Sunday, November 7, 2010

Tiga pesawat TUDM ke Solo bawa pulang rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Dua pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berlepas ke Yogyakarta, Solo, Indonesia dari Pangkalan TUDM Subang dekat sini hari ini, bagi membawa pulang 664 rakyat Malaysia yang terkandas di provinsi republik itu berikutan kejadian letusan Gunung Merapi.

Pengarah Malaysian Education Department di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata satu lagi pesawat jenis yang sama turut berlepas dari Markas Pangkalan Udara Labuan bagi tujuan yang sama.


Beliau berkata, pesawat berkenaan sepatutnya berlepas ke Solo semalam, namun disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu serta tidak mendapat kebenaran dari Lapangan Terbang Solo, ia ditangguhkan ke hari ini.

Bagi misi hari ini, hanya 360 orang akan dibawa pulang dan dijangka tiba di Pangkalan TUDM Subang kira-kira 5 petang memandangkan setiap pesawat C-130 itu hanya dapat memuatkan 120 orang dalam satu-satu masa.


"Selebihnya akan dibawa pulang esok," katanya ketika ditemui di Pangkalan TUDM Subang sebelum berlepas dengan pesawat itu hari ini.


Junaidi turut meminta ibu bapa pelajar terbabit yang terbabit agar tidak terlalu risau kerana keadaan anak mereka selamat.

"Di sana kita sudah menempatkan anak mereka di hotel dan asrama jadi anak mereka berada dalam keadaan selamat, jadi ia berbeza dengan keadaan kita semasa di Padang dahulu," katanya. --Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/TigapesawatTUDMkeSolobawaplangrakyatMalaysia/Article

Banjir dan Politik


Banjir: BN hanya berlakon, tuduh melulu
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Dakwaan Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan Negeri Kedah melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa banjir di negeri itu adalah tuduhan melulu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sejak dari awal banjir melanda negeri itu, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan membantu mangsa banjir termasuk memastikan pusat penempatan sementara mencukupi.

"Tuduhan mengatakan kerajaan Negeri Kedah tak ambil tahu masalah mangsa banjir satu tuduhan yang sangat melulu, yang dibuat oleh Barisan Nasional.

"Kerajaan negeri menyediakan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir termasuk sumbangan daripada PAS sendiri, wakil-wakil rakyat dan sumbangan orang ramai," kata Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini.

Ujarnya, media hanya membuat laporan berdasarkan kenyataaan pempimpin Umno, tanpa mengikuti sendiri perkembangan dan usaha yang dilakukan kerajaan negeri.

"Media juga memberikan laporan yang tak betul. Kata tak ada pemimpin Pakatan Rakyat yang turun dan sebagainya. Media tak pernah pun ikut kita. Kita pun tak fikir waktu banjir ini nak panggil media, tak sempat nak tunggu media datang untuk kita redah kawasan banjir.

"Kalau nak tunggu media datang baru nak pergi kawasan banjir, bermasalah juga. Mana nak jaga orang media, mana nak bawa bantuan, bot pun tak cukup.

"Kita tak ada masa nak ambil gambar, nak berlakon, jadi kita pergi semata-mata untuk bagi bantuan. Sharizat datang sehari dua sahaja, bukan pergi semua kawasan pun," katanya.

Menurutnya juga, keadaan banjir di negeri itu sudah semakin pulih namun ada beberapa kawasan yang masih ditenggelami air.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri masih meneruskan pemberian bantuan khususnya bekalan makanan dan air bersih.

"Banjir makin pulih dan sebahagian besar mangsa sudah pulang.Tapi masak dan makan minum masih di pusat penempatan. Dijangka esok sebahagian besar mangsa akan pulang ke rumah masing-masing.

"Bantuan masih diperlukan kerana kita nak pastikan setelah pulang dari pusat pnempatan, mereka dapat bagi tumpuan untuk cuci rumah yang mengalami banyak kerosakan dan harta benda.

"Kita akan bagi apa-apa sumbangan yang ada dalam stok kita khususnya air bersih kerana di kawasan tertentu bekalan air terputus," katanya lagi.

Mahfuz juga memaklumkan, misi bantuan banjir di kawasannya akan bergerak ke Kampung Empa dan Kampung Seberang Paya di Dun Bukit Lada hari ini untuk menghantar bantuan kepada mangsa di kawasan itu yang terputus hubungan dengan kawasan lain sejak beberapa hari yang lalu.

"Penduduk di sana terputus hubungan dengan kawasan lain. Bomba pun tak berani nak pergi sebab bot mereka kecil dan arus deras," jelasnya.
Bekalan makanan juga akan dihantar ke Dun Bukit Pinang hari ini.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29364:banjir-bn-hanya-berlakon-tuduh-melulu&catid=1:utama&Itemid=50

Banjir: Makin ramai dipindah di Kota Setar

Nov 7, 10 11:28am

Keadaan banjir di daerah Kubang Pasu semakin pulih dengan jumlah mangsa yang dipindahkan terus berkurangan tetapi jumlah mangsa yang dipindahkan di daerah Kota Setar terus meningkat.

Sehingga pukul 8 pagi ini, seramai 32,066 orang daripada 7,938 keluarga masih berada di 83 pusat pemindahan di empat daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika dihubungi Bernama berkata di daerah Kota Setar, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan semakin meningkat iaitu 21,058 orang dengan jumlah keluarga 5,050 berbanding 19,591 orang petang semalam.

Bilangan mangsa di Kubang Pasu pula terus berkurangan dengan jumlah terkini ialah 9,351 orang daripada 2,591 keluarga berada di pusat pemindahan manakala jumlah mangsa di daerah Pokok Sena ialah 1,413 orang daripada 234 keluarga dan di Pendang seramai 244 orang melibatkan 63 keluarga.

