengeruhkan keadaan kerana Natrah baru berumur 13 tahun.

Undang-undang Belanda menetapkan remaja di bawah 16 tahun tidak boleh dinikahkan dan pernikahan itu berlangsung di Singapura yang mengamalkan undang-undang British.

Akhirnya, pernikahan itu dibatalkan dan Natrah dibawa pulang ke Belanda. Ketika di Belanda, Natrah dimurtadkan, sekali gus mencetus kemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu. Akibatnya, sebanyak 18 nyawa diragut dan 200 lagi tercedera berikutan Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950.

Khamis lalu, Natrah dilaporkan meninggal dunia di Huijbergen, Belanda selepas lama menderita penyakit leukemia.

"Mengikut kajian dan pemerhatian saya sehingga hari dia meninggal dunia, Natrah tidak pernah mahu melupakan bekas suaminya, arwah Mansor Adabi, ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed, keluarga angkatnya yang kini berada di Kemaman, Terengganu, dan kehidupannya di Singapura," kata Fatini yang kini merupakan Karyawan Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


SETELAH gagal menjejak Natrah di Belanda, Fatini (kanan) pergi ke AS dan bertemu Natrah di sana pada tahun 1989.


Malah, ujar beliau, hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.

"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksa untuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklah melupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yang berkaitan dengan Islam.








NATRAH meninggal dunia di Belanda pada usia 72 tahun, Khamis lalu.


"Sedangkan semasa di bawah jagaan Che Aminah, hubungan Natrah dengan ibu angkatnya itu cukup mesra dan penuh kasih sayang.

"Perkara ini diakui seorang pegawai Inggeris yang ditugaskan untuk menjaga Natrah ketika diletakkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di Singapura, Tom Eames Hughes, yang kemudiannya menulis kisah itu dalam bukunya bertajuk Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh (1980)," kongsinya.

Natrah cuba bunuh suami

Menjelaskan kenyataan itu dengan merujuk rentetan kejadian cubaan Natrah membunuh suami kedua sehingga mengakibatkan perceraian, cubaan membunuh diri dan kekerapan ibu kepada 10 orang anak itu dimasukkan ke wad sakit jiwa, Fatini menambah, ia turut dilihat dengan jelas olehnya ketika menemu ramah Natrah di AS pada tahun 1989.

"Setiap kali menyebut nama Mansor Adabi, air matanya bergenang. Malah, bahasa tubuhnya juga berubah. Padahal waktu itu dia sudah berumur 52 tahun.

"Semasa temu ramah pula dia berbahasa Inggeris sepanjang masa. Tetapi ada juga dia tersasul menyebut 'cabai kerawit'. Jadi sebenarnya dia masih ingat bahasa Melayu," kenang Fatini yang turut mengingatkan bahawa teman lelaki terakhir Natrah ialah seorang warga Indonesia.

Menggambarkan perwatakan Natrah sebagai seorang yang lemah lembut, Fatini bagaimanapun mengakui sukar untuk sesiapa pun membaca kesengsaraan itu pada wajahnya.

"Dia bijak menyembunyikan perasaannya. Malah hubungannya dengan anak-anak amat baik," katanya.

Ketika berita Natrah meninggal dunia sampai kepadanya, Fatini masih dalam proses melengkapkan buku biografi wanita malang itu.

"Kematian Natrah menimbulkan rasa terkilan dalam diri saya kerana banyak lagi yang saya ingin lakukan untuknya.

"Selain melengkapkan biografi ini, saya berharap benar agar dapat membantu Natrah mengubah persepsinya terhadap banyak perkara.

"Kalaulah Natrah tahu arwah Mansor hanya berhenti berusaha mendapatkannya semula setelah menerima surat yang kononnya dikirimkan Natrah. Dalam surat itu, Natrah memberitahu Mansor tentang dia sudah memeluk agama Katolik dan meminta Mansor melupakannya...

"Kalaulah Natrah tahu ada seorang lelaki bernama JC Vermeulen yang selama ini berusaha untuk menghubungkannya semula dengan Mansor melalui surat-surat yang dihantar 'mereka'...

"Natrah juga berasa bertanggungjawab ke atas kematian yang berlaku dalam rusuhan itu sehingga menyangka ada orang mahu membunuhnya selama ini," ujar anak kelahiran Perlis ini.

Menyentuh tentang rusuhan yang berlaku, Fatini berpendapat ia berpunca daripada tindakan media tempatan Singapura yang bertindak melanggar sensitiviti agama Islam.

"Ia berpunca daripada provokasi media tempatan Singapura yang berkali-kali memaparkan gambar Natrah berlutut di depan patung Virgin Mary. Perkara itu menyentuh sensitiviti agama," luahnya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm


Thursday, July 9, 2009

Ubat batuk, selesema tidak sesuai budak bawah 2 tahun

Jul 9, 09 1:26pm
Kebanyakan ubat batuk dan selesema tidak sesuai digunakan bagi kanak-kanak berumur bawah dua tahun, demikian penemuan terbaru Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan.

