Tuesday, May 25, 2010

USM cipta plastik daripada kulit buah


HANAFI (tengah), Noor Aziah (kiri) dan Zhang Xian menunjukkan plastik Fruitplast yang diperbuat daripada kulit buah di George Town semalam.


GEORGE TOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi tampil dengan inovasi terkini apabila sekumpulan tiga penyelidiknya berjaya menghasilkan plastik mesra alam menggunakan konsep teknologi hijau bagi menggantikan plastik yang tidak boleh terurai untuk kegunaan pembungkusan.

Kumpulan penyelidik itu diketuai oleh Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Prof. Dr. Hanafi Ismail dengan dibantu oleh Prof. Madya Dr. Noor Aziah Abdul Aziz dan Ooi Zhang Xian dari Bahagian Sains dan Teknologi Makanan Pusat Pengajian Teknologi Industri USM.

Menurut Hanafi, plastik yang mampu terurai itu dihasilkan daripada bahan buangan buah-buahan tropika seperti kulit pisang, kulit rambutan dan kulit serta jerami buah cempedak.

"Pada masa ini, kebanyakan plastik komersial dibuat daripada petroleum dan gas asli yang tidak boleh terurai.

"Idea kami adalah untuk menyelesaikan masalah alam sekitar yang disebabkan oleh petroleum berasaskan polimer yang lengai dengan serangan mikro organisme dan tidak terurai," katanya pada sidang akhbar memperkenalkan produk berkenaan yang dinamakan Fruitplast di sini semalam.

Katanya, proses menghasilkan Fruitplast mengambil masa seminggu untuk menukarkan sisa buah-buahan menjadi lapisan plastik.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Mercu tanda 'hotel' pengemis


GOLONGAN pengemis dan penagih dadah menjadikan pekarangan bangunan Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur sebagai tempat tidur mereka.


KUALA LUMPUR - Siang hari Kompleks Dayabumi di sini memang sesak dengan orang ramai yang sibuk dengan pelbagai urusan namun menjelang malam kawasan itu 'ditawan' oleh orang gelandangan.

Bagai merempat di bumi sendiri, rata-rata mereka yang terdiri daripada golongan pengemis dan penagih dadah menjadikan bangunan yang menjadi antara mercu tanda terawal di ibu kota itu bagai 'istana beradu' mereka.

Tinjauan Kosmo! di kawasan tersebut selepas menerima maklumat daripada pembaca mendapati fenomena itu telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini ekoran tiada kawalan daripada pihak berkuasa.

Malah, pengemis dan penagih dadah dilihat bebas keluar masuk untuk tidur atau melepak di kawasan tersebut sejak pukul 9 malam dan mereka hilang menjelang pukul 7 pagi keesokannya.

Selain pengemis dan penagih yang melepaskan gian, ia juga menjadi lubuk kepada sekumpulan mak nyah dan pondan 'mencari makan'.

Tinjauan yang bermula pukul 12 tengah malam semalam mendapati terdapat tidak kurang 15 orang yang tidak diketahui asal usul mereka sudah membuat 'tempahan' untuk bermalam di kawasan itu.

Mereka yang kebanyakannya sehelai sepinggang dilihat selesa berbaring dengan hanya beralaskan surat khabar tanpa berselimut dan ada yang sudah lena dibuai mimpi tanpa menyedari kehadiran wartawan dan jurugambar yang membuat tinjauan.

Kebanyakan daripada pengemis setinggan itu berasal daripada pelbagai latar belakang dan ada juga yang terdiri daripada golongan yang tidak mempunyai waris selain terlibat dengan masalah penagihan dadah.

Salah seorang pengawal keselamatan yang hanya mahu di kenali sebagai Pak Ya berkata, pihaknya sudah tidak larat untuk menghalang penagih dadah serta pengemis tidur di kawasan itu kerana setiap kali dihalau pasti mereka akan bertandang kembali.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Penjara 7 tahun



Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my
2010/05/25


PETALING JAYA: Seorang pekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan sebuah syarikat di hukum penjara tujuh tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol bekas kekasihnya, enam tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu terhadap Ahmad Muhaimin Abdullah, 27, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.


Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi.


Rozina dalam penghakimannya berkata, selepas meneliti keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh adalah satu rekaan dan penafian semata-mata.


Dia juga berkata, pembelaan tidak pernah mencabar keterangan saksi iaitu seorang doktor (SP1) yang merawat mangsa yang mengatakan kejadian itu berlaku pada waktu petang.


Keterangan doktor juga menunjukkan kecederaan pada kemaluan mangsa konsisten dengan keterangan mangsa kejadian berlaku dalam tempoh 72 jam. Selain itu SP1 mengesahkan kecederaan pada faraj mangsa disebabkan kemasukan benda tumpul iaitu kemaluan tertuduh.


Dalam penghakimannya lagi, Rozina berkata keterangan mangsa tidak menunjukkan dia memberi keizinan kepada tertuduh untuk melakukan hubungan seks dengannya.