Katanya sebanyak 83 buah pusat pemindahan masih dibuka iaitu 45 buah di daerah Kota Setar, 34 di Kubang Pasu, tiga di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar bandaraya Alor Setar pagi ini mendapati kebanyakkan jalan utama yang menghubungkan ke pusat bandar sudah boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Air di kawasan sekitar bandar raya ini mulai surut sejak lewat malam tadi.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/147498

Kedah sedia RM1 juta bantu mangsa banjir

Harakahdaily

ALOR SETAR, 7 Nov: Kerajaan Negeri Kedah telah memperuntukkan hampir RM1 juta untuk membantu mangsa banjir di samping RM500,000 daripada wang zakat yang diumumkan Sultan Kedah semalam.

Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi (gambar) berkata, soal kerajaan negeri tidak membantu mangsa banjir tidak berbangkit langsung di negeri ini.

"Yang menjadi masalah adalah media yang tidak membuat liputan untuk kerajaan negeri," kata beliau.

Kerajaan negeri, katanya, telah menubuhkan Bilik Gerakan Banjir peringkat negeri dan daerah.

Di peringkat negeri ia diketuai oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri manakala di daerah di ketuai Pegawai Daerah.

"Memandangkan SUK di Mekah, Timbalan SUK, Datuk Haji Ahmad Mat Isa yang ketuai operasi ini," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Selain jentera kerajaan, NGO dan parti politik khasnya PAS dan Pakatan Rakyat juga terlibat.

"Dakwaan Shahrizat Jabatan Kebajikan Masyarakat agensi pusat tak betul. Pengarahnya staff kerajaan negeri. Ia agensi bersama," katanya.

Beliau mengaku jabatan itu paling banyak membantu magsa di samping kerajaan tempatan, polis, bomba dan juga jabatan kesihatan dan pelajaran.

Hari ini, kata Phahrolrazi, pihaknya bersama JKR akan bersama syarikat yang menjaga konsesi trek berkembar, Gamuda, akan menyiasat kalau projek itu menyebabkan laluan banjir tersekat.

"Memang di Jalan Tun Razak dan Jalan Sultanah ada isu itu, kita akan siasat secara menyeluruh hari ini," katanya.

(Gambar: Pengerusi surau As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri, Rawang menyerahkan sumbangan kepada ustaz Ghazali Omar (kanan) untuk diserahkan kepada mangsa banjir di Kedah)

Sementara itu, sumbangan dari luar datang mencurah-curah untuk membantu mangsa banjir di negeri Kedah.

Tengahari ini, Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali menyerahkan sumbangan RM400,000 dari kerajaan negeri Selangor kepada kerajaan negeri Kedah.

Bantuan juga diserahkan oleh kawasan-kawasan PAS di seluruh negara di samping kutipan dibuat di masjid dan surau untuk diserahkan kepada mangsa banjir.

Pemuda PAS kawasan Selayang telah menghantar kira-kira 50 kampit beras dan diserahkan di bilik oeparasi banjir PAS yang terletak di Kompleks PAS Kedah, dekat Kota Sarang Semut.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29361:kedah-sedia-rm1-juta-bantu-mangsa-banjir&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

Banjir: Lebih 21,000 dipindah di Kota Setar

Harakahdaily

ALOR SETAR, 7 Nov: Biarpun banjir di beberapa kawasan di Kedah semakin pulih, namun jumlah mangsa yang dipindahkan di daerah Kota Setar terus meningkat.

Sejumlah 21,058 mangsa dengan jumlah keluarga 5,050 telah dipindahkan, berbanding 19,591 orang petang semalam di daerah itu.

Pengarah Lojistik pasukan Unit Amal PAS, Mohd Zad Abdullah ketika dihubungi berkata kesemua mangsa di daerah ini kini ditempatkan di Sekolah Menengah Agama Alor Setar.

"Alhamdulillah sehingga kini kita terima banyak bantuan untuk disampaikan kepada mangsa-mangsa di sini.

"Cuma satu sahaja masalah kita, usaha untuk memindahkan mangsa banjir agar sukar kerana lauan kita tersekat dengan air. Kita terpaksa guna alternatif lain, itu yang lambat sikit," katanya kepada Harakahdaily.

Sehingga kini lebih 120 anggota Unit Amal PAS dikerah membantu mangsa banjir di Kedah dan jumlah itu akan ditambah dari masa ke masa mengikut keperluan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijadual melawat ke penempatan sementara di sini jam 2 petang ini

Sementara itu, Bernama melaporkan sehingga pukul 8 pagi ini, seramai 32,066 orang daripada 7,938 keluarga masih berada di 83 pusat pemindahan di empat daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.

Bilangan mangsa di Kubang Pasu terus berkurangan dengan jumlah terkini ialah 9,351 orang daripada 2,591 keluarga berada di pusat pemindahan manakala jumlah mangsa di daerah Pokok Sena ialah 1,413 orang daripada 234 keluarga dan di Pendang seramai 244 orang melibatkan 63 keluarga.

Sebanyak 83 buah pusat pemindahan masih dibuka iaitu 45 buah di daerah Kota Setar, 34 di Kubang Pasu, tiga di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Sementara itu, tinjauan di sekitar bandaraya Alor Setar pagi ini mendapati kebanyakkan jalan utama yang menghubungkan ke pusat bandar sudah boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Air di kawasan sekitar bandar raya ini mulai surut sejak lewat malam tadi.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29363:banjir-lebih-21000-dipindah-di-kota-setar&catid=1:utama&Itemid=50

Tidak diambil iktibar banjir 2005

Litmohd

KANGAR, 5 Nov: Hujan lebat sejak 31 Oktober lalu telah mengakibatkan banjir besar di Kangar sehingga satu-satunya bandar kecil di utara tanahair kini menjadi seperti bandar terapung.

Sungai Perlis yang merentasi bandar Kangar telah melimpah melitupi seluruh bandar Kangar.

Sesetengah tempat mencatat kedalaman sehingga satu meter dan mengikut laporan air dijangka meningkat 2 meter kerana air di Empangan Tasoh terpaksa dilepaskan kerana berada di paras yang melebihi maksimum.

Dua hari sebelum banjir melanda, pada petang Khamis, 28 Oktober 2010 puting beliung yang amat jarang berlaku di Malaysia, tiba-tiba membadai kawasan Arau, memusnahkan berpuluh buah rumah.

Ia seperti amaran atau utusan khas dari Yang Maha Berkuasa bahawa satu banjir besar akan berlaku di Perlis.