Susulan itu, Bernama melaporkan, PBKD memutuskan untuk mengehadkan penggunaan produk untuk merawat batuk dan selesema bagi kanak-kanak, kata Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Eisah A Rahman.

Amaran keselamatan seperti "Tidak sesuai digunakan di kalangan kanak-kanak yang berumur di bawah dua tahun" dan "Digunakan dengan berhati-hati dan mengikut nasihat doktor/ahli farmasi bagi kanak-kanak yang berumur di antara 2 hingga 6 tahun" wajib dinyatakan dengan jelas pada label dan sisipan bungkusan produk berkaitan, katanya dalam satu kenyataan.

Produk-produk terlibat adalah sediaan cecair melalui mulut yang mengandungi antihistamin (seperti Brompheniramine, Chlorpheniramine, Clemastine, Dexbropheniramine, Diphenhydramine, Pheniramine, Promethazine dan Triprolidine), antitusif (seperti Dextromethorphan dan Diphenhydramine) dan dekongestan (seperti Ephedrine, Phenylephrine dan Pseudoephedrine) yang digunakan untuk rawatan batuk dan selesema.

Eisah dipetik berkata produk sedia ada di pasaran berkemungkinan tidak mempunyai kenyataan amaran pada label produk mereka.

Tambah pegawai kanan kementerian itu, apabila memberi ubat batuk dan selesema kepada kanak-kanak yang berumur lebih daripada dua tahun, ibu bapa dan pengguna perlu mengikut aturan pemakanan yang dijelaskan.

Pengambilan ubat batuk dan selesema boleh membahayakan jika diberi melebihi dos yang disarankan, memberi terlalu kerap atau mengambil lebih satu jenis ubat yang mengandungi bahan aktif sama.

"Kebanyakan kandungan dalam persediaan ubat batuk dan selesema mengandungi campuran beberapa bahan ubat dan pemberian lebih daripada satu jenis ubat boleh menyebabkan dos yang berlebihan sekiranya tidak berhati-bati," Eisah dipetik berkata semalam.

Tambahnya lagi, demam biasa tidak memerlukan rawatan perubatan yang khusus, kerana kebiasaannya batuk dan selesema yang dialami kanak-kanak boleh sembuh dengan sendirinya.

"Selesema daripada jangkitan virus boleh ditangani dengan rehat, pengambilan air yang mencukupi dan mementingkan keselesaan pesakit," katanya seperti dilaporkan.

Bagaimanapun, kata Eisah, jika simptom berlarutan dan semakin teruk atau tidak menunjukkan tanda-tanda pulih atau disertai dengan demam, mukus pekat dan kahak, pengguna perlu mendapatkan nasihat doktor.

http://www1.malaysiakini.com/news/108137

Buang bayi tutup aib

Oleh Fauzi Rahim Mustafa
fauzee@hmetro.com.my


SUNGAI PETANI: Tidak berperikemanusiaan apabila satu keluarga sanggup berpakat membuang mayat bayi yang baru dilahirkan anak gadis mereka ke dalam tong sampah semata-mata kerana mahu menutup aib akibat keterlanjuran perempuan itu.

Bayi itu dipercayai meninggal dunia sejurus dilahirkan sebelum ibu gadis itu membungkus mayatnya dalam karung sampah plastik dan membuangnya ke dalam tong sampah kira-kira 10 meter dari rumah keluarga itu di Sungai Lalang.

Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar apabila wanita berusia awal 20-an itu yang dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, selepas mengalami pendarahan akibat melahirkan anak, memaklumkan mengenai bayinya kepada petugas hospital yang menghubungi polis.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku antara jam 5 hingga 6 pagi semalam sebelum keluarga itu merujuk anak perempuan mereka ke HSAH akibat pendarahan dalaman selepas melahirkan anak.

“Kakitangan HSAH yang merawat wanita itu curiga kerana dia tidak membawa bersama bayinya. Gadis itu memaklumkan bayi yang dilahirkannya sudah mati dan dibuang di dalam tong sampah di rumahnya.

“Sebaik dimaklumkan, kakitangan HSAH ke rumah gadis itu dan menemui satu bungkusan karung plastik mengandungi mayat bayi.

“Kakitangan HSAH menghubungi polis untuk mengambil alih kes itu.

“Polis yang tiba dan menjalankan siasatan awal di tempat kejadian menghantar mayat bayi itu ke HSAH kira-kira jam 8.30 pagi untuk bedah siasat,”
katanya.

Sumber itu berkata, bayi malang itu mungkin dilahirkan hasil hubungan luar nikah perempuan berkenaan dan tindakan yang dilakukan keluarganya dipercayai akibat tertekan dan malu sehingga tidak dapat berfikiran waras.

