Wednesday, September 8, 2010

Warga emas sasar salun

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

2010/09/08

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas dikesan bergiat aktif mencuri barangan berharga milik pekerja salun kecantikan dengan berpura-pura bertanyakan khidmat ditawar sebelum mencuri barang berharga dan melarikan diri.

Dalam kejadian terbaru pada 13 Ogos lalu, wanita berusia 50-an itu melarikan dompet dan telefon bimbit milik seorang pemilik salun berusia 36 tahun di Jalan Pudu, di sini, selepas berpura-pura bertanyakan mengenai rawatan muka dan kuku di salun itu.


Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa dikatakan meninggalkan dompet dan telefon bimbitnya yang dianggarkan bernilai RM2,400 di atas meja kaunter sebelum keluar sebentar atas urusan peribadi dan menyerahkan urusan perniagaan kepada pekerjanya.


Katanya, suspek kemudian masuk ke premis itu sebelum bertanyakan mengenai bayaran rawatan muka dan kuku sehingga memeningkan pekerja salun itu menjawabnya kerana perkhidmatan yang sedia hanyalah servis menggunting rambut.


“Pekerja yang dalam kebingungan itu lantas ke bilik berdekatan untuk bertanyakan rakannya berkaitan perkhidmatan berkenaan dan meninggalkan wanita itu bersendirian,” katanya.


Sejurus pekerja terbabit keluar dari bilik didapati suspek sudah menghilangkan diri. Apabila diperiksa, telefon bimbit dan dompet majikannya turut lesap.


Mangsa yang pulang ke salunnya kira-kira jam 5 petang kemudian membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee.


“Sebelum ini premis mangsa dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), tetapi pada hari kejadian CCTV itu rosak dan tidak berfungsi,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wargaemassasarsalun/Article

Tertuduh bebas

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud

2010/09/08

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini, semalam membebaskan bekas pegawai bank, Rasidi Ismail, 32, yang didakwa membunuh empat ahli keluarganya di Gemencheh, Tampin, awal Januari lalu atas alasan tidak siuman.

Bagaimanapun, tertuduh akan ditahan di Penjara Kajang, Selangor hingga tempoh diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin, ketika membacakan keputusan penghakimannya berkata, mahkamah membebaskan Rasidi daripada tuduhan selepas mendapati tertuduh berada dalam keadaan tidak sedar dan tidak siuman ketika melakukan perbuatan itu.


“Hasil pemeriksaan hospital selama dua bulan mendapati tertuduh disahkan menghidap sakit jiwa akibat mengalami delusi dan halusinasi sejak beberapa tahun lalu.


“Tertuduh diklasifikasikan menghidap ‘skizofrenia paranoid’ iaitu berlaku gangguan pada pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kemerosotan fungsi psiko-sosialnya,”
katanya.


Beliau berkata, Rasidi juga dikesan mengalami gejala delusi atau kepercayaan palsu iaitu empat ahli keluarganya sudah meninggal dunia sebelum kejadian berlaku selain turut berhalusinasi.


Malah, katanya, tertuduh sebelum ini tidak pernah mempunyai masalah dengan jiran dan ahli keluarga sendiri.


“Pihak pendakwaan bagaimanapun berjaya membuktikan tuduhan berkenaan melampaui keraguan munasabah,” katanya.


Sepanjang perbicaraan kes berkenaan, seramai 13 saksi termasuk ahli keluarga mangsa dipanggil memberi keterangan di mahkamah.


Rasidi yang tenang sepanjang perbicaraan sebelum ini diarahkan Mahkamah Tinggi untuk menjalani pemeriksaan mental selama dua bulan di Hospital Permai sejak 23 Mac lalu selepas mengaku bersalah membunuh empat ahli keluarganya.


Dia sebelum ini mengaku bersalah melakukan pembunuhan itu dan mendakwa melakukan perbuatan itu atas arahan dari langit.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuknya, Atan Daud, 87, dan neneknya, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara jam 7 pagi hingga 11 pagi pada 5 Januari lalu.


Dia turut didakwa membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119 kampung berkenaan pada tarikh dan waktu sama.


Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin manakala Hanif Hassan mewakili tertuduh.

Keputusan mahkamah itu disambut dengan linangan air mata kegembiraan dan kesyukuran keluarga tertuduh termasuk ibunya, Saharah Atan, 59, serta sanak saudara.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tertuduhbebas/Article

Deraian air mata gembira

Oleh Mary Victoria Dass

2010/09/08

JOHOR BAHRU: “Kami tidak menjangka Allah membuka pintu rezeki pada Ramadan ini...kami berasa seperti bermimpi apabila rumah kami dipenuhi pelbagai jenis kuih-muih, makanan dan barangan keperluan raya,” kata seorang warga emas, Rahimah Abdul Hamid, 70, semalam.

Rahimah berkata, biarpun sejak lebih 10 tahun lalu, dia bersama kakaknya, Fatimah Abdul Hamid, 72, dan anak saudaranya, Robiah Ahmad, 37, sudah lama tidak berpeluang menikmati kemeriahan Aidilfitri, tetapi Ramadan kali ini membawa berkat apabila mereka tidak menang tangan menerima kunjungan tetamu.


Akhbar ini kelmarin melaporkan kisah duka tiga wanita yang hidup sebumbung yang dianggap sebagai pembawa sial hingga menjadi mangsa pengabaian anak dan dimaki segelintir penduduk sekitar tempat tinggal mereka di Blok 73, Rumah Pangsa Taman Ungku Tun Aminah.


Pakej kesengsaraan wanita dua beradik warga emas berusia 73 dan 70 tahun itu dilengkapkan lagi dengan anak seorang daripada mereka berusia 37 tahun yang sakit mental manakala badannya berkurap.


Lantaran kedaifan tiga bersaudara itu yang terpaksa menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan, ada jiran seagama yang melabelkan mereka sebagai ‘keluarga sampah’.


Menurutnya, sejak pagi, orang ramai yang bersimpati terhadap kisah sedih mereka menghulurkan pelbagai bantuan. Ini dapat mengubati luka di hati selama ini akibat dibuang anak dan dipandang hina masyarakat.