Banjir besar yang berlaku lima tahun lalu gagal diambil iktibar oleh kerajaan negeri Perlis pimpinan Umno-BN.

Banjir yang berlaku pada 2005 itu adalah yang terburuk dalam tempoh 35 tahun mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

Namun banjir pada tahun 2010 ini dijangka lebih buruk melihat kepada paras air yang semakin meningkat dan telah memasuki hari kelima berbanding tiga hari pada 2005.

Antara faktor dominan ialah air yang terpaksa dilepaskan dari Empangan Tasoh.

Beberapa warga Kangar yang ditemui kesal kerana kenapa kerajaan tidak membina saluran khas yang lain sebagai alternatif bagi mengalirkan limpahan air dari empangan tersebut ke laut.

Mengapa air mesti melalui bandar Kangar yang padat dengan penduduk dan merupakan nadi bagi Negeri Perlis, soal seorang penduduk yang ditemui.

Kelekaan ini berkemungkinan berpunca dari pertikaian yang tak kunjung sudah antara team Menteri Besar lama dengan baru. Padahal di era Menteri Besar lamalah yang lebih dikenali dengan jolokan MB 2 persen berlaku pembangunan yang tidak seimbang yang banyak menyusahkan rakyat.

Shahidan Kassim ketika mengunjungi Kelantan di musim banjir suatu ketika dahulu mengkritik kerajaan negeri pimpinan PAS kerana tidak cekap mengurus sistem perparitan. Tingkah laku pimpinan ortodoks Umno ini bolehlah dilihat sebagai ‘kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak nampak’.

Ternyata selepas banjir besar melanda pada 2005, kerajaan pimpinan Umno-BN gagal mengambil tindakan proaktif berjangka panjang bagi mengurangkan risiko banjir.

Rakyat mempersoalkan apa peranan agensi-agensi kerajaan selama lima tahun ini yang ratusan ribu ringgit setahun gaji pegawai-pegawainya dibayar oleh rakyat.

Tinjauan umum penulis mendapati rakyat sudah mula merungut ketidakberkesan pihak berkuasa menangani kesengsaraan mangsa-mangsa banjir, terutamanya dari segi masalah maklumat, kelambatan bantuan dan ketidakcekapan pengurusan.

Amat dikesalkan lagi apabila kenderaan rasmi kerajaan terutama pacuan empat roda digunakan oleh pegawai untuk membawa anak isterinya meronda banjir.

Ia ditambah pula dengan sikap rakyat yang di pimpin oleh Umno-BN, tidak pernah mengambil iktibar bahawa ini bukan sahaja bencana alam, tetapi amaran dan bala dari Allah Taala supaya manusia berfikir dan kembali ke jalan Allah Azzawajalla.

Banjir dijadikan pesta bermain air yang mengundang pula risiko nyawa terutama kanak-kanak.

“Sudah terantuk baru terngadah!”. Malang kita sudah berapa kali terantuk baik kita di pihak rakyat atau di pihak berkuasa, namun kita tidak pernah mengambil pengajaran yang sebenarnya.

Telah tiba banyak masa sudah untuk rakyat Perlis menukar kerajaan namun gagal kerana diulit mimpi indah akibat momokan Umno-BN.

Rakyat Perlis wajib mengubah paradigma pemikiran bahawa mereka sentiasa berada di zon selesa. Akibat paradigma di zon selesa ini, rakyat memaki hamun kerajaan di musim banjir ini kerana gagal membantu mereka.

Pakatan Rakyat sedang meneroka ke arah mewujudkan suasana harmonis antara pihak berkuasa dan rakyat tanpa mengira kaum dan agama demi kesejahteraan bersama.

Peluang akan datang sekali lagi pada PRU ke 13 ini untuk rakyat Perlis menukar kerajaan dengan memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat yang berteraskan Islam agar dihindari bala oleh Allah swt akibat kerakusan pemimpin sedia ada.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29345:tidak-diambil-iktibar-banjir-2005&catid=57:negeri-perlis-indera-kayangan&Itemid=102

Dr Asri: 'Dinosour' PKR enggan terima hakikat

Abdul Rahim Sabri
Nov 6, 10
2:10pm

Selepas saranan beliau supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' mengundang kritikan sebilangan pemimpin kanan PKR, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membidas sikap tidak berlapang dada pemimpin pembangkang.

Dr Mohd Asri berkata kenyataan beliau Isnin lalu itu menyebabkan terdapat pemimpin PKR yang "melenting, buruk sangka dan membuat anggapan yang bukan-bukan".

"Apabila saya menyatakan banyak dinosaur politik dalam BN dan Pakatan Rakyat yang perlu memberi ruang kepada orang lain, dan saya sebut nama YB DSAI (Anwar) sebagai contoh, seperti biasa mereka melenting, buruk sangka dan membuat anggapan yang bukan-bukan.

"Saya kata bahawa, jika tidak berlaku perubahan; momentum politik yang berkesan akan habis dan politik berkualiti akan sukar dicapai," katanya.

"Sebagai rakyat bawahan yang melihat permainan politik dalam negara ini, dengan sikap 'buta warna parti', saya dapat rasakan sejauh manakah pertarungan itu di sudut ketangkasan dan 'manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat'.

"Momentum sesebuah aliran politik bukan selamanya. Rakyat bukan sahaja akan terikat dengan 'kenangan semalam', sebaliknya mereka juga terikat dengan 'realiti hari ini' dan 'impian masa depan'," tulisannya dalam blognya pagi ini.

Dr Mohd Asri turut meminta pemimpin Pakatan yang tidak bersetuju dengannya merujuk kepada sebuah analisis berita yang mendakwa gabungan PAS, DAP dan PKR mula hilang momentum selepas kekalahan di DUN Galas dan Batu Sapi kelmarin.

Tokoh agama itu mengingatkan, momentum sesebuah aliran politik tidak akan kekal selamanya kerana rakyat bukan sahaja akan terikat dengan 'kenangan semalam'.

Sebaliknya, tambah Dr Asri, mereka juga terikat dengan 'realiti hari ini' dan 'impian masa depan'.