“Dipercayai tindakan keluarga itu bertujuan menutup rahsia dengan harapan ada pekerja pengangkat sampah mengangkut karung plastik berisi mayat bayi berkenaan sebelum diketahui orang lain.

“Namun, hajat mereka tidak kesampaian apabila anak perempuan mereka sendiri membocorkan rahsia selepas tidak dapat berselindung apabila diperiksa pakar perubatan dan maklumat itu diberikan sebelum pekerja memulakan operasi mengangkut sampah di kawasan rumah mereka,”
katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Taman Desa Aman, Azizan Darus, yang menjadi antara orang terawal tiba di tempat penemuan mayat bayi itu berkata, jiran keluarga berkenaan memaklumkan kepadanya pada waktu kejadian mereka terdengar bunyi anjing liar menyalak.

“Namun, salakan itu tidak dihiraukan kerana sememangnya kawasan perumahan ini banyak anjing liar berkeliaran.

“Perkara itu menjadi gempar apabila kira-kira jam 7 pagi tersebar berita di kalangan penduduk mengenai penemuan mayat bayi dalam tong sampah iaitu kira-kira 10 meter dari rumah keluarga gadis berkenaan,”
katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau turut menghubungi hospital dan polis bagi memaklumkan perkara itu tetapi diberitahu kedua-dua pihak berkaitan sudah mengetahuinya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan polis masih melakukan siasatan lanjut.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara maksimum selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090709071838/Article/index_html

Dua kali salah ubat

JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang menghidap sakit mata berdepan nasib malang selepas sebuah klinik swasta yang dikunjunginya salah memberi ubat hingga menyebabkan matanya terus membengkak.

Bimbang perkembangan yang berlaku pada wanita itu, keluarga kerani sebuah syarikat swasta di Kluang itu membawanya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kluang.

Namun, episod malang yang menimpa Raisatunnajah Abdullah, 28, belum berakhir kerana ubat yang diberikan kepadanya ketika dirawat di bahagian kecemasan hospital itu menyebabkan mulut dan badannya pula melecur.

Menurut kakak mangsa, Noraini, 31, adiknya mengadu sakit mata Selasa minggu lalu dan mendapatkan rawatan di klinik swasta di Kluang yang juga klinik panel majikannya.

“Raisatunnajah diberi ubat titis untuk mengurangkan sakit mata. Namun, keesokannya, matanya membengkak dan kami menghantarnya semula ke klinik sama.

“Doktor memberikannya sejenis ubat untuk mengurangkan bengkak dan menasihati kami merujuk Raisatunnajah ke hospital jika keadaanya tidak berubah,” katanya.

“Sebaik tiba di Hospital Kluang, pembantu perubatan memberinya dua suntikan serta beberapa jenis ubat,” katanya.

Malang menimpa ibu kepada dua anak itu apabila suhu badannya naik mendadak, mata dan bibir membengkak serta timbul bintik mengandungi air di seluruh tubuh.

“Kerana tidak tahan dengan rasa panas dan bisa yang mula menggigit wajah serta tubuhnya, Raisatunnajah meminta bantuan adik bongsu kami menghantarnya ke hospital sama pada jam 2 petang, Jumaat lalu.

“Dia ditahan untuk rawatan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dengan ambulans kira-kira jam 9 malam hari sama,”
katanya.

Raisatunnajah bukan saja tidak mampu membuka mata atau mulut, tetapi tidak mampu menelan makanan termasuk bubur.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Khairi Yakub, berkata pihaknya akan mengeluarkan arahan kepada pengarah HSA untuk membuat siasatan lanjut berhubung kes itu.

“Kes ini perlu disiasat bagi mengetahui punca sebenar kejadian kerana ia berkaitan masalah kecuaian pihak bertanggungjawab. Keluarga pesakit mempunyai hak untuk membuat aduan secara terus kepada pihak kementerian bagi membantu menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Lara isteri kedua

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my

Keguguran lepas diterajang suami


KLANG: “Saya ingatkan dia boleh membimbing hidup saya, rupa-rupanya dia lebih jahil daripada orang jahil!” demikian keluhan seorang wanita yang menjadi mangsa dera bekas suami yang pernah berkongsi hidup selama setahun pada 2006.

Ibu tunggal berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Ros, 50, memberitahu dia mula didera sejurus mendapat tahu bekas suaminya bersekedudukan dengan isteri orang di kampungnya di Langkawi, Kedah.

“Setiap kali bertanyakan penjelasan, dia seolah-olah dirasuk syaitan. Saya akan ditelanjang kemudian ditendang dan ditumbuk sehingga lebam dan berdarah.

“Apa yang lebih menyedihkan, saya keguguran ketika mengandung dua bulan akibat diterajang di perut.