“Saya sebak dengan pemberian ini...biarpun dugaan selama 10 tahun ini cukup besar, namun kami bertambah yakin nasib akan berubah dan berpeluang menjalani kehidupan lebih bermakna selepas ini.


“Tidak perlu lagi kakak saya dan Robiah bersusah-payah mencari makan dengan mengumpul barangan terbuang atau kami memakan dedak jagung ayam untuk mengisi perut setiap hari.


“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang sanggup membantu,”
katanya sambil menitiskan air mata kegembiraan, semalam.


Tiga wanita itu yang hidup merempat menerima kunjungan kira-kira 15 wakil termasuk daripada Nahar Power Trading; Perniagaan Mutiara Jati; Syarikat Pengangkutan Maju Berhad; Poliklinik Inang, Umno Bahagian Gelang Patah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyampaikan sumbangan bagi meringan beban mereka.


Sumbangan yang disalurkan termasuk duit raya, pakaian, barangan makanan, biskut raya, bantal, tilam, hamper makanan ringan dan tajaan perubatan. Sementara itu, Pengurus Nahar Power Trading, Mohd Naharudin Isa, berkata, pihaknya tersentuh dengan kedaifan tiga wanita itu yang masih ketinggalan di kawasan bandar raya ini.

Menurutnya, bagi tujuan itu, syarikatnya dengan kerjasama Pengurus Perniagaan Mutiara Jati, Mohd Husni Mohd Rusad tidak ketinggalan untuk membantu keluarga itu.


“Bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada keuntungan syarikat dan hasil sokongan pelanggan selama ini...oleh itu kami bersyukur kerana mampu menyalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya yang menyumbangkan biskut raya Nahar Power kepada keluarga itu di sini, semalam.


Hadir sama Pengurus Kanan Korporat Syarikat Pengangkutan Maju Berhad, Bamahudin Suliaman; Pengerusi Majlis Kebajikan Wanita, Ibu Tunggal, Warga Emas Gelang Patah, Sadiah Mohd Ajib; Timbalan Ketua Umno Bahagian Gelang Patah, Dr Zaini Abu Bakar; Pegawai JKM, Mohd Faizal Abu Bakar; dan Ketua Biro Harian Metro Johor, Ahmad Nazri Mohamad.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Deraianairmatagembira/Article

'Balik nanti abang cerita'

2010/09/08

KUALA LUMPUR : “Tolong faham, abang tak balik rumah tiga hari dan abang minta maaf. Nanti balik abang akan cerita,” itulah kata terakhir Noorhisham Mohammad kepada isterinya, Suzana Radim Pangat menerusi telefon sebelum beliau dilaporkan hilang.

Noorhisham, 38, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru dilaporkan hilang bersama-sama jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya, 44, pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.


Mereka dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ketika berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.


Suzana, 38, berkata kali terakhir dia bercakap dengan suaminya melalui panggilan telefon kira-kira jam 8.15 malam Isnin minggu lalu dalam keadaan tergesa-gesa.


“Saya sangat pelik. Apabila saya tanya kenapa, dia cuma jawab yang dia suruh saya faham, nanti balik dia cerita semuanya dan ketika itu dia sehelai sepinggang.


“Jadi, saya tak buat apa-apa laporan kepada polis walaupun saya rasa apa yang berlaku ini pelik sebab bila suami cakap dia akan balik tiga hari lagi, fahaman saya dia akan balik,”
katanya kepada Bernama di kediamannya di Taman Seria, Ampang dekat sini, semalam.


Beliau berkata, pada hari kejadian, suaminya memberitahu bahawa dia ke Banting atas urusan kerja bersama-sama Sosilawati, Kamaruddin dan Ahmad Kamil.


“Dan apa yang saya tahu pada masa itu, suami saya menaiki kereta dengan Ahmad Kamil sebab sebelum bertolak ke Banting dia ada telefon bagi tahu yang dia nak bertolak,” katanya.


Suzana mempunyai tiga anak hasil perkahwinannya dengan Noorhisham berkata, sejak 31 Ogos hingga kini dia tidak dapat menghubungi suaminya.


“Pada hari berikutnya itu, saya risau kenapa dia tak hubungi. Petang saya hubungi dan SMS suami saya guna telefon saya dan anak, tetapi tak dapat,”katanya.


Menurutnya, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira 5 petang pada Khamis lalu selepas tiga hari suaminya tidak pulang ke rumah. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Baliknantiabangcerita/Article

Mereka masih selamat

2010/09/08

SHAH ALAM: “Insya-Allah, polis percaya mereka masih selamat,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengulas misteri kehilangan jutawan kosmetik Nouvelle Beauty Care Sdn Bhd (Nouvelle Beauty), Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga lelaki lain sejak 30 Ogos lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan milik Sosilawati yang ditemui malam kelmarin tidak menemui sebarang unsur curiga, namun siasatan lanjut masih diteruskan.


“Siasatan dibuat daripada pelbagai sudut. Semua ahli keluarga mangsa sudah ditemu bual bagi mendapatkan gambaran sebenar. Malah, kami juga mengesan individu yang dipercayai mahu ditemui dia (Sosilawati) atas urusan jual beli hartanah sebelum dia hilang,” katanya di sini, semalam.


Beliau ditemui pada sidang media selepas perbarisan sempena persaraannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar serta pegawai kanan polis.


Sosilawati dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya selepas dikatakan keluar dari pejabatnya di Jalan Raja Bot, Chow Kit, Kuala Lumpur, pada 30 Ogos lalu. Beliau dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas memberitahu seorang anak perempuannya mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari. Ahli perniagaan itu dilaporkan hilang bersama pemandunya, Kamarudin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abd Karim, 32; dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38. Bagaimanapun kereta mewah milik Sosilawati ditemui ditinggalkan di luar Pangsapuri Angsana di USJ1, Subang Jaya, dekat sini, kira-kira jam 9.45 malam kelmarin. Turut ditemui kenderaan milik Ahmad Kamil diletakkan di hadapan Hotel Dorsett di SS12, Subang Jaya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Merekamasihselamat/Article

Suami dengar suara cemas



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/09/08

KUALA LUMPUR: “Kau nak bawa aku ke mana ni?” Itu suara cemas Datuk Sosilawati Lawiya didengar kali terakhir suaminya melalui panggilan telefon yang dibuat jutawan kosmetik berkenaan sebelum ia terputus.