"Sebab itu, jangan hairan jika 'momentum Barack Obama' boleh surut dalam hanya masa dua tahun apabila dilihat gagal merealisasikan impian rakyat seperti yang dijanjikan," katanya sambil membandingkan dengan kepimpinan presiden Amerika Syarikat itu.

Sehubungan itu, kata Dr Mohd Asri, jika perkara tersebut berterusan, Pakatan Rakyat akan hilang momentumnya disebabkan pelbagai perkara.

"Salah satunya ubat bagi saya; keperluan 'mentajdidkan' (memperbaharui) pemain utama. Jika tidak, mungkin negara kita hilang keseimbangan politik antara pemerintah dan pembangkang!" tegasnya.

"Jika hendak jadi penguasa, kena belajar berlapang dada dengan rakyat jelata. Bukan semua yang berbeza itu menzalimi anda!"

http://malaysiakini.com/news/147451

Semua sekolah di Kelantan dibuka semula

Nov 6, 10 1:16pm

Semua 13 buah sekolah di jajahan Pasir Mas dan Tumpat yang ditutup akibat banjir sejak tiga hari lepas akan dibuka semula esok, berikutan banjir di Kelantan pulih sepenuhnya sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan Hussein Awang memberitahu Bernama hari ini semua guru besar sekolah terbabit telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Dalam kejadian banjir tiga hari lepas, 13 sekolah kebangsaan di sekitar Rantau Panjang dan Tumpat melibatkan lebih 7,000 murid, yang terletak di kawasan pinggir Sungai Golok ditutup kerana kawasan sekolah terbabit ditenggelami air sedalam 0.5 hingga tiga meter.

Sekolah-sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang (I); SK Sri Rantau Panjang (II); SK Rantau Panjang; SK Lubok Setol; SK Kok Pauh, SK Rahmat; SK Gual Sitok, SK Gual Tok Deh; SMK Rantau Panjang; SRJKC Khay Boon; SK Bakong, SK Chenderong Batu dan SK Bendang Pak Yong.

Hussein berkata kerja-kerja pembersihan kawasan dan bangunan sekolah sedang dilakukan oleh pihak sekolah dan petugas agensi penyelamat.

Sementara itu, Ketua Unit Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang Yusnizam Jusoh berkata pihaknya akan menjalankan operasi pembersihan sekolah yang ditenggelami banjir.

Katanya langkah itu amalan biasa pasukannya yang ditugaskan bukan sahaja menolong kerja-kerja menyelamat semasa banjir tetapi juga selepas bencana itu.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/147445

Banjir: TPM minta Kedah jangan lepas tangan

Nov 6, 10 12:56pm

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS supaya tidak melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri itu kepada kerajaan pusat semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau kerajaan negeri perlu meningkatkan koordinasi dalam usaha melicinkan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bekalan air bersih kepada mangsa banjir.

"Kerajaan negeri tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab. Dia tidak boleh serah kepada (kerajaan) pusat. Jikalau beban besar, kerajaan negeri perlu bersama melaksanakan tanggungjawab.

"Bidang kuasa negeri seperti bekalan air bersih terletak dalam bidang kuasa negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Keusahawanan Kolej-Kolej Komuniti Wilayah Johor di Pagoh hari ini.

Semalam, ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung yang juga Anggota Parlimen Alor Setar, berkata kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS kurang bersedia untuk menghadapi bencana banjir.

Timbalan Perdana Menteri, yang akan melawat Kedah esok bagi meninjau keadaan terkini bencana banjir di negeri itu, berharap usaha pemberian bantuan kepada mangsa ketika ini yang tidak tersusun, akan menjadi bertambah baik.

Katanya kerajaan negeri perlu mengukuhkan persediaan logistik terutamanya operasi lori dan bot untuk memindahkan mangsa bagi melicinkan operasi menyelamat.

Mengenai pemberian bantuan kepada golongan petani dan pesawah yang terjejas dengan bencana banjir, Muhyiddin berkata kerajaan akan memaklumkan mengenai bentuk bantuan selepas keadaan bencana itu reda.

"Kita (kerajaan) sememangnya memandang berat masalah yang ditanggung oleh petani dan pesawah dan kita akan mencari jalan untuk membantu mereka," katanya.

Tentang persiapan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian berharap bencana banjir itu akan reda sebelum bermulanya peperiksaan terbabit dalam tempoh dua minggu lagi.

"Kita akan lihat situasi dan berharap keadaan (banjir) akan reda, tetapi kita bimbang akan ada gelombang kedua. Kita kena ambil perhatian, tetapi walau apapun kita kena kekalkan persiapan," katanya.

Terdahulu ketika berucap, Muhyiddin meminta setiap rakyat memiliki sekurang-kurangnya satu bentuk kemahiran dan mempraktikkan pembelajaran seumur hidup sebagaimana yang dipraktikkan di negara-negara maju.

Dengan 80 peratus daripada tenaga kerja di negara ini hanya memiliki kelulusan SPM dan ke bawah, beliau berkata usaha 'upskilling' atau 'multiskilling' pekerja negara ini perlu diperhebatkan.

"Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kelulusan akademik sahaja, tetapi soal kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat juga penting dalam usaha kita untuk menjadi negara maju," kata Timbalan Perdana Menteri.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Prof Madya Dr Kamaruddin Kasim.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/147440

Banjir di Kedah, Perlis semakin pulih

Nov 6, 10 11:18am

Mangsa banjir di Kedah berkurangan kepada 33,350 orang berbanding 39,785 petang semalam, berikutan semakin ramai mangsa di daerah Kubang Pasu yang dibenarkan pulang tetapi daerah Kota Setar menunjukkan peningkatan ketara mangsa banjir.

Selain itu, daerah Pokok Sena turut mencatatkan penurunan manakala daerah Padang Terap kekal dan Pendang meningkat sedikit, lapor Bernama.

Sehingga 8 pagi ini, bilangan mangsa banjir di daerah Kubang Pasu adalah 12,341 orang daripada 3,324 keluarga berbanding 21,111 orang petang semalam.