“Kejadian ngeri ini berlaku berulang-ulang, namun saya takut melaporkan kepada pihak berkuasa kerana bimbang dia akan bertindak lebih ganas,” katanya yang mengetahui bekas suaminya yang dikenali sebagai Haji Shuib, 57, rupa-rupanya lelaki gila seks.

Kak Ros berkata, dia bersyukur diceraikan suaminya dua tahun lalu selepas berkahwin di Songkla, Thailand dan bebas daripada cengkaman lelaki kejam itu.

Menurutnya, mereka hanya tinggal bersama selama sebulan sahaja selepas berkahwin kerana suaminya tidak tinggal bersama dipercayai tinggal bersama isteri tua,

“Walaupun sudah bercerai bekas suami masih mengganggu kerana ingin menuntut hartanya yang diperolehi daripada suami pertama.

“Penderitaan saya tidak berakhir selepas berpisah, malah berlarutan apabila bekas suami mula menuntut beberapa harta termasuk rumah, kereta dan tanah milik saya yang dibeli ketika bersama bekas suami pertama dulu.

“Dia (bekas suami) kemudian datang menyerang di restoran saya dan membelasah di depan pelanggan. Keadaan ketika itu tidak ubah seperti adegan tayangan tinju, namun tiada sesiapa berani menolong saya,” katanya.

Kejadian itu berlaku selepas setahun bercerai ketika dia menjalankan perniagaan kedai makan di Langkawi dan dia dipaksa menandatangani surat pelepasan semua harta terbabit kecuali sebidang tanah dusun.

Kak Ros mendakwa, susulan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Kuah, Langkawi, namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap bekas suaminya.

“Ketika menjadi isterinya, saya tidak dibenarkan keluar rumah walaupun hanya untuk bercakap dengan jiran. Saya menuruti saja kata-katanya kerana khuatir dituduh derhaka.

“Namun, apabila isteri pertama menuduh saya menyembunyikan suaminya itu, saya mula menyiasat gerak-geri suami bagi mendapatkan kepastian hingga akhirnya menyaksikan sendiri suami memasuki bilik hotel bersama perempuan lain,”
katanya. yang menyangka suaminya pulang ke rumah isteri pertama.

“Dia seorang kontraktor dan berduit, tidak mustahil ramai yang terpedaya dan menjadi mangsanya untuk melepaskan nafsu seks yang melampau itu,” katanya yang tertipu dengan perwatakan bekas suaminya..

“Kerana sering diugut, saya meninggalkan empat anak berusia 13 hingga 29 tahun bersama ibu yang sudah tua di kampung dan menyewa sebuah bilik kecil di sini.

“Saya rindukan anak bongsu yang masih belajar, namun takut pulang ke Langkawi kerana dia mengugut akan menghantar pembunuh upahan selagi tanah itu tidak diberikan kepadanya,”
katanya yang kini menetap di sebuah pekan kecil di Selangor.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090709063757/Article

Siapa kata tiada Minyak di Kelantan?

WEDNESDAY, JULY 08, 2009

Siapa kata tiada Minyak di Kelantan?

Malaysia-Thailand Joint Development Area (JDA)

Malaysia-Thailand Joint Development Area merupakan salah satu kawasan yang sangat aktif dalam carigali dan pengeluaran Gas Asli, terletak dibahagian bawah teluk Thailand (Siam).

Kawasan telah dibahagikan kepada 3 block:

- Block A-18

- Block B-17

- Block C-19

Diuruskan secara bersama oleh Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA), dengan setiap Negara menguasai 50% dari sumber hydrocarbon yang ditemui di JDA , sumber Gas Asli dikawasan tersebut dianggarkan 9.5 Tcf (Trillion cubic feet).

Spekulasi dari para penganalisa mengatakan kemungkinan besar simpanan Gas Asli dikawasan tersebut mungkin mencecah hingga 24 Tcf.

Block A-18 dikendalikan oleh The Carigali-Triton Operating Company (CTOC) iaitu sebuah syarikat kerjasama antara Petronas Carigali dan Hess.

Manakala bagi Block B-17 dan C-18 dikendalikan oleh Carigali-PTTEP Operating Company (CPOC), satu syarikat kejasama antara Pengeluar Minyak Nasional dari kedua-dua Negara yang terlibat dalam kerja-kerja pencarian dan pengeluaran dikawasan tersebut.

Dalam bulan Mac 2005 Carigali-Triton Operating Company (CTOC), usahasama antara Petronas Carigali dan Hess telah memulakan pengeluaran dari JDA di Block A-18 yang dianngarkan mempunyai simpanan sebanyak 2.8 Tcf, jumlah pengeluaran bagi sehari adalah disekitar 390 MMcf (Million cubic feet) dan pengeluaran dijangka meningkat sehingga 590 MMcf sehari pada April 2007.