Suaminya, seorang ahli perniagaan dari Indonesia mendengar Sosilawati mengulangi pertanyaan itu berulang kali. Selepas panggilan telefon itu terputus, suami pengasas syarikat Nouvelle Visages (NV) itu cuba menghubungi telefon bimbit Sosilawati, namun gagal.

Sumber polis berkata, Sosilawati dipercayai cuba menghubungi suaminya yang berusia 40-an itu untuk meminta bantuan pada hari dia dilaporkan hilang.

“Difahamkan, dia turut menghantar SMS kepada anak sulungnya (Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25,) supaya tidak membenarkan seorang kenalan terdekatnya memasuki rumahnya di Gombak, Selangor.

“Malah, mangsa sempat menghantar SMS kepada anaknya mendakwa dia percaya gambar dirinya diambil secara curi atas motif tertentu,”
katanya.

Difahamkan, polis sudah mengambil keterangan keluarga terdekat Sosilawati selain isteri peguamnya, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan isteri pegawai kredit CIMB Bank, Noorhisham Mohammad, 38, yang didapati hilang bersama jutawan terbabit pada 30 Ogos lalu.

“Berdasarkan siasatan, Sosilawati pernah beberapa kali pergi ke Banting, Selangor, untuk bertemu seorang peguam yang menguruskan soal jual beli tanah milik mangsa.

“Difahamkan, peguam warga tempatan itu pernah dilihat rakan karib Sosilawati bertemu peguam berkenaan. Malah, Sosilawati didakwa turut pernah mengambil beberapa cek daripada peguam berkenaan,”
katanya.

Difahamkan, Sosilawati kali terakhir bertemu peguam berkenaan bagi menguruskan penjualan tanahnya di Pulau Pinang membabitkan nilai jutaan ringgit pada awal Ogos lalu.

Sementara itu, Erni Dekritawati menafikan keluarganya menawarkan sebarang wang tebusan bagi tujuan membebaskan ibunya daripada pihak yang melarikan mangsa bersama tiga individu lain.

Menurutnya, maklumat itu tidak tepat dan boleh memburukkan keadaan.
“Tiada sebarang tawaran wang tebusan disediakan dan kami meletakkan semua harapan kepada polis bagi menyiasat kes ini. Saya yakin polis melakukan segala yang boleh bagi menyelesaikan kes ini.

“Kami adik-beradik terus berdoa supaya emak selamat dan kembali semula ke pangkuan keluarga,”
katanya.

Dalam kejadian jam 6 petang, 30 Ogos lalu, Sosilawati dilaporkan hilang selepas keluar dari pejabatnya di Jalan Raja Bot, Chow Kit, di sini, dipercayai hendak ke Banting, bagi menemui peguam di sana.

Bagaimanapun, Sosilawati yang menaiki dua kenderaan berasingan bersama tiga individu lain yang mempunyai kaitan dengan perniagaannya dilaporkan lesap sebelum anak mangsa membuat laporan kehilangannya di Balai Polis Dang Wangi di sini, Khamis lalu selepas ibunya tidak pulang ke rumah.



Selongkar sampah cari makanan

Oleh Ahmad Nazri Mohamad dan Mary Victoria Dass

2010/09/07

JOHOR BAHRU: Dua beradik wanita warga emas bukan saja terpaksa makan dedak jagung makanan ayam untuk berbuka puasa dan bersahur setiap hari, malah ada beberapa jiran tetangga tergamak memaki dan meludah jika terserempak dengan mereka yang dianggap pembawa sial.

SUMBER REZEKI...Rahimah (kiri) bersama Fatimah dan Robiah melakukan kerja pengasingan barangan kitar semula.
SUMBER REZEKI...Rahimah (kiri) bersama Fatimah dan Robiah melakukan kerja pengasingan barangan kitar semula.
Kesengsaraan dua beradik berusia 70 dan 73 tahun itu makin bertambah apabila anak seorang daripada mereka berusia 37 tahun menghidap sakit mental manakala badannya penuh kurap.

Tiga bersaudara itu menumpang di kediaman seorang saudara mereka di rumah pangsa Blok 73, Taman Ungku Tun Aminah di sini, namun mereka hanya boleh menggunakan ruang tamu dan dapur selain dilarang menyentuh mana-mana peralatan milik tuan rumah atau masuk mana-mana bilik.

Lantaran kedaifan, tiga bersaudara itu terpaksa menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan harian sehingga ada jiran seagama yang melabelkan mereka sebagai ‘keluarga sampah’.

Bagaimanapun, dua warga emas itu, Fatimah Abdul Hamid, 72, dan adik perempuannya, Rahimah Abdul Hamid, 70, dan anak tunggal Fatimah, Robiah Ahmad, 37, nekad meneruskan hidup serba kekurangan itu walaupun masa depan mereka cukup kabur.

Rahimah berkata, dia mempunyai dua anak lelaki tetapi sejak kematian suami, kedua-dua anaknya bersikap lepas tangan dan enggan mengaku dirinya ibu kandung kerana menganggap kehadirannya boleh menimbulkan masalah dalam rumah tangga mereka.

“Saya cukup gembira jika mereka membawa pulang roti, makanan dalam tin mahupun mi yang dijumpai dalam timbunan sampah biarpun sesetengah barangan itu sudah luput tarikh.
“Kami juga akan menyimpan baki makanan yang tinggal termasuk untuk bersahur dan berbuka puasa sepanjang Ramadan ini,”
katanya.

Rahimah berkata, sekiranya Fatimah dan Robiah menemui tin kosong, wayar serta besi terbuang, mereka juga akan mengutip dan menjualnya kepada peniaga barang kitar semula.

Rahimah berkata, pendapatan mingguan keluarga itu yang kurang RM10 juga akan dikumpul bagi membayar bil air dan elektrik kepada pemilik rumah hingga mengakibatkan mereka tidak mampu membeli pakaian selain hanya memakai baju lusuh.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beberapa jiran memandang jijik terhadap mereka sehingga tidak membenarkan mereka menghadiri sebarang majlis keramaian di situ.