“Walaupun mangsa gagal menjerit, namun ia disebabkan dia takut diapa-apakan kerana kejadian berlaku di rumah sewa rakan tertuduh ketika itu bersorak di luar bilik apabila mendengar suara mangsa meronta-ronta,” katanya.


Terdahulu peguam Mohd Zarif Othman yang mewakili tertuduh merayu hukuman terhadap anak guamnya diringankan kerana tertuduh bakal melangsungkan perkahwinan, namun ia ditangguhkan kerana mahu menyelesaikan kes itu terlebih dulu.

“Tertuduh juga melakukan kesalahan pertama dan sepanjang kes ini berjalan ia menyedarkan tertuduh akan kesalahannya,” katanya.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 22 tahun ketika kejadian yang juga bekas pelajar kolej di sebuah bilik di Pangsapuri Seri Pelangi, dekat sini jam 3 petang, 28 Disember 2004.


Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun keseksaan memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Pada perbicaraan yang bermula 3 Julai 2008, pihak pendakwaan mengemukakan enam saksi manakala pembelaan hanya mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh sendiri.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penjara7tahun/Article

Cemerlang dorongan isteri

2010/05/25

SHAH ALAM: “Mula-mula saya takut untuk meneruskan pengajian, maklumkan selepas 22 tahun meninggalkan persekolahan, baru berpeluang menjejak kaki ke menara gading.

“Tetapi, mujur isteri banyak beri dorongan selain keinginan saya untuk belajar,” kata Jefri Adam, 44, ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-72 di Dewan Sri Budiman di sini, semalam.


Bapa tiga anak berusia 16, 19, dan 22 tahun yang mengambil Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Grafik dan Media Digital) mampu berbangga apabila mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.89, sekali gus melayakkannya merangkul Anugerah Naib Canselor.


Jefri juga berterima kasih kepada majikannya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) yang memberikannya cuti bergaji bagi membolehkannya melanjutkan pelajaran di UiTM Kampus Melaka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cemerlangdoronganisteri/Article

Kasihan lihat ibu

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/05/25

SHAH ALAM: Seorang anak penoreh getah tidak menjadikan kemiskinan dalam hidupnya sebagai alasan untuk tidak berjaya, sebaliknya dia menjadikan kekurangan itu sebagai pendorong untuk belajar bersungguh-sungguh sebelum dinobatkan antara pelajar terbaik, sekali gus menerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-72 di Dewan Seri Budiman di sini, semalam.

Noor Suzilawati Nasrudin, 22, menjadikan ibunya, Fatimah Samad, 43, seorang ibu tunggal, sebagai idolanya untuk berusaha bersungguh-sungguh dan mengubah hidup keluarganya.


Pelajar Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Perindustrian), Kampus UiTM Merbuk, Kedah itu mencatat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.72 untuk melayakkannya menerima Anugerah Naib Canselor iaitu anugerah tertinggi yang diberikan UiTM kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran diambil.


Noor Suzilawati berkata, kepayahan ibunya bekerja membesarkannya dan lima beradik lain menyebabkan dia ingin membalas jasa dan pengorbanan ibunya.


“Dulu sebelum bekerja sebagai penoreh getah, ibu bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerambit (SMK), Kuala Lipis, Pahang.


“Kebiasaannya selepas tamat kerja sebagai tukang sapu, ibu akan bekerja di kantin pula manakala malam kerja dobi asrama. “Perkara ini dilakukan ibu tiap-taip hari iaitu bermula jam 7.30 pagi sehingga jam 1 pagi,”
katanya.


Menurutnya, pengorbanan ibunya itu menyebabkan dia berusaha bersungguh-sungguh dan selepas diterima masuk ke UiTM dia tidak lagi menoleh ke belakang dan berusaha siang dan malam dengan mentelaah buku pelajaran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kasihanlihatibu/Article

Tawanan dukun muda

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/05/25

KUALA LUMPUR: Tempoh tiga jam penuh mendebarkan buat seorang gadis apabila ditawan seorang dukun muda yang bertindak merawat mangsa melalui kaedah urut geli-geli pada seluruh tubuh selepas mendakwa rawatan itu mampu menyembuhkan penyakit kanser dihidap mangsa.

Difahamkan, suspek yang berusia 24 tahun berkenaan turut dipercayai mengamalkan ilmu pukau apabila menggunakan asap rokok dan gula-gula pedas bagi membuat mangsa menjadi kaku sebelum dicabul di dalam sebuah bilik hotel di sini.


Namun mangsa bernasib baik apabila tersedar sebelum cuba melarikan diri dari bilik hotel selepas bergelut dengan suspek yang hanya baru dikenali kira-kira lima hari melalui laman sembang Internet.


Sumber polis berkata, suspek mendakwa mempunyai kebolehan luar biasa mengesan penyakit yang dihadapi sesiapa saja dengan hanya melihat air muka mereka.