Terjemahan dari
Energy Information Administration

APA YANG KERAJAAN SEMBUNYIKAN DARI RAKYAT KELANTAN

Petronas mengesahkan bahawa operasi GAS ASLI di BLOK A 18 sudah bermula menerusi Syarikat Carigali HESS.

- Petronas memegang 50% saham di dalam syarikat tersebut menerusi Petronas Carigali Sdn Bhd dan 50% lagi dipegang oleh Aremada Hess Inc.

- Sekarang ini, operasinya mengeluarkan 6,000 tong GAS ASLI sehari.

- Jarak Blok A18 adalah lebih dekat ke Kota Bharu daripada di hantar ke Kerteh dan Songkla.

- Kerajaan BN bagaimanapun memilih pendaratan GAS ASLI itu dibuat di Songkla walaupun kosnya lebih tinggi akibat jarak yang jauh itu.

Menerusi penerokaan GAS ASLI di Blok A 18, setiap hari, Petronas sepatutnya membayar rakyat Kelantan royalti yang bernilai RM512,000.00 (RM512 ribu) sehari dan ini bererti Kerajaan Kelantan seharusnya mendapat pendapatan tambahan dari royalti GAS ASLI yang bernilai RM186,880,000 (RM186 juta) setahun.

PERANCANGAN OPERASI TELAGA-TELAGA GAS ASLI LAIN DI PERAIRAN KELANTAN

- Blok A 18 Fasa 2 pada tahun 2010

- Blok B 17 dan C 19 – Operasi bermula suku ke tiga 2009.

- Blok PM301 dan PM302 – Operasi bermula 2011 dan 2012

- Blok PM3 – Operasi bermula suku ke tiga 2008

BERAPA BANYAK ROYALTI GAS ASLI YANG MENJADI HAK RAKYAT KELANTAN

Apabila semua telaga-telaga GAS ASLI ini beroperasi Royalti GAS ASLI yang akan diterima rakyat Kelantan ialah bernilai RM1,000,000, 000 (RM1 Billion).Sebab itulah BN mahu perampas Kelantan sebelum telaga-telaga GAS ASLI ini mula beroperasi sepenuhnya.

ROYALTI GAS ASLI ADALAH HAK RAKYAT KELANTAN

- PAS komited dan akan memperjuangkan habis-habisan bersama rakyat Kelantan untuk mendapatkan royalti GAS ASLI ini.

- Jika BN merampas Kelantan, royalti GAS ASLI tidak akan menjadi milik rakyat Kelantan dan rakyat Kelantan akan menerima nasib yang sama seperti Terengganu.

- Terengganu, walaupun menikmati royalti minyak dan GAS ASLI sebanyak RM1.2 billion setahun di dalam bentuk wang ehsan.

- Wang Ehsan tidak diberi kepada kerajaan Terengganu tetapi disalurkan kepada orang tertentu seperti Patrick Lim untuk digunakan untuk bagi membangunkan projek-projek yang tidak mendatangkan menafaat kepada rakyat Terengganu sendiri.

- Walaupun menerima RM1.2 billion setahun, rakyat Terengganu lebih miskin dari rakyat Kelantan.

- Hutang tertunggak Terengganu, lebih RM300 juta sedangkan hutang tertunggak Kelantan semenjak pemerintahan PAS hanya tinggal kurang RM12 juta.

Petikan dari Blog
KELUARGA AMBUYAT EL-BINANGKIT.

Ini adalah sebahagian gambar-gambar dari
blog seorang blogger yang pernah melawat sebuah pelantar minyak yang terletak diantara sempadan Malaysia dan Thailand iaitu diperairan Kelantan atas urusan kerja.
Pelantar Minyak Cakerawala - gambar dari udara.
Pelantar Minyak Cakerawala - gambar dari laut.

Jadi.. Siapa kata tiada minyak di Kelantan???

Terima kasih buat semua para sahabat di TranungKite.Net atas info..

http://perisik-rakyat.com/2009/07/siapa-kata-tiada-minyak-di-kelantan.html

Isu Royalti Petroleum dan Gas Asli Kelantan


DSC_0338

Foto Ehsan LanJan

Oleh Syed Azidi AlBukhary

Pada 16 Mac 2009, sebuah seminar berhubung KDNK mengikut Negeri telah diadakan di Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Menerusi bahan-bahan yang dibentangkan satu penemuan menarik telah mengesahkan segala yang sebelum ini sering cuba disembunyikan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Di dalam seminar tersebut, Economic Planning Unit (EPU), Jabatan Perdana Menteri danJabatan Statistik Negara memaklumkan angka baru sektor perlombongan di Negeri Kelantan. Ianya sangat signifikan iaitu RM2,615 juta bagi tahun 2006 dan RM2,721juta bagi tahun 2005. Bagi memudahkan kita, elok sahaja angka itu dibaca sebagai RM2.6 Billion dan RM2.7 Billion. Pada kebiasaannya sumbangan sektor perlombongan kepada KDNK Negeri Kelantan hanyalah 1.5% sahaja iaitu didalam lingkungan RM70 ke RM100 juta sahaja.