“Kami dipandang hina selepas Robiah mengalami alahan kulit di seluruh badan dipercayai akibat jangkitan kuman kerana terpaksa menyelongkar sampah pada setiap pagi bersama ibunya.

“Kami juga diludah dan dimaki dengan perkataan kesat sehingga sakit telinga sekiranya membuka pintu depan rumah. Sebab itu kami terpaksa keluar masuk menggunakan pintu dapur,”
katanya ketika melakukan kerja pengasingan barang kitar semula di belakang lorong rumah semalam.

Menurut Rahimah, berbanding keluarga lain yang sibuk melakukan persiapan raya, mereka bertiga hanya mampu menitiskan air mata.

“Sudah hampir lima tahun kami tidak membeli baju raya mahupun memasak makanan sedap ketika Aidilfitri sebaliknya seperti biasa hanya memakan dedak dan makanan basi.

“Rumah kami juga tidak dikunjungi tetamu. Pada hari raya selalunya kami hanya berkurung dalam rumah, mungkin sudah takdir hidup kami begini. Apapun, kami perlu hadapi dugaan Allah ini dengan hati tabah,”
katanya yang turut berharap kedua-dua anaknya menziarahinya pada 1 Syawal nanti.

Jangan bawa beg orang lain: Polis

2010/09/07

KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan orang ramai yang pulang berhari raya agar tidak mudah terpedaya dengan permintaan sesetengah pihak yang mahu mereka membawa beg atau bungkusan ke destinasi tertentu.

Ketua Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, ACP Kang Chez Chiang, berkata bungkusan tersebut dikhuatiri mengandungi dadah dan taktik itu dikesan berlaku di perhentian bas, stesen keretapi dan juga lapangan terbang sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, taktik itu sering diguna oleh pengedar dadah kerana ketika itu orang ramai mahu pulang berhari raya ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kita memerlukan kerjasama daripada masyarakat supaya tidak membawa beg kepunyaan orang lain yang tidak dikenali atau menumpangkan apa-apa jenis barang yang mencurigakan," katanya.

Katanya, pengedar dan pembekal akan meletakkan beg atau bungkusan mengandungi dadah di dalam bas, kawasan bagasi keretapi atau menumpang beg orang lain di lapangan terbang.

"Setibanya di destinasi, beg atau bungkusan itu akan diambil pihak kedua sebelum diedarkan," katanya. - BERNAMA

Monday, September 6, 2010

Belasungkawa : Kehilangan Yusof Chong Sukar Diganti

Isnin September 6, 2010

Allahyarham Yusof Chong meninggal dunia Ahad lalu akibat komplikasi pelbagai penyakit. Beliau meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor. Gambar: Utusan Malaysia

HANYA tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam hendak menyambut Syawal, dunia hiburan dikejutkan dengan berita sedih kematian pelawak terkenal Yusof Chong,63.

Beliau meninggal dunia di Hospital Selayang, Ahad kira-kira pukul 3.30 petang akibat komplikasi pelbagai penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi dan batu karang.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Selayang sejak lima hari lalu selepas dipindahkan dari Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Beliau tinggal di kampungnya di Jeniang, Sik, Kedah.

Kehilangan Allahyarham amat dirasai terutama sekali kepada mereka yang pernah menyaksikan persembahan beliau.

Allahyarham tiada duanya. Sehingga hari ini tiada individu yang dapat menggantikan kehebatan Allahyarham.

Beliau mempunyai keistimewaan kurniaan Allah yang tiada tolak bandingnya.

Yusof atau nama sebenarnya Yusop Mat Said bukan sembarangan pelawak kerana setiap kali menghiburkan penonton, lawaknya akan disulam dengan isu-isu semasa termasuklah politik dan hiburan.

Kehebatan beliau kerana berjaya meniru suara pemimpin-pemimpin politik dan seterusnya mampu menggeletek perasaan sesiapa sahaja yang menyaksikan persembahan beliau.

Bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin (kiri) pernah melawat Yusof di rumah anaknya di Batu Caves, Selangor pada tahun 1998. Gambar: Utusan Malaysia

Antaranya kemampuan meniru suara menteri-menteri kabinet seperti Tan Sri Mohamed Rahmad (Allahyarham), Tun Lim Kheng Yeik, Datuk Seri S.Samy Vellu dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau juga mampu meniru suara artis-artis seperti R.Azmi, Datuk David Arumugam, Zain Azman, Halim Yatim dan ramai lagi.

Kesihatan Allahyarham mula terganggu sejak tiga tahun lalu apabila beliau sering keluar masuk hospital.

Pada 26 Ogos lalu beliau dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim kerana penyakit batu karang di dalam buah pinggangnya selain menghidap kencing manis dan paru-paru berair.

Semasa hayatnya, Allahyarham pernah berazam untuk meniru suara lebih 20 artis untuk memastikan apabila beliau tiada lagi, jasanya terhadap dunia hiburan akan dikenang sampai bila-bila.

Konsep yang dibawa Allahyarham dalam lawaknya dengan meniru suara pemimpin kerajaan seperti yang dilakukan pelawak di negara maju adalah sesuatu yang unik dan amat berbeza berbanding pelawak-pelawak yang ada pada hari ini.

Sindiran sinis dalam lawak jenakanya mampu mencuit perasaan penonton. Malah Allahyarham pernah berkata sampai bila seorang pelawak itu hendak disajikan dengan lawak-lawak bodoh dan ketinggalan zaman?

Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia Allahyarham pernah menceritakan bagaimana beliau menyindir Samy Vellu dalam jenakanya tetapi Presiden MIC itu tidak marah sebaliknya ketawa melihat keletahnya itu.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez berkata persatuan itu menganggap pemergian Allahyarham sesuatu kehilangan yang amat besar.

Yusof bagaikan permata yang tidak boleh dicari ganti.

Tiga tahun lalu Karyawan telah memberikan pencen bulanan kepada arwah sebanyak RM500 sebulan serta berjaya mendapatkan sumbangan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebanyak RM10,000.

Malah ketika penderitaannya di siarkan di akhbar, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada beliau.