Suspek berusia 20-an itu dikatakan menelek muka mangsa menerusi kamera web berkenaan sebelum mendakwa berjaya mengesan beberapa jenis penyakit dalam tubuh mangsa termasuk kanser.


“Suspek kemudian memberitahu turut dianugerahkan kebolehan luar biasa iaitu mampu mengubati penyakit itu dan meminta gadis berkenaan datang ke ibu kota bagi menjalani sesi rawatan berkenaan,”
katanya.


Menurutnya, mangsa yang termakan kata-kata pujukan suspek kemudian bersetuju datang ke ibu kota bagi menjalani proses rawatan di sebuah hotel di Jalan Chow Kit di sini, kira-kira jam 6 petang, Khamis lalu.


“Sebaik tiba di bilik hotel, suspek berbual mesra terlebih dahulu dengan mangsa sebelum memulakan sesi rawatan aneh berkenaan dengan membuka bajunya sebelum mengarahkan mangsa membuat tindakan sama bagi memudahkan rawatan,” katanya.


Lelaki itu kemudiannya cuba meliwat dan memperkosa mangsa tetapi berjaya dihalang gadis itu menyebabkan suspek marah dan mengugut mahu mengikatnya dengan tali pinggang sebelum memukulnya.

Difahamkan, mangsa yang cuba melepaskan diri dari ‘tawanan’ kemudian mendapat akal melengahkan masa dengan berpura-pura lapar dan meminta suspek bersabar terlebih dahulu.


“Kesempatan itu diambil mangsa melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan sebelum mangsa menjerit meminta tolong.


“Tindakan mangsa yang menjerit kuat itu menyebabkan suspek panik sebelum kelam-kabut melarikan diri dari bilik hotel berkenaan. Namun suspek sempat membawa lari bersama komputer riba, beg duit dan telefon bimbit mangsa dianggarkan berjumlah RM3,000,
katanya.


Menurut sumber, mangsa yang berjaya melepaskan diri berada dalam keadaan bingung sebelum dibantu beberapa orang yang berada di kawasan hotel terbabit bagi menelefon keluarga.

“Nasib baik mangsa mengingati nombor telefon adiknya di Johor untuk mendapatkan bantuan,” katanya.


Difahamkan saudara mangsa datang ke hotel berkenaan dan membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk membuat laporan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tawanandukunmuda/Article

Dua beradik rindu kasih emak

2010/05/25

SEREMBAN: “Ibu nak ke Klang (Selangor) tenangkan fikiran,” itulah kata terakhir suri rumah kepada anaknya sebelum dia ‘ghaib’ lima hari lalu dari rumahnya di Taman Pulai Impian.

Anak sulungnya, Afiqah Suraya Azman, 14, berkata, dia menyedari kehilangan ibunya, Rahimah Mohamed, 35, kira-kira jam 6 petang Khamis lalu ketika terjaga daripada tidur.


Menurutnya, sebelum itu sebaik pulang dari sekolah kira-kira jam 2 petang, dia dan adik tertidur kepenatan, namun sebaik terjaga mendapati ibu tiada di rumah.


Katanya, ahli keluarga sudah puas mencari ibunya di kawasan berhampiran, tetapi gagal sebelum menemui telefon bimbit ibu di dalam rumah dipercayai sengaja ditinggalkan.


“Ibu menghubungi saya menggunakan telefon awam dan memberitahu ke rumah anak saudaranya di Klang.


“Kami tidak sempat berbual panjang kerana ibu hendak cepat dan menamatkan panggilan telefon. Itulah kali terakhir saya bercakap dengannya,”
katanya.


Suaminya, Azman Ahnmad berkata, orang ramai yang mengenali atau menemuinya boleh menghubungi beliayu di talian 013-3919200 atau 013-6783300.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duaberadikrindukasihemak/Article

Curi suami

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my
2010/05/25

SELAYANG: Belum pun reda isu anak dara kita dilarikan lelaki Lombok, kini muncul pula kelompok gadis ‘parasit’ dari tanah seberang yang kepingin bersuamikan lelaki dari negara ini sebagai jaminan untuk menikmati hidup mewah sehingga sanggup menggunakan sindiket nikah haram untuk mengikat lelaki tempatan.

Kebanyakan gadis gedik itu menggelarkan kegiatan mereka sebagai ‘kerja lerong’ dengan mereka menyasarkan lelaki tempatan yang agak berusia dan berpendapatan lumayan untuk digoda sebelum diajak berkahwin menggunakan khidmat sindiket yang dianggotai kalangan warga asing.


Lebih menggemparkan, gadis ‘gila jantan’ terbabit dinikahkan satu sindiket yang diupah konco lerong itu bagi memudahkan mereka mengikis harta dan boleh bermewah di negara ini.