Daerah Kota Setar mencatatkan bilangan mangsa seramai 18,926 orang daripada 4,866 keluarga berbanding 16,376 semalam.

Di Padang Terap, jumlah mangsa adalah seramai 354 orang daripada 92 keluarga, Pokok Sena 1,480 mangsa daripada 250 keluarga dan Pendang 249 orang daripada 62 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga kini, 97 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 38 adalah di Kubang Pasu, sembilan di Padang Terap, 42 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Sementara itu, keadaan banjir di Perlis juga semakin pulih dan angka mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan kini berkurangan kepada 9,595 orang berbanding lebih 12,000 semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata kesemua kira-kira 20 pusat pemindahan banjir di Padang Besar telah ditutup.

Bagaimanapun, 34 pusat pemindahan di kawasan Kangar dan empat di Arau masih beroperasi, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama di sekitar bandar ini juga mendapati kegiatan perniagaan yang lumpuh selama empat hari akibat banjir kini kembali pulih.

http://malaysiakini.com/news/147430

PAS Kedah perlu sumbangan bantu mangsa banjir

Izwan Abdul Halim

ALOR SETAR, 6 Nov: PAS Negeri Kedah telah membuka Bilik Gerakan Banjir di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut dalam usaha memberikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Penolong Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad berkata, bilik gerakan tersebut akan beroperasi 24 jam dan akan mengkoordinasikan bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa banjir.

PAS Kedah juga, katanya, telah menyusun tenaga sukarelawannya terdiri daripada Pemuda, Muslimat, Unit Amal dan Nisa’ untuk menjayakan bantuan tersebut.

Tambahnya, pada ketika ini pihak PAS Kedah amat memerlukan sumbangan orang ramai berupa air mineral, tuala wanita, lampin bayi dan biskut.

Sehubungan itu, beliau menyeru mereka yang prihatin untuk membantu usaha tersebut melalui sumbangan terus ke bilik gerakan banjir.

Katanya lagi, para dermawan yang berhasrat untuk turut serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir juga boleh terus berhubung dengan PAS Kedah agar kenderaan dan lokasi penyerahan sumbangan dapat ditentukan.

Sumbangan wang tunai juga boleh dihulurkan melalui akaun Maybank 552170001133 atas nama Majlis Tindakan Bencana Alam BPPNK.

Sebarang pertanyaan boleh menghubunginya di talian 012-482 7563 atau Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya di talian 019-4704740 dan 04-748 1120.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29353:pas-kedah-perlu-sumbangan-bantu-mangsa-banjir&catid=1:utama&Itemid=50

Banjir: Shahrizat jangan bermain politik

Harakahdaily

ALOR SETAR, 6 Nov: Tatkala lebih 40,000 mangsa banjir perlu meninggalkan tempat tinggal mereka akibat krisis banjir yang paling teruk dalam sejarah negeri Kedah, ada juga pemimpin daripada Barisan Nasional yang cuba mengambil kesempatan untuk bermain politik.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyatakan rasa kesal terhadap sikap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang cuba mempolitikkan krisis banjir di Kedah dengan menyalahkan kerajaan PAS Kedah lembap dalam membantu mangsa banjir.

“Saya kesal dengan kenyataan Datuk Shahrizat, yang blame (mempersalahkan) kerajaan negeri (Kedah) tidak membuat apa-apa dan kerajaan negeri lembap – itu satu kenyataan yang sangat melampau,” ujar Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata dalam keadaan semua agensi kerajaan negeri dan semua pihak tengah bersusah-payah dan bertungkus lumus untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kedah, kenyataan Shahrizat memperlihatkan kehadiran Ketua Wanita Umno itu bukan untuk membantu tapi untuk berpolitik.

Shahrizat, kelmarin dipetik menyalahkan kerajaan negeri Kedah tidak menyediakan pengangkutan untuk membantu untuk menghantar makanan kepada penduduk di kawasan yang terputus hubungan akibat banjir terutama di Padang Terap.

“Saya nak sebut bahawa beliau tak boleh blame (salahkan) kerajaan negeri, kerajaan negeri bukan memiliki kenderaan-kenderaan berat dan kenderaan yang sangat terhad yang nak digunakan untuk pengangkutan-pengangkutan yang lain.

“Jadi, sepatutnya beliau sebagai menteri boleh coordinate dengan jabatan kebajikan di bawahnya dengan tentera dan sebagainya untuk mendapat kenderaan-kenderaan berat, kenderaan pacu empat roda, trak dan sebagainya untuk mengharungi kawasan masuk air, dan juga mendapatkan bot-bot besar,” jawab Mahfuz terhadap kenyataan Shahrizat.

Mahfuz juga membandingkan sikap kesudian membantu Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan Shahrizat apabila beliau memintanya untuk mendapatkan bantuan bot besar di kawasan parlimennya, Pokok Sena untuk mencapai kawasan penempatan banjir terputus.

“Kalau di kawasan saya, Datuk Seri Nazri datang, saya sebut masalah di sini ialah satu tempat kita tak dapat pergi kerana putus, kita tak boleh hantar bekalan makanan walaupun mereka ada penempatan banjir sebab arus air deras, dan bot-bot yang mereka hantar pula bot yang kecil, bomba sendiri pun tak berani pergi dengan bot yang kecil.

“Jadi, saya mintalah bot yang besar, bot tentera dan bot smart barulah beliau membantu mengarahkan perkhidmatan keselamatan negeri ini untuk menghantar bot smart,” katanya.

Situasi penempatan banjir

Mengenai situasi di pusat penempatan banjir, Mahfuz menyifatkan keadaannya sesak dan kurang selesa kerana terpaksa meletakkan hampir dua ke tiga ribu orang di sesebuah pusat penempatan banjir, dan ada pusat penempatan banjir yang terputus bekalan air dan juga elektrik.

“Cuma saya lihat koordinasi masalah penempatan ini – ini juga kelemahan jabatan kebajikan di bawah Shahrizat ini sebab satu-satu tempat pemindahan itu, kalau ia nak digazet ia perlu kebenaran daripada jabatan kebajikan.