Wakil Jabatan Statistik Negara memaklumkan bahawa kesahihan data tersebut adalah berpunca daripada PETRONAS. Didalam erti kata lain, apa yang difahami dari seminar sehari tersebut ialah Petroleum dan Gas Asli telah mula menyumbangkan kepada KDNK Negeri Kelantan dari tahun 2005 lagi.

Pada 9 Mei 1975, Kerajaan Negeri Kelantan telah menandatangani Perjanjian di bawah akta 144 Petroleum Development Act 1974. Perjanjian tersebut yang kebelakangan ini cuba pula dinafikan oleh beberapa pemimpin BN termasuk tokoh BN Kelantan bertajuk, “Grants of Rights, Powers, Liberties and Privileges in respect of Petroleum”.

Section 4 di dalam perjanjian tersebut di baca seperti berikut,

“Section 4. Cash payment by the Corporation.

In return for the ownership and the rights, powers, liberties and privileges vested in it by virtue of this Act, the Corporation shall make to the Government of the Federation and the Government of any relevant State such cash payment as may be agreed between the parties concerned.”

Oleh yang demikian, sekiranya royalti Petroleum dan Gas Asli dibayar kepada Kelantan berdasarkan data EPU Jabatan Perdana Menteri mengikut akta dan perjanjian yang ditandatangi maka Kelantan berhak mendapat royalti 5% daripada hasil pengeluaran.

Oleh yang demikian, royalti yang harus dibayar secara tunai oleh kepada negeri Kelantan pada tahun 2005 ialah sejumlah RM131 juta. Bagi tahun 2006 pula ialah RM136 juta. Data Rasmi bagi tahun-tahun seterusnya belum dikeluarkan. Bagaimanapun, berdasarkan maklumat daripada kenyataan Media PETRONAS, SHELL, CS MUTIARA dan AREMADA HESS menyakinkan bahawa aktiviti carigali dan penggerudian Gas Asli di beberapa blok berhampiran Perairan Kelantan sedang bertambah aktif, bererti jumlah hasil semakin meningkat setiap tahun.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia

statistik petroleum JPM

Pada 2004, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Kelantan diletakkan bersama Sabah dan Terengganu sebagai penyumbang sebanyak 62.5% hasil galian Petroleum di Malaysia.

Ketiga-tiga negeri ini menghasilkan keluaran kasar sebanyak RM46,810,935 ribu (atau RM46 Billion). Sila rujuk buku mukasurat 187, Jadual 5.3 buku jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2004.

Kekeliruan Dalam Isu Petroleum dan GAS Kelantan

Kekeliruan tidak dinafikan tetapi bukan dari soal wujudnya aktiviti perlombongan Petroleum dan Gas tetapi dalam soal hak Negeri Kelantan. Tahun lalu, Menteri Senator Amirsham memberitahu Dewan Rakyat bahawa tiada sumber Petroleum dan Gas di Kelantan.

Kenyataan Mustapha

Kenyataan Media Mustapha Mohamed

Pada 28 Jun 2009, Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Mustapha Mohamed menafikan bahawa hasil bumi itu adalah hak Kelantan kerana katanya ia adalah di kawasan pertindihan antara Malaysia dan Thailand serta Malaysia dan Vietnam.

Mustapha Tidur Ketika Abdullah Badawi Merasmikan ECER 2007

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang BN, Alwi Che Mat dan Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek lebih positif dan lebih mementingkan hak Kelantan dari bermain politik lantaran bersedia untuk bersama-sama rakyat Kelantan mendapatkan hak tersebut.

Peguam dan ahli politik, Zaid Ibrahim turut sama menyertai usaha mulia ini. Adalah diharapkan, YBM Tengku Razaleigh Hamzah juga akan turut serta.

Memahami Kekeliruan

Perairan Negeri ditakrifkan hanya 3 batu nautikal. Bagaimanapun apabila Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, kedua-dua negeri tersebut dijanjikan hak bahawa segala hasil petroleum mereka akan terus menjadi milik mereka walaupun telaga minyak mereka jauh ke tengah laut dan ditakrifkan sebagai jatuh kedalam Perairan Malaysia.

Petroleum Act 1

Akta 144

Bagaimanapun dalam usaha untuk mempertahankan kedaulatan hak Malaysia dari terus digerudi dan di sifon oleh syarikat-syarikat petroleum asing dengan pulangan yang sedikit kepada Malaysia, PETRONAS ditubuhkan.