Sepanjang hayatnya ujar Freddie, Allahyarham merupakan seorang tokoh seniman yang amat baik dan aktif berpersatuan.

Walaupun mengalami keuzuran namun beliau tidak pernah mengetepikan sumbangannya di dalam apa juga aktiviti membabitkan dunia artis.

“Kehilangan beliau amat dirasi dan beliau tiada gantinya. Dunia seni amat sedih dengan pemergian Allahyarham,” kata Freddie.

Yusof menjadi bapa tunggal selepas kematian isterinya Zaleha Osman pada tahun 1994. Hasil perkahwinan beliau pada tahun 1974, mereka memperoleh lima orang anak iaitu Zaliana,32, Ita Zahirah,30, Ahmad Nuzul,28, Ahmad Shatri,24, dan Siti Nurbaya,20.

Allahyarham juga mempunyai tiga orang cucu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat terawih di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tua, Batu Caves, Selangor, pada Ahad.

Saya percaya mereka yang pernah menyaksikan aksi Allahyarham amat terasa dengan kehilangan beliau.

Rakan-rakan artis dan mereka yang senagkatan dengan arwah tentu sekali tidak dapat menahan hiba mengenangkan permata berhaga ini sudah tiada lagi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada bulan yang penuh mulia iaitu bulan yang dijanjikan Allah seribu satu rahmat.

Kepada Allahyarham, semoga Allah merahmati roh mu dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

mStar Online mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/9/6/mstar_hiburan/20100905235223&sec=mstar_hiburan

Polis Teliti Senarai Panggilan Telefon Sosilawati - Musa

Isnin September 6, 2010

KUALA LUMPUR: Senarai panggilan telefon terakhir pengasas produk kosmetik Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dipercayai dapat membuka laluan penyiasatan berhubung kehilangan mereka sejak 30 Ogos lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata pihaknya sedang menunggu datatersebut dan yakin butiran lanjut mengenai kejadian itu akan terungkai sebaik sahaja perincian penggunaan telefon oleh keempat-empat mereka diteliti.

"Kita perlu siasat kesemua anggota keluarga yang terlibat. Setakat ini kita belum dapat apa-apa petunjuk lagi.

"Antara yang kita siasat adalah panggilan telefon (panggilan terima dan panggilan keluar) kesemua mangsa untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media sempena persaraan beliau yang akan berkuat kuasa 12 Sept ini, di sini, Isnin.

Musa berkata setakat ini hanya satu laporan saja diterima polis berhubung kehilangan keempat-empat individu tersebut, iaitu pada Khamis lepas daripada keluarga Sosilawati.

Sosilawati, 47, dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya setelah dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak, sejak seminggu lepas.

Beliau dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun gagal berbuat demikian sehingga hari ini.

Ahli perniagaan itu dilaporkan hilang bersama pemandu, peguam peribadi dan seorang pegawai bank sejak 30 Ogos lepas dan difahamkan Sosilawati membawa wang jutaan ringgit.

Polis kini menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kes kehilangan jutawan itu yang juga merupakan bekas isteri kepada penyanyi, Nash.

Musa berkata pihaknya juga belum mendapat maklumbalas daripada Jabatan Imigresen sama ada mereka telah ke luar negara atau tidak.

Mengulas perkembangan lain, Musa berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah diarahkan untuk menyiasat wujudnya sebuah akaun menggunakan nama beliau dalam laman sosial Facebook.

"Saya memang tiada Facebook. Saya dapat tahu ada orang menyamar jadi saya dua bulan lepas dan saya telah arahkan JSJK untuk siasat," katanya.

Mengenai perkembangan kes Michael Soosai, 47, beliau berkata polis perlu menunggu suspek selesai menjalani perbicaraan di India dan menjalani hukuman sebelum dia boleh dibawa balik ke Malaysia.

"Ini kerana kes bunuh yang dihadapinya (di India) mungkin boleh dihukum penjara. Kita tidak tahu lagi...perlu tunggu maklumat lanjut dari India," katanya.

Soosai dilaporkan ditahan reman dua minggu lagi di negara itu bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung kegiatan jenayahnya termasuk kes bunuh pada 2004 di India. -BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/6/mstar_berita/20100906195948&sec=mstar_berita

Anak syak ibu dikurung



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammed Appendy Issahak
anbia@hmetro.com.my
2010/09/06

KUALA LUMPUR: Hartawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 44, dilaporkan hilang secara misteri sejak seminggu lalu dan gagal dikesan hingga kini.

Difahamkan, kehilangan bekas isteri kepada vokalis kumpulan rock Lefthanded, Nash itu menyebabkan anak mangsa mengesyaki ibunya dilarikan dan dikurung sebelum membuat laporan polis.

Turut hilang bersama jutawan berkenaan ialah tiga individu lain mempunyai hubungan dengan urusan perniagaan dan syarikatnya.

Susulan itu, anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kehilangan ahli perniagaan berkenaan bersama tiga individu lain.

Sumber polis berkata, kehilangan Sosilawati hanya dilaporkan anak perempuan mangsa berusia 21 tahun Khamis lalu selepas mendapati ibunya gagal dihubungi tanpa sebab sejak malam Isnin.

Difahamkan, anak mangsa yang juga pembantu perniagaan kepada ibunya mula berasa tidak sedap hati berikutan ibunya tidak pernah `hilang’ apatah lagi telefon bimbitnya gagal dihubungi.

“Berdasarkan maklumat, Sosilawati dikatakan tidak pernah mematikan telefon bimbit dan kerap kali menghubungi anak atau pekerjanya bagi memaklumkan apa jua perkembangan dirinya selain lokasi dia berada.

“Namun pada jam 6 petang Isnin lalu, Sosilawati dikatakan keluar bersama pemandu peribadinya bernama Kamal untuk bertemu seorang peguam di Banting, Selangor. Dia ketika itu meninggalkan pejabatnya di Jalan Raja Bot, Chow Kit, di sini,”
katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan, Sosilawati dikatakan turut ditemani dua lagi individu bernama Hisham dan Kamil yang juga seorang pegawai bank bagi menguruskan isu jual beli tanah serta peguam mangsa.