Kegiatan tidak bermaruah itu menyebabkan ramai lelaki tempatan yang sudah berumah tangga menjadi gila bayang sehingga sanggup mengabaikan isteri dan anak-anak hanya gara-gara penangan cinta ‘cewek’ dari seberang.


Perkara itu didedahkan seorang isteri yang menderita selepas suami yang dikahwini sejak 24 tahun lalu tiba-tiba kemaruk untuk berkahwin dengan gadis seberang hanya selepas perkenalan singkat.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Salma, 40, berkata dia tidak hanya ditinggalkan suami, malah dipukul hampir saban hari hanya kerana suaminya itu tergila-gilakan seorang gadis dari Jawa.


“Sebelum ini, saya bahagia bersama suami lantaran sudah mendirikan rumah tangga selama 24 tahun. Dia suami yang penyayang dan sentiasa menjaga kebajikan saya serta empat anak kami. Hidup saya sangat bahagia sebelum kehadiran gadis durjana itu,” katanya.


Dia berkata, suaminya yang bekerja sebagai pemandu bas di ibu kota sebelum ini berkenalan dengan seorang gadis berasal dari Pulau Jawa dikenali sebagai Sumarni.


“Kehadiran Sumarni membawa bencana dalam hidup kami anak-beranak apabila suami mula melupakan tanggungjawab. Dia kerap tidak pulang ke rumah, malah lebih menyedihkan selalu ‘naik tangan’ ke atas saya sedangkan sebelum ini saya tidak pernah dikasari.

“Tidak cukup dengan itu, dia juga mula mengeluarkan kata-kata kesat dan hinaan kepada saya. Saya dan anak-anak ditinggalkan hampir setiap malam. Sakit dan demam kami langsung tidak dipedulikan,” katanya.


Salma berkata, dia menderita apabila ditendang dan ditumbuk suami setiap kali dia bertanya sesuatu atau meminta wang sara hidup harian.


“Entah berapa ratus kali saya disepak terajang macam bola oleh suami hampir setiap hari gara-gara meminta wang belanja rumah dan wang sewa rumah. Dia pula lena diulit gadis itu setiap malam, saya tidak tahu sama ada mereka sudah bernikah atau belum.


“Apabila ditanya, dia mengaku sudah berkahwin dengan gadis itu, tetapi tiada sijil nikah kerana mereka dikahwinkan sindiket terbabit,”
katanya.

Menurutnya dia yang menyiasat perkara itu mendapat tahu gadis yang menggoda suaminya sebahagian daripada ahli sindiket warga asing yang aktif menggoda dan memikat lelaki tempatan terutama di kalangan suami orang.


“Mereka ini masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebelum mencari mangsa di sekitar ibu kota. Gadis yang memikat suami saya memperoleh kemewahan diidamkan sebelum pulang seketika ke tanah airnya.


“Mereka akan datang semula ke sini untuk meneruskan aktiviti jahat dengan bermodalkan ikatan perkahwinan sindiket haram yang termetrai,”
katanya.


Pada masa sama, Salma berkata, dia tidak sedap hati apabila melihat leher suaminya penuh dengan gigitan cinta seolah-olah lelaki itu sudah melakukan hubungan seks dengan gadis seberang itu.


“Lebih menyedihkan, saya pernah dicekik suami di dalam bas kerana disuruh perempuan terbabit. Kejadian yang hampir meragut nyawa menyebabkan saya membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi sejurus selepas kejadian.


“Mungkin gadis itu sudah buat jampi serapah kepada suami...apa juga yang disuruh janda anak satu itu dituruti, disuruh pukul, dipukulnya saya, saya juga pernah menerima enam jahitan di kening akibat terkena balingan nombor plat kenderaan suami,”
katanya.


Difahamkan, Sumarni kerap menghantar SMS kepada Salma dengan kata-kata berbaur ugutan termasuk mahu melarikan suaminya ke seberang sekiranya hubungan mereka terus diganggu.


Malah, hidup Salma ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila anak-anaknya terpaksa berhenti sekolah berikutan masalah kewangan dan tertekan sikap bapa mereka yang mengabaikan tanggungjawabnya.


Difahamkan, Salma sudah empat kali ke Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk meminta bantuan menyelesaikan masalah rumah tangganya, tetapi setakat ini usahanya belum menampakkan hasil.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Curisuami/Article

Monday, May 24, 2010

Sembelit kronik

Sukar membuang air besar dan najis berdarah mungkin petanda kanser usus.


KEHADIRAN tisu tambahan dalam usus boleh menyebabkan sembelit dan kehadiran darah dalam najis.


PERNAHKAH anda meneran hingga merah muka atau mengetap gigi manakala kaki bersilang sambil mengepit punggung ketika membuang air besar? Jika anda perlu berdepan dengan kesukaran setiap kali berada di tandas, ini bermakna anda mengalami sembelit kronik.

Disifatkan sebagai gejala dan bukan sejenis penyakit yang merbahaya, setiap individu pernah mengalami masalah ini. Sungguhpun begitu, masih ramai yang menganggap sembelit sebagai isu remeh dan berpendapat ia boleh diselesaikan dengan banyak meminum air.