Beberapa buah negeri setelah berdepan dengan pelbagai tekanan akhirnya tunduk dan menandatangi perjanjian dengan PETRONAS dan Kerajaan Malaysia menyerahkan hak mereka dengan PETRONAS dijanjikan akan membayar sebanyak 5% secara tunai dari hasil Petroleum dan Gas Asli terus kepada Negeri-Negeri tersebut.

Petroluem Act section 4

Seksyen 4 Akta 144

Persoalan 3 batu nautikal tidak lagi menjadi isu. Negeri-negeri menyerahkan hak mereka terutama seperti Sabah dan Sarawak. Bagi Kelantan dan terengganu pula, sebelum tubuhnya Persekutuan Tanah Melayu, kedua-dua negeri ini adalah Negeri-Negeri Tidak Bersekutu. Penyertaan ke dalam Persekutuan menyebabkan banyak hak Raja-Raja mereka terlucut. Oleh yang demikian, di dalam banyak hal antara Negeri dan Persekutuan, semangat yang memeterai perjanjian Persekutuan sering diutamakan.

Petroleum Act Agreement

Contoh Draf Perjanjian Yang Ditandatangi Oleh Negeri-Negeri

Atas semangat tersebut, Negeri Terengganu mendapat imbuhan royalti minyak walaupun pelantar minyaknya jauh lebih 161 Kilometer ke tengah Laut China Selatan.

Hak Kelantan

Telaga Minyak Semenjanjung

PM301 dan PM302 dalam Perairan Kelantan, Bersebelahan Dengan JDA (Lihat Juga Blok Minyak Terengganu Yang Lebih Jauh)

Perairan Kelantan tidak dinafikan kaya dengan Gas Asli. Blok PM301 iaitu bermula dari Tumpat hingga ke tengah laut dan blok PM302 yang bersempadan dengan blok PM301 adalah dua blok yang telah diterokai melalui usahasama Petronas Carigali dan Shell. Bukti hasilnya akan di dedahkan di ruangan selepas ini.

Kawasan pertindihan atau di Kenali sebagai Joint Development Area (JDA) Malaysia – Thailand pula adalah kawasan teraktif di Teluk Siam. Aktiviti mengeluarkan gas asli di sini telah mula membuahkan hasil bermula 2 Januari 2005.

Ini adalah salah satu kawasan yang disebut oleh Mustapha Mohamed, seorang rakyat Kelantan sebagai bukan hak Kelantan.

Mustapha Mohamed seorang dayus. Mustapha Mohamed juga buta geografi. Kawasan JDA di mana operasi projek Cakrawala telah bermula sejak 2005 terletak hanya 150 kilometer dari Bandar Kota Bharu. Ianya terletak 180 dari Pekan Pattani (atau 160 km dari perairannya), 260 km dari Bandar Songkhla dan 310 km dari Pekan Kerteh.

Fakta JDA

JDA Location MAP

Kota Bharu Hanya 150 Km dari JDA

Sehingga hari ini, Mustapha tidak pernah memperjuangkan hak mendaratkan gas asli itu ke Bachok seperti yang dikehendaki oleh Kerajaan Kelantan walaupun ternyata ianya adalah kawasan paling ekonomikal dan strategik.

Pipeline

Paip Menyalurkan Minyak Menerusi Jalan Bahaya dan Jarak yang Amat Jauh

  • Gas Asli dari kawasan JDA di daratkan ke Songhla 110 km lebih jauh dari Kota Bharu, bandar terdekat.
  • Gas Asli itu mahu disalurkan menggunakan paip ke Gurun Kedah dari Songhkla menerusi laluan konflik di wilayah bergolak di Selatan Thai.
  • Perjanjian penerokaan dengan Thailand adalah berdasarkan 50:50.
  • Hak Malaysia di hantar dulu ke Songhkla mengapa tidak terus ke Malaysia?

Apa yang dinamakan JDA ialah

  • Kawasan seluas 7,250 km persegi dengan bandar terdekat ialah Kota Bharu Kelantan.
  • Tenaga kerja di kawasan JDA berkumpul di Kota Bharu dan dihantar dengan helikopter ke JDA kerana ia paling ekonomikal.
  • Berdasarkan data penghujung 2007, dianggarkan kawasan JDA menpunyai reserve gas asli sebanyak 8.5 trillion standard cubic feet.
  • Lebih 20 zon gas asli telah ditemui.
  • Produksi gas asli telah bermula pada 2 Januari 2005 di zon Cakrawala.

Pada 3 Mei 2005, Kastam Thailand telah mengeluarkan kenyataan berikut,

“The Joint Development Area is 260 kilometers far from Songkhla Province, where gas, oil, and condensate are located. The gas production in the JDA has been commenced since 2 January 2005 and the approximate profit to Thailand at the first stage will be of 45,000 million baht.”