“Jadi inilah masalahnya, kadang-kadang kreativiti dan inovasi jabatan kebajikan itu agak perlahan – dia hanya lihat tempat-tempat yang biasa – yang akhirnya kita terpaksa melambakkan 2,000 dan 3,000 orang di satu tempat,” ujarnya sambil menambah mangsa banjir semakin meningkat dengan air mula memasuki kawasan bandar Alor Setar dengan keadaan di kampung yang masih ditenggelami air.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29352:banjir-shahrizat-jangan-bermain-politik&catid=1:utama&Itemid=50

Banjir: Selangor sumbang RM100 ribu pada Kedah

Harakahdaily

SHAH ALAM, 6 Okt: Kerajaan Negeri Selangor meluluskan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Bantuan itu diluluskan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali kepada Harakahdaily.

"Saya sendiri akan menyerahkan RM40,000 di pejabat SUK Kedah tengah hari esok sebagai pendahuluan," katanya.

Sementara itu, PAS menganggap kenyataan Tan Sri Muhyidin Yasin satu fitnah apabila mengatakan kerajaan Kedah tidak buat apa-apa terhadap mangsa banjir di negeri itu.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, tinjauan beliau di kawasan mangsa banjir di mana petugas PAS dan kerajaan negeri bertungkus lumus membantu tanpa mengira ideologi parti dan agama.

Katanya, pihak kerajaan Kedah, pejabat daerah, pejabat zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, pihak polis, bekerjasama dengan baik untuk membantu di pusat perpindahan.

Yayasan Amal dan Unit Amal yang dianggotai oleh ahli PAS bercekang mata membantu mangsa banjir dengan tulang empat kerat tanpa diupah.

“Memang ada pusat yang dikendalikan oleh ahli Umno, yang tidak perlulah kita hendak ceritakan bagaimana rungutan mangsa banjir kepada kami.

“Bukan masanya untuk kita hendak mendedahkan keburukan yang dilakukan oleh pelaku ahli Umno sewaktu mengendalikan pusat banjir,” katanya.

Sehubungan itu, katanya PAS menasihatkan Muhyiddin janganlah membuat fitnah dan mendengar taklimat daripada ketua cawangan Umno.

“Usahlah berpolitik ketika rakyat ditimpa dengan banjir. Air banjir tidak kenal apa anutan ideologi,” ujarnya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29360:banjir-selangor-sumbang-rm100-ribu-pada-kedah&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

MB: Landasan berkembar punca banjir buruk di Kedah

Nov 5, 10 6:07pm

Kerajaan PAS Kedah mendakwa banjir buruk yang kini melanda negeri ini adalah disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata semasa banjir besar lima tahun lepas, kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan beberapa kawasan lain tidak pernah ditenggelami air, tetapi sejak pembinaan landasan kereta api berkembar, banjir yang melanda Kedah semakin buruk.

"Kami panggil mereka (Gamuda) datang mesyuarat dengan kita hari ini, tetapi mereka tidak datang. Jika mereka tidak datang juga, saya akan arahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membuka laluan air itu dengan segera.

"Kami mahu berbincang dengan pihak Gamuda tentang perkara ini supaya masalah ini dapat diatasi dengan segera," katanya selepas mesyuarat perkembangan banjir
di Wisma Darulaman hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata bekalan air di daerah Padang Terap, Kota Setar (dari Kepala Batas hingga pusat bandar, Jalan Putra, Gunung, Jalan Langgar dan Hutan Kampung) dan Kubang Pasu (Tanah Merah, Taman Kepala Batas, Jalan Kampung Naga dan Taman Tabung Haji) telah pulih sepenuhnya.

"Bagi daerah Pokok Sena, bekalan air bertambah baik. Petang ini, kita akan menerima 10 lori tangki dan sebuah lori besar air minuman dari Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan sembilan lori tangki daripada Lembaga Air Perak," katanya.

Beliau berkata Syarikat Air Darul Aman telah menyediakan 89 tangki air kepada orang ramai.

Azizan berkata beliau amat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh pejabat daerah, bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, pasukan sukarela, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi kerajaan pusat dan negeri dalam menangani bencana itu.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menambah peruntukan bencana sebanyak RM300,000 lagi menjadikan jumlah keseluruhan yang diperuntukkan ialah RM600,000
dan jumlah itu akan ditambah lagi jika keadaan memerlukan.

Sementara itu, jumlah penduduk yang dipindahkan di Kedah kerana banjir meningkat kepada 39,512 orang pagi ini berbanding 32,990 orang malam tadi berikutan peningkatan mendadak mangsa banjir di Kubang Pasu dan Alor Setar.

Bagaimanapun, semakin ramai mangsa banjir di Daerah Padang Terap yang dibenarkan pulang.

Mangsa di tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang terus meningkat.

Di Kubang Pasu, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 21,111 orang melibatkan 5,740 keluarga manakala di daerah Kota Setar, seramai 15,736 orang (4,047 keluarga) dan di daerah Pendang pula 241 orang (60 keluarga).

Mangsa banjir di Padang Terap berkurangan kepada 657 orang berbanding 2,279 orang malam tadi melibatkan 204 keluarga dan daerah Pokok Sena juga menunjukkan penurunan daripada 1,868 orang kepada 1,767 orang melibatkan 313 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga pukul 8 pagi ini, 100 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 50 adalah di Kubang Pasu, 10 di Padang Terap, 32 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Katanya keadaan di Padang Terap bertambah baik dengan 2,722 orang daripada 339 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat manakala 10 pusat pemindahan ditutup.

Tinjauan Bernama di kawasan sekitar bandaraya Alor Setar mendapati semakin banyak jalan raya dan premis kerajaan digenangi air dan semakin banyak kediaman berdepan dengan gangguan bekalan air termasuk terputus bekalan.

Kawasan perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan juga pejabat Bernama Biro Kedah, kedua-duanya di Jalan Stadium, mula digenangi air.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/147421

KTM nafi pembinaan landasan punca banjir

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad, semalam, menafikan dakwaan bahawa pembinaan landasan berkembar elektrik di beberapa daerah di Kedah sebagai punca kejadian banjir besar di negeri itu.