Menurut Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Madya Dr. Ismail Sagap, sembelit ialah situasi apabila individu membuang air besar kurang daripada tiga kali seminggu dan keadaan itu berlarutan sehingga beberapa bulan.

“Seseorang itu juga boleh memiliki gejala sembelit jika lebih 40 peratus najis yang dikeluarkan adalah keras. Lazimnya, individu normal akan mengeluarkan 75 peratus najis lembut dan proses pembuangan lebih lancar tanpa perlu meneran dengan kuat.

Penghidap sembelit kronik biasanya tidak membuang air besar untuk beberapa hari. Malah terdapat juga kes membabitkan pesakit yang tidak membuang air besar dengan sempurna sehingga berbulan-bulan.

Perut pesakit akan mengembung, kejang dan sakit serta kurang selera makan. Bagi kanak-kanak, sedikit cairan atau calitan najis lembut pada seluar dalam adalah petanda bahawa anak itu mendapat sembelit.

“Sungguhpun begitu, kebanyakan masalah sembelit membabitkan golongan usia pertengahan dan banyak terjadi kepada wanita muda,” ujarnya.

Jelas Ismail, wanita muda sering memilih untuk menahan air besar daripada membuangnya terutama jika berada di kawasan awam seperti kompleks beli-belah yang mempunyai tandas kotor.

“Ramai wanita muda berasa geli untuk membuang air besar di tandas awam. Mereka lebih rela menyimpan najis dan membuangnya apabila sampai di rumah daripada terpaksa mencangkung atau duduk di dalam tandas yang kotor dan berbau.

“Tetapi keadaan yang biasa berlaku adalah sebaliknya. Apabila sampai di rumah, perasaan untuk membuang air besar sudah hilang dan tiada sebarang najis dilepaskan walaupun menunggu lama di dalam tandas,” ujarnya,




Tabiat melengah-lengahkan proses pembuangan air besar juga dipercayai menyebabkan perut gembung malah boleh mengakibatkan usus menjadi malas.

Keadaan tersebut menyebabkan pergerakan najis di dalam usus menjadi lambat atau tidak bergerak sekali gus menyebabkan usus tersumbat.

“Apabila najis sudah sampai di rektum, ia akan memberi signal kepada otak untuk memberitahu bahawa sudah sampai masa untuk ke tandas. Tetapi apabila kerap berlengah ke tandas, usus menjadi kurang sensitif dan otak tidak lagi boleh mencerna isyarat itu. Akhirnya individu tersebut lebih selesa untuk tidak ke tandas.

“Keadaan ini lama-kelamaan boleh mendatangkan masalah seperti perut kembung, muntah dan rasa sangat tidak selesa,” katanya.

Sementara itu, Pakar Gasteroenterologi, Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC), Dr. Ishak Mas’ud berpendapat, sembelit terdiri daripada tiga peringkat iaitu sembelit sejak lahir, pertengahan dan utama.

“Sembelit boleh menjadi gejala yang tidak merbahaya dan ia juga boleh menjadi sebaliknya.

“Sembelit yang tidak merbahaya hanya bersifat sementara dan disebabkan oleh pengambilan ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit dengan dos tinggi sehingga boleh memperlahankan pergerakan usus.

Sembelit jenis ini juga boleh terjadi kerana pertukaran cara pemakanan yang kurang serat. Turut menjadi punca sembelit ialah kehadiran luka kecil pada bahagian lubang dubur yang memberi kesan yang amat sakit apabila membuang air besar.

“Bagi golongan warga emas dan pesakit angin ahmar, masalah najis melekat pada usus juga boleh menyebabkan mereka terpaksa meneran sehingga kulit dubur merekah, pedih dan berdarah,” jelasnya.

Secara klinikalnya, sembelit hanya bersifat gejala dan bukan penyakit. Namun, itu bukan alasan untuk masyarakat terus menganggap ia sebagai isu ringan apatah lagi jika menghidap sembelit secara berterusan untuk tempoh dua hingga tiga minggu.

Ironinya, masih ramai menganggap kesukaran membuang air besar dan najis berdarah sebagai buasir sedangkan ciri itu adalah tanda-tanda yang menjurus kepada kanser usus.

“Sembelit yang merbahaya terjadi disebabkan oleh kanser usus dan saluran najis yang tersumbat.

“Justeru, sekiranya anda mengalami sakit perut, sembelit dan najis berdarah serta kehadiran lendir yang berlarutan, jangan anggap ia adalah buasir. Seelok-eloknya, jumpa doktor dan lakukan pemeriksaan kolonoskopi.

“Ada beberapa kes yang pernah saya kendalikan menganggap sembelit dan najis berdarah hanya sebagai buasir, hakikatnya ia adalah kanser usus yang sudah serius,” ujarnya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.


