Wednesday, September 8, 2010

Warga emas sasar salun

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

2010/09/08

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas dikesan bergiat aktif mencuri barangan berharga milik pekerja salun kecantikan dengan berpura-pura bertanyakan khidmat ditawar sebelum mencuri barang berharga dan melarikan diri.

Dalam kejadian terbaru pada 13 Ogos lalu, wanita berusia 50-an itu melarikan dompet dan telefon bimbit milik seorang pemilik salun berusia 36 tahun di Jalan Pudu, di sini, selepas berpura-pura bertanyakan mengenai rawatan muka dan kuku di salun itu.


Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa dikatakan meninggalkan dompet dan telefon bimbitnya yang dianggarkan bernilai RM2,400 di atas meja kaunter sebelum keluar sebentar atas urusan peribadi dan menyerahkan urusan perniagaan kepada pekerjanya.


Katanya, suspek kemudian masuk ke premis itu sebelum bertanyakan mengenai bayaran rawatan muka dan kuku sehingga memeningkan pekerja salun itu menjawabnya kerana perkhidmatan yang sedia hanyalah servis menggunting rambut.


“Pekerja yang dalam kebingungan itu lantas ke bilik berdekatan untuk bertanyakan rakannya berkaitan perkhidmatan berkenaan dan meninggalkan wanita itu bersendirian,” katanya.


Sejurus pekerja terbabit keluar dari bilik didapati suspek sudah menghilangkan diri. Apabila diperiksa, telefon bimbit dan dompet majikannya turut lesap.


Mangsa yang pulang ke salunnya kira-kira jam 5 petang kemudian membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee.


“Sebelum ini premis mangsa dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), tetapi pada hari kejadian CCTV itu rosak dan tidak berfungsi,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wargaemassasarsalun/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...