KTM Berhad berkata, kejadian bencana alam itu tidak langsung disumbangkan Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar yang sedang dijalankan kerana bencana alam serupa turut melanda negara jiran iaitu Thailand serta Kelantan dan Terengganu.


Dari aspek sistem saliran, pemaju projek iaitu syarikat MMC-Gamuda Joint Venture sudah melaksanakannya dan struktur yang dibina adalah mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kata KTM Berhad dalam satu kenyataan, di sini, semalam. Kerajaan Kedah, semalam mendakwa banjir buruk yang kini melanda negeri itu adalah disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat. KTM Berhad berkata, banjir besar yang melanda Kedah dan Perlis adalah berpunca daripada cuaca buruk luar biasa dan pembukaan empangan yang mana paras airnya berada di tahap bahaya untuk menaikkan paras air sedia ada. Syarikat pengangkutan itu turut menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit apabila bencana banjir turut menyebabkan berlakunya kerosakan pada struktur dan landasan baru yang sedang dibina.


“Projek yang bermula pada hujung 2008 itu kini mencapai kemajuan 54 peratus secara keseluruhannya, namun disebabkan kejadian banjir luar biasa itu, kerja projek tertangguh,” katanya. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KTMnafipembinaanlandasanpuncabanjir/Article/index_html

Terbang ke Jawa bahayakan nyawa


ABU volkanik dari Gunung Merapi boleh membahayakan pesawat.


KUALA LUMPUR – Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia membatalkan semua penerbangan ke Pulau Jawa meliputi Jakarta, Yogyakarta, Bandung dan Solo bermula semalam. Hanya penerbangan ke Surabaya yang terletak di timur pulau itu dibenarkan.

Keputusan itu dibuat setelah syarikat terbabit mendapati penerbangan ke pulau tersebut tidak lagi selamat dan boleh menyebabkan nahas kerana ruang udaranya dipenuhi dengan debu volkanik ekoran letusan Gunung Merapi sejak 26 Oktober lalu.

Tindakan yang sama turut diambil beberapa syarikat penerbangan antarabangsa lain antaranya Japan Airlines, Turkish Airlines, Singapore Airlines, Lufthansa, Sing Air, Tiger Airways, KLM, Emirates, Eva Airlines, Etihad, China Southern, Lion Air, Value Air dan Cathay Pasific.

Menurut Pengarah Operasi MAS, Kapten Azharuddin Osman, kesemua penerbangan itu dibatalkan sehingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

“Ketika ini penerbangan yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta, Yogyakarta dan Bandung dibatal atau ditangguhkan bermula hari ini (semalam) sehingga keadaan pulih.

“MAS akan terus memantau ruang udara Indonesia untuk memastikan keselamatan operasi penerbangan untuk memasuki kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Bahaya debu halus Merapi

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my

BAHAYA...seorang penduduk menunjukkan jalan raya diselaputi debu halus.
BAHAYA...seorang penduduk menunjukkan jalan raya diselaputi debu halus.

KUALA LUMPUR: “Sekarang ini Gunung Merapi menghamburkan awam debu halus yang berbahaya untuk kesihatan.

“Kami menggunakan beberapa lapis topeng muka bagi mengelak terhidu debu gunung berapi berkenaan yang boleh menyebabkan maut,” kata Norazila Abdul Aziz, 27, pelajar perubatan Universiti Gadja Mada, Yogyakarta.


Beliau berkata, ramai penduduk dirawat di hospital di Yogyakarta akibat melecur terkena debu panas itu yang mengandungi silika yang biasa digunakan untuk industri kaca.

“Saya bersama tujuh lagi rakan dari universiti sama menunggu masa untuk dipindahkan kira-kira jam 1 pagi ini (2 waktu Malaysia). Rakan yang lain sudah dipindahkan secara berperingkat ke Solo sejak letusan berlaku.


“Kami kumpulan terakhir akan dibawa keluar dan keadaan di Yoyakarta agak kelam-kabut kerana awan debu panas akibat letusan gunung berapi itu sudah menyelubungi kawasan itu,” katanya ketika dihubungi. Sementara itu, Yang di Pertua Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia, Khairul Hafidz Al Khair Khairul Amin yang dihubungi Harian Metro berkata, daripada 456 pelajar perubatan dari Universitas Gadja Mada, semua 371 orang menanti dibawa pulang ke tanah air menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam masa terdekat.


“Diatas sebab tertentu serta mempunyai masalah dengan fakulti, 48 pelajar mengambil keputusan menetap di Yogyakarta, namun pihak PKPMI terus memantau mereka.

“Pihak kedutaan juga menghubungi keluarga pelajar memaklumkan keadaan mereka di sini selain membuka talian bagi membolehkan mereka berhubung antara satu sama lain,” katanya.


Menurutnya, ketika letusan paling teruk itu berlaku tengah malam kelmarin, kebanyakan pelajar berada di kediaman masing-masing.

“Sebelum ini semua pelajar sudah mengemaskan barang dan hanya bersiap untuk pindah. Apabila letusan menjadi lebih teruk dan hampir dengan rumah, pihak Kedutaan Besar Malaysia dan Wisma Putra mengarahkan untuk dipindahkan ke Solo sebelum menanti ketibaan bantuan pesawat dari TUDM untuk membawa semua mereka pulang ke Malaysia,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BahayadebuhalusMerapi/Article/index_html

Merapi meletus lagi pagi semalam


Gunung Merapi berterusan menyemburkan awan panas selepas meletus lagi pagi semalam


YOGYAKARTA - Lahar sejuk yang mengalir deras selepas Gunung Merapi meletus pada tengah malam kelmarin membanjiri sungai-sungai di sekitarnya dan menyebabkan penduduk di kota ini cemas, lapor sebuah akhbar semalam.

Gunung Merapi terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar ini yang dihuni kira-kira 400,000 penduduk.

Hujan lebat yang turun semalam membawa lahar sejuk yang mengandungi lumpur, pasir, belerang dan abu volkanik melimpahi tebing Sungai Code di sini semalam.