Untuk maklumat lanjut tentang hasil yang diperoleh oleh Thailand, pembaca boleh hubungi Public Relations Sub- Division Tel.02-671-7077 ,02-249-9017.

Offshore Magazine

Petikan Berita Dalam Majalah Offshore

Jika Thailand memperolehi bahagiannya sebanyak 45 billion Baht dari satu zon di JDA, bererti Malaysia juga memperolehi jumlah yang sama atau lebih kurang RM4.5 Billion.

Hess Statement 1

Kenyataan Media Hess

Blok eksplorasi di JDA adalah seperti berikut,

  • A18 – Kontraktor ialah PETRONAS Carigali JDA Ltd (50%) dan Hess Oil Company of Thailand (JDA) Ltd (49.5%), Hess Oil Company of Thailand Inc. (0.5%). Operator ialah Carigali Hess Operating Company Sdn Bhd.
  • B17 (termasuk B17-1) dan C19 – Kontraktor ialah PTTEP International Limited (50%) dan PETRONAS Carigali JDA Ltd (50%). Operator Carigali PTTEP Operating Company Sdn Bhd.

Petronas Statement JDA 1

Kenyataan Media PETRONAS

Pengeluaran bagi kawasan JDA adalah seperti berikut,

  • Blok A18 ( 9 zon) – Cakrawala, Bulan, Suriya, Bumi, Bumi East, Senja, Samudra, Wira dan Samudra North.
  • Blok B17 (9 zon) – Muda, Tapi, Jengka, Amarit, Mali, Jengka South, Jengka West, Jengka East dan Muda South.
  • B17-01 (3 zon) – Tanjung, Jinda dan Andalas.

Komplex utama terletak di Blok A18 bernama Cakrawala Production Complex. Siap pada 2002 dan mengeluarkan hasil menerusi 19 telaganya mulai 2 Januari 2005.

Blok B-17 dijangkakan akan mengeluarkan hasil pada Oktober 2009.

Mengapa Kelantan Tidak Mendapat Imbuhan?

DSC_0371

Anak tempatan Hanya Berputih Mata Kalau Kita Tidak Sanggup berputih Tulang – Foto Ehsan LanJan

Malaysia menerusi PETRONAS memperolehi 50% dari hasil penemuan di JDA yang begitu dekat dengan Kota Bharu sehinggakan pemancing tempatan pun boleh pergi ke pelantar tersebut.

Terengganu

Telaga Minyak Terengganu 166 KM Pun Dihantar Balik Ke Terengganu

JDA lebih dekat dengan Kota Bharu berbanding telaga minyak di Terengganu dan jaraknya dengan Kerteh.

Hujah mengatakan Kelantan tidak berhak kerana ia terletak di kawasan bertindih adalah begitu mentah sekali kerana,

  • Kawasan itu dituntut sebagai hak Malaysia kerana Kelantan adalah sebahagian dari Malaysia,
  • Malaysia memperolehi 50% dari hasil di situ kerana Kelantan adalah sebahagian dari Malaysia.

Oleh yang demikian, ia menunjukkan pentingnya Kelantan didalam penyelesaian dan hak Malaysia ke atas JDA.

Jika Kelantan adalah sebahagian dari Thailand atau sebuah wilayah bebas, tentu sekali Malaysia tidak ada hak langsung ke atas hasil bumi dan lautan di situ.

Sempadan perairan Malaysia disitu dipengaruhi oleh kewujudan Kelantan sebagai sebuah wilayah di dalam Malaysia.

Kelantan bukan sebuah negeri yang dijajah atau dirampas oleh Malaysia atau Persekutuan Tanah Melayu. Sejarah membuktikan bahawa Kelantan pernah berada dibawah pengaruh Siam, Jepun dan Inggeris. Sewaktu dibawah pengaruh Inggeris, Kelantan diiktiraf mempunyai sebuah Kerajaan Berdaulat diketuai oleh baginda Sultannya. Inggeris mengklasifikasikan Kelantan sebagai Negeri-Negeri Tidak Bersekutu.

Penyertaan Kelantan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu adalah atas semangat Persekutuan bukan dengan rasa dijajah. Sultan Kelantan terus dijamin hak kekuasaannya dibawah semangat Persekutuan dan juga berdasarkan haknya sewaktu menjadi Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Kelantan menyertai Persekutuan Tanah Melayu atas dasar penyatuan. Bersatu turut bererti berkongsi. Kedayusan yang ada pada Mustapha Mohamed harus tidak mempengaruhi rakyat Kelantan dalam mempertahankan hak mereka.

(Bersambung kelak – Analisa PM301 dan PM302 hak Kelantan menjelang 2011 dan 2012).

DSC_0379Janganlah Kita Jadi dayus Macam Mustapha Mohamed – Foto Ehsan LanJan


http://kickdefella.wordpress.com/2009/07/09/isu-royalti-petroleum-dan-gas-asli-kelantan/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...