“Namun kira-kira jam 9 malam, anak mangsa menerima SMS daripada ibunya yang mengandungi mesej aneh dan sukar difahami.

“Anak mangsa cuba untuk menghubungi ibunya itu tidak lama kemudian namun gagal. Malah tiga individu lain yang dipercayai berada bersama mangsa turut gagal dihubungi sehingga hari ini,”
katanya.

Difahamkan, polis menyerbu sebuah kediaman di Jalan Duta di sini, namun tidak menemui mangsa seperti maklumat disalur keluarga mangsa.

Difahamkan, polis turut berusaha menjejaki mangsa selain mendapatkan maklumat serta mengambil keterangan anak mangsa di IPK tengah hari semalam bagi meleraikan misteri kehilangan usahawan wanita berjaya itu.

“Setakat hari ini (semalam), masih belum ada perkembangan positif berhubung kes kehilangan ahli perniagaan berkenaan walaupun ada maklumat mendakwa mangsa dikesan berada di Batu Pahat, Johor,” katanya.

Sementara itu, keluarga mangsa turut mendapatkan khidmat bantuan pengamal perubatan tradisional bagi mengesan lokasi mangsa disembunyikan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan ahli perniagaan berkenaan dan memberitahu polis berusaha sedaya upaya mengesan mangsa.

Menurutnya, polis setakat ini sudah mengambil keterangan daripada keluarga mangsa selain pekerja bagi membolehkan siasatan rapi dilakukan berhubung motif kehilangan Sosilawati.

Sementara itu, anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, malam tadi memberitahu, setakat ini belum ada sebarang berita mengenai ibunya.

Menurutnya, dia serta semua ahli keluarga berkumpul di rumah sejak hari ibunya hilang serta dalam keadaan bersedih dan hanya mampu membuat solat hajat, membaca Yasin serta berdoa agar ibunya selamat.

Selain itu, menurutnya ahli keluarga juga dipanggil ke IPK Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung kehilangan ibunya bagi membantu siasatan.

Jutawan kosmetik hilang bersama wang RM4 juta


INILAH kediaman mewah Sosilawati di Gombak yang hilang tanpa berita sejak enam hari lalu.


KUALA LUMPUR - Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya menimbulkan misteri apabila dia dan tiga yang lain dilaporkan hilang enam hari lalu selepas keluar dari sebuah pejabatnya di Kampung Baru di sini pada 30 Ogos lalu.

Turut hilang bersama Sosilawati yang merupakan pengarah urusan dan pengasas syarikat produk kecantikan Nouvelles Visage itu ialah seorang peguam, pegawai bank dan pemandu wanita itu.

Mereka hilang bersama kereta BMW X7 milik Sosilawati.

Satu sumber berkata, sebelum hilang, Sosilawati yang merupakan bekas isteri penyanyi terkenal kumpulan Lefthanded, Jamaludin Elias atau lebih dikenali Nash dikatakan telah meninggalkan pejabatnya bagi menghadiri majlis berbuka puasa.

Namun, selepas meninggalkan pejabat itu, telefon bimbit milik wanita terbabit gagal dihubungi menyebabkan anak sulungnya yang dikenali sebagai Rita membuat laporan di Balai Polis Gombak.

Difahamkan, sebelum dilaporkan hilang, Sosilawati yang berasal dari Batu Pahat, Johor dipercayai telah mengeluarkan wang sebanyak RM4 juta kononnya bagi membeli sebidang tanah di Banting, Selangor.

Sosilawati dan Nash, 50, telah berkahwin pada 16 November 2006 sebelum bercerai secara sah dengan talak satu raji'e di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada 26 Mei 2009.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Aidilfitri tunggu ibu pulang

Oleh D J Dolasoh
am@hmetro.com.my
2010/09/06

GERIK: “Mak, datanglah ambil kami. Kami adik- beradik mahu menyambut Aidilfitri nanti bersama mak. Kami semua masih belum ada baju raya.

“Kami terutama adik (bongsu, Muhammad Aidilfitri, 5,) paling rindukan emak dan mahu mak pulang segera. Kenapa mak tinggalkan kami lima beradik sendirian,” keluh Nur Syafiqah Abdullah, 14.


Nur Syafiqah, anak sulung Siti Rohmah Asnawi, 34, seorang warga Indonesia yang berkahwin dengan penduduk tempatan sebelum menghilangkan diri meninggalkan lima anaknya ketika menyewa rumah teres di Setapak Jaya, Kuala Lumpur, Mei lalu.


Empat lagi adik Nur Syafiqah iaitu Nur Syahidah Awang Bakar, 11; Muhammad Azhar, 9; Siti Nur Aishah, 7, dan Muhammad Aidilfitri, 5, menumpang di rumah sewa abang berlainan ibu, Mohd Irwandi Awang Bakar, 24, di Kampung Bersia Lama, Gerik dekat sini, sejak dua bulan lalu.


Nur Syafiqah berkata, sehingga kini, dia hairan kenapa ibunya meninggalkan lima beradik dan ketika itu, ibunya memberikan wang RM100 kepadanya.


“Pada mulanya kami ingat mak nak pergi cari kerja selepas ayah, (Awang Bakar Jusoh) meninggal dunia pada 2 Oktober 2008. “Bagaimanapun, sejak itu mak tidak pulang dan lebih sebulan kami empat beradik makan dan minum atas belas ihsan jiran,” katanya ketika ditemui di rumah sewa abangnya, kelmarin.


Menurut Nur Syafiqah, dia bersekolah sehingga tahun enam dan tidak dapat menyambung ke tingkatan satu kerana pihak sekolah tidak mengiktiraf sijil kelahirannya yang didakwa palsu.


“Dua lagi adik saya, Nur Syahidah dan Muhammad Azhar masing-masing belajar di tahun tiga dan lima di Sekolah Kebangsaan Bersia Lama (SKBL), Gerik sejak sebulan lalu, tetapi Siti Nur Aishah yang sepatutnya belajar di tahun satu juga tidak boleh bersekolah,” katanya.


Sementara itu, Mohd Irwandi berkata, dia bergegas ke Kuala Lumpur sebaik dihubungi pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Setapak Jaya membincangkan masalah pendaftaran pengenalan diri dan status kerakyatan adik berlainan ibu yang diragui kerana emak mereka warga asing.