Seorang pegawai tempatan berkata, amaran berwaspada sudah dikeluarkan tetapi sama ada banjir lahar sejuk itu bakal membawa kemusnahan banyak bergantung sama ada berlaku hujan lebat pada hari ini.

Terdahulu, lahar panas yang mengalir deras sejurus selepas letusan Gunung Merapi pada tengah malam kelmarin telah memusnahkan tujuh buah dusun di sekitar lerengnya selain padang Kelab Golf Merapi.

"Tujuh dusun sudah hancur dibakar lahar panas selama dua hari dari Jumaat hingga Sabtu," kata seorang pegawai tempatan, Heri Suprapto, di Sleman dekat sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, angka kematian keseluruhan sejak Gunung Merapi mula meletus pada 26 Oktober lalu kini meningkat kepada 138 orang.


Mayat-mayat mangsa korban dikumpulkan di pekarangan Hospital Sardjitodi Yogyakarta.


Seorang pegawai di Hospital Sardjito di sini, Sigit Priohutomo berkata, sekurang-kurangnya 94 orang terbunuh dalam letusan Gunung Merapi kelmarin.

Sejumlah 44 lagi terkorban dalam letusan pertama gunung berapi berkenaan.

Kelmarin Gunung Merapi yang memiliki ketinggian 2,914 meter dari aras laut mengganas dengan memuntahkan lahar dan menghambur awan panas sejauh beberapa kilometer di udara.

Terbaru, Gunung Merapi kembali meletus pada pagi semalam dengan mengeluarkan awan panas dalam jumlah besar sekitar pukul 7 pagi waktu tempatan. Gunung berkenaan mengeluarkan awam hitam yang menyelubungi udara manakala beberapa bunyi dentuman kuat turut didengari dari puncak gunung itu.

Penduduk dilihat memenuhi jalan-jalan raya dengan menaiki trak, kereta dan motosikal untuk meninggalkan zon berbahaya.

Selain manusia, binatang ternakan seperti lembu dan kambing turut dipindahkan.

Sementara itu, sukarelawan dan warga tempatan turut berkawal bagi melarang orang ramai daripada menghampiri zon berbahaya di sini.

Setakat pukul 1 tengah hari semalam, Gunung Merapi dilihat masih menyemburkan awan panas ke udara manakala sekitar 200,000 orang telah mencari perlindungan di beberapa penempatan sementara di sini dan Jawa Tengah.

"Ia menakutkan. Letusan Gunung Merapi tak kunjung kebah," kata seorang penduduk, Wajiman, 58, yang berlindung di sebuah penempatan di Jawa Tengah. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

'Tak pernah-pernah'

'Tak pernah-pernah'

Oleh Zainuddin Zain
zainuddin@hmetro.com.my

TENGGELAM...laluan di Kilometer 4 dan 5 Jalan Langgar, Alor Setar yang tidak pernah ditenggelami air dinaiki air sehingga 0.5 meter, semalam.
TENGGELAM...laluan di Kilometer 4 dan 5 Jalan Langgar, Alor Setar yang tidak pernah ditenggelami air dinaiki air sehingga 0.5 meter, semalam.

ALOR SETAR: “Tidak pernah sepanjang hidup selama 67 tahun kawasan kami dinaiki air termasuk ketika Kedah dilanda banjir besar pada 1999 dan 2005, tetapi (banjir) kali ini, kami turut terjejas.” Itu luahan penduduk Hutan Kampung, dekat sini, Mokhtar Ahmad, 67, yang terkejut apabila kawasan tempat tinggalnya dinaiki air sehingga sedalam dua meter semalam.

Menurutnya, ketika keluar dari rumahnya ke pusat bandar raya untuk membeli keperluan rumah kira-kira jam 7 malam semalam, keadaan jalan dari Hutan Kampung ke Alor Setar masih seperti biasa sedangkan daerah Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Langgar teruk dilanda banjir selain beberapa kawasan bersebelahan Sungai Kedah di Alor Setar.

Bagaimanapun, air meningkat mendadak di Hutan Kampung dan Jalan Langgar sejak awal pagi tadi (semalam) menyebabkan sebahagian besar jalan utama di Hutan Kampung ditenggelami air.

“Keadaan air juga dilaporkan agak tinggi di Kepala Batas berpunca dari banjir yang sudah surut di Bukit Pinang mengalir ke Hutan Kampung dan Kepala Batas,” katanya.


Peniaga, Tolha Ahmad, 49, pula bimbang barangan persediaan perkahwinan anaknya dua minggu lagi musnah apabila rumahnya di Taman Mawar, Hutan Kampung dilanda banjir.


“Saya hanya mendapat tahu rumah kami dimasuki air pagi ini (semalam) apabila dihubungi jiran ketika saya berada di rumah seorang lagi anak di Kuala Kedah sejak dua hari lalu,” katanya.

Menurutnya, dia bergegas pulang bersama dua anaknya untuk menyelamatkan barangan dalam rumah termasuk peralatan perkahwinan anak ketiganya yang akan berlangsung dua minggu lagi.


http://www.hmetro.com.my/articles/Takpernah-pernah/Article

Friday, November 5, 2010

Saintis pengsan 100 kali sehari



claire allen


CAMBRIDGE - Seorang saintis wanita di Britain, Claire Allen menghidap sejenis penyakit ganjil yang menyebabkan dia pengsan sehingga 100 kali sehari, lapor sebuah akhbar semalam.

Allen, 35, yang menetap di sini, England, menghidap penyakit tidur dikenali sebagai katapleksi.

Penyakit saraf itu menyebabkan dia lumpuh antara 30 saat hingga lima minit setiap kali Allen ketawa, teruja, berasa takut, terkejut atau gembira.

Sewaktu diserang katapleksi, Allen akan kehilangan kawalan badannya tetapi berada dalam keadaan sedar.

Lebih teruk, Allen pernah pengsan 100 kali dalam masa sehari.

"Saya akan rebah setiap kali ketawa," katanya.

Allen menghidap penyakit ganjil itu sejak beberapa tahun lalu tetapi dia terpaksa mengambil ubat untuk melakukan rutin harian.

Terdapat kira-kira 25,000 penyakit tidur di Britain. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1105&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...