SIMPTOM kanser usus sering dianggap gejala buasir kerana wujud persamaan iaitu sukar buang air besar.


Ramai pesakit sembelit yang dikendalikan Ishak terdiri daripada golongan lelaki.

“Ramai wanita malu untuk tampil berjumpa doktor kerana pemeriksaan sembelit melibatkan anggota sulit mereka. Sungguhpun begitu, malu bukan alasan untuk mereka tidak menjalani pemeriksaan.

“Sekiranya simptom sembelit dan najis berdarah itu hanya buasir biasa, tidak mengapa. Tetapi jika ditakdirkan itu adalah tanda-tanda kanser usus, tidak mustahil ia boleh mengancam nyawa jika lambat dikesan,” ujarnya.

Tidak menolak kekerapan seminggu sekali ke tandas sebagai perkara normal bagi yang sudah biasa, namun Ishak memberitahu keadaan itu akan mengundang rasa tidak selesa kepada perut.

“Memang ada orang yang buang air besar sekali seminggu. Ia normal bagi orang yang sudah dilatih sejak kecil dengan cara begitu. Jumlah kekerapan bukan penentu sama ada orang itu sembelit atau tidak kerana tabiat ke tandas antara individu adalah berbeza.

“Seelok-eloknya, elakkan kerap menahan daripada buang air besar. Jika keadaan tidak mengizinkan untuk ‘membuang’ contohnya ketika menaiki bas atau pesawat, tidak mengapa jika kita menahannya untuk jangka masa yang pendek. Namun, sebaik sahaja berada dalam zon selesa, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah ke tandas,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Penemuan

Perut besar sebabkan otak kecil


SEMAKIN gemuk semakin tinggi
risiko menghidap dementia.


INDIVIDU yang mempunyai lebihan lemak terutama di bahagian tengah perut berisiko menghidap dementia.

Kajian oleh penyelidik di Sekolah Perubatan Universiti Boston, Amerika Syarikat (AS) terhadap 700 orang dewasa menunjukkan individu yang memiliki berat badan berlebihan mempunyai volum otak yang kecil iaitu penyebab utama dementia.

Menurut laporan Annals of Nuerology, penemuan itu cukup tinggi terhadap mereka yang mempunyai kandungan lemak visceral, sejenis tisu lemak yang di dapati di sekeliling organ.

Penyelidik tersebut mengambil kiraan indeks jisim badan (BMI), ukur lilit pinggang dan menggunakan pengimbas bagi melihat kuantiti lemak pada perut.

Keputusan menunjukkan, semakin tinggi angka BMI, kapasiti otak semakin menurun.

EKSTRA: Kandungan tinggi hormon yang mengawal selera makan terbukti mampu mengurangkan risiko penyakit Alzheimer. Kajian selama 12 tahun melibatkan 200 sukarelawan menunjukkan mereka yang mempunyai kadar hormon leptin rendah lebih cenderung mendapat penyakit tersebut.

Hormon leptin terhasil menerusi sel lemak dan ia berfungsi memberitahu otak bahawa badan telah kenyang sekali gus bertindak mengurangkan selera makan. Potensi hormon leptin sebagai senjata dalam menangani masalah obesiti telah lama diketahui.

Ubat seks punca pekak


UBAT seks boleh menyebabkan masalah pekak.


UBATAN mati pucuk seperti Viagra dan beberapa jenis ubatan lain mempunyai kesan buruk jangka panjang terhadap pendengaran.

Bukti tersebut didedahkan oleh penyelidik pembedahan kepala dan leher Universiti Alabama di Birmingham dalam penggunaan ubat yang digelar phosphodiesterase inhibitors jenis 5 (PDE-5i).

Penemuan tersebut berasaskan analisis ke atas data bancian melibatkan 11,500 lelaki berumur melebihi 40 tahun yang dikumpul oleh agensi kerajaan dari tahun 2003 dan 2006.

Menurut Pentadbiran Persekutuan Makanan dan Ubatan-Ubatan Amerika Syarikat (FDA), satu amaran akan dikeluarkan mengenai kehilangan pendengaran akibat pengambilan ubat seks seperti Viagra.

EKSTRA: Penggunaan hormon kontraseptif seperti pil perancang boleh meningkatkan selera seks wanita merudum berbanding wanita yang tidak menggunakan kontraseptif bukan hormon.

Menurut pengarah perubatan seksual di Hospital Alvarado di San Diego, Dr. Irwin Goldstein, banyak bukti diperolehi akibat penggunaan hormon kontraseptif yang menjejaskan hubungan seks.

Menggunakan indeks standard bagi mengukur tahap fungsi seksual wanita, penyelidik mendapati, hampir 33 peratus wanita berada dalam risiko mengalami disfungsi seksual. Masalah utama ialah kekurangan orgasm, kepuasan dan pelincir.

Cesarean – jahit atau pengokot




WANITA yang terpaksa melahirkan bayi menerusi pembedahan Caserean kini mempunyai pilihan untuk menutup luka pembedahan tersebut.