Katanya, sehingga kini, Nur Syafiqah tidak dapat membuat MyKad serta tidak memperoleh status warga negara menyebabkan dia tidak dapat menyambung pengajian ke sekolah menengah dan tidak dapat dibintikan dengan nama Awang Bakar.


“Saya merayu kepada pihak berkenaan menyelesaikan masalah adik saya yang masih diragui status kewarganegaraan untuk membolehkan mereka belajar bagi menjamin masa depan.

“Malah, saya buntu memikirkan apabila diminta keluar dari rumah disewa sejak lebih setahun lalu dengan sewa RM70 sebulan selepas Aidilfitri ini kerana pemilik rumah mahu anaknya tinggal di rumah itu,” katanya.


Katanya, dia kini bekerja sebagai nelayan di Tasik Banding memperoleh pendapatan antara RM400 hingga RM700 sebulan yang pastinya tidak memadai memiliki rumah sendiri selain menanggung isteri, Nurasikin Angah, 20, keturunan Orang Asli suku Temiar dari Kemar, Banding serta anak mereka, Nur Ariana Tasya, 2.


Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kepada adik-beradik berkenaan boleh berbuat demikian menerusi alamat No 52, Kampung Bersia Lama, 33320 Gerik, Perak atau nombor akaun CIMB Mohd Irwandi 0810-0066633-52-0 atau hubungi 019-5437025.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Aidilfitritungguibupulang/Article

Sunday, September 5, 2010

Tiga sahabat terjerat

Oleh NORAINON OTHMAN dan MARY VICTORIA DASS
metahad@hmetro.com.my
2010/09/04

JOHOR BAHRU: Hebatnya ayat ‘power’ seorang kasanova apabila menjerat tiga sahabat baik sekali gus sebelum mengikis barang kemas dan wang simpanan mereka untuk berjoli dan hidup selesa tanpa perlu bekerja.

ADUAN... Hana dan rakan menunjukkan laporan polis berhubung diperdaya oleh seorang kasanova.
ADUAN... Hana dan rakan menunjukkan laporan polis berhubung diperdaya oleh seorang kasanova.


Secara kebetulan, tiga sahabat berkenaan menepati kriteria ditetapkan sebelum lelaki itu menggunakan pelbagai ayat manis untuk meyakinkan mangsa dia mencintai mereka dan berhasrat mendirikan rumah tangga.

Seorang mangsa dikenali sebagai Hana, 35, berkata dia mengenali lelaki itu di Ulu Tiram pada November lalu, di mana kehadirannya mengisi kesunyian ketika mengalami krisis rumah tangga dan nyaris berpisah dengan suami.


“Lelaki itu yang berpura-pura seperti dalam kesusahan turut berkongsi kisah hidupnya yang pilu kononnya dipulau ahli keluarga dan tiada pekerjaan bagi menyara hidup.

“Dia pandai bermain kata-kata dan bersifat romantik bagi memenangi hati saya supaya percaya janji manisnya, di mana dalam tempoh beberapa bulan perkenalan itu dia pernah menyatakan hasrat mengahwini saya,”
katanya.

Bagaimanapun, Hana berkata, perkara sebaliknya berlaku apabila lelaki itu mempengaruhinya untuk menyerahkan wang lebih RM2,000 secara berperingkat, termasuk barang kemas, bagi membantu setiap kali menghadapi masalah.

Katanya, pada masa sama lelaki itu memasang jerat terhadap dua rakannya iaitu ibu tunggal berusia 32 tahun dan isteri berusia 41 tahun yang ada masalah rumah tangga.

Menurutnya, lebih mengejutkan, lelaki itu juga menjerat mangsa lain yang dahagakan belaian lelaki sebelum mengikis wang mereka untuk berseronok tanpa perlu bekerja.

“Selepas kami bertiga mengetahui muslihat lelaki itu, saya pergi ke kampung halamannya dan terkejut mendengar cerita penduduk lelaki itu terkenal dengan sikap gemar menggoda wanita kesepian serta memperdaya mereka.

“Saya terkejut apabila difahamkan lelaki itu mampu memiliki dua kereta. Dia kini dikatakan menjalin hubungan dengan seorang janda anak dua di Batu Pahat. Bagi menampakkan kesegakan, dia gemar memakai cermin mata gelap serta bertopi.


“Lelaki itu sepatutnya dikenakan tindakan bagi mengelak lebih ramai wanita menjadi mangsa,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Ulu Tiram, di sini, semalam.

Hana berkata, dia tidak menyangka lelaki itu yang menjalin hubungan percintaan dengannya turut menggoda dua rakan baik sehingga mereka berhabis ribuan wang demi lelaki hidung belang itu.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, helah lelaki digelar Man itu terbongkar apabila dia terlihat SMS menggunakan ‘ayat power’ dihantar ke telefon rakannya yang juga bekerja sebagai operator di kilang sama.

Kelicikan Man memerangkap wanita bermasalah turut diakui seorang lagi rakan Hana, Ida, 32.

“Dalam tempoh sebulan bekerja di kilang, saya mengenali Abang Man menerusi rakan dan selesa dengan perwatakannya yang peramah serta penyayang. Dia kerap menelefon dan bertanya khabar anak,” katanya yang juga ibu tunggal.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia juga pernah beberapa kali keluar bersama lelaki itu yang kelihatan ikhlas ketika meluahkan hasratnya mahu mengahwininya jika anaknya bersetuju.

Katanya, lelaki itu juga pernah tinggal beberapa hari bersama keluarganya dengan alasan mahu menambat hati anak supaya memudahkannya melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa pada masa depan.

“Saya mula yakin terhadapnya selain sanggup mengeluarkan wang hasil simpanan arwah suami bagi membantunya.

“Perancangan kami untuk membuka perniagaan sendiri, di mana Abang Man menyatakan mahu membantu saya sepenuh masa,”
katanya.

Ida berkata, dia juga pernah menyerahkan sejumlah wang kepada lelaki itu yang kononnya mahu mendaftar perniagaan, selain membeli beberapa peralatan bagi membolehkan mereka beroperasi dari rumah.