Menurut penyelidik, seperti pembedahan kosmetik yang lain, luka pembedahan Caserean boleh ditutup menerusi jahitan atau dawai kokot.

Terdahulu, terdapat beberapa kaedah digunakan oleh pakar bedah untuk menutup kesan pembedahan tersebut termasuk jahitan namun kesan parut yang terbentuk amat buruk.

Berdasarkan kaedah pembedahan kosmetik yang lebih halus, jahitan atau dawai kokot yang digunakan akan memberi kesan yang lebih baik, termasuk jahitan yang terurai dan diserap ke dalam tubuh.

EKSTRA: Jantina memberi perbezaan penting terhadap respons imunisasi tubuh dan kesan sampingan dalam pengambilan vaksin tertentu.

Penyelidik,Jabatan Mikrobilogi Molekur di Hospital John Hopskins, Baltimore memberitahu, kajian tersebut melibatkan vaksin dan beberapa penyakit seperti demam kuning, influenza, rubella, hepatitis dan herpes simplek.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

Nampaknya Masyarakat Kita Tak Serik-Serik...

Isnin Mei 24, 2010

PENULIS pernah berkecimpung dan merasai bagaimanakah dunia sebenar perniagaan dan satu pelajaran yang penulis perolehi daripada pengalaman tersebut ialah tidak ada jalan pintas untuk menjadi kaya sepertimana juga tidak ada jalan pintas untuk menjadi pandai dan matang.

Semuanya perlu melalui proses trial and error. Harus menempuhi pahit maung dan sepak terajang dunia yang kita ceburi itu. Mana ada dalam dunia ini duit datang bergolek selonggok dalam tempoh 30 hari. Dan mana ada orang menjadi kaya secara ekspres melainkan kena loteri sahaja.

Malangnya masyarakat kita walaupun berulang kali membaca, melihat, menyaksikan sendiri malah merasai kesakitan dan kesengsaraan orang yang ditipu dan diperdayakan oleh godaan dan juga tamak haloba untuk menjadi kaya secara ekspres terus menerus diperdaya dan ditipu kerana tidak serik-serik dan tidak mahu mengambil iktibar oleh nasib malang yang menimpa orang lain.

Dan nampaknya masih ramai yang secara mudah diperdaya oleh skim pelaburan haram yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh 30 hingga 60 hari hingga mendorong seorang pelabur membuat pelaburan sehingga RM1 juta sebagaimana disiarkan dalam akhbar baru-baru ini.

Yang paling menghairankan ialah bagaimana seorang manusia yang mempunyai wang sebanyak itu dengan begitu mudah sekali diperdayakan untuk menyerah wang berkenaan kepada seorang manusia lain tanpa jaminan melainkan kerana inginkan pulangan segera yang kononnya lumayan.

Sudah pastinya pula, bagi seorang yang berjaya dan mampu mengumpul RM1 juta dalam hidupnya tidak memperolehi wang tersebut dalam satu malam. Sama ada dia bekerja keras siang dan malam untuk membuat duit sebanyak itu melalui perniagaan yang dia ceburi atau dia memperolehinya melalui warisan daripada ibu-bapa yang kaya raya dan memiliki harta yang banyak.

Bagaimanakah pula dia tergamak menyerahkan wang sebanyak itu dalam sekelip mata ke tangan seseorang tanpa berfikir panjang? Ternyata sekali, jika tidak kerana tamak haloba apakah alasan paling logik untuk berbuat demikian. Bukannya kerana bijak melabur atau bijak berniaga.

Namun begitu, paling menarik perhatian berhubung isu ini ialah betapa ramainya artis terkemuka tanah air seperti Amy Search misalnya turut terpedaya dan menjadi mangsa skim pelaburan haram ini. Berdasarkan kenyataan Amy, dia bukanlah penganjur skim berkenaan tetapi seperti mana yang lain juga adalah mangsa penipuan.

Amy berkata, dia sendiri kehilangan wang sebanyak RM450,000 dan lebih malang lagi ialah ada seorang peserta skim ini mahu menyaman Amy kerana menerusi penyanyi itu dia turut melabur sebanyak RM1 juta dan khabarnya sejumlah RM10 juta milik pelabur lain turut lesap.

Mereka pada mulanya menyangka Amy adalah pengasas skim berkenaan tetapi sebenarnya sepertimana juga mereka, Amy sebenarnya adalah sebahagian daripada pelabur bukannya pengusaha skim tersebut.

Kini pengusaha skim berkenaan menghilangkan diri bersama-sama wang tunai yang cukup lumayan itu dan jika dibuat congak secara bodoh pun, penipu ini boleh hidup senang lenang tujuh keturunan di negara orang hasil daripada titik peluh keringat orang lain.

Yang terpaksa mengadap mangsa penipuan ini di sini ialah selebriti seperti Amy yang tidak dapat lari ke mana-mana kerana status ikon yang dia pikul.

Adalah sangat menyedihkan apabila kita membaca kenyataan Amy yang mengatakan wang yang dia laburkan itu dia simpan untuk membina sebuah sekolah agama di tempat kelahirannya di Johor.

Apa yang nyata ialah pengusaha skim penipuan ini cukup pandai dengan terlebih dahulu mengrekrut seniman dan ikon terkenal seperti Amy sebagai umpan untuk menebar jala atau pukat bagi menangkap habuan yang lebih besar.

Sudah sifat manusia cenderung untuk mempercayai orang yang mereka puja dan idolakan. Dengan adanya Amy sebagai ‘duta’ atau ‘muka depan’ kepada skim pelaburan yang kelihatan sangat menarik, gah dan lumayan ini, lebih mudahlah orang yang berada tampil ke hadapan turut melabur apatah lagi jika ini membuka peluang berdampingan dan bersua muka dengan selebriti sepopular Amy.

Dan bagi menarik kepercayaan awal orang-ramai terhadap kemampuan dan kredibiliti skim pelaburan cepat kaya ini, pengusahanya bersedia menahan diri daripada menyapu bersih hasil kutipannya dengan berkorban membayar hasil pelaburan peringkat pertama, kedua dan ketiga terlebih dahulu.

Kini Amy bukan sahaja terpaksa berhempas pulas mengadakan konsert dan kembali ke pentas untuk membuat duit bagi mengumpul balik wang demi menebus kembali maruahnya yang tercalar dan membayar wang pelabur lain dibuat melaluinya, tetapi dia terpaksa mendapatkan pertolongan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membersihkan namanya dengan menjelaskan dia bukanlah pengusaha pelaburan tersebut tetapi sebenarnya salah seorang daripada mangsa skim berkenaan.

Dan menurut BNM lagi, untuk tahun ini sahaja, mereka menerima lebih 10 aduan berkaitan skim pelaburan membabitkan pengambilan deposit tanpa lesen dan empat daripadanya sudahpun dihadapkan ke mahkamah dan menunggu masa untuk dibicarakan.

Akhirnya setelah diri sendiri menjadi mangsa, Amy menasihati orang-ramai supaya jangan sama sekali terpedaya dengan skim cepat kaya seperti ini.

Seperti mana Amy, penulis juga ingin memberi nasihat yang sama...

Lagi tentang mudah diperdayakan...

Dan bercakap tentang bagaimana mudahnya anggota dalam masyarakat kita diperdayakan dengan perkara-perkara yang seperti ini, maka penulis ingin mengimbau kembali memori para pembaca mengenai satu insiden yang melibatkan seorang lelaki yang mengaku dirinya jeneral satu pasukan berseragam yang berfungsi menjaga keselamatan negara dan mula membuat pengambilan anggota-anggota baru dengan mengenakan kadar yuran tertentu.

Malah mereka turut ‘menjual’ pangkat dari leftenan, kapten, mejar, leftenan kolonel, kolonel, brigedier jeneral, mejar jeneral, leftenan jeneral pada harga tertentu.

Yang pelik dan ajaibnya, jenis penipuan macam ini pun yang secara terang-terangan merupakan satu organisasi syok sendiri, masih ada yang terpedaya dan sanggup mengeluarkan wang asalkan dapat gelaran dan pangkat tersebut.

Penulis tidak faham apakah yang dikejar oleh orang kita dalam hidup mereka sehinggakan perkara seperti ini pun mereka sanggup bayar. Dan inilah masalahnya, apabila ada permintaan maka adalah penawaran.

Maka atas sebab itulah orang seperti mana lelaki yang menganjurkan penipuan seperti ini boleh hidup di tengah-tengah masyarakat kita.

Kerana apa? Kerana kita sendiri membenarkan orang seperti ini terus hidup dan berleluasa di sekeliling kita kerana kita sendiri dahagakan pengiktirafan, gelaran dan pangkat sehinggakan kalau tak dapat daripada yang bertauliah, dapat daripada sang penipu seperti ini pun jadilah.

Dan paling menakjubkan ialah kesanggupan kita membenarkan diri diperdayakan oleh orang seperti ini. Ia hanya memerlukan seorang ‘gila’ dengan sedikit kepandaian menipu, memutar belit dan pengaruh yang meyakinkan bagi mencari keuntungan daripada ketamakan dan haloba manusia.

Dan sang penipu ini sedar dan tahu selagi wujudnya manusia selagi itulah wujudnya ketamakan dan haloba dan selagi itulah dia boleh terus hidup di muka bumi ini dengan hasil penipuannya itu kerana manusia ini membenarkan diri mereka ditipu dan diperdaya kerana inginkan kesenangan dan pengiktirafan dengan jalan mudah dan jalan pintas.

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2010/5/24/mstar_kolum_khabarnya/20100524114327&sec=mstar_kolum_khabarnya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...