Bagaimanapun, katanya, impian itu hanya hangat-hangat tahi ayam apabila lelaki berkenaan enggan menjawab panggilan setiap kali dia cuba menghubunginya.
“Ratusan kali saya cuba menghubunginya tetapi gagal dan difahamkan dia mempunyai teman wanita baru.

“Mungkin silap saya kerana mudah percaya Abang Man dan saya berjanji akan lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya.

Seperti Ida, kasonova itu juga memerangkap Kasmah, 41, dengan modal sama iaitu berhajat memperisterikannya.

“Saya masih tidak dapat melupakan janjinya untuk mendirikan rumah tangga akhir tahun ini namun selepas kami bertiga menyedari helahnya, dia menghilangkan diri,” katanya yang masih bersuami.

Kasmah berkata, dia tidak menyangka boleh menjadi kekasih gelap kasanova itu hingga hanyut ke lembah dosa.

Menurutnya, menyedari dia menghadapi masalah rumah tangga dan suaminya bekerja di luar daerah, kasanova itu berpura-pura mengambil berat sebelum menunjukkan belang.

“Walaupun pada awalnya hubungan itu biasa saja namun lama-kelamaan saya mula jatuh hati terhadapnya.

“Saya kurang pasti sama ada dia menggunakan ilmu bagi menggoda saya dan dua rakan, namun sikap penyayangnya membuatkan saya cair sama seperti mereka,”
katanya.

Kasmah berkata, dia insaf terhadap perbuatannya selepas menyedari helah kasanova itu yang mengambil kesempatan, termasuk memuaskan nafsu dan mengikis wangnya.

Dia juga terkejut apabila difahamkan kasanova itu memiliki dua kereta di mana ansuran bulanan kenderaan didakwa dibayar beberapa kekasihnya.

“Rupa-rupanya lelaki itu hidup secara mudah dengan hanya mengumpan ayat cinta pada wanita seperti kami. Saya berharap dia mendapat balasan secepat mungkin dan sedar kesilapannya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tigasahabatterjerat/myMA/myArticle

Aida Aris Sah Bergelar Isteri Husfarid

Published: Sabtu September 4, 2010 MYT 2:13:00 PM
Updated: Sabtu September 4, 2010 MYT 2:20:46 PM

Aida menerima mas kahwin daripada Husfarid selepas sah bergelar suami isteri. - Foto oleh LOW LAY PHON

HULU KELANG: Dengan sekali lafaz, aktres Aida Aris, 38, sah bergelar isteri kepada Husfarid Shaikh Ali @ Shaikh Hussain, 38, di kediaman pengantin perempuan pada pukul 10.45 pagi di Taman Sierra Ukay, di sini, Sabtu.

Kedua mempelai dinikahkan oleh Ustaz Daim Jajuli, pegawai tadbir dan pendaftar kanan dari Pejabat Agama Islam Gombak Timur, Keramat berwalikan abang Aida, Amiruddin Mat Aris, 42, dengan mas kahwin RM330.

Menurut Amiruddin, bapa Aida, Mat Aris Janor, 83, tidak boleh mewalikan pernikahan anak perempuannya itu kerana uzur.

Aida turut menerima hantaran berupa sebentuk cincin daripada pihak lelaki dan membalas kepada pasangannya dengan hantaran yang sama.

Aktres yang popular menerusi drama bersiri Awan Dania ini akui lega, gembira dan terharu selepas diijabkabulkan.

Bergambar bersama-sama ibu bapa kedua-dua belah pihak dan anak-anak Husfarid.

"Alhamdulillah, segala-galanya berjalan dengan baik walaupun dalam keadaan tergesa-gesa. Selepas kami mendapat kebenaran dari pejabat agama pada minggu lalu, terus kami menetapkan tarikh perkahwinan dan membuat persiapan dalam masa seminggu.

“Kalau boleh, memang saya nak beraya dengan suami pada tahun ini,” kata Aida yang anggun mengenakan pakaian potongan kebaya moden berwarna kelabu rekaan Arefen Zaidin.

Jika mengikut perancangan, mereka mahu disatukan sebelum bulan Ramadan tetapi disebabkan mempunyai masalah dokumen perkahwinan di pejabat agama, maka perkahwinan itu terpaksa ditangguhkan.

Ceria bersama-sama ibu bapa Aida.

Kira-kira 50 orang hadir dalam majlis sederhana itu termasuk bapa Aida, ibu Aida, Siti Khadijah Abu Sujah, 72, ibu Husfarid, Maznah Jaafar, 63, bapa Husfarid, Shaikh Hussein Shaikh Ibrahim, 72, dua orang anak Husfarid iaitu Farish Nasha, 9, dan Danish Hazin, 7, serta pelakon Sharifah Haslinda dan suami, Datuk Seri Reezal Merican Naina.

Sementara persalinan baju Melayu kelabu Husfarid turut direka oleh Arefen Zaidin. Selain itu, pelamin rekaan Butik Pengantin Inspirasi Cinta yang ditaja oleh pelakon Sharifah Shahira serta solekan oleh Su Cantik.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah pelakon Sharifah Haslinda dan suami, Datuk Seri Reezal Merican Naina.

Majlis resepsi mereka akan berlangsung pada malam ini di kediaman Aida dengan bertemakan warna merah dan putih. Arefen Zaidin juga bertindak selaku pereka persalinan untuk resepsi kedua-dua mempelai. Seramai 200 tetamu yang dijemput meraikan mempelai terdiri daripada kaum keluarga, sanak saudara dan rakan terdekat.

Buat sementara ini, mereka tidak pasti sama ada akan mengadakan majlis kenduri besar-besaran selepas ini.

Aida dan Husfarid telah melalui tempoh perkenalan sejak 17 Februari tahun ini selepas berjumpa di majlis hari jadi Aida. Husfarid merupakan Ketua Pramugara MAS dan telah hidup menduda selama tiga tahun. Hasil perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan dua orang anak.

Bagi Aida yang menjanda selama lima tahun, ini merupakan perkahwinan keduanya dan tidak dikurniakan cahaya mata selepas berkahwin dengan produser program, Bob Azrai.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/9/4/mstar_hiburan/20100904141225&sec=mstar_hiburan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...